Anda di halaman 1dari 2

My Metro

Ahad, 14 September 2008


Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

RAMADAN terkenal juga sebagai bulan pesta kurma, dengan ketibaan puasa, bermakna buah
yang berzat ini melimpah-ruah di pasaran.

Kurma atau tamar adalah antara makanan utama Nabi Muhammad s.a.w dan diteladani umat
Islam zaman berzaman, malah makanan utama di Timur Tengah.

Ensiklopedia Wikipedia menyatakan, kurma dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi


dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir.

Bukti arkeologi menunjukkan penanaman kurma di bahagian timur Arab pada 6000
Sebelum Masihi.

Kemudian, masyarakat Arab membawa kurma ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara
Afrika dan Sepanyol. Ia juga diperkenalkan ke Mexico dan California oleh orang
Sepanyol pada 1765.

Kurma mengandungi biji tunggal berukuran dua hingga dua setengah sentimeter
dengan ketebalan enam hingga lapan milimeter.

Tiga jenis utama kurma, iaitu jenis lembut seperti Barhee, Halawy, Khadrawy, Medjool;
separuh kering contohnya Dayri, Deglet Noor, Zahidi dan kering seperti Thoory. Jenis
buah bergantung kepada kandungan glukosa, fruktosa dan sukrosa.

Kurma antara buah yang disebut di dalam al-Quran, contohnya pada surah Maryam,
ayat 23 hingga 25, maksudnya:

“(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke
pangkal sebatang pokok tamar (kurma), ia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati
sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-
kenang!

“Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam),
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar
yang masak.”
Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya
matahari kerana ia sunat. Ini dinyatakan dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w,
antaranya:

Daripada Salman bin Amir al-Dabiy r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w, sabdanya
bermaksud: “Apabila seorang daripada kamu berbuka puasa, hendaklah ia berbuka
dengan kurma, kerana buah kurma itu ada berkatnya (banyak khasiatnya). Kalau orang
itu tidak dapat buah kurma maka memadai juga dengan air sejuk, kerana air itu bersih
lagi membersihkan". (Hadis hasan sahih, riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Perintah baginda supaya umatnya berbuka puasa dengan kurma adalah sunat, malah
baginda sendiri mengamalkannya seperti diterangkan dalam hadis berikut,
(maksudnya): “Biasanya Rasulullah s.a.w berbuka puasa, sebelum solat dengan
beberapa biji buah kurma yang masih basah dan ranum (rutab), kalau tidak dapat,
baginda berbuka dengan beberapa biji kurma yang sudah kering (tamar), kalau tidak
dapat juga, Baginda berbuka dengan beberapa teguk air sejuk.” (Riwayat Abu Daud
dan Tirmizi dan Anas r.a)

Kurma banyak khasiatnya kerana dikatakan mempunyai kandungan zat yang dapat
digunakan dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan astringen pada
masalah usus.

Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam.
Tepung biji benih juga digunakan pada sesetengah ubat tradisional.

Sebagai buah manis lagi lazat, ia sangat sesuai untuk perut yang kosong, memberikan
tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.