Anda di halaman 1dari 10

Pemantapan Hubungan Etnik Berteraskan Prinsip Islam Hadhari

14 December 2006 KEPELBAGAIAN kelompok etnik di negara ini diterima oleh semua dan ia merupakan
sumber kekuatan. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di
negara kita bermula dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di negara
ini. Kontrak sosial adalah satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum melalui proses
muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan
dimanifestasikan melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setiakawan serta perkongsian kuasa
yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan
Persekutuan. Pemuafakatan formula perkongsian kuasa telah dipersetujui oleh semua pihak sejak
daripada dulu lagi.

Semangat dan falsafah Islam Hadhari telah terjelma ketika itu lagi dengan adanya sikap bermuafakat,
bermusyuawarah dan keadilan dalam menjalani kehidupan secara bersama dengan aman, harmoni,
saling menghormati dan memahami antara satu sama lain walaupun berbilang agama, bangsa dan
keturunan.

1. Keimanan dan Ketakwaan kepada Ilahi

Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan ajaran agama
bersekali dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Islam sebagai Al-Din telah secara holistik
mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan
etnik) dengan hubungan manusia-Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru,
hubungan kemanusiaan dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan
perpaduan, perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras, kaum dan etnik.
Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya manusia dan masyarakat berpandukan
ajaran Allah s.w.t.

Integrasi iman dan takwa serta amal bukan hanya dijuruskan dalam aspek hubungan etnik tetapi dilihat
secara menyeluruh dalam komponen pembangunan insan, komuniti dan negara yang akhirnya
menganjak paradigma dalam aspek peningkatan kualiti hidup dan taraf hidup, kehidupan bermasyarakat
dan bernegara, kemajuan dan pembangunan negara (emosi, mental, fizikal dan spiritual masyarakat).

Orang yang kuat iman dan takwanya adalah mereka yang menjalin dan memelihara hubungan baik dan
beradab sesama manusia walaupun dengan bukan Islam kerana ia adalah ajaran Islam dan suruhan Allah
serta Junjungan Besar Rasulullah s.a.w.

Islam mewajibkan penganutnya menjalin hubungan yang baik sama ada sesama Muslim ataupun dengan
bukan Muslim. Islam juga mengajarkan penganutnya agar menghindarkan diri daripada mewujudkan
permusuhuan, perseteruan, perselisihan faham yang negatif dan fitnah. Firman Allah s.w.t dalam Surah
Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud:
”Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kaum secara khusus, (tetapi akan menimpa kaum
secara umum).”

Dengan kekuatan imanlah, orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang lain, bukannya dengan
dasar keturunan atau pertalian darah atau kewarganegaraan semata-mata. Allah s.w.t telah
menjelaskan dalam Surah Ali Imran ayat 102 – 103, bahawa takwa adalah asas perpaduan sesama
Muslim dan dalam konteks bernegara orang Muslim menjadikan takwa sebagai tunggak untuk menjamin
hubungan etnik yang baik dengan kaum agama lain.
Orang-orang Islam juga tidak dapat bertolak ansur untuk menjalin hubungan dan memperkukuhkannya
sesama Muslim. Ia adalah satu kemestian dan kewajipan sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud:

”Kasih sayang Mukmin itu dengan Mukmin yang lain bagaikan struktur binaan yang saling
mengeratkan.”

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda menjelaskan, yang bermaksud:

”Orang Mukmin, dalam soal kasih sayang, cinta dan belas ihsan sesama mereka, bagaikan badan, jika
ada anggota yang sakit, maka seluruh badan itu juga turut berasa sakit, lalu demam dan tidak dapat
tidur.”

2. Kerajaan Adil dan Beramanah

Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks memantap dan
memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang yang ada sejak daripada selepas
Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk perpaduan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum yang
mempunyai identiti nasional dan tidak menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti
kehidupan. Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan, bukannya
melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha mengelakkan ketegangan dan
pergaduhan etnik walau apapun puncanya. Respons kerajaan kepada tuntutan etnik minoriti sentiasa
adil dan saksama, maka kerana itulah ketegangan dan perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan
bijak dan saksama.

Etnik majoriti merasa selamat dan etnik minoriti pula turut menikmati keamanan, pembangunan dan
kemajuan negara secara bersama. Ini mengurangkan rasa tersisih dan kurang selamat di kalangan etnik
minoriti. Kita percaya, tidak ada sebuah negarapun yang mampu melahirkan rasa selamat golongan
minoriti kecuali dalam kes Malaysia. Golongan minoriti kadangkala menikmati lebih kelebihan
(walaupun kebiasaannya sedikit berkurang) dalam sektor pekerjaan, kemajuan ekonomi dan
pembangunan fizikal kerana peluang, dasar dan ruang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan.
Kerajaan juga telah secara perlahan-lahan menghapuskan pengkelasan dan identifikasi kelompok etnik
mengikut jenis pekerjaan ataupun aktiviti ekonomi kesan daripada strategi penjajahan British ke atas
negara kita dahulu.
Kerajaan telah mengatur pelan dan strategi perpaduan melalui beberapa dasar sedia ada untuk
membentuk masyarakat berbilang kaum yang utuh lagi padu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK)
telah digubal sebagai garis panduan dalam membentuk, mengwujud dan mengekalkan identiti nasional
negara dan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu. Mengakui kerumitan pelaksanaannya,
kerajaan meminta rakyat agar insaf serta faham tentang kepentingan perpaduan antara kaum dan
perlunya dihakis kebudayaan kesukuan yang menidakkan kebudayaan nasional.

Apa yang lebih penting ialah kerajaan ingin melihat masyarakat berbilang kaum berbudaya keperibadian
kebangsaan Malaysia yang lebih ekstensif menjangkau batasan suku kaum sempit dengan Islam
dijadikan sebagai komponen utama kebudayaan nasional. Betapa pentingnya perpaduan kaum dan
semangat muhibah dipupuk di peringkat awal lagi, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Integrasi
Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) hasil daripada ilham YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji
Ahmad Badawi. Polisi ”Bersih, Cekap dan Amanah” pula menampilkan integriti tinggi yang dikehendaki
kerajaan di kalangan kakitangan awam khususnya.

3. Rakyat Berjiwa Merdeka

Setiap kelompok etnik menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan. Maka sebagai rakyat
Malaysia, kita mestilah menghayati hakikat perjuangan tersebut dan sama-sama memastikan
kesinambungan kemerdekaan negara dikecapi oleh generasi masa hadapan.

Hubungan etnik di Malaysia tidak lagi berkisar dalam soal-soal keagamaan (walaupun agama adalah
sandaran) tetapi yang lebih penting ialah keadilan kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan
rakyat yang berbilang agama dan kaum, program-program sosioekonomi untuk meningkatkan status
ekonomi mereka yang memerlukan, pembangunan yang lebih ditumpukan di kawasan luar bandar dan
desa, pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani dan seumpamanya.

Kerajaan sedang berusaha untuk membentuk bangsa Malaysia menerusi berbagai-bagai usaha
termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar terhasil rakyat Malaysia yang berjiwa
merdeka, iaitu yang menyumbang dan berbakti kepada negara serta menumpahkan ketaatsetiaan yang
tidak berbelah bahagi kepada negara di samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong
dan berkongsi masa depan. Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ’Membudayakan
Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian’ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat. Islam
mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan dan ketaqwaaan dan
bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau perseteruan.

Sebagai warganegara Malaysia yang berjiwa merdeka, Rukun Negara merupakan teras ke arah
mengwujudkan bangsa yang berwibawa dan berprinsip. Rakyat mestilah mendokong kepercayaan
kepada Tuhan dan menolak atheisme.
Oleh sebab itu, bukanlah seseorang itu dianggap sebagai warganegara Malaysia sekiranya ia mengaku
tidak beragama atau tidak mempercayai Tuhan. Rakyat juga sama-sama tanpa mengira bangsa dan
agama menumpahkan kesetiaan kepada Raja dan negara, pemimpin dan pemerintah, menjunjung
kedaulatan undang-undang dan menghayati kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat berbilang
kaum.

Ancaman penjajahan pemikiran, ekonomi, politik dan budaya serta globalisasi negatif adalah dua musuh
yang dihadapi oleh semua kelompok etnik di Malaysia. Oleh kerana masalah yang ditimbulkan oleh
keduanya sama-sama memberikan kesan buruk kepada setiap kelompok etnik, maka kelompok etnik
yang bersatupadu akan lebih kuat menghadapi musuh-musuh ini. Justeru, Islam sentiasa menyuruh
umatnya untuk berpegang teguh dengan agama Allah dan jangan berpecah belah.

Sepanjang sejarah Islam juga kita akan dapati rekod pemerintahan Islam dan layanan yang baik untuk
kelompok agama lain dan dari sudut hubungan diplomatik dan antarabangsa. Begitu juga rekod
pemerintahan negara kita.

4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu pengetahuan. Islam
mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan. Dalam konteks Malaysia, jalinan
hubungan etnik akan menjadi lebih padu sekiranya masing-masing melihat signifikan hubungan etnik
dalam konteks ilmu dan realiti, bukannya emosi, perasaan dan prasangka.

Dialog tamadun atau dialog antara agama akan berlaku dengan wujudnya interaksi individu. Nabi
Muhammad s.a.w banyak menggunakan dialog dan hikmah ketika berhujah dengan orang Musyrikin
Mekah. Orang Melayu tidak mempunyai masalah dalam interaksi tamadun. Agama-agama lain seperti
Buddha, Hindu dan Kristian dapat berkembang di Kepulauan Melayu kerana pemahaman orang Islam
berasaskan ilmu al-Quran yang mementingkan toleransi dan menerima hakikat kepelbagaian agama dan
keturunan dan hidup bersama dalam kerukunan, aman dan damai kecuali pada waktu darurat. Orang
Melayu juga menerima bahasa kelompok etnik lain walaupun bahasa kebangsaan adalah Bahasa
Melayu. Pakaian kebangsaan yang berasaskan kemelayuan diterima oleh semua kelompok etnik
walaupun setiap kelompok etnik mempunyai pakaian etnik masing-masing. Kerana Islam mengharuskan
mengambil makanan yang halallah, orang-orang Melayu boleh menerima makanan orang asing (yang
halal) seperti makanan segera Barat (asal daripada Barat), Char Koay Teaw (asal daripada China) dan
Tosai (asal daripada India). Semua ini diterima oleh orang Islam berasaskan pemahaman ilmu.

Tamadun India yang masyhur dengan falsafah dan matematik, tamadun China dengan ilmu hisab,
perpuluhan dan aritmatik dan tamadun Islam yang menampilkan konsep angka dan meletakkan asas
dalam matematik moden dan bidang astronomi cerapan telah bersama-sama menjayakan interaksi
tamadun hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan. Maka kelompok etnik Cina, India dan Melayu
dan lain-lain sepatutnya tidak mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil
daripada interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing terdahulu.
Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan kesinambungan kejayaan ketiga-tiga
tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China” membuktikan dua
aspek; pertama interaksi dan dialog tamadun, kedua; transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan.

YAB Perdana Menteri juga telah menawarkan Malaysia sebagai `focal point` untuk mengadakan usaha-
usaha perbincangan terbuka berkaitan Islam. [Ucapan PM, Asia Society of Australia, Sydney, Australia, 8
April 2005] Maksudnya ialah sebagai pusat dialog antara agama ataupun dialog peradaban. Usaha yang
lebih perlu dilipatgandakan oleh berbagai pihak bermula daripada masyarakat awam, pemimpin
masyarakat, pemimpin tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan untuk mengadakan
dialog antara Muslim dan bukan Islam. Dialog, perbincangan dan interaksi sebenarnya menambahkan
ilmu pengetahuan dan maklumat tentang hakikat kelompok etnik dan agama-agama lain. Ruang-ruang
untuk perbincangan mestilah dibuka dan dikendalikan dengan keadaan yang baik dalam suasana dan
semangat setiakawan. YAB Perdana Menteri telah melahirkan keyakinannya, katanya:

“Islam sebenar yang toleran, berkebajikan dan yang utama mengajarkan keamanan antarabangsa,
keselamatan dan kerjasama akan melonjak. Orang-orang Islam di mana-mana sahaja bukan sahaja
mempunyai kewajipan untuk mengembalikan kegemilangan Islam, bahkan menganjurkan rasa saling
bersama antara satu sama lain di kalangan agama-agama di dunia.” [Ucapan YAB Perdana Menteri, Asia
Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

Apa yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri adalah berlandaskan kepada ajaran Islam yang
menganjurkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan.

5. Pembangunan Ekonomi yang Komprehensif dan Seimbang

Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang kaum yang sentiasa hidup dalam aman dan harmoni,
penuh dengan perasaan saling menghormati dan bertoleransi. YAB Perdana Menteri telah menekankan
bahawa perkara ini tercapai bukanlah secara kebetulan tetapi menerusi pengurusan hubungan etnik
berlandaskan perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan dan penumpuan kepada pengurusan
ekonomi yang mampan serta pembahagian ekonomi yang seimbang. [Ucapan PM, Asia Society of
Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula
masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan
iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan
Bumiputera untuk bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera.

Status sosial dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera. Objektif
penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik akan dapat
direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat signifikannya daripada sudut hubungan etnik.
Pelan dan strategi pembangunan jangkamasa pendek dan panjang akan memberi impak yang positif
kepada keutuhan perpaduan kaum. Antara dasar berkaitan ialah seperti Dasar Pembangunan Nasional
(DPN), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk, Dasar
Pertanian Nasional Ketiga (1998-2010), Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar,
Dasar Urbanisasi Negara (DUN), Dasar Sains dan Teknologi Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pembentukan dan kejayaan integrasi nasional sepatutnya juga dilihat kepada pelaksanaan dan kejayaan
Dasar Sosial Negara, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara dan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan secara komprehensif di mana setiap komponen masyarakat majmuk dan
kerajaan turut sama menyumbang dan berbakti. Semua dasar negara akan tercapai sekiranya orang
Islam memahami bahawa asas keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi adalah pemangkin kepada
kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

6. Kehidupan Berkualiti

Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti. Berdasarkan kepada
Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh dikaitkan dengan banyak perkara dalam
kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup Malaysia merangkumi 11 aspek, iaitu:

(i) Dunia pekerjaan – Hubungan etnik boleh dimantapkan dengan menjalin hubungan yang baik di
tempat kerja. Dalam aspek pekerjaan, semua kaum mendapat peluang yang sama rata untuk
memberikan tenaga dan bakti dalam apa jua profesion.

(ii) Pengangkutan dan komunikasi – Kemalangan jalan raya kadangkala mengakibatkan perbalahan
berasaskan sentimen etnik. Ini perlu dielakkan, biarlah mahkamah menentukan sesiapa yang bersalah
ataupun tidak. Berbudi bahasa dan bersopan santun di jalanraya dan ketika menggunakan
pengangkutan awam adalah amalan mulia dan amalan kesedaran sivik yang tinggi. Alat telekomunikasi
seperti fax, telegraf, e-mail dan SMS boleh menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik.

(iii) Kehidupan berkeluarga – Individu yang baik dan beradab akan melahirkan keluarga yang baik.
Keluarga yang baik akan melahirkan komuniti dan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah
pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara. Di Malaysia, walaupun keakraban keluarga
semakin baik, setiap ahli keluarga perlulah mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga
kelompok etnik yang lain.

(iv) Keselamatan dan ketenteraman awam – Rakyat pelbagai kaum mestilah sama-sama memastikan
keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan mengelakkan daripada menjadi
pencetus kepada perselisihan faham ataupun konflik etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu
sensitif.

(v) Pendapatan dan pengagihannya – Kita mendapat tempat untuk mencari rezeki hasil daripada
kemakmuran dan kesejahteraan negara yang diusahakan pemerintah dan rakyat dengan izin Allah s.w.t.
Tidak lagi timbul rasa cemburu dan iri hati kerana kita sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan
pembangunan negara. Wang pembayar cukai digunakan untuk membangunkan keluarga, masyarakat
dan juga negara.

(vi) Kesihatan – Isu-isu seperti HIV AIDS, dadah, sakit jantung dan kanser melibatkan semua kaum. Kita
mesti bersatu untuk memerangi dan menanganinya.

(vii) Pendidikan – Bidang pendidikan sendiri sama ada di peringkat rendah, menengah dan tinggi adalah
satu wadah yang boleh digunakan untuk menyatupadukan kaum. Secara teorinya, semakin tinggi
pendidikan seseorang itu, semakin tinggilah juga kesedaran dan amalan dalam memperkasa hubungan
etnik dan intra etnik.

(viii) Perumahan – Terdapat kecenderungan pembeli rumah membeli rumah di kawasan kelompok etnik
sendiri. Sikap ini perlu dibendung kerana ia boleh mengwujudkan polarisasi kaum. Banyak kawasan
perumahan yang mempunyai pelbagai kelompok etnik. Maka usaha perlu dijalankan untuk
memperkukuh hubungan etnik di kawasan kediaman terlebih dahulu.

(ix) Alam sekitar – Isu alam sekitar sebaiknya ditangani secara bersama. Kempen gotong royong
pembersihan taman perumahan yang melibatkan pelbagai kelompok etnik boleh mengwujudkan
semangat dan sikap kerjasama berkumpulan dan tolong menolong.

(x) Penglibatan sosial – Kerja-kerja sukarela sama ada di peringkat komuniti dan masyarakat boleh
mewujudkan sikap sayang menyayang dalam konteks hubungan etnik. Begitu juga kerja sosial dan
pembangunan komuniti dan masyarakat.

(xi) Budaya dan hiburan – Program kebudayaan dan hiburan yang melibatkan penyertaan pelbagai
kelompok etnik mestilah sentiasa digalakkan kerana ia boleh memperkukuhkan hubungan etnik.

Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia sekali
gus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi nasional. Sudah ada langkah-langkah menggunakan
sukan sebagai alat untuk memupuk hubungan kaum yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain
sepak takraw yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain bola
keranjang walaupun sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita perlu sukan yang boleh
menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Badminton, hoki, bola sepak dan squasy adalah di
antara sukan yang boleh membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.

Orang boleh menangis kesedihan kalau negara kalah dalam sesuatu jenis sukan, dan begitu juga orang
boleh menangis kegembiraan kalau negara menang dalam sesuatu jenis sukan.

7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita

Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik dan hak-hak asasi
manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia. Jaminan ini akan memperkukuhkan
hubungan etnik di negara yang diperintah oleh orang Islam. Pengisytiharan Universal Islam Mengenai
Hak-hak Asasi Manusia di Paris pada September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk
hidup, hak kebebasan manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak keadilan, hak
perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa, hak
perlindungan daripada penyeksaan, hak perlindungan maruah dan reputasi, hak pelarian, hak-hak
minoriti, hak dan obligasi untuk menyertai pengurusan hal ehwal awam, hak untuk menganut mana-
mana agama dan berucap, hak amalan keagamaan, hak untuk berkumpul dan menubuhkan persatuan,
hak melakukan aktiviti ekonomi, hak perlindungan harta benda, status dan maruah pekerja, hak
keselamatan sosial, hak berkeluarga dan yang berkaitan dengannya, hak wanita yang telah berkahwin,
hak pendidikan, hak ‘privacy ‘ dan hak bergerak dan menginap.

Kumpulan minoriti terdiri daripada golongan bukan Islam, anak yatim, warga emas, kanak-kanak
istimewa, orang kurang upaya, fakir miskin dan ibu tunggal. Prinsip ini menampilkan hak-hak kumpulan
minoriti dan wanita akan dijaga dan dibela serta memastikan mereka berada dalam arus perdana
kemajuan dan pembangunan negara.

8. Keutuhan Budaya dan Moral

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen negatif budaya dan
pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan ketimuran. Budaya dan moral bangsa
Malaysia mestilah dipertahankan demi keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ia daripada
dicemari oleh budaya yang merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia.

Budaya dan moral yang kuat lagi jitu adalah pemangkin dalam usaha kita menjadi negara maju dan ke
arah pencapaian Wawasan 2020. Nilai-nilai murni dan budi bahasa rakyat Malaysia adalah di antara
identiti rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan walaupun kita sudah moden dan membangun. Ketua
keluarga mestilah memastikan keutuhan budaya dan moral ahli keluarga masing-masing. Pemimpin
masyarakat pula bertanggungjawab terhadap masyarakat masing-masing. Kerajaan ingin wujudkan
masyarakat yang mempunyai personaliti unggul (towering personality) agar bangsa Malaysia dapat
duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Personaliti unggul terletak pada diri dengan
kekuatan hemah yang tinggi, berilmu pengetahuan tinggi, tinggi pencapaian, ketokohan dan
keintelektualan.

Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk semangat muhibah di
kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan kunjung mengunjung ke rumah kaum
lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna merestui sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih
sebagai satu amalan mengeratkan perasaan saling menghormati, persefahaman dan persahabatan
dengan kawan-kawan lain walaupun yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya
hidup kita.

9. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar


Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar demi
kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan persekitaran yang kondusif
bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan
sejahtera.

Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang betul dan
peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya kepentingan peribadi atau
kelompok berkepentingan tersendiri.
Kempen gotong royong kebersihan dan seumpamanya di kawasan penempatan masyarakat berbilang
kaum boleh mempupuk perasaan muhibah, kasih sayang dan tolong menolong.

10. Kekuatan Pertahanan

Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda penumpuan dan
perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat patriotisme. Generasi muda perlu
disedarkan tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh.
Mungkin sudah ada usaha sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan
jatidiri.

Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera
Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih ditahap yang rendah dan perlu dipertingkatkan.

Penyertaan berbagai-bagai kelompok etnik dalam Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pasukan
Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini juga boleh memantapkan perpaduan kaum. ”Bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh” adalah pepatah yang melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika
dikaitkan dengan kekuatan pertahanan, maka asas kepada perfahaman yang utuh ialah perpaduan yang
jitu.

Perumpamaan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” menggambarkan
signifikan kerjasama berkumpulan, bermesyuwarah dan saling memahami serta tolong menolong. Tanpa
muafakat dan terlalu banyak persengketaan akan menyebabkan negara kita mudah untuk ditewaskan
oleh musuh.

”Menang sorak, kampung tergadai” menggambarkan bahawa yang penting ialah “substance” (isi)
bukannya slogan atau cakap-cakap kosong. Kita perlu mengotakan apa yang telah dijanjikan dan konteks
sayangnya kita kepada negara dan para pemimpin. Rakyat Malaysia berbilang kaum mestilah menanam
dalam diri mereka prinsip ”biar putih mata, jangan putih tulang” dalam konteks pertahanan negara.
Semua bangsa mestilah menanam dalam diri mereka semangat dan sikap sayangkan negara dan
sanggup mempertahankannya ke titisan darah terakhir dan sentiasa komited sebagai warganegara yang
baik dan berguna. Dalam Islam, orang yang mempertahankan negara dan mati kerana mempertahankan
agama dan negara diberi penghormatan tinggi oleh Allah.
Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat” membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh
menjalin hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah mekanisme paling berkesan untuk
memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik yang positif. Sebab itu media massa perlu memainkan
peranan lebih proaktif untuk memupuk integrasi nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan
dan polarisasi.
Bantuan-bantuan kemanusian (humanitarian) terhadap mangsa peperangan atau malapetaka alam
menonjolkan ciri terbaru hubungan etnik yang menjangkau batas geografi dan sempadan antarabangsa.
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah sama-sama menyumbang bagi menolong mangsa gempa
bumi di Qum, Iran, mangsa perang Amerika-Iraq, mangsa gempa bumi di Kashmir dan malapetaka
Tsunami.

Kesimpulannya, pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan bertujuan untuk membawa perubahan kepada
mentaliti dan sikap masyarakat serta peralihan kepada yang lebih baik dalam konteks kemajuan dan
pembangunan negara. Pendekatan ini akan membawa pembaikan dalam semua aspek kehidupan untuk
menuju ke arah sebuah masyarakat dan negara maju dan mencapai objektif Wawasan 2020. Orang
bukan Islam tidak perlu bimbang terhadap pendekatan ini kerana ia akan membawa kebaikan kepada
semua golongan tanpa mengira perbezaan agama dan etnik.