Anda di halaman 1dari 5

Asas Penyelidikan Ilmiah

(Bahagian I)

Oleh: DR. SULAIMAN MASRI


Fakulti Bahasa
Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim

_____________________________________________________________________

BAHAGIAN ini membincangkan asas-asas umum penyelidikan. Topik dan


huraian meliputi usaha dan sikap manusia mencari kebenaran dan ketepatan, ke arah
pemikiran ilmiah, teori dan hipotesis, prinsip penyataan, populasi dan sampel dan pola
umum penyelidikan.
Penyelidikan ilmiah merupakan salah satu cara manusia mencari kebenaran dan
ketepatan. Dalam konteks ini penyelidikan ilmiah bermaksud suatu penyaluran rasa
ingin tahu manusia dalam perkara yang bersifat keilmuan. Manusia mempunyai
pendapat bahawa ada sebab bagi setiap akibat, dan bahasa setiap gejala dilihat dapat
diberi penjelasannya secara ilmiah.
Sebelum wujud gejala penyelidikan, terdapat golongan manusia yang belum
sampai ke tahap pemikiran ilmiah, sebaliknya dipengaruhi kepercayaan animistik dan
tahyul. Setiap kejadian dikaitkan dengan akibat mengengkari kuasa ghaib atau
menggaggu kediaman penunggu tanah, air dan hutan. Sebelum manusia berjaya
dipengaruhi penyelidikan bersifat ilmiah, segelintir manusia yang berhasil menyelidik
dianggap melawan kuasa tuhan-tuhan ciptaan manusia sendiri. Mereka lantas disingkir,
malah dibunuh.
Demikianlah, bencana yang ditimpakan pada Copernicus yang berjaya
menyelidik dan menetapkan bahawa bumi mengedari matahari, Edison dituduh
memerintah syaitan semasa dia memperkenalkan peti nyanyi. Namun, penyelidikan
untuk mencari kebenaran nampaknya terus wujud dan dikembangkan oleh segelintir
manusia yang ditakdirkan menguasai bidang dan kepakaran tertentu.
Dalam usaha manusia mencari kebenaran, telah ditempuh berbagai-bagai cara
dan usaha. Antaranya melalui penemuan secara kebetulan, melalui trial and error,
melalui kewibawaan, melalui penyelesaian secara spekulasi, melalui fikiran kritis,
melalui pengalaman dan melalui penyelidikan ilmiah. Penemuan dan ciptaan
kemudiannya merentasi bidang percetakan, lalu lintas, pesawat terbang telegraf, ubat-
ubatan, radio, televisyen, elektonik, komputer dan sebagainya yang menjadi lambang
kebahagiaan manusia sejagat.

Penyelidikan Ilmiah
Sehubungan itu, penyelidikan ilmiah merupakan kaedah pengkajian menerusi
penyiasatan yang tuntas dan teliti terhadap semua bukti yang diperoleh berkaitan
dengan masalah yang dinyatakan, sehingga kita sampai kepada penyelesaian masalah
tersebut. Dengan sikap sedemikian, manusia telah berjaya menjelaskan pelbagai objek
dan kejadian yang dilihat dan menunjukkan kepada kita sebab-musabab yang
sebenarnya daripada satu rentetan akibat.
Secara umum, kehidupan ilmiah terdapat di mana-mana, dilakukan oleh hampir
setiap orang terhadap hampir semua perkara yang dikenalinya. Ketika seseorang
menghadapi suatu masalah dan dengan cara yang sistematik berusaha menyelesaikan
masalah itu, ini dapat dikatakan dia berada di tengah-tengah permasalahan ilmiah, dan
menggunakan kancah penyelesaian yang bersifat ilmiah. Kalau seorang penyelidik
hanya mengumpul keterangan dan berusaha mengklasifikasi keterangan tersebut, ini
dikatakan dia baru berada di pinggir penyelidikan ilmiah. Di tahap ini dia dianggap
mengambil sikap statik.
Sebaliknya, kalau seorang penyelidik berusaha menyusun teori dan cara
pendekatan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut maka dia sebenarnya berada
di tengah-tengah permasalahan ilmiah. Di tahap ini seorang penyelidik memperlihatkan
sikap dinamik, iaitu berusaha menemukan sifat-sifat umum yang dapat dianggap
sebagai kaedah, dalil atau generalisasi terhadap fenomena yang berada dalam bidang
yang diselidikinya. Penemuannya itu dapat dirumuskan sebagai suatu teori untuk
menyelesaikan permasalahan. Dengan lebih jelas, teori yang menjadi tujuan aktiviti
ilmiah itu merupakan pengertian yang lebih sistematik, yang diperlukan dalam
memahami dan meramalkan fenomena yang menjadi masalah yang akan dikaji.
Daripada penjelasan tersebut dapat diketahui bahawa seorang yang melakukan
penyelidikan ilmiah semestinya berusaha menemukan perumusan tentang berbagai-
bagai pengertian yang saling berkaitan dengan fenomena yang diselidiki. Daripada
pengertian tentang hubungan itu dapat pula diadakan ramalan atau kawalan terhadap
fenomena yang diselidiki. Biasanya seorang penyelidik berfikir secara reflektif dengan
prosedur yang disesuaikan dengan tujuan dan sifat penyelidikan. Sikap penyelidik tidak
memihak atau berat sebelah (impartial/subjektif). Langkah-langkah yang dilakukan
terdiri daripada:
(1) Perumusan permasalahan dan tujuan
(2) Penetapan postulat dan hipotesis
(3) Penetapan kaedah kerja
(4) Pengumpulan data
(5) Pengelahan
(6) Penyimpulan penyelidikan, dan
(7) Penerbitan hasil penyelidikan.

Ciri-ciri Penyelidikan
Penyelidikan ialah aktiviti ilmiah yang mengumpulkan pengetahuan baru
daripada sumber primer atau utama, dengan penekanan pada prinsisp-prinsip umum,
dan ramalan keumuman atau generalisasi di luar sampel yang diselidiki. Sehubungan
itu, penyelidikan menggunakan cara-cara yang rapi, teliti dan sistematik. Cara dan
pegangan untuk menyelesaikan masalah penyelidikan hendaklah didasarkan pada
pengetahuan yang telah dilakukan oleh penyelidik terdahulu. Daripada pengetahuan itu
penyelidik semasa hendaklah diatur dengan seteliti dan serapi mungkin, dengan cara
dan teknik yang memperlihatkan kesahihan yang tinggi.
Data penyelidikan dikumpul secara objektif, yakni tidak mengumpul hanya data
yang menyokong kebenaran suatu hipotesis dan meminggirkan data yang tidak serasi
untuk membuktikan kebenaran atau kebatilan sesuatu hipotesis secara mutlak.
Seboleh-bolehnya, data penyelidikan diolah dan diorganisasikan dalam ukuran
kuantitatif. Prosedurnya nyata dan boleh diperhati secara empiris. Semua kesimpulan
dibuat atas sifat data yang diolah, dan semua dapatan dinyatakan dalam tahap
kerapian yang tinggi.
Laporan penyelidikan dibuat dalam bentuk yang lojik, dengan mempunyai
penyataan masalah, pelaksanaan kesimpulan, dan dengan kata dan istilah yang jelas
dan tidak kabur dari segi makna. Jenis penyelidikan dibezakan berdasarkan kegunaan
dalam kehidupan manusia. Atas dasar tersebut, terdapat penyelidikan yang disebut,
penyelidikan murni dan penyelidikan yang digunakan.

2
Penyelidikan murni juga disebut penyelidikan asas atau penyelidikan
fundamental. Tujuan utamanya untuk menemukan prinsip atau keumuman yang
diperlukan bagi merumuskan teori dan dasar pemikiran ilmiah.
Penyelidikan yang digunakan juga disebut penyelidikan operasional. Ia
merupakan ‘penyelidikan tindakan’ atau action research, bertujuan mencari dasar
pengetahuan praktis sebagai landasan bertindak untuk memperbaiki suatu situasi
secara terhad. Sehubungan itu, jumlah dan jenis kaedah penyelidikan dikatakan sama
banyak dengan jenis masalah yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, kita masih dapat mengklafikasikan kaedah penyelidikan
berdasarkan pengalaman dengan memerhati persamaan dan perbezaan kaedah-
kaedah tersebut. Perlakuan ini tergantung pada cara pakar memerhati persoalan dan
menentukan kaedah yang sesuai. Antara cara yang biasa digunakan dalam hal
mengklafikasikan kaedah-kaedah penyelidikan adalah menurut sifat dan fungsinya dari
sudut masa. Dengan yang demikian, terdapat kaedah penyelidikan yang mampu
menjelaskan data yang lalu dengan tepat.
Di samping itu, terdapat pula kaedah yang sesuai digunakan untuk mengolah
data bagi meramal kejadian-kejadian yang akan berlaku. Kaedah jenis pertama disebut
kaedah (deskriptif), manakala jenis ketiga disebut kaedah penyelidikan percubaan
(eksperimental).
Namun demikian, perbezaan di antara tiga jenis kaedah penyelidikan kurang
jelas, sehingga penyelidikan masih dapat menggunakan gabungan beberapa kaedah
menjadi satu kaedah penyelidikan ilmiah.

Keperluan dalam penyelidikan


Sehubungan itu, untuk menjalankan penyelidikan dengan berkesan, penyelidik
memerlukan beberapa perkara, antaranya teori, masalah, rangka kerja, hipotesis, data,
alat bantu dan kebebasan.

1. Teori
Teori ialah dasar dan rangka suatu ilmu pengetahuan. Ia merupakan
sekumpulan binaan konsep, definisi, dan dalil yang saling berkait yang menghadirkan
suatu pandangan yang sistematis bagi maksud menjelaskan dan meramalkan
fenomena. Pakar-pakar penyelidikan berpendapat bahawa teori yang dipandang ilmiah
atau berguna untuk penyelidikan ilmiah, perlu berupaya menilai data yang sesuai atau
yang bertentangan dengannya.
Terdapat perbezaan antara teori yang berbentuk tak formal dan teori yang
berbentuk formal. Teori tak formal, banyak diperhatikan pada teori-teori pendidikan
yang menggunakan bahasa sehari-hari terutama dalam ilmu kemasyarakatan. Teori
yang berbentuk formal pula membezakan postulat hipotesis, kesimpulan dan
generalisasi dengan sesuatu masalah (atau pemboleh ubah/variabel) diperlihatkan
dengan jelas, sehingga penyelidik mampu mengukur setiap pemboleh ubah untuk
menguji kebenaran teori.
Teori yang formal digunakan oleh pengkaji. Kekuatan teori formal terletak pada
keupayaannya diuji melalui ukuran dalam penyelidikan. Dengan yang demikian, suatu
teori yang dapat digunakan sebagai landasan suatu penyelidikan hendaklah tidak perlu
berbelit-belit. Teori yang baik hanya memiliki satu idea utama yang mudah difahami.
Teori seumpama ini didasarkan pada satu postulat (anggapan dasar kepada
pemikiran).
Namun, terdapat teori yang kompleks. Sehinggakan jenis teori dan tingkat
kompleksitinya juga pelbagai. Kesemua teori ini, sama ada teori berpostulat tunggal

3
atau berpostulat banyak, dapat digunakan sebagai dasar penyelidikan. Pada teori yang
berpostulat tunggal, membolehkan penyelidikan menumpu pada satu atau sejumlah
kecil angkubah. Pada teori yang berpostulat banyak, membolehkan banyak lebih
diutamakan.
Walau bagaimanapun, teori berpostulat banyak bukanlah satu jaminan
kesempurnaan teori dan bukan juga jaminan ia sesuai digunakan sebagai dasar
penetapan ilmu pengetahuan, dan adakah semua angkubah sudah jelas dan dapat
diselidik atau diukur?
Dengan yang demikian, sebuah teori yang berguna ialah teori yang lebih
sederhana dengan lebih mendasarkan diri pada tingkat kemajuan ilmu pengetahuan
dan dengan mengurangi angkuhan yang kabur.

2. Masalah
Sebenarnya, segala lapangan penyelidikan mempunyai masalah yang banyak
jumlahnya. Masalah merupakan setiap kesulitan yang menggerakkan manusia untuk
menyelesaikannya. Masalah perlu dapat dirasakan sebagai satu halangan yang perlu
dilalui supaya kita dapat berjalan terus. Sehubungan dengan itu, masalah dalam
penyelidikan perlu memiliki ciri-ciri yang menggerakkan kita untuk membahaskannya
bagi manfaat yang diperoleh daripadanya. Oleh sebab itu, mengenali masalah perlu
disertai pandangan yang kritis dan selektif.
Namun, tidak semua orang dapat melihat dan menyedari masalah tersebut.
Banyak orang, terutama yang belum banyak berkecimpung dalam lapangan
penyelidikan, berasa sangat sukar menemukan masalah yang tepat untuk diselidiki.
Punca utama orang tidak mampu menemukan masalah itu terletak pada bidang
penguasaan lapangan penyelidikan. Seorang pelajar dalam bidang pendidikan mungkin
sudah menemukan pendapat yang teoritis atau spekulatif tentang falsafah pendidikan
tetapi lantaran kurang penguasaannya terhadap masalah dalam pendidikan, maka dia
sukar untuk mengikuti perkembangan lapangan yang dipilihnya itu, secara praktis,
dalam jangka masa yang singkat.
Sebaliknya, apabila seseorang telah biasa dalam lapangannya yang khusus dan
mengikuti perkembangan penyelidikan yang dilakukan oleh ahli-ahli dalam lapangan
masalah-masalah yang masih tertinggal untuk diselidiki.

3. Kriteria Masalah Penyelidikan


Masalah atau problem mesti ditentukan dahulu sebelum memulakan sebarang
penyelidikan ilmiah. Walau bagaimanapun, pengenalan suatu masalah yang akan
ditetapkan untuk dikaji, memerlukan beberapa pertimbangan yang berikut:
(i) Adakah masalah itu berguna untuk diselesaikan? Perlu disedari
bahawa dalam perkara ini, ada masalah yang lebih diperlukan
daripada masalah yang lain. Dengan yang demikian, anda perlu
terlebih dahulu bertanya, apakah perlunya menyelesaikan
masalah yang akan anda selidiki? Tegasnya, adakah masalah
yang ditetapkan itu merupakan yang penyelesaiannya akan
memberi manfaat, atau mendatangkan erti yang penting?
(ii) Adakah terdapat kebijaksanaan yang diperlukan untuk
penyelesaian masalah tersebut? Terdapat banyak kaedah untuk
menyelesaikan masalah. Anda perlu membuat keputusan sendiri
dengan bijak terhadap cara atau kaedah yang manakah yang
dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk penyelesaian
masalah pilihan anda. Tidak dinafikan bahawa anda

4
memerlukan pengetahuan tentang pembentukan sampel, atau
pengertian tentang korelasi keefisien. Atau malah diperlukan
pengiraan deviasi standard, dan perkiraan kuadrat chi.
(iii) Adakah masalah pilihan anda memang menarik untuk
diselesaikan? Lain masalah, lain tahap kesulitannya. Ada
masalah memerlukan jangka masa yang panjang, malah
sehingga perlu dilanjutkan oleh penyelidik yang akan datang.
Sebagai penyelidik anda perlu menemukan sasaran yang cukup
kuat sehingga menyebabkan anda berasa begitu tertarik pada
masalah tersebut. Mungkin usaha anda tidak mendapat
sokongan daripada rakan sejawatan atau masyarakat di luar
sana. Namun di pihak anda diperlukan minat yang mendalam
supaya semangat dan usaha anda tegas tidak patah di tengah
jalan! Sesungguhnya, anda perlu bersiap sedia dikritik atau
menghadapi reaksi yang skeptik demi mempertahankan
masalah anda dengan dalil yang munasabah kemudiannya.
(iv) Adakah masalah tersebut membawa sesuatu yang
baru?Sebagai penyelidik anda perlu mendalami pengetahuan
dalam bidang yang anda ceburi, dan berusaha menemukan
sesuatu yang baru dan bererti bagi dunia pengetahuan. Anda
perlu meneliti adakah masalah itu pernah diselidiki atau belum.
Anda perlu memastikan adakah masalah yang anda cuba
selesaikan itu merupakan sesuatu yang baru bagi masalah yang
lama, atau adakah penyelesaian yang baru, akan memberi
jawapan atau cadangan untuk dilaksanakan?
(v) Adakah diperlukan data yang secukupnya, atau adakah
diperolehi data yang cukup untuk menyelesaikan masalah
anda? Perkara tentang pengumpulan data bagi keperluan
penyelesaian masalah kerap menjadi penghalang bagi
penyelidik untuk menjalankan penyelidikan. Perkara ini akan
terus dihadapi selama bahan yang diperlukan sukar diperolehi,
kerana kekangan birokrasi, kekurangan pengalaman, atau
kekurangan kemudahan yang berkaitan.
(vi) Adakah anda mempunyai kemampuan tenaga, wang, masa?
Setiap masalah perlu mempunyai batas penyelesaian tertentu.
Pembatasan diperlukan bukan sahaja untuk melicinkan
pengendalian masalah yang diselidiki tetapi juga untuk
memastikan adanya tenaga, waktu, wang masa dan ketekunan
di pihak anda sebagai penyelidik.

******
Bersambung…

Anda mungkin juga menyukai