Anda di halaman 1dari 2

Amalan gotong-royong masih teguh diamalkan di kalangan masyarakat

di luar bandar berbanding masyarakat di bandar

Amalan gotong-royong merupakan amalan masyarakat kita yang mengutamakan


semangat bekerjasama di antara satu sama lain, bak kata pepatah `berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing’.

Masyarakat di luar bandar masih teguh mengamalkan gotong-royong kerana masyarakat


ini amat mementingkan perpaduan dan nilai tradisi serta suka hidup tolong-menolong dan
melakukan kerja secara sukarela. Struktur anggota masyarakat ini yang terdiri daripada
saudara-mara sendiri memudahkan lagi amalan ini dilaksanakan. Berdasarkan hal inilah
masyarakat tersebut sama-sama menggembleng tenaga dan berkorban masa untuk
menjayakan sebarang aktiviti yang dijalankan oleh ahlinya.

Selain itu, hubungan antara jiran masih kukuh dan kemesraan di kalangan penduduk luar
bandar lebih terjalin erat. Keadaan sebegini mendorong mereka untuk berkumpul dan
berbincang dalam menjayakan sesuatu aktiviti gotong-royong. Dengan adanya
keharmonian dan kemesraan di kalangan setiap lapisan masyarakat membolehkan mereka
dengan tidak segan-silu meminta bantuan dan pertolongan. Hal ini kerana mereka
berpegang kepada hakikat bahawa segala-galanya bertolak daripada sifat manusia sebagai
makhluk yang lemah. Oleh itu, kita saling bergantung antara satu sama lain.

Corak petempatan masyarakat di luar bandar juga menyebabkan amalan gotong-royong


masih teguh diamalkan. Corak petempatan kampung tradisional yang berselerak di
meratarata tempat dan mempunyai kawasan yang luas membolehkan aktiviti gotong-
royong dijalankan dengan mudah. Ini berbeza dengan corak petempatan dan masalah
kekurangan tanah di bandar yang tidak menggalakkan aktiviti gotong-royong dijalankan.

Masyarakat di bandar lebih berorientasikan pekerjaan berbanding masyarakat di luar


bandar. Mereka bekerja dari pagi hingga ke lewat petang dan sesetengahnya pula hingga
ke malam. Corak pekerjaan yang sedemikian menyukarkan mereka untuk melibatkan diri
dengan aktiviti gotong-royong. Pada hujung minggu pula kebanyakannya menumpukan
masa kepada urusan keluarga. Memang tidak dapat dinafikan aktiviti gotong-royong ada
dijalankan di bandar, tetapi sambutannya kurang menggalakkan. Mereka lebih gemar
mengupah pihak tertentu untuk melakukan kerja yang biasanya dibuat secara
bergotongroyong oleh masyarakat luar bandar.

Masyarakat di bandar juga lebih bersikap individualistik dan gemar menunjukkan


kelebihan masing-masing. Apatah lagi kemewahan dan kesenangan hidup yang dikecapi
menyebabkan mereka beranggapan bahawa pertolongan orang lain kurang diperlukan.
Mereka berasakan mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada orang lain. Sehubungan
itu, persepsi masyarakat di bandar mengenai amalan gotong-royong adalah sebagai
perkara remeh. Akibatnya, amalan ini semakin terpinggir.

Tahap pembangunan yang kurang pesat di luar bandar berbanding di bandar turut
menyebabkan masyarakat di situ lebih memerlukan antara satu sama lain. Mereka
menghadapi banyak kepayahan. Lagipun pendapatan mereka tidak sebanyak penghuni
bandar. Oleh itu, mereka tidak berkemampuan untuk mengadakan majlis keramaian
seperti majlis perkahwinan di hotel atau di dewan tertentu. Mereka juga kurang mampu
untuk membuat tempahan makanan yang siap dimasak untuk majlis tersebut. Sebaliknya
mereka lebih memerlukan bantuan daripada jiran dan saudara-mara bagi menjayakan
sesuatu majlis keramaian itu.

Kesimpulannya, amalan gotong-royong di kalangan anggota masyarakat di luar bandar


perlu dicontohi oleh penduduk bandar kerana amalan tersebut banyak membawa manfaat
bersama. Kesedaran tentang hal ini perlu ditanam di jiwa generasi baru agar tidak luput
ditelan zaman.

Anda mungkin juga menyukai