Anda di halaman 1dari 2

9.

UMAT ISLAM MENYEMBAH KAABAH


Soalan:
Jika Islam menentang penyembahan berhala, mengapa umat Islam menyembah dan
menundukkan kepala kepada Kaabah dalam solat mereka?

Jawapan:
Kaabah adalah Kiblat, yakni arah umat Islam menghadap ketika solat. Ianya penting untuk
difahami bahawa meskipun golongan Muslim menghadap Kaabah semasa solat, mereka
tidak menyembah Kaabah. Umat Islam tidak menyembah dan tunduk kepada selain Allah.
Ini dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah:

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah


ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau
sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya
Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke
arahnya. …” [Surah Al-Baqarah:144]

1. Islam agama perpaduan


Misalannya, jika umat Islam ingin melaksanakan solat, mungkin sesetengah orang mahu
menghadap ke arah utara, manakala yang lain ingin menghadap ke arah selatan. Demi
menyatukan umat Islam dalam beribadah kepada Tuhan Yang Esa, golongan Muslim
diperintahkan agar menghadap hanya ke satu arah, yakni ke arah Kaabah walau di mana
juga mereka berada. Jika sesetengah Muslim tinggal mengarah ke bahagian barat Kaabah,
mereka akan menghadap arah timur. Begitu juga dengan yang tinggal menghadap ke arah
timur Kaabah, mereka akan menghala ke arah barat.

2. Kaabah adalah pusat Peta Dunia


Orang Islam merupakan manusia pertama melukis peta dunia. Mereka menghasilkan peta
dengan bahagian selatan menghala ke atas dan bahagian utara mengarah ke bawah.
Kaabah terletak di pertengahan. Kemudian ahli kartografi Barat menyalin peta tersebut
secara terbalik dengan bahagian utara mengarah ke atas manakala bahagian selatan
menghala ke bawah. Namun demikian, syukur ke hadrat Allah Kaabah masih lagi berada di
pusat peta dunia.

3. Tawaf mengelilingi Kaabah melambangkan keesaan Tuhan


Apabila umat Islam ke Masjidil Haram di Makkah, mereka melakukan tawaf atau
mengelilingi Kaabah. Tindakan ini melambangkan iman dan sembahan kepada Tuhan Yang
Maha Esa, kerana hanya Allah sahaja yang layak disembah sebagaimana setiap bulatan
yang mempunyai cuma satu pusat.

4. Hadis riwayat Umar Al-Khattab (r.a)


Berkenaan dengan batu hitam Hajar Al-Aswad, terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh
sahabat termahsyur Nabi Muhammad (s.a.w), yakni Umar Al-Khattab (r.a).

Menurut Sahih Bukhari, Jilid 2, kitab Haji, bab 56, Hadis No. 675, Umar (r.a) meriwayatkan:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat
Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar
Aswad).”
5. Orang berdiri di atas Kaabah dan melaungkan azan
Bahkan di zaman Rasulullah (saw), orang berdiri di atas Kaabah dan melaungkan azan
atau seruan menunaikan sembahyang. Seseorang boleh menanyakan kepada mereka
yang menuduh golongan Muslim menyembah Kaabah: penyembah berhala mana yang
berdiri di atas berhala yang disembahnya?

Diterjemah daripada sumber:


Answers to Non-Muslims’ Common Questions About Islam by Dr. Zakir Abdul Karim Naik
www.irf.net