Anda di halaman 1dari 4

Blog:Medan Pertempuran Psikologi Dan Politik Yang Baru

Malaysia kini dilaporkan mempunyai lebih kurang 500,000 laman blog. Ini
tidak menghairankan kerana mengikut laporan Technorati dalam datanya pada
tahun 2006, terdapat lebih daripada 27 juta laman blog dan jumlah ini berlipat
ganda setiap 5.5 bulan. Data ini jauh bezanya berbanding tiga tahun sebelum itu
di mana hanya kurang daripada setengah juta blog yang wujud
Tentunya terdapat banyak elemen yang istimewa mengenai laman blog yang
membuatkan ia begitu diminati dan mengalakkan pertumbuhan yang rancak.
Buku-buku berkaitan blog juga tumbuh bak cendawan. Steve Pavlina dalam
artikelnya bertajuk Blogging for Personal Growth mempamerkan kebaikan
berbentuk psikologikal yang diperolehi penulis dan pembaca blog.
Sebelum penulis menyenaraikan elemen kebaikan menulis dan membaca
blog, masalah yang sering timbul di negara ini apabila membicarakan mengenai
blog ialah banyak unsur fitnah memfitnah kini berlaku dalam blog. Ini sangat
merbahaya kerana perkara tidak benar dan sopan boleh dibaca serta ditonton
di seluruh dunia secara percuma.

Impak dan implikasi negatifnya akan dirasai terutama sekali oleh generasi
muda. Jelasnya, melalui kemudahan internet, wajah dan realiti fitnah dan
menghasut menjadi lebih pantas dan mampu menarik pengunjung maya
melayari laman web fitnah itu.

Seperti yang dikatakan, Steve Pavlina . dalam artikelmya bertajuk


Blogging for Personal Growth menjelaskan banyak kebaikan psikologikal yang
diperolehi dari menulis dalam blog. Mengikut Pavlina, blog menyediakan satu
sinergi iaitu hubungan simbiotik antara penulis dan pembaca laman blog.
Hubungan ini akan berkembang kerana blogging banyak melibatkan
perkembangan peribadi diri penulis dan pembaca blog.

Kesan psikologikal lain ialah, ia dapat membentuk keyakinan diri dari


pelbagai cara. Penulisan merupakan satu proses katarsis di mana peluahan
perasaan dilakukan tanpa sekatan. Peluahan dan penerokaan diri ini dapat
dikongsi dan dihubungkan antara penulis dengan pembaca laman blog.

Harapan dan motivasi juga dapat dilahirkan melalui penulisan dalam


laman blog. Contohnya, apabila individu lain mengetahui bahawa masalah yang
dihadapi bukanlah masalah dirinya keseorangan, harapan dapat dibina.
Penilaian diri juga berlaku dalam diri individu yang menulis dan membaca
blog. Respons yang diterima dalam blog boleh merupakan mekanisma penilaian
berterusan diri. Respons dan cara berdaya tindak ke atas respons yang diterima
atas sesuatu isu boleh membina konsep kendiri .

Seterusnya, menulis dalam blog mengikut Pavlina adalah juga satu


pengalaman sosial. Hubungan komunikasi yang lebih berbentuk peribadi dan
lebih mendalam dapat dibentuk. Ini dapat mengukuhkan hubungan yang sedia
ada.
Ia juga mengalakkan penerokaan diri yang lebih baik. Meneroka diri melalui
penulisan dapat menjelaskan lagi pemikiran dan mempercepatkan proses
perkembangan diri individu.
Memandangkan dunia blogging semakin menjadi kegilaan ramai, buku-
buku berkaitan dunia blog juga bercambah. Antaranya ialah “Blog” di mana
pengarangnya David Kline dan Dan Burstein melihat bagaimana blog
mendefinisikan semula dunia kewartawanan dan media. Walaupun blog tidak
memberi ancaman kepada media besar tetapi ia mempunyai impak dari pelbagai
aspek termasuk dalam kempen-kempen politik

Buku “Blogwars” karangan David D. Perlmutter seorang profesor dalam


bidang kewartwanan d University of Kansas menjelaskan bagaimana blog boleh
menjadi satu medan pertempuran politik yang baru. Buku beliau antara lainnya
meneliti tahap pengaruh blog ke atas politik Amerika. Blog mengikut Perlmutter
berjaya meningkatkan proses demokrasi dan memperkayakan budaya politik
atas dasarnya yang dapat menyebarkan berita dengan luas.

Mengikut beliau lagi, blog politik telah berkembang pantas dalam setengah
dekad terakhir ini. Dalam sebulan sahaja dalam tahun 2005, sebuah laman blog
yang terkenal iaitu Dailykos menerima lebih pelawat daripada jumlah penduduk
Iowa dan New Hamsphire.

Setakat manakah blog memberi kesan kepada politik? Pada mulanya Perlmutter
beranggapan bahawa blog tidak begitu berpengaruh dalam menarik minat
tingkah laku berpolitik. Hujah beliau ialah walaupun pengendali dan penulis blog
boleh menyediakan hujah-hujah yang meyakinkan tetapi mereka tidak
mempunyai sokongan kewangan,moral, sosial dan budaya yang kuat untuk
menarik minat pembaca ke arah minat berpolitik.

Bagaimanapun, akhirnya, Perlmutter terpaksa mengubah pemikiran dengan


menyatakan blog telah semakin menjadi sebahagian daripada alat berkempen
politik daripada calon presiden sehingga kepada konsultan pengiklanan. Blog
telah berjaya meningkatkan proses demokrasi dan memperkayakan budaya
politik atas dasarnya yang dapat disebarkan dengan cepat

Laman blog menyediakan lebih kepelbagaian dalam memberi pendapat dan


pandangan. Ia juga satu cara yang lebih mudah untuk mendebat pelbagai isu.
Individu dan kelompok yang berpandangan tidak selari dengan aliran semasa
atau ingin mengutarakan isu-isu yang bukan semasa boleh mengeluarkan
pandangan mereka tanpa batasan.

Walaupun laman blog semakin menjadi minat ramai dan berpengaruh dalam
kehidupan manusia termasuk mencorak aliran berpolitik, ia amat wajar
digunakan sebagai wahana menyebarkan ilmu dan maklumat yang berfaedah.

Blog perlu dijadikan sebagai medan berinteraksi secara intelek dan beretika.
Lantaran itu, semua pihak perlu bertanggungjawab dan cermat ke atas segala
maklumat yang ingin disebarkan agar ia tidak menjadi fitnah ataupun berunsur
fitnah yang boleh membawa padah kepada diri, orang lain, masyarakat, agama
dan bangsa.

Dr Sapora Sipon
Pensyarah Kanan
Program Kaunseling
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)