Anda di halaman 1dari 3

Mencari Had Keseronokan

Ada kata pepatah yang berbunyi, “laut mana yang tidak bergelora dan bumi yang mana
tidak ditimpa hujan”. Tekanan hidup umpama bayang-bayang yang sentiasa mengekori
kehidupan seseorang. Malah rentak kehidupan kini yang serba pantas menyebabkan
seseorang itu sentiasa diburu oleh pelbagai urusan kehidupan yang tidak pernah
berakhir.

Usaha ke arah memenuhi pelbagai tanggungjawab dan menangani cara kehidupan yang
bergerak begitu pantas, jika tidak diuruskan dengan betul dan bijaksana,
berkemungkinan bakal menyebabkan tekanan hidup. Lantas timbul pula pelbagai cara
untuk para individu yang berasa tertekan untuk cuba keluar daripada lingkaran
tekanan perasaan tersebut.

Ada yang cuba mengatasi tekanan hidup dengan cara yang tidak tepat, di antaranya
termasuklah bersikap anti-sosial, berpeleseran di tempat-tempat hiburan, berjudi,
penyalahgunaan dadah, pengambilan pil khayal, merokok, makan secara berlebihan
sehingga memudaratkan diri sendiri dan lain-lain.

Dalam perkembangan terbaru, masyarakat setempat nampaknya semakin gemar merisik


hiburan melalui program hiburan realiti menerusi siaran televisyen masing-masing.
Malah fenomena rancangan hiburan realiti hasil penerbitan dari dunia Barat dan
juga tempatan seolah-olah sudah begitu sebati dengan masyarakat setempat. “Demam”
program hiburan realiti turut mencengkam anggota masyarakat Melayu di Singapura.
Maka hasil daripada jerit-perih undian para peminat melalui Khidmat Pesanan
Ringkas (SMS), republik ini telah menyaksikan beberapa orang anak Melayu yang kini
menjadi ikon hiburan tempatan hasil daripada undian SMS tersebut.

Tidak dinafikan bahawa kelahiran golongan bakat baru hasil daripada rancangan
realiti tempatan telah memperkayakan dan menyerikan lagi arena seni tanahair.
Tetapi timbul pula persoalan pada masa yang sama, iaitu mengenai minda masyarakat
setempat, khususnya masyarakat Melayu sendiri, yang sanggup berhabis-habisan wang
untuk mengundi secara SMS semata-mata untuk melihat penyayi pujaan mereka
memenangi sesuatu pertandingan ataupun anugerah.

Malah di negara jiran baru-baru ini, beberapa orang mufti dari Malaysia telah
meminta supaya pengendali sistem televisyen tempatan di sana untuk menghentikan
program hiburan berbentuk realiti kerana mendakwa ia boleh melalaikan masyarakat
sehingga lupa tanggungjawab akibat terlalu leka dibuai keseronokan. Tambahan pula
pemilihan pemenang melalui sistem undian SMS hanya menggalakkan budaya pembaziran
di kalangan sesetengah pengundi yang bersifat fanatik.

Dengan bantuan media massa yang secara rata-ratanya turut mempromosikan program
hiburan yang berbentuk realiti, minat terhadap rancangan hiburan yang sedemikian
semakin menular di dalam budaya masyarakat kita. Tambahan pula baru-baru ini,
penyiar kabel televisyen tempatan, Star Hub, sedang berura-ura untuk mengadakan
sebuah rangkaian kabel yang secara eksklusif akan menyiarkan rancangan-rancangan
berbahasa Mnelayu sahaja demi untuk memikat lebih ramai pelanggan berbangsa Melayu
di sini. Maka sudah pastinya akan bertambahlah lagi siaran hiburan realiti yang
akan dihidangkan kepada para penonton Melayu tempatan.

Hakikatnya, kita sebenarnya tidak mampu untuk seratus-peratus membendung limpahan


siaran hiburan yang berkonsepkan realiti jika permintaan untuk rancangan yang
bercorak sedemikian tetap tinggi di kalangan penonton. Tetapi jika perkembangan
ini dibiarkan tanpa sebarang kawalan, ditakuti satu hari kelak, masyarakat massa
akan menjadi leka dengan dunia ciptaan yang penuh keseronokan, menumpang imaginasi
yang disediakan oleh rancangan-rancangan realiti dan kemilauan glamor para
pesertanya yang sebenarnya tidak tergapai dek tangan sebahagian besar daripada
para penonton di luar sana.

Perlu ditekankan di sini bahawa adalah tidak salah untuk berhibur. Tetapi
berhiburlah mengikut batasan yang sesuai dan secara berpada-pada. Jangan sampai
masyarakat kita hari ini gagal untuk meletakkan prioriti yang betul di dalam
kehidupan seharian kerana gagal bersikap selektif di dalam memilih bentuk hiburan
yang terbimbing.

Demi untuk menjana sebuah masyarakat yang cemerlang, orang Melayu di Singapuran
tidak sepatutnya terikut-ikut akan tempias “demam SMS” yang melanda dunia hiburan
realiti hari ini. Maka janganlah menyalahgunakan kecanggihan teknologi digital
hari ini semata-mata untuk berkhayal dan berhibur tanpa memikirkan akan kesannya
kelak.

Di tengah-tengah suasana “langit terbuka” yang berasaskan ledakan informasi dari


dunia maya (cyberspace) melalui ruang Internet, kemajuan teknologi sistem maklumat
(IT), di samping kegunaan pelbagai jenis peralatan yang berteknologi tinggi,
adalah sangat malang jika mana-mana anggota masyarakat yang tidak merebut peluang
tersebut untuk menajamkan akal mereka melalui penggunaan segala ciptaan canggih
yang telah tersedia.

Sebaliknya, apa yang lebih terserlah kini adalah ketaksuban kepada “Dunia 3K”,
iaitu penumpuan yang melampau terhadap aspek-aspek: kejelitaan, kemewahan dan
keseronokan hidup. Tambahan pula pada konteks hari ini, penekanan terhadap faktor
materialisme telah banyak mendorong kedua-dua golongan muda mahupun dewasa untuk
lebih menumpukan perhatian terhadap aspek kewangan berserta kebendaan dan bukan
aspek pembangunan insan yang secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, ramai di antara kita yang sanggup mengikat perut, malah
sebahagiannya sehingga bergadai-bergolok, semata-mata untuk memiliki peralatan
tercanggih dewasa ini seperti model telefon bimbit yang terbaru, alat perakam DVD
yang terkini, set televisyen yang jenis “flat screen” yang diiringi dengan sistem
audio “surround system” yang membuat suasana di rumah seperti di dalam pawagam
atau melanggani khidmat Internet dari jenis “broadband” dan “wireless” semata-mata
untuk ber”chatting”atau bermain “LAN games” dengan lebih selesa lagi.

Tetapi apalah guna segala kecanggihan yang dimiliki jika ia dibeli semata-mata
kerana bentuk peralatannya yang cantik, disalahgunakan untuk memenuhi nafsu riak
yang mengharapkan pujian orang ramai atau sekadar takut dilabel ketinggalan zaman
dan juga sebagai sumber obsesi untuk berhibur secara berlebihan? Nampaknya kita
masih berpuas hati menjadi golongan pengguna dan bukan generasi pencetus yang
mampu mengubah sesuatu keadaan.

Jangan pula nanti kita menjadi sebuah masyarakat yang digelar “Generasi XYZ”.
Jolokan nama “Generasi XYZ” mula-mula digunakan di Amerika Syarikat dan sering
dikaitkan dengan generasi pelapis di negara tersebut. Anggota yang tergolong di
dalam generasi ini dikatakan sebagai golongan yang terlalu sibuk dengan kenikmatan
dunia sehingga enggan terikat dengan dengan sistem masyarakat yang mementingkan
aspek politik, agama, ekonomi dan juga etika budaya yang membentuk sesebuah
bangsa. Sebaliknya, golongan ini sering dikaitkan dengan masalah penyalahgunaan
dadah, institusi kekeluargaan yang longgar dan mempunyai pengetahuan am yang amat
terbatas terhadap dunia luar sehingga menjadi intoleran dan selalu bersikap
prejudis terhadap orang luar.

Masyarakat Melayu Singapura mungkin masih belum sampai ke tahap “Generasi XYZ”
sepertimana yang terdapat di Barat. Tetapi sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan
bahawa jika keadaan sosial masyarakat kita tidak dibendung dengan bijaksana, tidak
mustahil pada suatu hari nanti, ada di kalangan masyarakat Melayu di sini yang
bakal menggelarkan diri mereka sebagai pewaris “Generasi XYZ”.

Sebagai bukti, tanya pada diri kita sendiri dan lihatlah akan kewujudan generasi
Melayu dewasa ini yang sudah tidak segan-silu lagi ke sana ke mari dengan pelbagai
corak tatu di badan, para wanitanya yang begitu selesa berpakaian menjolok mata,
kelahiran anak-anak yang di luar nikah, pembuangan janin-janin yang tidak berdosa
akibat perbuatan maksiat, kadar perceraian yang masih tinggi, penyalahgunaan pil
khayal dan Subutex dan lain-lain lagi. Kesemua ini merupakan “penyakit” masyarakat
yang masih menjadi duri dalam daging di kalangan masyarakat Melayu Singapura
khususnya.

Sesungguhnya hidup di dalam suasana kosmopolitan di Singapura ini memerlukan


anggota masyarakatnya bersifat tabah menghadapi angin perubahan yang sering
melanda. Ada waktu-waktunya, sebagai manusia biasa, warga kota juga memerlukan
masa untuk bersantai. Tetapi janganlah hiburan menjadi matlamat utama di dalam
kehidupan kita.

``````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````
``````````````````````````
Muhammad Nadim Adam
(Sedang menuntut untuk ijazah
Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Nasional Singapura/NUS)