Anda di halaman 1dari 3

TENTANG AMANAH

Amanah berkesan jadi mutu piawaian ummah

June 18th, 2007 · 1 Comment

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

AMANAH adalah antara sifat terpuji Islam anjurkan kepada setiap Muslim. Malah, ia
adalah penentu atau garisan pemisah kepada keimanan dan keagamaan individu. Ini
ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tiada iman bagi yang
tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang
janjinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Dailami)

Jelas diterangkan dalam hadis itu bahawa orang yang tidak menghiasi dirinya dengan
sifat amanah atau tidak dipercayai ramai dalam memegang sesuatu amanah serta
melakukan khianat kepada umat manusia bererti dia bukan orang yang benar-benar
beriman kepada Allah .

Dalam hal ini, Islam memerintahkan kepada setiap Muslim supaya sentiasa beramanah
dalam setiap masa dan tempat kerana itulah ciri keperibadian Islam yang sebenarnya.

Dalam al-Quran ada banyak ayat suci yang menuntut setiap Muslim bersifat amanah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya
menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan
apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha
Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa sifat amanah itu bertunjang di hati
sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan maka hatinya yang bertunjangkan
amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sifat amanah ini sebenarnya mengungkap pengertian sangat luas dan mendalam. Ia bukan
sekadar membawa erti bersikap jujur dan benar dalam urusan kehidupan, malah
merangkumi setiap tanggungjawab atau tugas yang perlu ditunai membabitkan segenap
lapisan manusia yang terdiri daripada pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu
Muslim itu sendiri.

Sehubungan itu, Islam daripada awal lagi menyerahkan amanah dan tanggungjawab
setiap individu terhadap Allah seperti dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang
bermaksud: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab
terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli
keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di
rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu
juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab
terhadap jagaan di bawahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bertolak daripada itu, dapatlah difahami sifat amanah dalam Islam mempunyai
pengertian luas dan berat. Ia adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoal oleh Allah
nanti sama ada kita betul-betul melaksanakannya ataupun sebaliknya.

Sebab itulah Islam meletakkan kriteria amanah sebagai prasyarat utama pemimpin
kepada umat manusia keseluruhannya. Sebagai contohnya, Rasulullah ketika remajanya
sebelum dibangkitkan menjadi pesuruh Allah adalah seorang pemuda yang beramanah
sehingga digelar ‘al-Amin’.

Begitu juga dapat disaksikan sifat amanah pada peribadi Nabi Musa ketika Baginda
membantu dua orang gadis memberi minum ternakan mereka. Pengajaran yang terselit
daripada kisah itu, utusan Allah dipilih kalangan semulia-mulia manusia daripada
peribadinya, keturunannya dan tabiatnya.

Inilah hakikat sifat amanah yang dianjurkan Islam kepada umatnya. Dalam hal ini,
pemimpin sewajarnya bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kerana ia termasuk sebahagian daripada
pengertian amanah dalam Islam.

Oleh itu, seseorang pemimpin dilarang sama sekali mengamalkan kronisme, nepotisme
dan juga rasuah serta mengeksploitasi jawatannya untuk kepentingan peribadinya dalam
urusan pentadbiran.

Bahkan, pemimpin dilarang mengamalkan perasaan pilih kasih atau hubungan kerabat
kerana ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.

Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada pemimpin seumpama itu dengan
sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa ada melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu
kumpulan sedangkan ada orang lain yang lebih layak daripadanya di sisi Allah ,
sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin
seluruhnya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Selanjutnya, seorang kontraktor, arkitek dan pihak terbabit sepatutnya bertanggungjawab


serta amanah dalam urusan kerja mereka terutama dalam aspek pembinaan rumah dan
bangunan yang menjadi keperluan penting dalam kehidupan manusia.

Justeru, proses pembinaan sewajarnya mengambil kira segala aspek keselamatan dan
piawaian yang ditetapkan supaya tidak menimbulkan masalah pada masa depan. Jika
tidak, berlakulah masalah kebocoran siling, atap, keretakan dinding dan pelbagai masalah
yang dilaporkan.
Timbul persoalan ke manakah hilangnya sifat amanah dan integriti yang seharusnya
menjadi perhiasan wajib bagi setiap umat manusia.

Pelbagai kurniaan dan nikmat Allah anugerah kepada kita juga termasuk dalam
pengertian amanah. Segala nikmat yang Allah berikan seperti harta benda, anak pinak,
pancaindera adalah amanah yang amat berharga dan sewajarnya digunakan sebaiknya
untuk meraih keredaan Ilahi.

Sebenarnya semua itu adalah milik Allah yang dipinjamkan dan


dipertanggungjawabkan sementara kepada kita untuk menguruskan sesuai kedudukan kita
sebagai khalifah Allah di bumi ini.

Allah berfirman yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jangan kamu
mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dengan menyalahgunakan segala amanah yang
diberikan Allah kepada kamu sedangkan kamu sedar dan mengetahui. Hendaklah
kamu ingat bahawa harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah dugaan dan ujian
semata-mata. Sesungguhnya di sisi Allah ganjaran pahala yang amat besar.” (Surah
al-Anfal, ayat 27-28)

Dalam konteks rumah tangga, suami isteri perlu memelihara rahsia rumah tangga dan
jangan sama sekali membiarkan atau mendedahkan kepada orang lain akan rahsia rumah
tangga. Perbuatan mendedahkan rahsia rumah tangga dilarang oleh Rasulullah kerana
rahsia rumah tangga termasuk antara pengertian amanah.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya antara sebesar-besar


amanah di sisi Allah pada hari kiamat nanti ialah seorang suami bermesra dengan
isterinya kemudian si suami menghebahkan rahsia isteri.” (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, Rasulullah SAW memberi peringatan keras kepada umat Islam mengenai
berlakunya kepupusan sifat amanah dalam masyarakat satu masa nanti. Malah, Baginda
mengingatkan yang demikian adalah tanda kecil Hari Kiamat yang berlaku pada akhir
zaman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bilakah akan berlaku kiamat? Jawab
Rasulullah: Apabila sifat amanah hilang maka tunggulah hari kiamat.” (Hadis riwayat
al-Bukhari)