Anda di halaman 1dari 15

1

KONSTRUKTIVISME : KONSEP DAN IMPLIKASINYA TERHADAP


PEMBELAJARAN SAINS
Oleh
Embong Bin Omar

1.0 Pengenalan

Amalan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah amat penting dalam


merealisasikan matlamat kurikulum. Kaedah–kaedah alternatif yang selari dan
bersesuaian dengan kehendak kurikulum perlu diketahui dan difahami oleh
pengamal- pengamal kurikulum. Pemilihan strategi pengajaran yang sesuai untuk
sesuatu pelajaran amat dipengaruhi oleh kepercayaannya yang benar tentang
sesuatu pelajaran itu. Dalam konteks guru sains, mereka juga mempunyai
pandangan mereka yang tersendiri mengenai mata pelajaran sains.

Ramai guru mempunyai kepercayaan dan berpandangan bahawa sains adalah ilmu
yang hanya boleh dipelajari didalam makmal dengan melakukan ujikaji untuk
membuktikan hipotesis, menghafal fakta dan teori semata-mata. Oleh itu dalam
menentukan strategi pengajaran pembelajaran, pada keseluruhannya guru-guru
sains masih mengamalkan pengajaran berpusatkan guru dengan penglibatan murid
yang sangat terbatas dan terhad. Aktiviti-aktiviti pengajaran yang menggalakkan
penglibatan murid-murid dalam pembelajaran amat kurang diguna dan diamalkan
oleh guru dalam sesi-sesi pengajaran mereka (Jemaah Nazir Sekolah, 1992; PPD
Kuala Terengganu, 1994) .

Guru-guru menganggap murid-murid yang datang ke situasi pembelajaran sebagai


bekas kosong yang perlu diisi penuh oleh guru dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Murid-murid dalam bilik darjah hanya menjadi pendengar yang pasif tanpa
melakukan apa-apa aktiviti pembelajaran. Mereka hanya bertanggungjawab
mengeluarkan semula pelbagai ilmu yang diajar semasa menjawab soalan-soalan
ujian atau peperiksaan.
2

Pandangan-pandangan yang tersebut di atas sudah dianggap sebagai sesuatu yang


sudah tidak sesuai lagi dalam amalan pembelajaran masa kini. Guru-guru perlu
menukarkan paradigma mereka kepada pengajaran berpusatkan murid dan
berpusatkan bahan. Murid-murid disediakan dengan aktivti-aktiviti pembelajaran
yang boleh memperkembangkan daya intelek mereka disamping menggalakkan
ber-fikir secara kritis dan kreatif. Guru-guru perlu menyediakan alat bantu
mengajar yang sesuai dengan pelajaran yang diajar supaya suasana pembelajaran
yang menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan.

Pembelajaran bermakna dan menarik dalam sains melibatkan pemahaman idea-


idea saintifik seperti menggambarkan, meramal dan menerangkan; digunakan
untuk menyampaikan hajat dan tujuan murid-murid dalam pembelajaran. Oleh itu,
guru-guru perlu menyediakan aktiviti-aktiviti bilik darjah yang dapat
menggalakkan murid-murid menggunakan skema konseptual saintifik tersebut
(Smith, Blakslee & Anderson, 1993).

Ahli pendidikan masa kini mempunyai keyakinan dan mempercayai bahawa


murid-murid yang datang ke suasana pembelajaran membawa bersama segala
pengalaman mereka terdahulu yang disusun ke dalam skemata atau teori-teori
kecil (Claxton, 1990). Pengalaman terdahulu ini dimiliki oleh murid-murid hasil
dari interaksi mereka dengan alam sekeliling. Pengalaman-pengalaman ini terdiri
daripada campuran pemikiran, perasaan dan kemahiran; selalunya mungkin
menjadi penghalang kepada pengalaman pembelajaran yang bakal mereka lalui.

Pengalaman pembelajaran bermula dengan pertembungan perkara baru di mana


murid-murid menterjemah dan memberi erti kepada apa yang telah wujud dalam
struktur kognitif mereka. Pengalaman pembelajaran mereka di bilik darjah akan
mempengaruhi skemata struktur kognitif pelajar yang digunakan untuk
menterjemahkan pengalaman bagi membina makna kepada pengalaman tersebut
(Osborne & Wittrock, 1983). Dalam lain perkataan, murid-murid perlu
menstruktur semula idea mereka supaya sesuai dan selari dengan fakta dan
dapatan sains yang sebenarnya .
3

Penstrukturan semula idea adalah satu peringkat yang mesti dilakukan oleh setiap
pelajar untuk mengasingkan atau mengukuhkan pengalaman lalu dengan
pengalaman sekarang. Pengalaman lalu yang berbeza dengan fakta dan teori
sebenar sains perlu ditinggalkan manakala pengalaman lalu yang betul seperti
fakta dan teori sebenar wajar dikukuhkan dengan pengalaman baru murid. Ini
kerana salah satu daripada matlamat utama pendidikan sains ialah untuk
membantu pelajar membina skemata baru yang bertenaga berhubung dengan dunia
nyata.

2.0 Amalan Pembelajaran Sains Masa Kini

Kepesatan perkembangan dunia teknologi bukan sahaja merubah budaya dan cara
penghidupan manusia malah ia juga turut memberi impak yang besar kepada dunia
pendidikan. Perkembangan dunia teknologi telah merubah sistem, kurikulum dan
juga cara gaya pengajaran guru dan pembelajaran murid. Di Malaysia tahun 80-an
merupakan dekad reformasi pendidikan yang menghasilkan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang
merupakan lanjutan kepada KBSR.

Hasrat yang hendak dicapai dalam KBSR dinyatakan secara jelas dalam Falsafah
Pendidikan Sekolah Rendah yang berbunyi :

“Murid-murid di peringkat sekolah rendah harus mendapat kemahiran


dan pengetahuan melalui pengalaman secara langsung. Pengalaman
ini adalah meliputi aspek intelek, rohani dan jasmani. Pengalaman
yang patut dilalui oleh murid hendaklah sesuai dan relevan dengan
matlamat dengan matlamat yang hendak dicapai melalui aktiviti-aktiviti
yang menarik. Perkara penting di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ialah penglibatan setiap murid yang aktif” (KPM, 1981).
4

Dari pernyataan di atas; pengajaran pembelajaran hendaklah berlaku melalui


penglibatan murid-murid secara aktif dengan melakukan aktiviti-aktiviti
pembelajaran yang menarik. Ini menunjukan bahawa proses pendidikan peringkat
rendah menekankan kepada membina kemahiran dan menggunakannya.

Untuk merealisasikan kenyataan di atas, peranan guru-guru dinyatakan dengan


jelas iaitu “pada keseluruhannya adalah tanggungjawab guru untuk memberi
berbagai pengalaman kepada murid di dalam satu suasana yang kaya dengan
beraneka jenis bahan-bahan pembelajaran. Pengalaman-pengalaman tersebut
diterima oleh murid melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan bagi membolehkan
mereka mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan nilai serta membentuk sikap
yang dikehendaki oleh kurikulum sekolah rendah” (KPM, 1982). Kenyataan ini
sesuai dengan definisi pembelajaran adalah suatu proses memperkembangkan
pengetahuan dan kemahiran dalam diri seseorang melalui tunjuk ajar
(instructional), kajian (study) dan pengalaman (Webster’s, Oxford’s & Chamber’s
Dictionary). Pembelajaran juga dapat dilihat sebagai satu proses untuk meletakan
idea dan pengalaman baru ke dalam kerangka konseptual. Dalam proses tersebut,
kerangka konseptual boleh diubah suai untuk menempatkan “input” atau “input”
tadi ditolak dan kerangka konseptual dibina untuk “input” tersebut. Dalam semua
hal, pelajar akan bertindak ke atas “input” melalui kerangka konseptual yang telah
wujud (Osborne & Freyberg, 1985).

Dalam Pendidikan Sains, murid-murid mesti menguasai dua kemahiran iaitu


kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif. Kemahiran-kemahiran ini akan
dapat dikuasai oleh murid-murid melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran secara
“hands-on” dan “minds-on”. Pengalaman sedia ada murid di gunakan untuk
murid-murid mempelajari dan memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru.
Murid-murid tidak lagi dianggap sebagai bekas kosong yang perlu diisi tetapi
adalah individu-individu yang mempunyai kefahaman dan konsepnya sendiri
mengenai alam dan fenomena-fenomenanya. Oleh itu, suasana pembelajaran bilik
darjah semestinya menyediakan ruang untuk murid-murid menguji, menganalisis,
menghipotesis dan menstruktur semula idea mereka dengan fakta sebenar.
5

Pembelajaran dalam sains dicapai melalui pengalaman praktikal dan mencari


penerangan mengenainya. Ia menggunakan pengetahuan saintifik dan idea untuk
menyelesaikan masalah atau menerangkan pemerhatian (Bell & Pearson, 1991).
Murid-murid belajar secara pembinaan sendiri ilmu pengetahuan melalui aktiviti-
aktiviti pembelajaran yang disediakan oleh guru mereka. Mereka akan
menggunakan pengalaman sedia ada mereka untuk membina pengalaman dan
pengetahuan baru. Pendekatan pembelajaran dimana murid-murid membina
pengetahuan dengan pengalaman mereka dipanggil konstruktivisme.

Pembelajaran secara konstruktivisme dalam sains mendapat perhatian ramai


pendidik sains untuk membuat penyelidikan mengenai keberkesanannya kepada
pembelajaran khususnya dalam sains. Pembelajaran konstruktivisme dapat
memenuhi kehendak dan hasrat Falsafah Pendidikan Sekolah Rendah serta juga
peranan yang harus dimainkan oleh seseorang guru sains.

Beberapa tahun terakhir ini, terdapat usaha yang dilakukan untuk menolong guru-
guru supaya menjadi biasa dengan idea konstruktivisme. Usaha-usaha dilakukan
untuk memahamkan guru-guru dengan idea tersebut dan menggunakannya dalam
pengajaran sains. Perspektif konstruktivisme menjadi suatu paradigma yang
dominan dalam bidang psikologi kognitif. Menurut Wittrock (1985), dalam dekad
ini terjadi anjakan kepada pengkaji pembelajaran manusia dari mengkaji aspek-
aspek luaran kepada aspek-aspek dalaman. Mereka lebih berminat untuk mengkaji
aspek-aspek dalaman diri murid-murid seperti pengetahuan sedia ada, muatan
ingatan, motivasi dan kognitif mereka.

Dapatan dari penyelidikan tersebut berguna untuk menimbulkan kefahaman


mengenai bagaimana murid-murid memperolehi makna dan memahami konsep
sains didalam dan diluar sekolah. Disamping itu, dapatan tersebut juga dapat
memberi maklumat bagaimana pengetahuan terdahulu mereka dapat menghalang
atau menambah kefahaman mereka.
6

3.0 Konsep Konstruktivisme

Konstruktivisme boleh diertikan sebagai kedudukan psikologi yang berpegang


kepada sebarang kebenaran yang kebanyakannya terjadi serta merta dan konkrit.
Ini bermakna bahawa ilmu pengetahuan dibina oleh individu-individu melalui
pengamatan kepada fenomena alam. Watzlawick (1984), mentakrifkan
kostruktivisme sebagai kedudukan psikologikal yang percaya apa saja kebenaran
adalah paling serta merta dan makna yang konkrit; pembinaan mental yang
percaya mereka sudah menemui dan menyiasat. Dengan lain perkataan, dapatan
adalah rekaan di mana pereka tidak sedar tentang rekaannya dan beranggapan
sesuatu wujud bersendirian daripadanya; rekaan itu kemudian menjadi asas
pandangan sejagat dan tindakan.

Konstrukitvisme memberi penekanan kepada proses murid-murid membina


pengetahuan melalui proses psikologi yang aktif. Ilmu pengetahuan dibina ke-
dalam struktur kognitif kanak-kanak tersebut hasil pengalaman mereka dengan
alam. Struktur pengetahuan ini kadang-kadang menjadi penghalang yang kuat
kepada pembelajaran dan perubahan konseptual murid-murid. Dari perspektif
konstruktivis , pembelajaran bermakna adalah dibina di dalam diri pelajar hasil
daripada pengalaman pancainderanya dengan alam. Murid-murid akan bertindak
kepada pengalaman-pengalaman pancaindera dengan cara membina di dalam
minda mereka skema atau struktur kognitif yang mana akan membentuk makna
dan kefahaman mereka. Individu-individu akan memberi makna kepada situasi
atau fenomena dan mengakibatkan pembentukan proses yang mengambil tempat
dalam mida individu tersebut.
7

Menurut Resnick (1983), makna adalah dibina oleh alat-alat kognitif pelajar. Oleh
itu, ianya bukan dihubungkan oleh guru kepada murid. Dengan kata lain, makna
adalah diwujudkan dalam minda pelajar sebagai hail ineteraksi pancaindera
mereka dengan dunianya. Sehubungan dengan itu, Tubin et.al (1990) telah
menggariskan beberapa implikasi kepada pengajaran berasaskan konstruktivisme.
Usaha untuk mengenalkan guru-guru dengan idea konstruktivisme memerlukan
guru-guru berubah bukan sahaja perubahan kepada pandangan mereka mengenai
pembelajaran malahan juga amalan-amalan mereka dalam bilik darjah.

Keberkesanan pembelajaran dalam bilik darjah banyak bergantung kepada amalan


pengajaran guru. Oleh itu, supaya pembelajaran berjaya dan mencapai objektifnya;
amalan pembelajaran guru-guru dalam bilik perlu berorientasikan kepada
pembelajaran melalui pengalaman sedia ada murid berasaskan kepada aktiviti
yang menyeronokan. Guru-guru yang mengamalkan pembelajaran
konstruktivisme dalam pengajaran mereka mepunyai ciri-ciri tertentu.

Menurut Ken Appleton dan Hilary Asoko (1996), guru-guru yang mengamalkan
pembelajaran secara konstruktivisme mempunyai bilik darjah yang mempunyai
kriteria-kriteria seperti berikut :

1. Guru tersebut mempunyai kesedaran bahawa murid-murid yang datang ke


situasi pembelajaran membawa bersama idea terdahulu yang mereka miliki dan
mereka mencuba untuk mengeluarkan idea tersebut.

2. Semasa mengajar guru-guru mempunyai matlamat konseptual yang jelas untuk


pelajar-pelajar dan mempunyai kefahaman bagaimana pelajar-pelajar mesti
bergerak ke arah mencapainya.
8

3. Guru-guru juga menggunakan strategi-strategi pengajaran yang mencabar


pengetahuan sedia ada murid-murid atau memperkembangkan idea awal mereka
dan menyediakan cara supaya idea baru senang diterima oleh mereka.

4. Menyediakan peluang kepada murid-murid untuk menggunakan dengan sebaik-


baiknya idea baru yang mereka perolehi.

5. Guru-guru juga menyediakan suasana bilik darjah yang menggalakkan murid-


murid mengeluarkan pendapat dan membincangkan idea mereka.

Kesimpulannya, konstruktivisme adalah satu teori mengenai pengetahuan yang


sangat berhubungkait dengan cara seseorang individu membina pengetahuan.
Ahli-ahli konstruktivisme menyatakan bahawa manusia membina sendiri
pengetahuannya didalam skemata kognitif masing-masing. Dalam konteks
pembelajaran, konstruktivisme mengkaji bagaimana cara dan gaya murid-murid
memperolehi ilmu pengetahuan. Hari ini konstruktivisme adalah idea yang sangat
bertenaga mengenai bagaimana murid-murid belajar dan ianya mempunyai impak
yang kuat ke atas pendidikan sains. Konstruktivisme bukan sahaja mengkaji
bagaimana murid membina ilmu pengetahuan tetapi juga melibatkan cara
perubahan konseptual berlaku dan dapat dilakukan dalam pembelajaran.

Konstruktivisme juga adalah satu model pembelajaran yang berasaskan kepada


kepercayaan bahawa pemahaman pengetahuan tidak diperolehi secara siap-sedia
(ready-mate) tetapi ianya adalah hasil interaksi murid-murid dengan alam keliling.
Tegasnya, pengetahuan diperolehi dengan cara dibina oleh kombinasi yang
dihasilkan oleh persekitaran dan pelajar sendiri. Murid-murid membina
pengetahuan mereka sendiri dengan menyepadukan maklumat dan idea baru ke-
dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Apabila berlaku pertentangan
diantara idea lama dengan idea baru, pelajar-pelajar akan membuat analisis
mengenai idea baru mereka.
9

Dalam proses ini, kebanyakan idea lama mereka perlu ditukar atau distruktur
semula dengan idea baru. Jadi mengikut fahaman konstruktivisme, pembelajaran
berlaku apabila murid-murid membina kefahamannya sendiri dengan membuat
perkaitan antara idea baru dengan pengetahuan sedia ada. Oleh itu, pembelajaran
konstruktivisme memberi penekanan kepada pembelajaran yang bermakna,
penyusunan kurikulum, konsep asas, menggalakkan murid-murid membuat
penyiasatan dan menilai unutk memandu pembelajaran mereka.

4.0 Konstruktivisme dan Mazhabnya

Fahaman konstruktivisme mempunyai beberapa mazhab, antaranya yang utama


ialah :

4.1 Pendekatan Piaget

Konstruktivis yang berada dalam mazhab ini menjadikan pandangan Piaget


mengenai perkembangan mental sebagai asas pegangan dan rujukan perbincangan
mereka. Menurut Piaget, gambaran mental seseorang dihasilkan semasa interaksi
individu dengan objek alam fizikal.

Piaget juga berpendapat bahawa sesuatu maklumat yang diterima oleh seseorang
sama ada diassimilasi atau diakomodasi, dan saling tindakan antara keduanya
dinamakan ekuilibrasi. Kamii dan de Vries (1978) menyatakan dua sebab mengapa
Jean Piaget sebagai seorang konstruktivis iaitu :
a) semua pengetahuan dibina dari tindakbalas individu dengan persekitaran
dan mereka cuba memberi makna mengenainya.
b) semua pengetahuan adalah diperolehi secara pembinaan didalam oleh
perwakilan dan penterjamahan bukan secara internalisasi makna dari luar.
10

4.2 Pembinaan Psikologi Personel Kelly

Kelly mencadangkan iaitu setiap orang membina satu gambaran mengenai dunia
dan menjadikan satu siri antara pembina personel atau hipotesis tentatif mengenai
dunia. Dalam pembinaan ini, pengalaman lalu dihurai dan diterangkan untuk
meramalkan kejadian-kejadian masa hadapan. Kemahiran berkomunikasi adalah
mustahak untuk meluaskan kebolehan seseorang menterjemah, menganalisis dan
memahami sistem binaan orang lain.

Sumbangan terbesar Kelly kepada konsep konstruktivisme ialah beliau


menyatakan tiada had yang ditentukan terlebih dahulu ke atas binaan dan julat
aplikasi individu secara semula jadi. Had ciptaan mereka hanya satu set imaginasi
individu dan pembinaan secara berterusan yang diuji untuk meramal dan
menerangkan kecukupan dalam konteks fizikal dan sosial. Mana-mana yang teruji
kebaikan digunakan berkali-kali dan terus menerus.

4.3 Konstruktivisme Personel

Konstruktivisme personel mengenai pembelajaran muncul daripada psikologi


kognitif yang telah diperkatakan secara jelas oleh Osborne dan Wittrock (1985),
Osborne dan Freyberg (1985). Konstruktivis telah menggunakan beberapa postulat
mengenai pembelajaran iaitu :
a) Idea pelajar yang wujud mempengaruhi apa yag digunakan untuk membuat
pendapat dan dalam cara ini otak secara aktif memilih maklumat.
b) Idea yang sedia wujud akan mempengaruhi pancaindera yang menerima
maklumat sama ada untuk memberi perhatian atau mengabaikan maklumat
yang diterima.
11

c) “Input” yang terpilih atau diberi perhatian oleh pelajar tidak mempunyai
makna yang tetap dan semula jadi.
d) Pelajar menjana perhubungan antara “input” yang dipilih dan diberi perhatian
ke dalam memori.
e) Pelajar menggunakan perhubungan yang dijana dan “input” pancaindera untuk
mengaktifkan pembinaan makna.
f) Pelajar boleh menguji makna yang telah dibina melawan aspek-aspek dan
makna-makna yang dibina dalam storan memori sebagai keputusan sensori
“input” yang lain.
g) Pelajar boleh mengumpul pembinaan-pembinaan ke dalam storan memori.
h) Keperluan untuk menjana hubungan dan mengaktifkan pembinaan, menguji
dan mengumpul makna-makna memerlukan individu-individu menerima
tanggung-jawab utama untuk pembelajaran mereka sendiri.

4.4 Konstruktivisme Radikal

Konstruktivisme Radikal yang diperkenalkan oleh von Glaserfeld (1984) yang


mempunyai kepercayaan kepada “realisme metafizikal” diasaskan kepada empat
petua (von Glaserfeld, 1991) iaitu :
a) Penolakan kepada pendapat bahawa kebenaran diketahui secara mutlak.
b) Pengetahuan saintifik hanya dapat dipertimbangkan oleh nilai-nilai
instrumental.
c) Konsep adalah kesudahan individu percubaaan individu untuk
menggambarkan pengalaman yang subjektif,
d) Konsep berkembang sehingga mereka menghasilkan satu gambaran fungsi
yang efektif mengenai pengalaman yang subjektif.
12

4.5 Konstruktivisme Sosial

Konstruktivisme sosial melihat pembelajaran sebagai satu proses penglibatan


individu dalam amalan sosial, melalui mana pengetahuan khusus mengenai
tempatan, keagamaan, amalan, dan perbendaharaan kata diperkembangkan. Asas
daripada tindakan dalam interaksi tempatan dengan persekitaran adalah masalah
luaran yang tidak lama tetapi resos utama yang menjadikan pengetahuan dan
tindakan bermakna (Hennessy, 1993).

Pandangan konstruktivis sosial dapat dilihat dari komponen berikut :


a) Pengetahuan dibina oleh manusia.
b) Pembinaan dan pembinaan semula pengetahuan kedua-duanya bersifat sosial
dan personal.
c) Pembinaan pengetahuan personal adalah perantara sosial; pembinaan
pengetahuan sosial adalah perantara personal.
d) Pembinaan pengetahuan sosial adalah kesudahan daripada interaksi sosial.
e) Interaksi sosial dengan yang lain adalah sebahagian daripada personal,
pembinaan sosial dan pembinaan semula pengetahuan.

5.0 Implikasi Fahaman Konstrukvisme Kepada Pembelajaran Sains

Fahaman konstruktivisme mempunyai beberapa implikasi kepada pembelajaran


khususnya pembelajaran sains. Di antara implikasi-implikasinya ialah :
a) Pembelajaran tidak akan berlaku kecuali murid-murid diberi peluang untuk
menyelidik sesuatu tugas yang mencabar atau sesuatu yang pelik dengan
pengetahuan lama mereka.
b) Pendapat yang menyatakan semua murid meninggalkan bilik darjah dengan
maklumat yang sama adalah tidak sah dan tiada isi yang terperinci mengenai
idea baru yang dapat dimasukkan kedalam pengetahuan sedia ada murid.
13

c) Murid-murid perlu berkongsi idea untuk mengesahkan atau menyalahkan


kefahaman atau kepercayaan mereka. Mereka perlu diberi peluanguntuk
membincangkan ideanya dan idea kawan-kawannya. Ini bererti pendekatan
pengajaran guru perlu bertukar dari seorang guru yang berautoriti kepada guru
sebagai fasilitator.
d) Guru perlu menyedari dan mesti mengakui bahawa murid-murid menstruktur
dan melengkapkan pengetahuan mereka melalui pelbagai modaliti atau cara
seperti melalui bahasa, melalui ruang angkasa, matematik, dan musik. Oleh itu,
murid-murid mempunyai kekuatan dan keperluan yang berbeza untuk
memperolehi pengetahuan.

6.0 Kesimpulan

Fahaman konsruktivisme melihat cara bagaimana seseorang individu belajar dan


membina pengetahuan ke dalam kerangka mindanya dengan menggunakan
pengalaman dan pengetahuan terdahulu mereka. Kata-kata “kanak-kanak
dilahirkan sebagai saintis”, memberi peringatan kepada guru-guru khususnya
guru-guru sains dalam menentukan strategi pengajaran mereka. Amalan
pengajaran konvensional dan tradisional perlu bertukar kepada pengajaran yang
melibatkan aktiviti-aktiviti “hands-on” dan “minds-on” bagi mengujudkan
pembelajaran yang seronok dan bermakna. Guru-guru harus berupaya utuk
mengubah kerangka konseptul murid-murid supaya berfikir selari dengan fakta
saintifik, dan disamping itu guru-guru juga perlu berubah paradigma dan
konseptual dalam menentukan strategi pembelajaran mereka.
14

RUJUKAN

1. Appleton, K & Asoko, H. (1996), A Case Study of a Teacher’s Progress


toward Using a Constructivist View of Learning in Elementary Science,
Science Teacher Education.
2. Bell, B.F & Pearson, J. (1991), Learning in Science Project (Teacher
Development), Centre for Science and Mathematics Education Research,
University of Waikato, Hamilton, NZ.
3. Bell, B.F & Pearson, J. (1992), Better Learning. International Journal of
Science Education, Vol. 14, no. 3, ms 349 – 361
4. Claxton, G (1990), Teaching to Learn : A direction for education. London,
Cassell.
5. Claxton, G (1991), The Educating the Inquiring Mind : Challenge for
School Science. Harvester Wheatsheaf, New York.
6. Glasserfeld, E. von (1989), Cognition, Construction of Knowledge and
Teaching Syntheses.
7. Kelly, G.A (1955). The Psychology Personel of Constructs. New York.
Norton.
8. Kamii, C & de Vries, R (1978), Physical Knowledge in Pre-school
Education. Englewood Cliffs, N.J., Prentice Hall
9. Osborne, R.J & Wittrock, M (1983), Learning Science : A generative
process. Science Education, Vol. 67, no. 4, ms 489 – 508.
10. Osborne, R.J & Freyberg, R (1985), Learning in Science : The implication
of Children’s Science. Heinemann, Aucland, NZ.
11. Osborne, R.J & Wittrock, M.C (1985), The generative learning model and
its implication for science education. Studies in Science Education, Vol. 12,
ms 59 - 87.
12. Resnick, L.B (1983), Mathematics and science learning : A new
conception. Science Education, Vol. 29 ms 447.
15

13. Tobin et.al (1990), Overcoming constraints to effective elementary science


teaching. Science Education, Vol. 74, ms 409 – 420.
14. Vygotsky, L.S (1978), Mind in Society. Harvard University Press, Cambridge.
15. Watzlawick, P (1984), The inverted reality. New York, Norton.