Anda di halaman 1dari 21

1.

0 Pendahuluan

Hakikat bahasa sebagai lambang yang berfungsi sebagai medium komunikatif dapat

mentranformasikan pelbagai maklumat. Bahasa juga berperanan sebagai medium untuk

menyampaikan pemikiran sama ada secara tersirat mahupun tersurat .Dalam hal ini, bahasa

dapat menterjemah segala bentuk hasrat dan keinginan manusia. Melalui bahasa, pengarang

dapat berinteraksi dengan pembaca. Hubungan ini bergantung pula dengan keupayaan

pembaca mentafsir makna yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam karyanya.

Pembaca semahunya akan berusaha memahami setiap makna atau simbol yang digunakan

oleh penulis.

Penggunaan unsur bahasa perlambangan dapat meningkatkan kesan dan jalan cerita

pada sesebuah hasil karya. Justeru itu,penggunaan simbol atau lambang bahasa seharusnya

ditafsir secara langsung agar kefahaman makna dapt diperoleh secara menyeluruh. Lambang

merupakan sejenis tanda yang mempunyai hubungan bersifat arbitrari atau sewenang-

wenangnya kaitannya antara tanda itu dengan maknanya. Perlambangan dibuat antara

sesuatu benda atau hal tertentu dengan benda atau hal yang umum.Terdapat lambang

bahasa yang digunakan oleh pengarang mudah di tafsir dan sebahagiannya pula sukar untuk

difahami atau bersifat abstrak.

Berhubung dengan hal ini, Hashim Awang menjelaskan perlambangan ialah

penggunaan sesuatu benda atau hal untuk menunjukkan atau menyarankan benda atau hal

yang lain.

1
Rahman Shaari pula menyatakan ,

Kebiasaan perlambangan ini digunakan pada perkataan,frasa atau bentuk-


bentuk lain yang mempunyai perkaitan makna yang kompleks dan sesuatu
yang mempunyai nilai-nilai yang berlainan daripada apa yang disimbolkan

( Rahman Shaari,1987:79)

Pendapat Rahman Saari ini boleh diperluaskan lagi dengan mengambil kira pendapat

oleh Umar Junus (1990) yang menyatakan tanda yang terdapat dalam sesebuah karya itu

mempunyai makna atau melambangkan sesuatu maksud yang sesuai dengan konteksnya.

Oleh yang demikian,pembaca bukan sahaja melihat hubungan tanda dengan makna sebagai

hubungan yang konkrit malah hubungan yang arbitrari juga.

Perkataan melambangkan benda atau perkara,dan semua perkataaan kecuali kata

nama khas yang melambangkan satu benda atau perkara yang khas sahaja. Semua perkataan

mengandungi dua tugas perlambangan iaitu dinotasi dan designasi untuk menuju ke arah

pentakrifan terhadap sesuatu perkataan. Perlambangan atau simbolisme sering terdapat

dalam karya sastera yang berbentuk prosa dan puisi. Unsur perlambangan ini penting dalam

penulisan kerana pemilihan dan penggunaan beberapa perlambangan memberi makna yang

berkesan mengikut situasi tertentu dalam menghasilkan sesebuah karya yang unggul dan

berkualiti, di samping menarik minat pembaca terhadap karya-karya kesusasteraan.

Karya kreatif adalah ekspresi pengarang yang tanggapannya memerlukan

pemahaman terhadap lambang-lambang yang digunakan supaya makna yang diungkapkan

itu tidak bersifat pemukaan semata-mata tetapi mencakupi makna yang lebih khusus sifatnya

2
misalnya yang berkaitan kerohanian. Mohd Salleh Yaapar (2002:72) menegaskan bahawa

kehadiran makna dalam komunikasi manusia terdiri dripada dua jenis tafsiran yang saling

melengkapi.Pertama iaitu tafsir yang dilakukan oleh penafsir luaran ( exoteric exegete) dan

beroperasi pada permukaan atu leteral teks. Kedua ialah ta’wil iaitu tafsiran simbolik yang

dilaksanakan oleh pentafsir dalaman ( esoteric exegete ) yang bersifat kerohanian.

Melaui kertas kerja ini,pengkaji akan mengupas lebih mendalam dan meluas lagi

untuk memerhati gaya tersendiri tokoh Sasterawan Negara A.Samad Said dalam

menggunakan unsur bahasa perlambangan berdasarkan karya-karya yang dihasilkannya.

Pengkaji turut melihat dan menilai beberapa perkembangan menarik yang menonjolkan

keistimewaan dan kelainan karya –karya Sasterawan Negara A. Samad Said. Kajian ini

berdasarkan bidang-bidang kajian ilmu linguistik seperti yang disarankan oleh J.M Murray

yang berkaitan dengan morfologi, sintaksis dan semantik . Keistimewaan dan bakat kreatif

yang dimilikinya adalah sesuatu yang unik dan tersendiri. Beliau bijak menyusun kata-kata

hingga menjadi begitu puitis dan berkesan tanpa menjejaskan makna yang hendak

disampaikan.

Pengkaji akan merujuk kepada hasil karya A.Samad Said yang terdiri daripada

beberapa buah puisi dan cerpen yang diselitkan penggunaan lambang agar dapat memberi

kesan dan dapat ditafsir oleh khalayak.

2.0 Eksperesi lambang bahasa SN A.Samad Said

3
Aristotle mengatakan bahasa mempunyai kuasa kata dan kuasa kata ini berupaya

menyelongkar khazanah pemikiran yang terdapat dalam diri penulis. Pemilihan kata dan

lambang bahasa secara berhati-hati dan tertib menjadikan seseorang penulis itu mempunyai

daya sensitiviti yang tinggi dan mampu menggunakan bahasa sepadat dan setepat mngkin

unatuk menggambarkan pemikiran dalam pelbagai karya sastera yang menyentuh pelbagai

fenomena kehidupan. Hakikat inilah yang ditemukan dalam karya-karya SN A.Samad Said

sama ada dalam puisi mahupun prosa.

Sajak seperti mana karya kreatif yang lain adalah eksperesi pengarang yang di

dalamnya mengandungi pelbagai unsur yang dapat ditanggapi secara luaran dan dalaman.

Ini sesuai dengan pengertian puisi oleh Croce,B (1972) sebagai satu kata dapat

menggambarkan satu makna dan oleh Santayana(1955:33) sebagai kata-kata terbaik dalam

susunan yang terbaik.Tanggapan ini memerlukan pemahaman dan penafsiran terhadap

lambang-lambang yang digunakan supaya makna yang diungkapkan itu tidak bersifat

pemukaan semata-mata tetapi mencakupi makna yang lebih khusus dan mendalam sifatnya

misalnya berkaitan perjuangan dan semangat kental di dalam diri. Kesegaran pengucapan

dengan simbol-simbol tertentu dapat dilihat dalam sajak “ Gegar” di bawah;

Subuh ini sama-sama kita nanti


Atau engkau atau aku akan mati
Sebelum itu dihatimu kupancakkan bendera
Selepas itu kita berjuang sampai ke neraka

Dalam sajak tersebut,diungkapkan tentang perjuangan yang perlu ada dalam diri

bagi memperoleh sesuatu kejayaan. Beliau menggunakan simbol “subuh” untuk

menyatakan sesuatu harapan yang indah dan suci; “bendera” tanda kemenangan dan

4
“neraka” pula memperlihatkan keadaan yang dahsyat pancarobanya. Dugaan dan ujian yang

mampu ditempuhi oleh manusia dengan tabah akan menyemai semangat kental agar

perjuangan tetap diteruskan hingga ke nokhtah kejayaan.

Sebuah sajak A.Samad Said kaya dengan citra penyair terhadap kebesaran Tuhannya

berjudul “Menambat Rakit”. Ungkapannya memperlihatkan suka duka manusia dalam

menempuhi kehidupan selain berserah kepada takdir Tuhan. Hakikat ini dapat dilihat dalam

sajak di bawah ini;

Memang begitu banyak


diperlukan kekuatan.
Ke pangkalan
batin rakit ditambatkan
bara kenangan dikuakkan

Akhirnya tak terduga,kekuatan membuak sendiri.


Dan disedari semua takkan sampai ke dasar inti

Maksud frasa “ pengkalan batin”,”bara kenangan” dan “ke dasar inti” menggambarkan dua

insan yang bercinta namun terpaksa berdepan dengan takdir yang menentukan kasih

mereka tidak kekal selama-lamanya.Justeru manusia akan menerima hakikat takdir dengan

berserah kepada kekuasaan Tuhan.

Di samping itu, kebersihan dan kemurnian jiwa untuk melihat filsafat sebuah

kebenaran dalam mengharungi kehidupan di dunia turut dikemukakan oleh A.Samad Said.

Kebenaran akan tetap diakui dan diterima meskipun dilalui dengan penuh rintangan.Segala

kepalsuan tidak akan dapat menutupi kebenaran. Puisi ini dapat menyalurkan moral yang

5
terpuji agar dapat memberikan wawasan dan panduan kepada pembacanya. Bagi

menggambarkan hal sedemikian ,dapat dilihat dalam sajak “Kebenaran “ di bawah ini;

Setiap yang benar


Betapa ditekan
Tetap menjalar
Tanpa dibaja
Kan tetap mekar
Tanpa udara pun
Kan tetap segar

Pemilihan ungkapan “menjalar”, “mekar” dan “segar” menggambarkan kebenaran yang

sentiasa ada meskipun terpaksa menenpuhi segala rintangan seperti yang diungkapan

melalui kata-kata seperti “ditekan” , “tanpa dibaja” dan “tanpa udara”.

Dalam sajak “Anak-anak Palestina“ A.Samad Said memperjuangkan hak

kemanusiaan universal dan turut menyuarakan rasa wiranya bagi mempertahankan bumi

Palestin. Beliau turut mengungkapkan ketidakpuasan hatinya dengan menyelar kuasa besar

dunia yang sewenang-wenangnya menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka untuk

menindas manusia daripada menikmati kedamaian dan keharmonian hidup. Hal demikian

digambarkan pada r:1, b:1-5 dalam sajak di bawah;

Anak-anak di Palestina
buminya rekah dan resah
dicekau senjata dan dengki:
batinya terasak rosak
dicakar dendam dan ngeri.

Sajak A.Samad Said yang sering disebut mempunyai kaitan dengan cintakan tanah

air dan kaya dengan unsur nasionalisme dan patriotisme ialah “Pada Tanah yang Indah” .

6
Seluruh warga yang cintakan Negara harus mempunyai kesediaan berjuang dan

mempertahankan tanah airnya tanpa ragu dan gentar menghadapi sebarang cabaran dan

rintangan. Hakikat inilah yang disuarakan penuh yakin oleh A.Samad Said melalui

ungkapan pada r:2; b:1-4 seperti di bawah;

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah


Setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,
Biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya
Untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela

Justeru ungkapan “ setapak tiada kurela “ dan “kekasih pusaka’ “ merupakan

lambang atau tanda-tanda yang menggambarkan semangat patriotisme yang kental terhadap

negara tercinta.. Kesan penelitian terhadap karya A.Samad Said ,ternyata bahawa beliau

berhasil mengekploitasi bahasa untuk mengungkapkan pemikiran dan nurani rasa dirinya

melalui olahan bahasa yang setepat mungkin untuk menghuraikan maksud yang tersurat

mahupun tersirat. Berhubung dengan perkataan yang padat dan berkesan seperti yang

diterapkan oleh A.Samad Said,Rachmat Djoko Pradopo (1987) berpendapat bahawa darjat

sajak terletak pada kepadatan atau konsentrasinya. Perkara ini dilakukan hasil daripada

ekspresi kreatif penyair memadatkan pemikiran melaui pemilihan kata yang bermakna.

3.0 Perlambangan dalam Bahasa Puisi A.Samad Said

7
Hakikat bahasa sebagai sistem lambang yang beperanan sebagai medium

komunikatif telah digagaskan oleh beberapa ilmuan linguistik baik dari luar mahupun

tempatan. Penggunaan simbol atau lambang bahasa seharusnya ditafsirkan secara langsung

agar kefahaman makna dapat diperoleh secara maksimum. Bagi teks sastera seperti sajak

yang memiliki kepelbagaian makna memerlukan pengamatan khususa khalayak untuk

mendapatkan makna. Herman.J Waluyo (1987) berpendapat bahawa sajak adalah satu

kesatuan wacana yang kaya dengan makna. Di dalam sajak akan terungkap pemikiran dan

perasaan penyair yang disampaikan melaluipenggunaan lambang-lambang bahasa yang

diterapkan dalam kata-kata,fara ataupun kalimat .

Berdasarkan penelitian terhadap sajak A.Samad Said, penerapan tanda iaitu

simbol,indeks dan ikon menghasilkan tafsiran yang pelbagai berdasarkan kepada penanda

dan petanda yang dapat dilihat melalui kata dan diksi,kata atau frasa dalam baris dan

rangkap yang digunakan. Namun begitu,dalam melakukan penafsiran terhadap lambang-

lambang yang digunakan,makna yang diungkapkan tidaklah besifat rigid kerana simbol

yang digunakan itu bersifat abritrari atau sewenang-wenang. Bagi pembaca yang benar-

benar menghayati sesebuah sajak,mereka berhadapan dengan pelbagai kemungkinan dalam

melakukan penafsiran atau mencari makna sebenar penyairnya. Ketidakselarian antara

pembaca dan penyair dalam mentafsir bahasa yang digunakan akan mewujudkan kontradisi.

Jelasnya makna dalam sajak bersifat polisemi dan ambiguiti bukannya monosemi. Hal

sebegini disebaban penerapan bahasa figuratif yang digunakan oleh penyair sama ada dalam

baris atau rangkap telah menimbulkan kepelbagaian tafsiran oleh pembaca. Namun,

pembaca yang prihatin dan bersungguh-sungguh akan berusaha untuk mentafsir makna
8
melalui penanda dan petanda yang terdapat dalam sesebuah sajak demi mencapai

kepuasan dan kesan daripada pembacaan yang dilakukan.

Dalam konteks ini A.Samad Said tidak terkecuali untuk menerapkan penggunaan

simbol atau lambang-lambang dalam sajaknya. Tambahan pula sajak-sajak beliau yang

mencakup pelbagai isu dan persoalan,memerlukan beliau menerapkan sambol-simbol

tertentu yang diungkapkan melalui kata-kata bagi mengungkapkan pemikirannya. Dalam

keadaan tertentu,ada perkara yang disembunyikan oleh penyair di sebalik kata-kata,frasa

dan kalimat yang digunakan bagi mengelak daripada menyampaikan secara berterus-terang.

Dalam hal ini, penelitian terhadap unsur perlambangan sajak-sajak A.Samad Said merujuk

kepada penerapan simbol,indeks dan ikon yang digunakan.

Simbol ialah suatu tanda yang mempunyai hubungan yang bersifat arbitrari atau

sewenang-wenang. Simbol tidak mempunyai kaitan dengan peristiwa sebenarnya. Sesuatu

simbol hanyalah lambang semiotik yang merujuk kepada objek. Melihat simbol itu sahaja,

manusia akan memahami bahawa simbol itu mewakili sesuatu denotatum. Misalnya, “

rumah “ tidak mempunyai hubungan dengan tempat kediaman manusia.Akan tatapi, kata itu

berdasarkan keseakatan masyarakat pengguna bahasa itu dapat memahaminya sebagai

simbol tempat kediaman manusia.

Dalam sajak A.Samad Said banyak digunakan penggunaan tanda-tanda flora dan

fauna. Penggunaan simbol tersebut diketengahkan oleh A.Samad Said dalam puisinya

9
bertajuk “Daun Semalu Pucuk Paku” (hlm.34), “Belaga dan Lintah” (hlm.40), dan “Burung”

(hlm.21)

Petikan daripada puisi “Belaga dan Lintah” dapat dilihat penggunaan simbol flora

dan fauna itu.

Kini di sebalik rimbun buluh


Sebelah belukar senduduk
Tak tertahan hatinya menyedari
Munah di pelamin merah
Dijeling kenyit peniaga kota.
Dan makin lama dia hanya terkenang
ikan belaga dan tiga lintah

Diteliti penggunaan simbol dalam sajak itu tidaklah berlaku pada keseluruhan baris

atau rangkap tetapi sebaliknya penggunaannya pada baris-baris tertentu sahaja. Ini

memperlihatkan bahawa penyairnya sentiasa berhati-hati dalam melakukan pemilihan kata

atau diksi yang digunakan bagi menggambarkan makna dan pemikiran yang disampaikan.

Hasil penelitian, pengkaji juga mendapati bahawa simbol yang dipilih banyak ditemui di

persekitaran desa atau luar bandar antaranya pohon ciku, serindit, sungai dan sawah seperti

yang terdapat dalam sajak “Tersangkut” (hlm.54),”Surau Tua”(hlm.55) dan “Permatang”

(hlm.57).

Simbol flora atau fauna yang bersifat setempat ini adalah gambaran nostalgia dan

pengalaman masa lalu A.Samad Said tentang diri dan kampung halamannya. Pengalaman

ini biasa tetapi penggunaan simbol yang berkesan menjadikannya menarik apabila

diungkapkan. Masyarakat mempelajari dan mengenal diri secara simbolik bersama-sama

10
alam. Hal ini bertepatan dengan pendapat yang dikemukan oleh Siti Zainon Ismail (1996:

231) bahawa guru masyarakat Melayu tradisi ialah alam.

Ketidakpuasan beliau terhadap tindakan pihak-pihak tertentu yang lebih berkuasa

dan mementingkan diri sendiri turut diungkapkan dalam sajak “Di Tengah Kepalsuan”

(hlm.65). A.Samad Said mengkritik dan menyindir pemimpin yang bermuka-muka dan

hipokrit, berlakon baik di hadapan rakyat tetapi sebenarnya di belakang rakyat melakukan

perkara-perkara yang bertentangan dengan adab dan moral. Melalui simbol-simbol atau

lambang-lambang yang digunakan dalam puisi itu, beliau secara jujur mendedahkan akan

hakikat tersebut.Di samping itu, kekhuatiran dan kegelisahan beliau ditujukan kepada pihak-

pihak tertentu yang boleh menimbulkan ketidakadilan dan penderitaan rakyat dan

bangsanya,terutama golongan bawahan . Hal ini telah menggesa naluri kepenyairannya

untuk menyuarakan protesnya bersifat tidak langsung atau ‘ menegur secara sopan ‘ Ini

dilakukan dengan kebijaksanaan naluri dan sensitivitinya memilih dan menggunakan simbol

atau tanda yang sesuai seperti yang terdapat dalam sajakdi bawah ini;

Kau sibuk menghimpun harta,terlalu lokek,


Berhibur sendiri, dan hanya bersembunyi mewah
Dengan wanita-wanitan yang mudah kau perdaya
dengan kata atau janji hartamu yang tak putus
kau himpun. Tapi ditengah-tengah kepalsuan
ini kau seperti juara setiap rakyatderita
di merata negara;kau tak henti-henti ingatkan
ada rakyat sengsara,sementara-dalam rahsia-sebenarnya
kau himpun harta…..

11
Justeru tanda atau simbol yang dipilih untuk mengungkapkan pemikirannya

penyairnya dalam bentuk kata atau frasa merupakan satu pendedahan secara jujur tetapi

berhemah melalui ketajaman dan kehalusan makna kata yang dipilih.Pemilihan kata atau

diksi yang disifatkan sebagai simbol mendokong maksud yang lebih luas daripada apa yang

wujud pada permukaan kata. Hakikat ini selaras dengan pendapat Putu Arya Tirtawarnya

(1987:34) yang mengatakan bahawa pemilihan kata yang digunakan dalam puisi bukanlah

bersifat luaran semata-mata tetapi sebaliknya menyelongkar hingga ke dasar dan di situlah

terletaknya khazanah makna dan ungkapan sebenar penyair.

Di samping itu, penggunaan simbol-simbol atau objek harian yang bersifat setempat

turut dikesan dalam sajak A.Samad Said yang teliti. Misalnya, dalam sajak “Daun Semalu

dan Pucuk Paku “A.Samad Said menggunakan kata ‘semalu’ dan ‘pucuk paku’ sebagai

lambang masyarakat miskin yang banyak bergantung kepada sungai dan ikan.Mereka

bersandar kepada alam semata-mata. Hal ini bermakna sesuatu pertuturan itu memperoleh

makna bukan daripada hubungan akaliah di antara idea-idea yang diwujudkan oleh kata-kata

tetapi hubungannya dengan konteks situasi yang melatarinya. (Asmah Hj Omar,

1980:11 ). Gambaran ini dapat dilihat dalam sajak di bawah;

Daun semalu dan pucuk paku


Gementar dalam hujan.
Dan pada malam paling muda
Terdengar sungai begitu resah;
Ketika subuh menggeliat tiba
Sungai ikan dapat dipujuknya.

12
Dengan menerapkan tanda atau simbol tertentu dalam sajak, seseorang penyair

mempunyai asas tertentu penggunaanya. Ini bererti sesuatu yang dipilih atau diciptakan

bukan sekadar ciptaan kosong yang dangkal tetapi sewajarnya dapat member pengertian dan

makna kepada pembaca. Bagi Mohammad Mokhtar Hassan (1995:1), ini tentu sahaja boleh

berlaku kerana seorang penyair berkemampuan untuk memperoleh idea yang luar biasa atau

genius. Kebolehan itulah yang mampu dilakukan oleh penyair berbanding manusia biasa

untuk menghasilkan karya-karya yang dapat mengajak masyarakat untuk memahami dan

merenungi dengan akal fikirannya.

Seterusnya kerisauan terhadap bahasa Melayu yang terpinggir dan dipinggirkan oleh

pejuang dalam memartabatkan bahasa turut digambarkan dalam sajak beliau “Suara dari

Dinding Dewan”.Hal demikian dapat dilihat pada r:2; b: 1-8 seperti di bawah ini;

Bahasa yang akan terus berkata


(detak nafas yang tak wajar kalah )
Bahasa itu ada di dalam dewan ini-
Tulen.Letih.Genting
Bahasa itu akan terus berkata
Tentang lara dan luka bangsa
Luka itu ada dalam dewan ini-
Ikhlas.Pedih.Genting.

Dalam rangkap sajak tersebut, beberapa kata dan frasa telah digunakan oleh beliau

sebagai lambang tentang pentingnya bahasa dipertahankan sebagai peribadi dan tamadun

bangsa.

13
Seterusnya, simbolik yang membawa persoalan tentang peperangan dapat dilihat

penerapannya dalam sajak A.Samad Said yang bertajuk “Benih Harapan”. Dalam hal ini

‘perang’ akan mengakibatkan kemusnahan, kehancuran kehilangan dan kematian manusia

sama ada yang terlibat atau tidak dalam tragedi itu. Jelasnya perang sebagai petanda kepada

sesuatu kemusnahan dan kehancuran kepada mana-mana pihak yang terlibat sama ada yang

membawa kegagalan atau kejayaan dalam peperangan itu. Rangkap sajak “Benih Harapan “

di bawah adalah gambaran dan kesan yang terjadi akibat peperangan.

ledakan buas tiba-tiba meregut jantung


bumi membakarnya ganas merah ngeri
Dari kemusnahan inilah tergegar
dan menjalar dahan-dahan gelisah,
serta /berdetap merayap ranting-ranting patah/
di mana sekawan burung harapan setengah luka.
(hlm.1)

Tanda dan petanda yang diungkapkan melalui frasa yang terpilih adalah gambaran

jelas bahaya peperangan yang akan mengakibatkan kepada kemusnahan harta benda, nyawa

dan keseluruhan kehidupan manusia yang terlibat seluruhannya.

Demikianlah kesan sajak yang ditulis oleh A.Samad Said dengan penuh

bijaksana,ada kepadatan dan kekuatan kata,perlambangan yang tinggi dan kesan makna

yang mendalam serta mengharukan telah berjaya melahirkan keindahan dan melahirkan

kepuasan kepada khalayaknya sebaik mungkin.

14
4.0 Interprestasi Unsur Perlambangan dalam Cerpen A.Samad Said

Unsur perlambangan dapat dikesan penerapannya dalam cerpen-cerpen A.Samad

Said. Cerpen dianggap sebagai karya yang meniru kehidupan atau mimesis. Justeru,cerpen

merupakan cebisan kisah kehidupan yang mengandungi fakta berbaur imaginasi berdasarkan

berbagai-bagai ragam pengalaman pengarangnya. Makna yang tersirat dan tersurat dalam

cerpen merupakan hasil ciptaan seni kreatif yang indah. Persoalan,latar dan watak yang

dipaparkan dengan gaya bahasa yang terpilih boleh menimbulkan kesan emosi khalayak

pembaca.Untuk mendapat kesan yang demikian penulis sering menggunakan pengucapan

yang metaforik yakni melalui penggunaan lambang. Lambang membolehkan seseorang

penulis menyatakan lebih daripada apa yang mahu dinyatakan.Oleh itu,setiap unsur yang

membina sebuah cerita haruslah dipertimbangkan dengan teliti supaya apa yang diperoleh

akhirnya memberi kesatuan kesan yang estetis.

Cerpen-cerpen beliau banyak menggunakan unsur perlambangan seperti simbol,ikon

dan indeks untuk menggambarkan tentang perasaan individu, suasana kehidupan sesebuah

keluarga ,masyarakat dan sebagainya. Melalui cerpen, “longkang” A.Samad Said

menggunakan symbol ‘melepaskan najis mereka’, ‘badan yang kurus dan berkudis’ dan

najis mereka yang panas dan melentok itu dihurungi lalat, jelas menggambarkan kejelikan

dan kekotoran yang diharungi oleh golongan miskin dan hina. Dalam konteks ini A.Samad

Said banyak memainkan unsur-unsur simbolisme dalam cerpen tersebut,seperti yang

diungkapkan beliau…..

15
‘…Kanak-kanakitu,sambil melepaskan najis mereka
sambil pula berlempar-lemparan tanah dengan tidak
mempedulikan badan mereka yang kurus dan najis
mereka yang panas melentok itu dihurungi
lalat.Mereka begitu riang.’
(Liar di Api,Di Tepi Jalan:79-80)

Perlukisan beliau yang cukup jelas ini juga turut digambarkan dalam cerpen “Saat

Terakhir” seperti yang dapat dilihat melalui baris-baris berikut;

Pandangan di luar begitu memilukan.Semuanya memedihkan.


Langit cerah dan sememangnya indah itu, sebentar-bentar
terang oleh api yang memercik.Syel bersiul-siul datangnya.
Berikut-ikutan. Menjahanamkan, memusnahkan dan
membunuhnya.
Siew Fong memerhatikan di bawah. Tiga buah rumah
di hujung hanya tinggal rangka dan hangus tiangnya. Batu-
batu yang hangus berselerakan. Empat buah rumah di
sebelahnya retak-retak temboknya,dan akan runtuh kalau di
gegar oleh bom lagi. Di hadapannya berdiri kaku sebuah
sekolah yang sininya sudah runtuh oleh syel. Di padang
hadapan sekolah itulah kelihatan ‘shelter’, yang baginya
dinamakan kubur!...
(Liar di Api,Di Tepi Jalan:79-80)

Gambaran yang diberikan secara terperinci ini menggambarkan kehidupan yang

sebelumnya aman dan damai sebaliknya bertukar menjadi tragedi apabila berlaku

peperangan. Kesan peperangan yang dahsyat ini telah mengakibatkan kemusnahan harta

benda dan kehilangan nyawa manusia yang tidak berdosa.

Apabila menggambarkan tentang golongan yang sering berubah fikiran pula,amat

berlainan sekali A.Samad Said menggunakan unsur perlambangan dalam cerpennya


16
“Ahmad Zago” (Liar di Api,Di Tepi Jalan). Simbol-simbol ketidakketetapan dan

ketidakteguhan prinsip pegangan itu dinyatakan seperti berikut;

‘…Kauceritakan tentang keadilan masyarakat dan cita-cita


kau untuk membuktikannya.,dan keinginanmu untuk segera
ditangkap polis supaya segera terkenal. Kauceritakan pula
tentang penderitaan manusia di Pantai Timur dan macam-
macam lagi. Ketika itu aku tau kau terlalu berangan-angan.
Dan tak lama kemudiannya kau gembar-gemburkan pula
tentang Beat Generation;tentang Angry Young Men dan
eksistensialis.Sekarang cuba kaukatakan: Apakah kau ingat itu
semua bila kau duduk di dalam kereta yang memancar itu?
(hlm.111)

Elit Ahmad Zago ialah tanda simbol yang menyirat makna golongan siswazah yang

terumbang-ambing pendiriannya dan tidak harus dihormati kerana peribadinya tidak

mempunyai tunjang tradisi yang kukuh dan mudah diresapi serta dipengaruhi arus

persekitaran yang bersifat sementara.

Ungkapan-ungkapan A.Samad Said turut menerapkan unsur ikon iaitu salah satu

daripada unsur perlambangan dalam karya cerpen beliau. Melalui cerpen “ Tamrin Gill “

unsur ikon ini jelas dapat dilihat melalui watak manusia pinggiran seperti Tmrin Gill yang

mengalami penderitaan dan menghidap penyakit. Hidupnya menjadi tidak

menentu,berkelana tanpa tempat kediaman yang wajar,miskin dan kecewa dngan hidup yang

dilaluinya. Masyarakat menuduhnya gila. Namun dia mempunyai keyakinan diri bahawa dia

tidak gila.Yang gila ialah manusia lain dan dia benci pada manusia terutama golongan elit

yang hidup mewah dan punyai rumah besar di puncak bukit. Hal demikian digambarkan

dalam baris-baris berikut;

17
Kau perhatikan saja manusia yang tinggal di rumah
yang tiga di sana tu,tu,rumah yang di atas bukit,rumah
seorang wakil rakyat. Aku selalu dengar dia bercakap tentang
rakyat derita dan tentang dirinya yang bersedia dan membela
dan meninggikan taraf hidup rakyat.Aku dengar dia bercakap
di padang di sana tu,dalam surat khabar.”Tamrin berhenti
seketika.”Dia tu penipu.Dia cakap soal rakyat jelata derita,tapi
cakap tentang hendak membaikkan nasib mereka di rumahnya
sendiri”
(Daun-daun Berguguran:64-65)

Rumah yang tiga dan bukit ialah simbol yang menyirat makna tentang kemewahan

dan ketinggian darjat seseorang atau golongan elit yang terdiri daripada golongan

doktor,ahli politik dan budayawan.Ternyata kemewahan hidup cenderung merubah nilai

peribadi manusia terhadap sesama manusia. Jelas unsur perlambangan iaitu simbol rumah

yang tiga, di atas bukit, rakyat derita, rumah sendiri dan sebagainya lagi yang diungkapkan

A.Samad Said dalam cerpennya amat memberi makna serta memperlihatkan kesan yang

mendalam kepada khalayak.

5.0 Kesimpulan.

18
Berdasarkan penelitian terhadap karya-karya A.Samad Said,penerapan tanda iaitu

simbol,indeks dan ikon menghasilkan tafsiran yang pelbagai berdasarkan kepada penanda

dan petanda yang dapat dilihat melalui kata dan diksi,kata atau frasa yang digunakan.

Sekiranya tiada lambang, sesebuah karya itu akan menjadi hambar dan memberi kesan yang

hanya literal sahaja. Karya- karya yang dihasilkan A.Samad Said tidak hanya gubahan

bahasa melaui kata-kata atau pantafsiran kosong semata-semata. Bahkan karya beliau sarat

dengan makna dan pemikiran yang diolah dan diadun dengan kata-kata terpilih sehingga

menjadikan karya beliau meninggalkan kesan yang sebati dalam diri pembaca. Lambang

adalah konsep yang merumuskan ide pengarang secara ekonomis. Dalam puisi dan cerpen

yang dihasikan dapat dilihat bagaimana beliau cuba menimbulkan kesan yang padat dan

ekonomis melalui lambang. Ternyata A. Samad Said mempunyai kebolehan yang luar biasa

yang mampu untuk mengajak masyarakat memahami dan merenungi persoalan dan mesej

yang disampaikan melalui ungkapan bahasa yang berhemah.

Tegasnya, seseorang pengarang mempunyai kemampuan berekspresi, berkomunikasi

dan kebolehan memanifestasikan pernyataan-pernyataan yang ada dalam dirinya. Dalam hal

ini, Mana Sikana (1986:170) menjelaskan bahawa kebolehan dan kemahiran berbahasa

sehingga berupaya mengolah atau membentuk ayat-ayat yang menarik dan mempesona

membuktikan bahawa proses dalam seseorang pengkarya dalam memilih perkataan-

perkataaan yang tepat,indah, sesuai dan menyegarkan merupakan satu misteri.

19
20
.

21