Anda di halaman 1dari 5

KELEBIHAN DAN AMALAN ZULHIJJAH

Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat
sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik
di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam
lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan
Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik
di dalam setahun.

Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada
umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.

Kelebihan dan amalan yang digalakkan semasa sepuluh hari pertama Zulhijjah ini boleh
diringkaskan seperti berikut:

1. Disumpah Di Dalam Al-Quran

Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan


bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan
petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-
Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai
pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-
Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan
Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini
disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.

Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah.
Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh
dengan kelebihan.

Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah
adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam
terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah
kerana berlakunya lailatul qadar.

2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah

Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :

Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh
hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab
baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga
dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua
jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh
hari yang mulia ini.

3. Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam

Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat
digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:

"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya
semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak
berlaku pada masa yang lain."

4. Galakan Berpuasa Terutamanya Pada 9 Zulhijjah

Di dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, Abu Qatadah meriwayatkan yang nabi
ditanya mengenai fadhilat berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), maka jawab baginda:

"Diampunkan dosa tahun yang lepas dan yang masih berbaki."

Selain itu umat Islam juga digalakkan berpuasa pada awal bulan, iaitu pada 1 Zulhijjah.
Dalam masa yang sama, ada riwayat yang menyatakan ramai salafussoleh berpuasa pada
sembilan hari pertama Zulhijjah. Perlu diperingatkan juga yang berpuasa pada hari 10
sehingga hari 13 Zulhijjah adalah dilarang di dalam Islam.

5. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji

Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada
waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut
panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang.
Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di
dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan
datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-
jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

6. Turut Dikenali Sebagai Hari Ma'lumat

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermasud:

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah


kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang
tertentu (hari ma'lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-
binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari
(daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang
fakir miskin."

Ulamak menafsirkan hari ma'lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan
pelbagai jenis kelebihan dan fadhilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-
mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi.

Menurut Mujahid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir di dalam tafsirnya, yang
dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam
awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia.

Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji.
Sementara manfaat atau keuntungan perdagangan di dunia pula disebut oleh Mujahid
dalam ulamak salaf yang lain sebagai konteks realiti duniawi zaman dahulu.

Pada zaman sekarang, memang tidak dinafikan yang keuntungan berniaga akan berlipat
ganda khususnya bagi penduduk tanah Haram. Akan tetapi kita perlu menyempitkan
maksud keuntungan duniawi dalam sektor perdagangan sahaja.

Umat Islam perlu memanfaatkan perhimpunan 3 juta manusia ini untuk menatijahkan
manfaat serta kekuatan yang lain. Bagi pemimpin negara umat Islam, inilah masa mereka
berbincang memikirkan kesatuan dan kemajuan masing-masing. Kekuatan muslim perlu
dijana semasa perhimpunan agung ini, semoga roh-roh yang baru menunaikan ibadah haji
pulang ke tanah air masing-masing dengan semangat yang tinggi serta kesatuan yang jitu.

Inilah masanya untuk menyatakan kemarahan kepada musuh Islam dan musuh keinsanan.
Negara Muslim yang kuat membantu negara Muslim yang lemah. Muslim lama
membantu muslim muallaf. Muslim minoriti berkongsi pengalaman dengan muslim
majoriti di negara masing-masing. Bagi saya, inilah manfaat duniawi yang terbesar
sepatutnya dicari oleh para hujjaj semasa musim haji.

Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir
sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas.
Bertakbir adalah amat dituntut daripada bermulanya malam 10 Zulhijjah sehinggalah hari
tasyriq pada 13 Zulhijjah.

7. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban

Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang
mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat
muakkadah bagi yang mampu.

Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.


Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk
mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan
tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam
surah al-Hajj ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi
yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.
Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita
gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha
supaya baik amalnya."

8. Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang
Tidak Pergi Haji

Orang yang menunaikan ibadah qurban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji.
Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama
dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah qurban, seperti larangan bercukur
dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi
larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin
melaksanakan ibadah qurban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:

"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih
kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya
(sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."

Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka
menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh
dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13
Zulhijjah. Justeru, wujudlah rasa kebersamaan.

Kesimpulan

1. Marilah kita bersama-sama menyediakan persiapan perasaan untuk menyambut


ketibaan Zulhijjah dengan penuh rasa rindu dan bersyukur. Malam ini, telah masuk bulan
Zulhijjah, maka rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita sepanjang 10
hari pertamanya.

2. Bagi yang masih belum mampu pergi haji, jadikanlah ketibaan Zulhijjah sebagai
penanam azam dan tekad kita mengejar kemampuan melunaskan rukun Islam kelima
tersebut.

3. Bagi muslim yang tidak pergi haji pada musim ini, wujudkanlah rasa kebersamaan
dengan rakan-rakan jemaah haji. Selain seperti yang disebut di atas, anda boleh turut
menonton siaran langsung daripada Islam Channel para hujjaj melaksanakan ibadah
agung tersebut. Suatu masa dahulu, ramai salafussoleh yang tidak mampu ke Mekkah
akan berhimpun di al-Masjid al-Aqsa atau di masjid tempatan mereka semasa hari wuquf,
sambil berzikir mengingati Allah SWT. Siaran televisyen tempatan di Malaysia juga
banyak memaparkan mengenai liputan dan dokumentari haji, tontonilah, agar timbul rasa
rindu, keinginan dan kesedaran untuk menyambut seruan Ilahi.