Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN CONTOH BULAN INI

TAJUK : PENGGUNAAN KAD KREDIT

SKOP : Kebaikan dan keburukan

FORMAT : Pendapat

Kiriman : Sakinah Johari - SMKSAH Jenan, Jitra,Kedah.

Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau
buat masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati
semakin popular di kalangan masyarakat kita terutamanya ahli perniagaan.Kini terdapat semakin banyak
syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa,dan Master Card. Menurut
pendapat Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi
yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut meramalkan bahawa bilangan pengguna kad kredit
ni negara kita akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang. Pada hemat saya penggunaan kad
kredit akan terus diamalkan oleh masyarakat kita kerana kad tersebut mempunyai kebaikannya yang
tersendiri.

Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak
perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa
wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak
kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus
daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada
hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang
tunai kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila
difikirkan perlu.

Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan
wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali
mereka menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan
dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak
perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh
pengeluar kad kredit American Express, jumlah pemegang kad tersebut bertambah hampir 40 peratus
pada setiap tahun. Menurut kebanyakan pemilik kad tersebut, mereka berasa lebih selamat
menggunakan American Express kerana mereka cepat mendapatkan kad ganti yang baru dengan cepat
apabila berlaku kehilangan. Dalam hal ini saya berpendapat faktor keselamatanlah yang paling banyak
mendorong pengguna menggunakan kad kredit.
Seterusnya, kebanyakan ahli masyarakat lebih gemar menggunakan kad kredit kerana mereka tidak perlu
menukar mata wang ketika berada di luar negara. Sekiranya kita melancong ke luar negara, kita mungkin
perlu menukarkan mata wang negara kita ke mata wang negara yang kita lawati itu. Hal ini tidak
demikian bagi pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara
automatis setiap kali kad kredit tersebut digunakan. Menurut pendapat kebanyakan pelancong, mereka
g lebih suka menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika
berurus niaga terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa. Pada pendapat
saya, keadaan ini mungkin disebabkan oleh imej kemewahan yang sering dikaitkan dengan pemegang
kad kredit.

Di samping kemudahan yang boleh dinikmati, pemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa
masalah. Hal ini kerana tidak semua para peniaga mahu menerima pembelian secara kredit terutamanya
kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil yang jumlahnya lebih banyak daripada kedai-kedai yang besar
atau pusat-pusat membeli belah yang terkenal. Oleh hal yang demikian, tempat-tempat penginapan atau
pusat-pusat membeli belah yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad. Oleh itu,
pemegang kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya pusat membeli belah atau kedai dan gerai
yang mereka kunjungi itu menolak penggunaan kad kredit.

Selain itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih- lebihan kerana mereka tidak begitu
peka atau perihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan. Oleh sebab itu, kita sering mendengar
rungutan daripada pemilik kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak. Setelah
puas berbelanja, mereka mungkin akan berada dalam keadaan yang sugul kerana terpaksa berfikir
bagaimana hendak membayar balik jumlah wang yang telah mereka belanjakan itu.

Hal ini berlawanan dengan pesanan orang tua-tua `beringat-ingat sebelum terkena’. Menurut kajian yang
pernah dibuat oleh mahasiswa Universiti Utara Malaysia, lebih 35 peratus daripada pemilik kad kredit
mengalami masalah beban hutang yang teruk sehingga ada antara mereka yang diistiharkan muflis
kerana tidak dapat menjelaskan hutang-hutang mereka. Keadaan ini mungkin berlaku kerana pemilik kad
tersebut tidak sedar bahawa kad yang digunakan itu sebenarnya ialah wang, bukannya plastik yang tidak
bernilai.

Seperti yang kita sedia maklum, urusan perniagaan yang menggunakan kad kredit dijalankan dengan
penggunaan komputer.Oleh itu, terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam urus niaga
tersebut. Walaupun perkara seperti ini jarang-jarang berlaku, kebanyakan peniaga tidak yakin dengan
pelanggan yang menggunakan kad kredit terutamanya kad kredit yang tidak popular. Para peniaga tidak
sanggup menanggung risiko yang tinggi dengan menerima kad kredit tersebut. Pihak Polis Bahagian
Jenayah Perdagangan sering mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada ketika berurus
niaga dengan pengguna yang menggunakan kad kredit. Ini kerana mereka telah menerima lebih daripada
150 aduan berkaitan dengan hal tersebut sejak awal tahun ini.

Sebagai rumusannya, dapatlah dikatakan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan
penggunaan kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut
secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan
secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga
bertahun-tahun. Pada pendapat saya, walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari
setahun ke setahun, namun `wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai
yang sebenar.

Anda mungkin juga menyukai