Anda di halaman 1dari 3

PENGENALAN

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat
kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa.
Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah
yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa
seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan
pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah
membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita.
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali,
sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam
luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga
belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran
sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap,
dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan
dewasa (Bettelheim,1950).
Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan
tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah ,lari dari rumah , seks bebas serta serta
lagi melepak tidak memeranjatkan kita..Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti
menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api
mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman
keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di
pinggiran bandar, malah disekolah luar bandar.

REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI


Perubahan daripada alam remaja kepada alam dewasa merupakan satu masa yang amat penting, di
mana perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi dengan gejala sosial akan bermula.
Memahami siapa remaja adalah penting bagi mengetahui mengapa mereka terlibat dengan gejala sosial ini. Ini
kerana faktor personaliti individu itu sendiri serta faktor perkembangannya mempengaruhi tingkahlaku yang
dilakukan olehnya. Perkataan remaja ataupun adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolscere” yang
bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang” (Rogers, 1981). Menurut Kamus Dewan (Edisi
Ketiga), remaja merupakan seorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin
dan sedang melalui proses inginkan cinta. Dari segi perspektif Islam pula, remaja dianggap sebagai mereka
yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami
peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.
Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya mendefinisikan remaja
sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya atau
berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti
adalah merupakan persoalan utama bagi remaja. Persoalan seperti "Siapakah saya?","Apakah bidang kerjaya
yang sesuai dengan saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan
seseorang itu berbeza dengan orang lain.
Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904), zaman remaja ialah jangka masa seseorang itu
mengalami berbagai cabaran dan tekanan ( storm and stress).Ini kerana pada peringkat ini remaja mengalami
perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan
juga masyarakat. Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu memahami tentang
sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan mereka dan apakah kesan-kesan
disebaliknya. De Brun (1990) pula, mendefinisikan remaja sebagai tempoh pertumbuhan antara masa kanak-
kanak dengan masa dewasa yang pada umumnya bermula pada usia 12 tahun atau 13 tahun dan berakhir
pada usia awal dua puluhan. Manakala menurut Adams & Gullota (1997), masa remaja meliputi usia antara 11
tahun hingga 20 tahun. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) pula, membahagikan
masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Anna
Freud (1990) pula berpendapat, pada masa remaja berlaku proses perkembangan yang meliputi perubahan-
perubahan yang
berhubung dengan perkembangan psikoseksual dan merupakan proses pembentukan orientasi masa depan.
Daripada definisi remaja yang telah diberikan, secara keseluruhannya menyatakan bahawa remaja
merupakan satu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia
sekitar 13 tahun hingga 20 tahun. Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan
biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tenggungjawab dan peranan. Jadi, untuk mengimbangi
perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik dalam mencari
identiti diri. Oleh itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja. Jika diteliti secara mendalam
zaman remaja sebenarnya merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa. Kerana pada tahap
ini berlakunya proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan
yang berkesan dalam masyarakat.

PERKEMBANGAN FIZIKAL REMAJA


Perkembangan fizikal remaja boleh dirujuk kepada perkembangan remaja dari aspek biologi. Ketika ini
remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan mengalami perubahan dari segi bentuk
tubuh dan emosi. Perubahan ini berlaku akibat tindakan hormon. Kadar pembesaran dan perubahan remaja
lelaki dan perempuan juga adalah berbeza dan begitu juga dengan seorang individu dengan individu yang lain.
Antara perkembangan fizikal yang dilalui oleh remaja seperti kematangan biologi, tingkahlaku heteroseksual
dan akil baligh. Dari segi kematangan biologi, pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk
menyesuaikan diri dengan pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan
diri semakin bertambah. Hal ini akan memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia
beginilah remaja akan lebih prihatin dengan keadaan tubuhnya. Mereka akan sering membezakan dirinya
dengan rakan sebaya yang lain.
Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan apabila dibandingkan dengan yang
lambat matang. Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka yang
lambat matang perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial bagi mendapat tempat yang istimewa dalam
kelompok remaja.
Dari segi tingkahlaku heteroseksual pula, remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke
atas pelbagai aspek seksual berbanding dengan remaja zaman sekarang,terutamanya remaja perempuan.
Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun
1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat, dan kadar pelajar
perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat dibandingkan dengan pelajar lelaki.
Beberapa buah kajian di Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan
melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di kalangan pelajar
wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki.
Faktor-faktor lain adalah seperti desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang
tidak berkaitan dengan cinta. Baligh pula merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan remaja.
Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki saluran darah meningkat ekoran respon kepada isyarat
daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon bertambah dalam badan,
lonjakan pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata
tentang permulaan akhil baligh. Perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan
perkembangan permatangan seksual iaitu kebolehan pembiakan. Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-
1778), akil baligh
bermula pada usia 15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan.
Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan
keinginan muncul dari dalam, perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak
dapat mengawal, mula berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan
jantina, dan mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama
lain. Manakala menurut Sigmund Freud dan Anna Freud, awal remaja adalah peringkat yang paling
bermasalah disebabkan perubahan dramatik psikologi yang berlaku pada masa tersebut. Zon genital, khasnya
didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda fantasi. Remaja ini mungkin rasa susah
atau tidak selesa apabila berada di kalangan ibu bapanya. Stanley Hall (1904) berpendapat perkembangan
seseorang individu ditentukan oleh naluri iaitu tenaga-tenaga biologi dan faktor genetik dan bukannya
persekitaran. Beliau mengatakan zaman remaja sebagai zaman 'storm and stress' yang bersifat biologikal yang
terhasil daripada perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh yang tidak dapat dielakkan.Mencapai akil
baligh merupakan satu masa apabila emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Hall percaya bahawa hasil
daripada tekanan-tekanan dan perubahan tersebut, remaja akhirnya akan menjadi individu yang matang dan
bermoral.

TEORI PUNCA SALAH LAKU DAN MASALAH SOSIAL PELAJAR


Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian
sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan tindakan golongan
tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat
devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi selalu
berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang
kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu
bertindak melakukan devian.
Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses
sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara
mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian
sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu
inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan),
undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan
) dan menentang (menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).

MASALAH SOSIAL PELAJAR

Seks Bebas Dan Jenayah Seksual


Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita
terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula
dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di
sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh
pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan
mengejut dilakukan di sekolah tersebut.
Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda
bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala
Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada
waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk
minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan