Anda di halaman 1dari 6

Tanah Rahmat

Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah
yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau. Bagi umat Islam, di tanah inilah
terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka. Di situlah
nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah
itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka. Atas kedua-dua
sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa
kepada pertumpahan darah sekarang.

Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of
Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa
menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).

Sejarah Awal

Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani
Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.  Kita tahu melalui al-Quran, bahawa
Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa
menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut. Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya
Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama
semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut
dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah
al-Baqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung
pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan
kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60
tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah
Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar
lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia. Sejak itu, tanah Palestin
menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih
kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan
Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom
menguasai Palestin.

Kedatangan Islam

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah
berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Empayar Islam semakin berkembang dan
Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam,
sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah. Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang
telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa
asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun
1063, Pope Alexander II memberikan ‘fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan
kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah
yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades). Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin,
dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.

Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan
aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu
negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya
dimusnahkan. Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka,
walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era
pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku,
dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi
kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin
lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.

Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu
Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang
berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan
Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-
Russia. Kerajaan Islam Timur  diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke
Algeria dan Sudan  manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari
utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam. Perlu diberi perhatian bahawa pada
ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan
khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui
perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu,
Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.
Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan
Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan,
"Hari ini, Perang Salib sudah berakhir".

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua
persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi.
Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta
penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone,
seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan
Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya
diadakan Deklarasi tersebut. Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada
mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan
Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:

"Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik
mahukan?"

"Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!"

"Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!"

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin. Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu
pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan  Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau
dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour. Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam
Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah
Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ
wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.

Kejatuhan Turki Uthmaniyyah

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada
tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya
mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta
khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut
menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.

Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu,
"Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan
kolonial?"

Lord Curzon menjawab, "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah
menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam".

Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu
merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan
juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik
lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari
tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk
mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika
tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali
sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu,
majoritinya Yahudi. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh
Eropah mati dibunuh. Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah
jajahannya yang lain pada 1948.

Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam
penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah
Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup
dalam kesusahan dan ketakutan. Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada
Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan
Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan. Pada 16 May 1948, kerajaan
sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong
sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel
yang pertama ialah Chaim Weizmann.

Palestin Sekarang

Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka,
serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan
pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di
Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar
dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di
atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.

Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad,
dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang
mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila
keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan
dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam yang
menyokong perjuangan Palestin.

Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang
pertama tadi sebagai realiti. Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan
Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.

Fikir-fikirkan.
Saya sangat-sangat mengesyorkan rakan-rakan sekalian untuk menonton. Jangan risau, tidak banyak sehingga
berpuluh-puluh episod (seperti sesetengah "siri" itu), cuma 4 bahagian sahaja. Keseluruhannya hampir 40 minit. Sesuai
ditayangkan secara umum di masjid-masjid atau surau-surau selepas maghrib sementara menunggu waktu Isya'.

Selain dari siri di atas, saya juga merujuk kepada artikel-artikel Wikipedia ketika artikel di atas ditulis. Justeru itu
kemungkinan terdapat fakta yang telah diperbetulkan, maka saya memohon maaf.

Tujuan artikel di atas bukanlah untuk anti-semitik (menghentam Yahudi), tetapi untuk mewujudkan perasaan
bertanggungjawab dan TAHU dalam diri kita semua. Saya cukup kesal dengan sesetengah Muslim yang hanya
membenci dan memboikot secara membuta tuli, tanpa mempunyai asas ilmu dan kefahaman yang kukuh.

Dalam Islam, sesuatu ibadah itu diterima berdasarkan dua perkara, iaitu niat lillahitaala serta hendaklah berdasarkan
syariat Islam. Saya percaya kita semua tiada masalah dalam niat, alhamdulillah kita semua menentang pendudukan
Israel kerana lillahitaala. Namun demi memastikan penentangan kita itu berdasarkan syariat Islam, maka kita kena lah
mempunyai ILMU.

Jika dengan hanya memboikot dan mengeji Israel tanpa didasari dengan ilmu, maka tindakan kita itu hanyalah sekadar
menzahirkan emosi kita semata. Ianya tidak membawa apa-apa makna.

Justeru itu, saya berharap dengan artikel saya ini, akan mencetuskan rasa ingin tahu dalam diri kita semua, untuk terus
berminat dan mengkaji asal-usul krisis Palestin dan BaitulMaqdis ini. Hanya dengan pengetahuan asas yang kukuh lah,
baru kita sentiasa berminat dan peka, serta mudah kita menolak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh media
barat, termasuklah dari yahudi.

Berikut antara info-info asas yang menarik yang patut dibaca:

Tafsir Fi Zilalil Quran - Surah Baqarah Ayat 104-123

Sering kita lihat adanya sesetengah orang memetik ayat-ayat tertentu menunjukkan permusuhan Yahudi terhadap
Islam, sebagai alasan untuk kita pula bermusuhan dengan mereka. Saya membawakan terjemahan bahasa inggeris
tafsir fi zilalil quran karya Syed Qutb ini bagi menjelaskan mengenai asal-usul kebencian dan permusuhan yahudi
terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Ini penting, sebagaimana yang saya selalu sebut - "Syed Qutb sendiri menghabiskan
berbelas mukasurat untuk menceritakan tafsir mengenainya, tetapi kita sekarang cukup membaca sepotong dua ayat
sahaja untuk membenci Yahudi!"

The Origin of Palestine-Israel Conflict

Booklet ini diedarkan oleh website IfAmericansKnew.org, sebuah website bebas yang mempromosi realiti mengenai
konflik Israel-Palestin ini. Booklet ini disediakan oleh sebuah organisasi "Jews For Justice in the Middle East" iaitu
masyarakat Yahudi sendiri yang membenci kependudukan haram Israel terhadap Palestin.

The History of Palestine

Ebook ini pula disediakan oleh laman web PalestineHistory.com. Ebook ini menyenaraikan sejarah ringkas palestin
dalam bentuk timeline/milestone, bermula sejak 3000 tahun sebelum masihi, sehinggalah tahun 2000. Website tersebut
juga, ada menyediakan ala "Hari Ini Dalam Sejarah" berkaitan Palestin, sesuatu yang cukup menarik untuk kita
ketahui.
Apapun, sumber mengenai isu Palestin cukup banyak di Internet. Atas kerana itulah, walau sehebat manapun Israel
atau media kawalan mereka (termasuklah sesetengah media Malaysia!) menyebarkan propaganda memutarbelit
keadaan di sana, kita boleh menyelidikinya. Dengan syarat, kita tidak menelan bulat-bulat dan sentiasa
menyelidik/mengkaji kesahihan berita yang kita dengari. Laman-laman web pro Palestin yang disediakan oleh
organisasi-organisasi Islam tempatan, merupakan antara sumber yang baik, seperti Palestinkini, Lifeline4Gaza,
HaluanPalestin dsb.

Anda mungkin juga menyukai