Anda di halaman 1dari 14

ASAL USUL ETNIK BAJAU

Biasanya, apabila disebut Bajau, kita akan segera terbayang bahawa suku

bangsa peribumi yang mendiami kepulauan Filipina Selatan dan Sabah.

Sebenarnya Bajau bukan sekadar wujud di dua wilayah tersebut. Sebaliknya

bangsa Bajau adalah antara penduduk asal Nusantara – dari kepulauan Belau

(PALAU) di sebelah Timur hingga ke Sumatera di sebelah Barat dan dari

Gugusan Kepulauan Irian di sebelah Selatan hingga ke Kemboja dan Myanmar

(Burma) di Utara. Ada pendapat mengatakan bahawa Bajau berasal dari Johor.

Ada juga yang mengatakan Bajau berasal dari Kepulauan Riau-Lingga di

Indonesia dan ada pula yang mengatakan etnik ini berasal dari kepulauan

Maluku.

Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau

Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara. Kajian

awal oleh Badan Galak Pusaka (2000) mengenai asal-usul bangsa Bajau

mendapati bahawa bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro yang mula

bergerak dari Yunan menuju arah selatan (Asia Tenggara) pada kira-kira 1500

tahun Sebelum Masehi iaitu 3500 tahun yang lalu, yang kemudian tersebar luas

di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik. Oleh kerana bangsa Bajau

adalah generasi asli Melayu Deutro, maka mereka adalah Melayu tulen.

Struktur Masyarakat
Bangsa Bajau atau Samah dapat dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu

Pala’u (Bajau Laut) dan Samah (Bajau Darat). Sehingga tahun 1950-an, Pala’u

tinggal di dalam lepa yang bergerak bebas di sekitar laut Sulawesi; mereka

hanya mendarat di tepian pantai atau pesisiran sama ada di jajaran pulau atau

tanah besar, untuk mendapatkan keperluan makanan seperti ubi kayu, air atau

untuk membaiki lepa mereka ataupun untuk mengkebumikan ahli keluarga

mereka yang meninggal dunia.

Namun cara hidup kumpulan bajau Pala'u semakin pupus ditelan masa kerana

ramai di kalangan mereka telah bermukim di daratan. Mereka berbuat demikian

kerana kegiatan ekonomi yang lain secara perlahan-lahan menggantikan aktiviti

menangkap ikan.

Perubahan masa dan teknologi turut menyumbang berkurangnya penggunaan

lepa apabila ramai yang bertukar kepada penggunaan enjin sangkut.

Kini terdapat segelintir sahaja penduduk Semporna yang mendiami kawasan

Bangau-bangau yang masih menggunakan lepa sebagai tempat bergantung

kehidupan seperti pada zaman nenek moyang mereka.

Mereka juga bukan penganut agama Islam. Justeru itu, terdapat di kalangan

orang-orang Samah yang tidak mengakui Pala’u sebagai Bajau oleh kerana

kesuluruhan Samah adalah beragama Islam.


Kini masyrakat Bajau tersebar di pelbagai negara seperti Indonesia, Filipina,

Malaysia, Brunei, Myanmar, Maldives dan Afrika Selatan. Malah ada pendapat

mengatakan bahawa masyarakat Melayu di Madagascar (Pulau Malagasi)

sebenarnya adalah dari etnik Bajau.

Bagaimana bangsa ini mendapat namanya sebagai Bajau, ia masih kabur.

Kekaburan ini menyebabkan perbahasan di kalangan segelintir individu sehingga

ada antara mereka yang membuat pengklasifikasian mengikut logik masing-

masing – kononnya Bajau adalah yang menjadi peribumi Sabah, Badjao

adalah yang mendiami gugusan kepulauan Mindanao, dan Badjoe adalah

yang mendiami wilayah Indonesia.

Kepercayaan dan Agama

Seratus peratus suku kaum Bajau menganut agama Islam. Akibat daripada

anutan agama Islam corak hidup etnik Bajau di Sabah tidak banyak bezanya

dengan bangsa Melayu yang ada di Semenanjung Malaysia. Suku kaum Bajau

sangat menekankan hubungan kekeluargaan dan "le'od" iaitu kelompok

sedaerah. Sesuai dengan perkembangan masa kini, ramai masyarakat Bajau

dikahwini dan mengahwini bangsa-bangsa lain termasuk Cina, Arab, India dan

suku-suku kaum tempatan di Malaysia.

Bahasa Etnik Bajau


Bahasa orang Bajau dikenali sebagai sinama. Kata sinama adalah kata terbitan

daripada kata akar Sama dengan menerima sisipan -in- sehingga membentuk

sinama yang bermaksud bahasa kepunyaan bangsa Sama. Suku kaum Bajau

sebenarnya bukanlah merupakan satu suku tetapi ia merupakan satu bangsa

yang lebih besar. Berdasarkan kajian awal oleh Badan Galak Pusaka sekurang-

kurangnya terdapat 26 subdialek bahasa Bajau atau Sinama. Juga didapati

bahawa suku kaum Bajau adalah bangsa Melayu yang sebenar (Melayu Asli).

Selain di Malaysia, bangsa Bajau juga turut mewarganegarai negara-negara

seperti Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.

Berikut adalah kosa kata bajau:

Aku sayang pada mu - Lasah akuh ma ka'ah / Akuh lasah ma ka'ah/ aku

sayang tah kau

Aku suka padamu - Bilahi akuh ma ka'ah / Akuh bilahi ma ka'ah / aku

gorot ta' kau

Siapa namamu? - Sai onnu? / sien oron nu?

Nama saya Dayang - On ku dayang/ oron ku dayang

Sayang, aku cinta padamu / Sayang, aku sayang padamu - Dayang, akuh

lasah maka'ah / Sayang, aku sinta ta' kau

aku = aku, saya

ko = engkau, kau

ka'ah = kau, engkau, awak , anda


dayang = sayang (Kata Nama - digunakan untuk memanggil atau

menamakan seseorang yang disayangi)

Ada beberapa perkataan suku kaum bajau yang hampir sama sebutannya

dengan bahasa melayu dan membawa maksud yang sama dalam bahasa bajau.

Contoh:-

Tompah - Terompah (kasut),

Baju - Baju,

Sin - Sen (Duit),

Aku - Aku,

Kitab - Kitab,

Tangan - Tangan,

lengon/langan-lengan

Bahasa bajau di selatan Filipina juga menuturkan bahasa yang sama, tanpa

perubahan sebutan atau makna. walaubagaimanapun,terdapat perbezaan sedikit

diantara bahasa kaum bajau sebelah pantai barat dan pantai timur Sabah, dari

segi sebutan tetapi masih mengekalkan makna yang sama. 40% bahasa Bajau

adalah bahasa Melayu. Apa yang pasti, kebanyakan orang tua - tua suku kaum

Bajau dahulu amat sukar apabila menyebut perkataan yang ada huruf 'R' dan 'C'.

Contohnya 'NUR' menjadi 'NUL', 'SABAR menjadi 'SABAL', 'SYUKUR' menjadi

'SYUKUL', 'CUKUP' menjadi 'SUKUP', 'CAWAN' menjadi 'SAWAN' dan banyak

lagi.
Adat Resam Etnik Bajau

Bajau dan kumpulan yang sama telah menetap di pantai barat dan timur Sabah

sejak beberapa ratus tahun dan diiktiraf sebagai penduduk asli negeri ini. Mereka

bekerja sebagai petani dan nelayan di persisiran pantai barat di samping

menunggang kuda.

Orang Bajau merupakan penyelam dan pengutip hasil laut yang mahir. Mereka

menggunakan cara penangkapan tradisional. Di pantai timur, mereka adalah

nelayan yang tinggal di Kota Belud, Papar, Semporna dan Tuaran. Bajau juga

mendapat gelaran “Cowboy Sabah” kerana Bajau lama terkenal dengan

penunggang kuda.

Bajau Pantai Barat ( Putatan, Tuaran , Kota Belud ) dan Bajau Pantai Semporna

( Pantai Timur ).Bajau Pantai adalah berbeza dengan Bajau Semporna. Dari segi

pertuturan, pakaian tradisi,adat resam dan budaya hidup adalah sangat berbeza.

Bajau Pantai Darat banyak yang terlibat dengan pertanian sawah padi manakala

Bajau Semporna terkenal dengan kegiatan penangkapan hasil laut.

Peralatan Tradisional

Lepa, yang dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu

adalah peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku

kaum Bajau Semporna.Lepa mempunyai pelbagai kegunaan kepada penduduk

tempatan seperti sebagai kenderaan untuk menangkap ikan, pengangkutan


awam dan barangan, tempat tinggal, tempat mengadakan majlis perkahwinan

dan persembahan kebudayaan.Kebiasaannya ia diperbuat daripada kayu jenis

Ubar Sluk ataupun Seraya Merah.Kewujudan lepa adalah dipercayai bermula

dari kaum nelayan yang tinggal di kepulauan sekitar pesisiran pantai daerah

Semporna.

Hingga hari ini lepa masih digunakan oleh masyarakat Bajau Pala'u sebagai

tempat tinggal.Dalam erti kata yang lain, lepa ialah rumah mereka, "alat-alat

keperluan asas seperti periuk dan pinggan mangkuk disimpan dalam lepa

tersebut".

Sebuah lepa yang berukuran 5 meter panjang dan 1.5 meter lebar boleh

disiapkan dalam masa 6 bulan.Lepa boleh dibahagikan kepada beberapa

bahagian. Bahagian depan yang tajam dipanggil tujjsh, badan perahu dikenali

sebagai lepa, yang mengandungi struktur sebuah rumah berdinding yang

dipanggil tepi dan beratapkan daun nipah yang dikenali sebagai kajang.

Seluruh bahagian tengah dipanggil pakajjangan. Tempat menyangkut pengayuh

pula dikenali sebagai sanga, sementara bahagian belakang dipanggil pemalung.

Lepa dilengkapi dengan layar kain. Terdapat dua jenis layar iaitu lemak bua'an

dan lemak kapis.Kain layar kebiasaannya diperbuat daripada kain kapas

sederhana tebal. Jika menggunakan kain tebal, ia boleh menyebabkan tali layar

putus atau tiang layar patah dalam keadaan angin yang kencang. Layar-layar

yang berfungsi sebagai perhiasan dipanggil tipas-tipas (berbentuk bendera


segitiga), sambulayang dan panji-panji (berbentuk bendera segiempat) dipasang

pada lepa semasa majlis perkahwinan atau pesta keramaian.

Lepa Semarang lebih merupakan sesuatu yang melambangkan warisan budaya

suku kaum Bajau di Semporna.

Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisi ataupun tagunggu akan

dimainkan di atas lepa, dan ini merupakan sesuatu yang amat menarik untuk

disaksikan. Selain lepa-lepa, komuniti Bajau Laut ini juga sebenarnya

mempunyai satu lagi seni bina perahu yang unik yang tidak terdapat pada lain-

lain komuniti maritim di Sabah iaitu perahu bogoo, sejenis perahu bersayap yang

digunakan untuk menangkap ikan. Walau bagaimanapun, sehingga kini warisan

dan budaya perahu ini nampaknya tidak pernah diketengahkan oleh mana-mana

sarjana yang mengkaji komuniti ini. Atas kesedaran tersebut, makalah ini ditulis

dengan tujuan untuk mendokumentasikan semula perahu ini sebagai salah satu

warisan dan kebudayaan komuniti Bajau Laut agar tidak hilang mengikut

peredaran zaman.

Makanan tradisional

Kima

Kima adalah nama sejenis kerang laut dan terdapat dalam beberapa spesis,

antaranya lapiran, kima bohe' dan sollot-sollot (bersaiz kecil dan menyelit di

celah-celah permukaan batu). Kima dijadikan lauk dalam makanan tradisi Orang

Bajau. Kima ini boleh dimakan mentah-mentah (inta') setelah dihiris atau
dipotong kecil-kecil dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah-ratus

yang lain mengikut selera orang yang hendak makan. Ia juga boleh dimasak

bersama sayur. Ada juga kima yang dikeringkan di bawah sinar matahari dan

biasanya ia dimasak bersama sayur.

Sagol

Sagol (Kata Kerja) bermaksud mencampuradukkan. Sagol juga mempunyai

makna Kata Nama iaitu 'benda yang dicampuradukkan'. Secara khusus ia

merujuk kepada sejenis masakan tradisional yang menggunakan isi ikan

(biasanya ikan pari, ikan yu dan ikan buntal, secara umumnya ikan yang

mempunyai hati yang besar) yang dicincang-cincang dan dimasak dengan

kunyit. Untuk membuat sagol, ikan yu, pari atau buntal dicelur dahulu sehingga

mudah membersihkan 'langnges' iaitu lapisan kasar pada kulit yu dan pari, atau

'iting' iaitu 'duri' pada ikan buntal. Mencelur (masak separuh masak) ini juga

dilakukan untuk memudahkan isi ikan dihancurkan dan dicampur dengan kunyit

yang telah dipipis.

Ada dua jenis masakan sagol iaitu sagol kering (tiada kuah) dan sagol basah

(berkuah). Untuk mendapatkan rasa sebenar sagol, biasanya tidak

menggunakan minyak makan tetapi menggunakan minyak hati ikan yang disagol

itu, iaitu sama ada minyak hati ikan pari, atau minyak hati ikan yu atau minyak

hati ikan buntal.


Putu

Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya lalu

dimasak secara stim. Lazimnya, Putu dimakan bersama Sagol, Kima, Tehek-

tehek, dan beberapa makanan Tradisional Bajau yang lain (Selalunya makanan

laut)

Tompe'

Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya. Ia

kemudiannya digoreng tanpa minyak di dalam kuali, sehingga berwarna

kekuning-kuningan.

Secara umumnya, makanan tradisional masyarakat Bajau adalah makanan laut

dan makanan ubi-ubian dan tanaman huma yang lain. Makanan tradisi orang

Bajau boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu makanan yang dimasak

dan makanan yang dimakan mentah (inta'an). Makanan yang dimasak sama ada

direbus, digoreng, dibakar dan dipanggang. Lazimnya, intaan (makanan mentah)

terdiri daripada makanan laut seperti 'ballog-ballog', 'bantunan', tehe'-tehe',

tayum, kilau, bat, lato', kima dan sebagainya.

Tarian Tradisional

Tarian Dalling-Dalling

Tarian ini sangat dipelihara oleh masyarakat Bajau di Selatan Filipina.

Kesedaran kepada kepentingan memelihara budaya bangsa untuk menjamin


kelangsungan budaya bangsa berkenaan telah mendorong masyarakat Bajau di

Borneo Utara (Sabah) khususnya di Semporna bangkit dan mengembangkan

seni tarian dallinhg-dalling di kalangan generasi muda. Ini dilakukan dengan

membawa dalling-dalling ke majlis formal khususnya Regatta Lepa Semporna.

Pada tahun 1998, Badan Galak Pusaka telah bekerjasama dengan Majlis

Perbandaran Sandakan untuk menganjurkan Pertandingan Dalling-dalling

Sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri

Sabah, yang pada masa itu disandang oleh Tun Sakaran Dandai. Semenjak itu,

tarian dalling-dalling turut mula dikenali di daerah Sandakan.

Perkataan dalling-dalling adalah kata ganda daripada perkataan Sinamah

(bahasa Bajau) 'dalling' yang bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak

tertentu. Ini adalah tarian hiburan di majlis keramaian khususnya majlis

perkahwinan. Tarian daling-daling diiringi oleh pantun yang dinyanyikan oleh

seorang penyanyi. Secara tradisionalnya penyanyi yang menyampaikan

nyanyian (disebut kalangan dalam Sinamah) adalah pemuzik. Alat muzik yang

digunakan pula dipanggil gabbang. Kadang-kadang pemuzik dibantu oleh

seorang penyanyi lain yang lazimnya wanita, terutama apabila aturcara majlis

dijangka mengambil masa yang lama yang kadang-kadang mencecah

semalaman.

Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mendapati, tarian dalling-dalling akan

semakin rancak dan menghiburkan apabila ia ditarikan oleh penari secara

berpasangan dan kedua-dua penyanyi dalam keadaan 'magbono' kalangan atau


berbalas pantun. Dalam keadaan sedemikian, semua watak (penyanyi, pemuzik

dan penari) akan menunjukkan kepakaran masing-masing untuk diiktiraf sebagai

yang terbaik oleh hadirin.

Pakaian Tradisional

Pakaian Tradisional Suku Kaum Bajau Kota Belud bagi lelaki dan perempuan

sememangnya wujud. Namun nama pakaian tradisional etnik ini tidak dikenal

pasti dengan tepat.

Kesimpulan

Masyarakat Bajau merupakan masyarakat pribumi Sabah dan dari segi

populasinya adalah kedua terbesar selepas kaum Kadazan. Terdapat pelbagai

suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya.

Kebanyakan masyarakat Bajau mendiami kawasan Samporna dan Kota Belud.

Dari segi sejarahnya, kaum lelaki di kalangan masyarakat ini terkenal sebagai

penunggang kuda yang mahir. Seperti masyarakat etnik Sabah yang lain,

masyarakat Bajau juga terkenal dengan adat resam mereka yang pelbagai dan

unik. Dalam kehidupan mereka, adat resam berkaitan kelahiran, perkahwinan

dan kematian begitu dititikberatkan.

Hakikatnya, Bajau hanyalah satu. Lalu kenapa timbul pelbagai nama seperti

Bajau, Badjao dan Badjoe? Jawapannya mudah. Ia adalah disebabkan faktor

penggunaan tulisan rumi dalam Tamadun Melayu baik di Malaysia mahupun di

Indonesia dan Filipina. Ketiga-tiga wilayah ini pernah dijajah oleh tiga bangsa
penjajah dari Barat. Ketiga-tiga bangsa penjajah ini menggunakan huruf Rumi

dalam sistem tulisan mereka. Kedatangan mereka turut memperkenalkan sistem

tulisan Rumi kepada Tamadun Melayu tetapi dalam bentuk dan sistem ejaan

yang berbeza-beza. Bahkan, sistem tulisan Rumi Bahasa Malaysia dan Sistem

Tulisan Rumi Bahasa Indonesia hanya dapat dimantapkan pada 1970-an,

walaupun Sistem Tulisan Bahasa Malaysia masih mengalami proses

penambahmantapan akibat peminjaman perkataan asing khususnya dari

Bahasia Inggeris.