Anda di halaman 1dari 4

UCAPAN OLEH : Y.B.

DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI


( MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR )

UPACARA : MAJLIS PRA PELANCARAN PROGRAM 1 MALAYSIA: 1 HATI CINTA


NEGARA : KE ARAH PERSEKITARAN HIJAU

TEMPAT : SHANGRI-LA HOTEL, KUALA LUMPUR

TARIKH : 08 DISEMBER 2009

Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Man


Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Y. Bhg. Datuk Nor Azmal Mohd Nazir


Timbalan Ketua Setiausaha,
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Y. Bhg. Dato’ Izudin Ishak


Presiden PENCINTA

Y. Bhg. Tan Sri Zaleha Ismail


Penasihat Kehormat PENCINTA

Y. Berusaha Encik Gary Khoo


Pengarah Urusan Sentienwave Technology Sdn Bhd

Barisan Ahli Jemaah Panel Pemikir PENCINTA

Ahli-ahli Jawatankuasa dan seluruh ahli-ahli PENCINTA

Dif-dif Kehormat

Wakil media,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

Selamat Pagi, Salam Kehijauan dan Salam 1 Malaysia.

1. Pertama sekali, bagi pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, saya ingin
merakamkan penghargaan kepada pihak PENCINTA selaku NGO di bawah naungan Y.A.Bhg
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri di atas penganjuran
program 1 Malaysia : 1 Hati Cinta Negara : Ke Arah Persekitaran Hijau.

2. Saya difahamkan bahawa program pada hari ini adalah merupakan program pra-
pelancaran di mana program utamanya yang akan dilangsungkan secara besar-besaran adalah
pada Mac tahun hadapan yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Tahniah sekali lagi
saya ucapkan kepada PENCINTA di atas komitmen tersebut.

3. Malaysia telah mencapai pembangunan sosioekonomi yang boleh dibanggakan.


Kejayaan kita pada hari ini tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan komitmen generasi
terdahulu dalam mengorak laluan pembangunan negara kita. Kini, sebagai warganegara
Malaysia, kita boleh berbangga dengan kualiti hidup yang kita nikmati di negara ini.
Walaubagaimanapun, ia bukan bermakna kita harus berpeluk tubuh tanpa adanya usaha untuk
kita meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, yang lebih
sejahtera dan juga lebih “hijau”.

4. Kita harus meneruskan usaha untuk menjadikan Malaysia negara maju yang dijadikan
tempat untuk seluruh rakyat hidup dalam keadaan aman damai dan sejahtera. YAB Perdana
Menteri telah memulakan inisiatif ini sejak beliau mula memegang jawatan dan menubuhkan
sebuah kementerian khusus untuk mengawal selia sektor tenaga, teknologi hijau dan air.
Kerajaan menyedari akan pertalian dan kebergantungan ketiga-tiga sektor ini antara satu sama
lain. Kerajaan berharap Malaysia dapat menjadi contoh bagaimana teknologi hijau boleh menjadi
sebahagian daripada sektor tenaga yang menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

5. Kerajaan amat menghargai potensi sektor teknologi hijau dan telah memperuntukkan
sebanyak RM1.52 billion di bawah Bajet 2010 bagi mempromosikan dan menggalakkan
pertumbuhan industri ini. Ia membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi
hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka. Bagi syarikat pembekal,
pinjaman maksimum yang boleh dibuat adalah RM 50 juta dan syarikat pengguna sebanyak RM
10 juta. Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif seperti elaun cukai pelaburan, taraf perintis,
pengecualian duti import serta pengecualian cukai jualan bagi bangunan yang telah mendapat
pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

6. Pusat Tenaga Malaysia turut ditukar menjadi Pusat Teknologi Hijau Nasional bagi
menandakan komitmen jangka panjang kerajaan terhadap agenda ini. Pusat Teknologi Hijau
Nasional yang distrukturkan semula ini akan ditugaskan untuk merumuskan pelan tindakan
pembangunan teknologi hijau dan menjadi titik penting menetapkan piawaian dan menggalakkan
teknologi hijau. Perubahan ini memberikan pengiktirafan kepada kepentingan Teknologi Hijau
memulihara bumi dalam kehidupan seharian. Menerusi penstrukturan semula kementerian ini,
terserlah dua dasar utama, iaitu memberi tumpuan kepada 'teknologi hijau' sebagai langkah
untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana; dan kepentingan sektor perkhidmatan
tenaga dan air dinyatakan secara lebih holistik dan bersepadu.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Dasar Teknologi Hijau NegaraDasar Teknologi Hijau Negara perlu dibangunkan


dengan kerjasama semua pihak yang berkepentingan daripada setiap lapisan masyarakat.
Dasar ini adalah hasil daripada beberapa bengkel untuk mendefinisikan skop Teknologi
Hijau dan sasaran pencapaian jangka panjang untuk negara dalam suasana yang mesra
perniagaan dan industri. yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Julai 2009
menandakan arah tuju kepada persekitaran mapan yang mampat dan bersepadu untuk
memastikan dunia yang lebih baik bagi generasi akan datang dan juga mewujudkan budaya
perniagaan dan industri yang sesuai untuk pembangunan ekonomi negara.

8. Masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan isu
keselamatan tenaga. Teknologi Hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada
setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca. Teknologi Hijau adalah
sebagai satu daripada pencetus perkembangan ekonomi Negara kita yang akan membantu
pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan
cara hidup yang lebih baik.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

9. Kerajaan Malaysia akan terus memberikan komitmen yang tidak terhad ke arah Teknologi
Hijau. Impian Kementerian ini adalah supaya suatu hari nanti, kita telah membudayakan teknologi
hijau dalam kehidupan kita, boleh hidup dalam persekitaran yang bersih, sihat dan berkualiti
tinggi, yang semua bandar, perbandaran dan komuniti dibina berdasarkan konsep Teknologi
Hijau. Pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang dalam proses untuk
merealisasikan hasrat Y. A. B. Perdana Menteri untuk menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya
sebagai Bandar Teknologi Hijau seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan bandar-
bandar lain di Malaysia. Saya percaya, komitmen dan perpaduan di bawah semangat 1Malaysia:
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan membawa kita kepada hasrat mencapai
matlamat tersebut.

10. Umum mengetahui sektor perkhidmatan tenaga adalah penyumbang utama kepada
pencemaran alam sekitar dan peningkatan suhu global jika tidak diurus secara lestari. Daripada
senarai karbon terbebas di ruang atmosfera secara global, lebih 50 peratus terhasil daripada
sektor penjanaan tenaga. Sektor lain yang turut menyumbang kepada pencemaran adalah
pertanian menerusi penghasilan sebatian karbon (metana) dan sektor pengangkutan yang juga
berkait rapat dengan penjanaan tenaga menggunakan bahan api fosil.

11. Bagi menangani masalah itu, teknologi hijau yang mesra alam diperlukan. Apakah definisi
teknologi hijau? Teknologi hijau ialah teknologi yang direka bentuk untuk mengurangkan kesan
negatif kepada alam sekitar, sama ada dari segi kaedah penghasilan teknologi, penggunaan
sumber dan tenaga untuk menggunakan teknologi, sehinggalah pelupusan bahan selepas
penggunaan teknologi terbabit. Definisi itu sangat bergantung kepada analisis kitaran hayat (life
cycle analysis, LCA) dan penilaian kuantitatif pelestarian (quantitative sustainability assessment,
QSA). Ada juga pakar yang mensyaratkan konsep tapak ekologi (ecological footprint) sebagai
salah satu pengukur bagi mengenal pasti tahap 'kehijauan' sesuatu teknologi. Dengan kata lain,
konsep teknologi hijau tidak boleh ditentukan semata-mata dengan wujudnya komponen kitar
semula, penggunaan sumber daripada bahan buangan atau pengurangan penggunaan bahan
api fosil.

12. Kerajaan sentiasa menggalakkan penggunaan sumber yang boleh diperbaharui seperti
biojisim, solar, mini hidro dan lain-lain sebagai sumber tenaga alternatif. Ini adalah bagi
memastikan perlindungan tenaga dan juga menjadi langkah ke arah menyumbang kepada
pemuliharaan alam sekitar. Sesungguhnya, kerajaan komited untuk menigkatkan bahagian
tenaga hijau dalam campuran bahan api untuk jangka sederhana dan panjang sebagai
sebahagian daripada strategi mewujudkan sektor tenaga mampan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

13. Saya berpendapat konsep teknologi hijau perlu dilihat secara holistik dan bersepadu
sekurang-kurangnya dari perspektif LCA. Sehubungan itu, sektor perkhidmatan tenaga dan air
akan memberi lebih penekanan kepada penggunaan teknologi hijau pada masa depan. Kedua-
dua sektor yang berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar dan pemanasan global itu perlu
diberi nafas dan dinamisme baru supaya lebih lestari dan kompetitif. Hal ini relevan dan bersifat
futuristik kerana kedua-dua sektor itu adalah komponen asas kepada prasarana pembangunan
negara. Jika komponen asas itu tidak diteraskan kepada gagasan pelestarian, maka sukar untuk
sektor lain berbuat demikian.

14. Hal ini sesuai dengan konsep 'ekonomi rendah karbon' seperti dijelaskan secara
terperinci menerusi Laporan Stern kepada Kerajaan Britain yang juga diterbitkan berjudul The
Economics of Climate Change (2007). Dari segi pelaksanaannya, ia haruslah menjurus kepada
tiga pendekatan strategik, iaitu berteraskan pembangunan ekonomi rendah karbon, berteraskan
pencapaian dan mendahulukan kepentingan rakyat. Dasar ini memberi keutamaan kepada
pelbagai alternatif dan cara baru untuk mengukur tahap 'kemajuan' yang seharusnya tidak lagi
terikat kepada untung rugi wang ringgit semata-mata, tetapi turut mengambil aspek kesan sosial,
penyuburan budaya bangsa, pengurusan keselamatan serta risiko, pelestarian alam sekitar dan
kesejahteraan hidup masyarakat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,


15. Rakyat juga prihatin terhadap kos perkhidmatan alam sekitar seperti bekalan air, sumber
tenaga dan pengangkutan awam. Sesungguhnya, pihak Kementerian mempunyai tugas besar
bukan saja untuk melaksanakan dasar baru lebih lestari dalam pengurusan alam sekitar, malah
meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan sedang melakukan transformasi menyediakan
kerangka lebih berkesan dan lestari untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia, Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!

16. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakyat Malaysia untuk
mempraktikkan amalan hijau dan memberikan seluruh komitmen dalam melaksanakan Dasar
Teknologi Hijau Negara. Saya juga ingin menyeru agar syarikat-syarikat yang berkaitan agar
tampil ke depan untuk meneroka dan membangunkan bidang teknologi hijau di samping
menikmati insentif demi manfaat Negara dan alam sekitar.

17. Kepada NGO seperti PENCINTA, untuk masa-masa akan datang, jika terdapat sebarang
program yang akan dilaksanakan atau bantuan serta khidmat nasihat yang diperlukan, pihak
Kementerian mengalu-alukan dan akan membuka pintu kerjasama bagi menjayakan sebarang
aktiviti ke arah mengajak masyarakat menyintai persekitaran hijau.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

18. Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih
kepada pihak Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (PENCINTA) yang menganjurkan
program menyokong misi dan visi Kementerian serta kepada semua pihak yang telah
menyumbang kepada kejayaan ini. Semoga program 1 Malaysia : 1 Hati Cinta Negara Ke Arah
Persekitaran Hijau anjuran PENCINTA ini akan memberi kesan positif kepada Dasar Teknologi
Hijau Negara sekaligus dapat membantu negara kita mencapai kualiti hidup yang lebih baik dan
pembangunan ekonomi mapan untuk rakyat dan generasi akan datang.

19. Maka, dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pra
Pelancaran Program 1 Malaysia : 1 Hati Cinta Negara Ke Arah Persekitaran Hijau.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai