Anda di halaman 1dari 2

Lagi dua bayi lelaki dibuang

Oleh ASSIM HASSAN dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI


pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jun - Jika Sabtu lalu, seorang bayi lelaki bernasib baik diserahkan satu pasangan di pusat
perlindungan bayi di Petaling Jaya, berbeza pula kejadian menimpa dua si kecil ini.

Kedua-duanya dibuang ibu mereka tanpa belas kasihan iaitu di belakang sebuah rumah di Taman Mawar, Rawang, dekat sini
manakala seorang lagi di atas tong sampah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat dekat Seremban.

Dalam kedua-dua kejadian hari ini, mujurlah kedua-dua bayi lelaki malang tersebut yang masih bertali pusat dapat
diselamatkan oleh insan-insan prihatin.

Ibu-ibu kepada bayi-bayi itu juga berjaya ditahan hasil maklumat dan tindakan pantas pihak polis.

Dalam kejadian di Rawang, kehadiran bayi itu disedari seorang wanita yang terdengar tangisan di belakang rumahnya di
Taman Mawar, lalu membuat laporan polis.

Hasil maklumat, polis berjaya menahan remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai ibu bayi itu.

Ketika ditemui oleh Jamilah Nazardin, 40-an, pada pukul 9.30 pagi, bayi malang itu hanya beralaskan daun pisang tanpa
dibalut dengan seurat benang menyebabkannya kesejukan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, beberapa anggota peronda telah ke lokasi
dan menemui bayi itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati, bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu, cukup sifat dan masih bertali pusat semasa dibuang.

"Pemeriksaan di lokasi itu turut menemui uri bayi tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, seorang bayi lelaki seberat 2.7 kilogram yang dilahirkan pada hari sebelumnya, menjadi bayi pertama diserahkan
kepada Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCare).

Pusat itu diwujudkan sebagai Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang julung kali dilancarkan di negara ini pada 29 Mei lalu.

Bayi itu diserahkan oleh ibu bapanya berusia awal 20-an yang masih belum berkahwin dan merahsiakan kandungannya
daripada pengetahuan keluarga dan rakan masing-masing.

Abdul Rahim berkata, hasil siasatan, pihaknya telah menahan seorang remaja perempuan di sebuah rumah di taman
perumahan sama.

"Semasa ditahan, remaja yang dipercayai ibu bayi itu sedang berehat di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an.

"Dia dipercayai melahirkan bayi itu di rumah ibu saudaranya awal pagi ini sebelum membuangnya di belakang rumah saksi,"
katanya.

Difahamkan, remaja itu yang beralamat di Taman Puchong Permai, Puchong lari dari rumah dan tinggal bersama ibu
saudaranya sejak mengandung.

Tambah Abdul Rahim, pihaknya telah membawa remaja itu dan bayi malang berkenaan ke Hospital Selayang untuk
mendapatkan rawatan.

Katanya, ibu saudaranya setakat ini tidak ditahan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan teman lelaki remaja terbabit bagi membantu siasatan mengikut seksyen 317
Kanun Keseksaan.
Di Seremban, bayi berkenaan ditemui pada pukul 4.45 petang oleh pekerja pengangkut sampah ketika sedang menangis
kelaparan dan kesejukan.

Saksi, Maiden Machapu, 42, yang bekerja sebagai pemandu lori sampah berkata, bayi itu disedari oleh salah seorang
pekerjanya yang sedang mengangkut sampah di salah sebuah rumah.

Tambahnya, rakannya itu memintanya turun untuk melihat sendiri bayi berkenaan yang ditemui beralaskan surat khabar dan
lengkap berpakaian.

"Berikutan penemuan itu, saya memanggil pemilik rumah dan mengatakan ada seorang bayi lelaki ditemui di tempat
pembuangan sampah miliknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moi, 68, berkata, selepas diberitahu mengenai kejadian itu dia terkejut dan tidak berani
untuk keluar ke rumahnya.

"Kemudian beberapa anggota polis datang ke rumah untuk mengambil bayi berkenaan untuk dibawa ke hospital. Saya
percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan dan seberat dua kilogram," katanya.

Bayi lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan
kejadian itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya juga telah menahan seorang wanita warga asing yang disyaki ibu bayi berkenaan berdasarkan rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) penduduk.

Anda mungkin juga menyukai