Anda di halaman 1dari 2

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.
Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
(ubah suai karangan isi agar sesuai dengan SPM)

............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang
berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat
merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan,
masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh
itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah
dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,
mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak
juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan
bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagungdan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan
pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-
ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi
peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik
yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak
kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini
dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral,
Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa
perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat
tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit
dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri
daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu
inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap
pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi
diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk
membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah
Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa
dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-
rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar
biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya
minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama.
Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha
untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar
masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan
menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli
akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada
pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada
pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung
kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya
anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan
ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-
anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata
pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan
senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu
bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan
memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa
sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur
buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada
mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat
negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan
menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha
menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan
onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat
menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Anda mungkin juga menyukai