Anda di halaman 1dari 9

ASAS FEQH YANG LIMA ( FEQHUL KHAMSAH)

Ringkasan dan Ulasan


Dari Kitab Siasah Syar`iyyah oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi
Oleh : Mohd Adlan Mokhtaruddin

PENGERTIAN FEQH SIASAH SYAR`IYYAH


Iaitu Siasah yang dibina di atas kaedah, hukum dan halatujunya adalah syara`.
Tidak semua siasah adalah syariah. Kebanyakan dari siasah berlawanan dengan syara`
bahkan tidak mengendahkannya yang disebut sebagai ideologi1. Siasah dan Islam tidak
boleh dipisahkan. Mereka yang mengatakan tidak ada agama dalam siasah ataupun
sebaliknya merupakan golongan sekular2.

ASAS DALAM FEQH SIYASAH SYAR`IYAH


Siasah Syar`iyah dibentuk berdasarkan kefahaman syariah dalam mentadbir
umat, bukannya semata-mata dakwaan dan teori. Terdapat dua asas yang menjadi
timbangan utama dalam siasah syar`iyyah iaitu Assawabit dan Almutaghaiyyirat.

Assawabit / Perkara Pokok


Iaitu perkara yang tetap dan tidak berubah dengan perubahan masa dan tempat.
Ia juga disebutkan sebagai perkara Qat`i dari Quran dan Sunnah, dan Ijmak Ulama` ke
atasnya. Dalam perkara ini tidak ada khilaf (percanggahan pendapat dalam kalangan
ulama`).
Antara contoh perkara yang menjadi perkara pokok ialah : mengembangkan ilmu,
memerangi kejahilan, dan menegakkan keadilan.

Almutghaiyyirat / Perkara cabang


Iaitu perkara yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi masih
dalam ruang lingkup Assawabit. Terdapat khilaf yang pelbagai yang menjadi
perbahasan ulama`. Antaranya ialah perkara yang menjadi `uruf ata adat bagi sesuatu
tempat.

Feqh yang dibina dalam Siasah Syar`iyah ialah : Perkara yang menghubungkan
antara Almutaghaiyyirat dengan Assawabit, Mengembalikan perkara syubhat kepada
muhkam, juz`i kepada kulli, dan furu` kepada usul. Iaitulah feqh yang dijalankan oleh
para sahabat dan khulafa rasyidun dan pemerintah dalam mentadbir negara.

KEPENTINGAN MEMAHAMI FEQH YANG LIMA


Sebagai seorang penggerak Islam, di antara tuntutan ke atas kita ialah
mendepani perubahan dan isu semasa. Adalah menjadi satu kewajipan kepada para

1
Ideologi : Fahaman/ajaran yang dipakai atau dicta-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain. Sebagai contoh :
Demokrasi, Sekular dan Komunis.
2
Teori sekular lahir daripada agama Kristian yang dipisahkan daripada urusan hidup dan menolak hukum
Taurat – rujuk Islam & Demokrasi : Ustaz Abdul Hadi Awang
penggerak Islam mengetahui kehendak masyarakat. Nabi Muhammad saw apabila
berbicara sentiasa melihat kepada siapakah mad`unya.
Kebelakangan ini, kebanyakan para penggerak Islam telah hilang pedoman dan
rapuh timbangannya. Disebutkan oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi di dalam muqaddimah
kitab Feqh Prioriti, “didapati timbangan prioriti umat pada zaman ini telah rapuh didalam
bidang yang pelbagai samada pemikiran, kemasyarakatan, ekonomi mahupun politik.”3
Kenyataan ini jelas menggambarkan kepada kita, apabila mereka yang berada di
posisi penting setiap bidang gagal memahami keutamaan gerak kerja mereka, maka
jelaslah rapuhnya timbangan mereka ke atas kelima-lima feqh yang utama ini.

FEQH YANG LIMA (Al Feqh Al Khamsah)


Untuk memahami feqh siasah syar`iyyah, terdapat lima asas penting yang perlu
dikuasai. Iaitu :
1. Feqh Al Maqasid ( Feqh Al Nusus dalam ruang lingkup Al Maqasid ).
2. Feqh Al Waqi` ( Realiti ) berubahnya fatwa dengan perubahan waqi`.
3. Feqh Al Muwazanat ( Timbangan ) antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah
(keburukan)
4. Feqh Al Awlawiyyat ( Aulawiyyat/Keutamaan )
5. Feqh Al Taghyir ( Perubahan )

ASAS YANG PERTAMA : Feqh Al Maqasid


Terdapat tiga madrasah yang mempelopori kefahaman feqh al maqasid iaitu :

i. Madrasah yang pertama : ( Az Zhahiri Al Judud )


Menterjemah nas secara juzuk dan memahami nas secara literal. Mereka
digelar sebagai ( Zhahiri Judud ) yang mewarisi Zhahiri4 yang lama. Mereka
tidak beriman dengan `illah5 pada hukum dan hubungan sesuatu hukum
dengan maqasid (sebab), bahkan menyatakan : Sesungguhnya Allah boleh
menyuruh untuk melakukan perkara yang dilarang begitu juga sebaliknya.

ii. Madarasah yang kedua : ( Al Mu`athalatul Judud )


Golongan yang menyangka bahawa mereka menterjemah maqasid syariah
dan roh agama sedangkan lupa pada nas Quran dan sunnah, mendakwa
agama adalah jauhar bukan bentuk, hakikat bukan gambaran. Akan tetapi
apabila dibentangkan dengan nas muhkam, mereka tersasar dan berpegang
dengan syubhah bahkan jauh dari muhkam. Mereka merupakan “Pendakwa
Tajdid”. Hakikatnya mereka sangat pelik.

3
Feqh Prioriti Dr Yusuf Al Qardhawi cetakan kelapan Maktabah Wahbah halaman 13
4
Mazhab Az-Zhahiri adalah mazhab kelima setelah empat mazhab yang terkenal, mazhab ini didirikan oleh Dawud bin
Khalaf Al-Asfahani yang lebih dikenal dengan nama Daud Az-Zhahiri. Daud lahir di Kufa pada tahun 200 H/815 M dan
wafat di Baghdad pada tahun 270 H/884 M.
Inti pokok paham dan pemikiran mazhab ini adalah pengambilan sumber hukum dari nash Al-Quran dan sunnah
secara tekstual (zhahir) tanpa menggunakan takwil, mereka juga tidak menerima qiyas, istihsan dan maslhah mursal.
5
`illah dan sebab menjadi perbahasan ulama` Usul Feqh. Ada yang menyatakan kedua-duanya adalah
sama dan ada yang menyatakan antara keduanya adalah `umum wa khusus mutlak.
iii. Madrasah Pertengahan (Wasatiah): Mereka yang menyeimbangkan antara
nas juz`i dari Quran dan Sunnah dengan maqasid kulli. Mereka memahami
kehendak Quran secara menyeluruh ( Usul dan Furu`, Juz`i dan Kulli,
Mutaghaiyyirat dan sawabit ). Berpegang dengan Nas Qat`I secara Thubut
dan Dilalah. Jalan inilah yang perlu kita imani dan berpegang padanya.

Jumhur `Ulama` bersepakat bahawa syariah bertujuan menjaga maslahah


hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Bahkan Allah Ta`ala tidak memerlukan satu
pun darinya, Allah Maha kaya dari sesuatu. Kata Imam Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya
I`lam Al Muwaqqi`in : “Sesungguhnya Syariah diasaskan untuk memelihara hukum dan
maslahah hamba, dunia dan akhirat. Ia adil, membawa rahmat dan hikmah, menjaga
semua maslahah.”6

ASAS YANG KEDUA : Feqh Waqi`


Terdiri atas asas pembelajaran secara realiti bukannya teori semata-mata.
Kaedah Mantiq ada menyatakan “Untuk menghukumkan ke atas sesuatu, mestilah tahu
tentang gambaran perkara tersebut”.7 Keadaan sekeliling yang sentiasa berubah dan
menghadapi pembaharuan, memerlukan kemahiran kepada faqih yang mampu
berinteraksi dengan semua jenis manusia, suasana dan perkara-perkara baru yang
berlaku supaya dapat meraikan masa, tempat masa dan insan secara ideal.

Telah jelas pada zaman sahabat dan khulafa` rashidin juga para Mujtahid
selepasnya, perubahan fatwa terhadap kebaikan dan uruf yang sentiasa berubah
mengikut peredaran zaman. Kaedah Fiqh ada menyatakan “ Perkara yang mempunyai
`illah berjalan selari bersama `illahnya wujud ataupun tidak” .
Contoh :
Perubahan hukum dengan perubahan kebaikan yang berlaku ke atasnya.
Bermuamalah dengan ahli zimmah ( Yang berlindung dibawah wilayah Islam )

Pada awal Islam, umat Islam diwajibkan untuk membezakan pakaian mereka
dengan pakaian ahli zimmah. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Umar Al
Khatab dan Umar Abd Aziz. Kata mereka : Apabila mereka bergaul dengan umat Islam
tidak mesti tidak untuk membezakan antara mereka supaya tidak bergaul dengan cara
orang Islam. Kemungkinan sekiranya mati salah seorang dari mereka secara tiba-tiba
ditengah jalan, tidak dikenalpasti, maka disolatkan dan dikuburkan di tanah perkuburan
Islam secara salah. Perkara ini pasti tidak disukai oleh waris mereka.

Mungkin perbezaan sebegini sesuai pada zaman awal Islam untuk berjaga-jaga.
Jika dilihat pada zaman ini, cara tersebut sudah tidak relevan. Kita dapati kini untuk
membezakan antara agama lebih mudah dari membezakan pakaian. Zaman moden kini
lebih praktikal menggunakan kad pengenalan.

6
Siasah Syar`iyyah halaman 231 oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi Maktabah Wahbah cetakan kedua 2008.
7
halaman 287
Perubahan hukum dengan perubahan `uruf yang terbina atasnya

Apabila berubah uruf,maka hukum juga akan berubah. Sebagai contoh, hukum
makan dijalanan, cukur janggut, mendengar muzik dan lain-lain. Jika uruf dahulu ianya
dihukumkan dengan agak ketat, mungkin kini sudah ada yang berubah. Begitu juga
dengan apa yang dinaqalkan oleh Ibnul Qayyim dari Ibnu Taimiyyah : Beliau berjalan
bersama sebahagian sahabatnya dihadapan kaum Tatar di damsyik. Mereka meminum
arak dan sedang mabuk. Lantas sebahagian sahabat Ibnu Taimiyyah mengingkarinya
dengan mengatakan ianya merupakan ibu segala kejahatan.

Maka dijawab oleh Ibnu Taimiyyah “ Biarkan mereka dengan mabuk dan lalai,
sesunggunhya Allah mengharamkan arak kerana ia melalaikan dari mengingati Allah
dan solat, sedangkan arak menghalang mereka dari menumpahkan darah dan
merampas harta! ”8

Mereka bersepakat dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyyah khuatir
mungkar yang lebih besar akan berlaku. Ibnu Taimiyyah dan ashab mengingatkan akan
kepentingan memelihara keadaan ketika berdakwah dan ketika memberi fatwa.

ASAS YANG KETIGA : Feqh Muwazanat ( Timbangan )


Fiqh yang sangat diperlukan oleh manusia pada kehidupan mereka. Diceritakan
oleh Qardhawi dalam kitabnya “ Aulawiyat Harakah Islamiyah”. Kenapa kita
memerlukannya?

Kehidupan kita tidak berada pada satu garis lurus yang sekata. Sudah pasti
dihadapan kita akan berlaku banyak pertembungan dan pertentangan. Samada ianya
adalah pertembungan antara kebaikan, ataupun antara keburukan ataupun
pertembungan antara keduanya. Sekiranya kita tidak mahir dalam ilmu timbangan,
sudah tentu kita akan gagal dalam membuat pertimbangan yang tepat.

Kaedah ini turut digunakan dalam ilmu usul feqh apabila timbul pertembungan
antara dalil-dalil feqh yang digunakan ( At Ta`adul wa At Tarjih ) begitu juga dalam ilmu
Usul hadith apabila pertembungan antara hadith-hadith berlaku.
Akan tetapi, kita menghendaki erti perbandingan ini lebih luas dan mencakupi
keseluruhan hidup manusia.

Pembahagian Feqh Muwazanat dalam perkara berikut :


i. Pertembungan antara kebaikan, manakah yang perlu didahulukan.
ii. Pertembungan antara keburukan.
iii. Pertembungan antara kebaikan dan keburukan. Keburukan diukur dengan
kebaikan yang ada.

8
halaman 290
Apabila bertembung antara dua kebaikan, digugurkan kebaikan dunia demi
kebaikan akhirat, tertolak kebaikan khas dari kebaikan umum, didahulukan kebaikan
pokok dari kebaikan cabang dan diutamakan kebaikan nyata dari kebaikan sangkaan.

Dikisahkan dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah, kita melihat Baginda saw


mendahulukan kebaikan yang nyata, asas dan menjaga masa hadapan terhadap
sebahagian perkara yang dianggap penting oleh sebahagian manusia. Lantas baginda
menerima syarat untuk memadamkan kalimah Bismillah pada perjanjian tersebut dan
ditukarkan dengan kalimah Bismik allahumma, bahkan ditulis juga dengan kalimah
Muhammad bin Abdullah menggantikan kalimah Muhammad Rasulullah. Semua ini
dilakukan kerana baginda melihat kepada masa depan Islam.

Para Fuqaha` telah meletakkan beberapa kaedah yang disusun di dalam kitab
Qawaid Fiqhiyyah sebagai asas feqh muwazanat. Antaranya :
‫الضرار يزال بقدر اإلمكان | الضرار ال يزال بضرر مثله او أكبر منه | يحتمل الضرر األدنى لدفع الضرر األعلى‬

Apa yang penting dari kaedah ini bukanlah hanya tertumpu untuk mendalami
teori dan kaedah yang dibuat, bahkan yang lebih utama adalah kaedah ini dipraktikkan
dalam kehidupan realiti.

Tidak hairanlah, punca khilaf antara ulamak dan pendakwah pada zaman ini
disebabkan perselisihan dalam mempraktik pertimbangan ini.

Al Quran menyebutkan tentang pertimbangan umat terdahulu. Kisah Nabi Harun


dan Nabi Musa menimbang antara dua kebaikan dalam surah Toha ayat 94. Firman
Allah ta`ala yang bermaksud :

Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! janganlah Engkau meragut janggutku dan janganlah
menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya Aku takut Bahawa Engkau akan berkata kepadaku: `
Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan Engkau tidak berhati-hati
mengambil berat pesananku! ' "

Nabi Harun mengutamakan kepentingan kesatuan ke atas perkara lain yang


bersifat sementara, hinggalah Nabi Musa kembali dan berbincang cara menyelesaikan
masalah yang berlaku.

Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa menimbang antara dua keburukan dalam
surah Al Kahfi ayat 79. Firman Allah yang berbunyi:
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu, aku
bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang
raja Yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
Mengekalkan sampan yang rosak untuk tuannya lebih baik dari dibiarkan
dirampas oleh Raja. Kaedah ada menyebut, memelihara sebahagian lebih aula dari
hilang kesemuanya.
Al Quran turut membicarakan perihal pertimbangan antara kebaikan dan
keburukan. Firman Allah maksudnya:
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada
keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya
lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka
akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari
keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-
keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir: Al baqarah 219.

Kesukaran mempraktikkan Feqh Muwazanat dalam kehidupan.


Teorinya amat mudah, akan tetapi praktikalnya sangat payah. Ini kerana feqh
muwazanat amat berat bagi golongan awam dan seumpama mereka yang mudah goyah
dalam membuat keputusan.

Syeikh Abu A`la Al Maududi dan Jemaah Islam berhadapan dengan kesukaran
setelah meneliti dengan neraca feqh muwazanat bahawa mencalonkan Fatimah Jinnah
lebih kecil mudharatnya daripada Ayyub Khan9.

Lantas dicerca oleh segenap pihak dengan hadith “ tidak akan berjaya kaum
yang diperintah oleh wanita”

Sedangkan kacamata feqh pada waktu itu melihat apakah keburukan yang lebih
kecil untuk diambil, maka diambil keputusan sedemikian, untuk mengelakkan keburukan
yang lebih besar iaitu diperintah terus oleh golongan sekular.

Doktor Hasan Turabi dan jemaahnya di Sudan dihujum oleh sebahagian


umat Islam apabila membenarkan Kesatuan Soviet untuk masuk pada zaman
pemerintahan Ja`far Numairi (1969 -1985) dan menerima beberapa
jawatan/kedudukan rasmi dalam kerajaan hinggalah diterima tawarannya untuk
mempraktikkan undang-undang Islam. (check balik)

Parti Rafah di Turki dibawah pemerintahan Doktor Najmuddin Arbakan.


Sebahagian golongan ekstrem menentang keputusannya untuk menyertai dalam
kerajaan yang menjalankan undang-undang Sekular.

Kata Doktor Yusuf Al Qardhawi “ Aku sebutkan di sini bukanlah untuk


menyokong tindakan mereka, akan tetapi aku ingin menunjuk jalan, prinsip dan asas
dalam Feqh Pertimbangan yang membentuk kefahaman Siasah Syar`iyyah.

ASAS YANG KEEMPAT : Feqh Aulawiyyat ( Prioriti )


9
Pilihanraya pemilihan Presiden Pakistan pada tahun 1965 berpihak kepada Ayyub Khan dengan
kelebihan undi sebanyak 64%. -wikipedia
Dalam perbahasan feqh aulawiyyat, ianya saling berkait dengan perbahasan
yang sebelumnya iaitu feqh muwazanat. Apa yang ingin dimaksudkan dengan feqh
aulawiyyat ialah : Kita memberikan setiap perkara itu harga dan nilai yang setimpal pada
timbangan syara`. Tidak menguranginya mahupun melebihkannya. Ia juga pernah
dinamakan dengan Feqh Maratib Al A`mal oleh Doktor Yusuf Qardhawi.

Oleh itu, apa yang perlu diutamakan, maka diberikan aulawiyyat yang
selayaknya. Begitu juga yang dikemudiankan diletakkan pada tempatnya.
Sesungguhnya apabila dilihat umat Islam pada zaman ini, mereka membesarkan
perkara yang kecil, dan mengecilkan perkara yang besar kerana telah rapuhnya neraca
timbangan mereka.

Timbul kekeliruan apabila ada yang menyatakan semua hukum syarak adalah
aulawiyat, tidak ada yang lebih aula antara satu sama lain. Ianya mungkin betul dari
sudut memuliakan hukum syarak. Tidak boleh kita menerima sebahagian dan menolak
sebahagian yang lain.

Hakikatnya, hukum syara` juga mempunyai tahap yang berbeza. Fardhu tidak
sama dengan mandub, haram berbeza hukumnya dengan makruh dan lain-lain lagi
yang menunjukkan hukum adalah berbeza-beza. Ini jelas dinyatakan oleh Allah dalam
firman yang berbunyi :
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan
Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? mereka (yang bersifat
demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum
Yang zalim. At Taubah :19

Manakala hadith baginda saw menyatakan perihal hukum yang berperingkat.


Sabda baginda saw : “Iman itu mempunyai enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih
cabang. Yang tertinggi adalah Lailahaillah dan yang terendah adalah membuang
halangan di jalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.” Muttafaqun `alaih.

Maka tidak hairanlah apabila para sahabat bertanya kepada baginda akan amal
yang paling baik disisi Allah dan dijawab oleh baginda dengan jawapan yang berbeza-
beza darjatnya.

Prinsip dalam ilmu feqh al aulawiyyat


i. Mengutamakan perkara usul dari perkara cabang.
- Akidah adalah persoalan utama
- Ilmu sebelum amal
- Perkara-perkara Fardhu
- Hukum-hukum Qath`i
- Pembangunan akhlak
- Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah
- Perkara sunat selepas perkara fardhu
ii. Memelihara kebaikan tiga perkara utama iaitu ( Dharuriat, Hajiyat dan
Tahsiniyat ) dengan mengikut turutan.
- Dharuriat : Perkara yang menjadi keperluan hidup. Jika tidak ada maka
tidak akan dapat hidup seperti beras dan tempat tinggal. Ianya ditimbang
mengikut turutan dengan memelihara Agama, Jiwa, Akal, Keturunan dan
Harta.
- Hajiyat : Perkara yang menjadikan hidup lebih baik.
- Tahsiniyat : Perkara yang menjadikan kehidupan selesa dan mewah.
Tanpanya hidup masih lagi boleh diteruskan.
iii. Keutamaan dalam Perkara Larangan
- Kafir / Murtad
- Dosa-dosa Besar
- Dosa-dosa Kecil
- Perkara Syubhat
Ini hanyalah sebagai contoh-contoh dalam memahami praktikal feqh aulawiyyat.
Secara asasnya, keutamaan diberikan pada perkara Jauhar ke atas Syakal, Bagaimana
ke atas Berapa, Besar ke atas kecil, Dharurat ke atas Hajiyat, Qath`I ke atas Zhanni,
Perkara yang berterusan ke atas perkara mendatang, Realiti ke atas Retorik, dan
Muttafaq `alaih ke atas Mukhtalaf `alaih.

ASAS YANG KELIMA : Feqh Al Taghyir ( Perubahan )


Pada zaman ini, secara sepakat menyatakan adalah menjadi satu keperluan
untuk seluruh kekuatan Islam diubah untuk memperbaiki kebaikan umat. Adalah menjadi
satu kepentingan untuk kita memahami feqh perubahan ini. Boleh dikatakan ia adalah
pelengkap kepada baki feqh yang empat yang telah dibincangkan sebelum ini.

Terdapat tiga kaedah utama dalam mempraktikkan feqh perubahan iaitu :


i. Kepentingan /Dharurat : Kaedah ada menyebutkan ( dharurat membolehkan
perkara larangan, …………… )
ii. Irtikab Akhaffu Dhararain ( Mengambil dharar yang lebih kecil )
iii. Memelihara sunnah berperingkat-peringkat ( Sunnah Al Tadarruj )

Islam datang dengan sunnnahnya secara berperingkat bukannya sekaligus.


Adalah menjadi satu tuntutan untuk melaksanakan uslub ini ketika berdakwah. Yang
dimaksudkan dengan `berperingkat` pada zaman ini ialah berperingkat pada
pelaksanaan sesuatu hukum bukannya pada pensyari`atan. Sesungguhnya syariah
telah sempurna dan lengkap dan wahyu telah terputus.

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep Tadarruj ?


Tadarruj bukan hanya bermaksud lambat dalam melaksanakan sesuatu, akan
tetapi ia membawa maksud meletakkan had (objektif) dalam pelaksanaan secara
terperinci. Untuk mencapai objektif tersebut memerlukan perancangan yang teliti dan
meletakkan peringkat yang tertentu supaya ia tersusun rapi. Hinggalah kita mencapai ke
tahap yang paling akhir iaitu mendirikan hukum Islam dimuka bumi.
Inilah manhaj yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw sepanjang dua puluh tiga
tahun Nabi berdakwah. Tiga belas tahun di Mekah merupakan peringkat nabi
mentarbiah dan membina umat, manakala bakinya di Madinah adalah peringkat
pelaksanaan Islam secara total.

Kertas Kerja ini merupakan ringkasan dan ulasan dari Kitab Siasah Syar`iyah
dalam aspek Nas Syariat dan Maqasidnya oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi. Fiqhul
Khamsah ( Fiqh yang lima) sebenarnya suatu tuntutan untuk difahami oleh mahasiswa
Islam di Perlembahan Nil ini. Akhir-akhir ini, kita dapati mahasiswa Islam lesu dan
longlai dalam mendepani umat. Dengan memahami kelima-lima feqh ini, membantu kita
dalam menyusun kebaikan dan keburukan. Ringkasan ini hanyalah sebagai memahami
secara asas Teori dan Manhaj. Untuk memahami dengan lebih mendalam, perlu
merujuk terus buku-buku berkaitan yang terdapat di pasaran.

Al Faqir
Mohd Adlan Mokhtaruddin
4.40am 24 Mei 2010
Pejabat PMRAM

Anda mungkin juga menyukai