Anda di halaman 1dari 2

Jenis kaedah perancangan semula jadi

Terdapat lima kaedah perancangan secara semulajadi. Perlu diingatkan, Puan harus ditunjuk ajar
oleh seorang yang professional di bidang perubatan ataupun kaunselor perubatan bertauliah untuk
mengamalkan kaedah-kaedah berkenaan, serta harus tekal pada penghayatan kaedah yang dipilih.

l Mengesan suhu badan asas

Sejurus selepas ovulasi, suhu badan Puan akan meningkat sedikit. Satu jangka suhu khas digunakan
untuk menyukat suhu badan Puan sejurus selepas bangun dari tidur dan bacaannya diplotkan
sebagai satu graf. Suhu diambil setiap hari. Harus diingatkan suhu badan Puan turut dipengaruhi oleh
demam, tidur yang terganggu dan juga jadual pekerjaan bercorak anjakan. Pasangan yang
menggunakan kaedah suhu ini tidak boleh mengadakan hubungan kelamin sehingga tiga hari selepas
meningkatnya suhu badan.

2 Mengenalpasti ovulasi secara penelitian mukus pangkal rahim

Melibatkan kepada perubahan jumlah mukus yang terhasil serta penelitian pada ketekalannya.
Lazimnya, Puan akan merasa kelainan pada lelehan mukus yang keluar melalui faraj semasa ovulasi,
perubahan ini yang harus ditelitikan. Untuk kebanyakan wanita, faraj dirasai kekeringan sejurus
selepas haid bulanan. Kemudiannya, lelehan mukus menjadi lebih bergetah. Sebelum ovulasi, mukus
ini bertukar menjadi lebih basah dan melicin.

Hari-hari terakhir lelehan mukus ini selari dengan hari kemuncak ovulasi, kemudiannya mukus akan
menjadi lebih kental, mungkin juga langsung hilang dan kekeringan dirasai kembali. Masa selamat
bermula pada 10 atau 11 hari dari penghujung haid dan juga semasa faraj dirasai kekeringan. Masa
kesuburan (masa Puan tidak boleh melangsungkan hubungan kelamin) bermula dengan petanda
pertama mukus dan berlangsung sehingga 4 hari selepas hari kemuncak ovulasi.

Walaupun semasa pendarahan haid dianggap selamat, hubungan kelamin ketika haid mungkin juga
menyebabkan Puan mengandung. Ini disebabkan oleh penghasilan mukus yang mungkin bertindih
dengan masa haid, lantas memberikan perlindungan dan juga tempat untuk sperma berlabuh dengan
selamat. Puan harus berwaspada. Kaedah mukus tidak menggunakan alat penyukat suhu badan, ini
memberikan satu kelebihan untuk mereka yang mempunyai kitaran haid yang tidak ketentuan.
Walaubagaimanapun, lelehan mukus ini mungkin terkeliru dan tercelaru jika berlakunya jangkitan
faraj, keghairahan seksual, penggunaan bahan pelicin serta ubat-ubatan yang dimakan.

3 Kaedah symptothermal

Kaedah ini menggabungkan kedua-dua kaedah suhu dan juga penelitian mukus. Tambahan kepada
pengambilan suhu serta penelitian mukus, Puan juga harus berwaspada pada tanda-tanda lain
ovulasi seperti:

n Kesakitan di bahagian abdomen mungkin juga disertai oleh kekejangan.

n Penitikan darah melalui faraj

n Perubahan dengan kedudukan serta keteguhan pangkal rahim

Kaedah ini memerlukan Puan menahan diri dari hubungan kelamin bermula dari kehadiran mukus
atau rasa basah sehinggalah hari ketiga selepas peningkatan suhu badan atau pun empat hari
selepas kemuncak penghasilan mukus. Disebabkan oleh banyak faktor-faktor yang dimasukkan ke
dalam kaedah ini, jadi kaedah ini lebih berkesan dari kaedah-kaedah sebelumnya. Namun begitu,
batasan yang mempengaruhi keberkesanannya juga adalah sama.

4 Kaedah kalendar

Juga dikenali sebagai kaedah beritma, Puan harus merekodkan dengan pasti kitaran haid untuk
selama enam bulan. Kemudiannya satu pengiraan sifir mudah digunakan. Kitaran haid dikira dari 'hari
pertama pendarahan' hinggalah ke 'hari pertama haid yang berikutnya'. Kitaran haid biasanya selama
28 hari, tapi julatnya boleh di antara 23 hingga 35 hari, dan masih dikira sebagai normal. Cara
kiraannya:

n Untuk kitaran haid yang 'terpendek', tolak harinya sebanyak 18 hari. Ini memberikan hari pertama
kesuburan.

n Untuk kitaran haid yang 'terpanjang', tolak 11 hari, ini memberikan hari terakhir kesuburan.

Sebagai contoh, sekiranya sepanjang enam bulan penelitian kitaran haid Puan, didapati kitaran
terpendek adalah 25 hari manakala yang terpanjang pula adalah 35 hari, untuk pengiraan hari
kesuburan Puan:

n Kitaran terpendek - 18 > 25-18 > 7 hari

n Kitaran Terpanjang - 11 > 35 - 11 > 24 hari

Bermakna, hari kesuburan Puan (hari di mana hubungan kelamin perlu dielakkan) bermula pada hari
ketujuh dan berakhir pada hari ke dua puluh empat pada bulan terbabit!

5 Laktasi amenorrhoea

Bermaksud yang Puan tidak akan datang haid disebabkan oleh perubahan hormon badan akibat
daripada penyusuan badan. Hormon prolaktin meningkat, jadi kitaran haid dan juga ovulasi tidak
berlaku, maka kehamilan dapat dielakkan. Untuk kaedah ini berjaya, penyusuan harus dilakukan
secara eksklusif tanpa gangguan dari cara pemakanan bayi secara formula. Selang di antara
penyusuan tidak melebihi 4 jam pada sebelah siangnya dan tidak pula melebihi 6 jam pada malam
hari.

Lagi khusus penyusuan susu badan sahaja dan lagi lama anak menyusu badan, lebih berkesanlah
kaedah ini. Sekiranya penyusuan diselangselikan dengan susu formula, lagi cepatlah kitaran haid
Puan akan bermula. Ini mempercepatkan kebarangkalian untuk mengandung. Kaedah laktasi
amenorrhoea lebih berkesan untuk mereka yang agak berumur disebabkan oleh pertambahan faktor
fisiologi kesuburan yang menurun dengan peningkatan umur.

Secara umumnya, kaedah ini mempunyai dua peratus kebarangkalian untuk mengandung pada enam
bulan pertama selepas kelahiran, tetapi apabila sahaja pendarahan haid kembali, risiko mengandung
memuncak.

Suami sebagai ketua keluarga, harus memberi kerjasama sekiranya bilangan unit keluarga mahu
ditetapkan dan tidak sepatutnya menyalahkan isteri sekiranya kegagalan berlaku.

Suami juga tidak sepatutnya memaksa isteri untuk mempraktikkan mana-mana kaedah perancangan.
Jadilah seorang suami yang bertanggungjawab.

Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor


Pakar Perbidanan dan Sakit Puan
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Anda mungkin juga menyukai