Anda di halaman 1dari 6

ASAL USUL MELAKA

Mengikut Sejarah Melayu, Parameswara yang telah membuka Negeri Melaka


adalah putera dari Palembang Beliau berketurunan daripada Raja-raja Sailendra yang
pernah memerintah Kerajaan Srivijaya.

Pada tahun 1377, kerajaan Srivijaya telah ditawan oleh Kerajaan Majapahit
dimana Pulau Jawa dan Sumatra tunduk di bawah kuasa Kerajaan Majapahit. Pada waktu
itu, Parameswara telah berkahwin dengan seorang puteri raja dari Jawa Timur. Namun
demikian, Parameswara enggan tunduk di bawah kuasa Kerajaan Majapahit. Beliau
mengisytiharkan kemerdekaan secara tersendiri. Ini menimbulkan kemarahan Kerajaan
Majapahit dan telah menyerang Palembang dan Parameswara terpaksa melarikan diri ke
Temasik (Singapura). Pada waktu itu, Temasik berada di bawah kuasa Raja Siam dan raja
yang memerintah Temasik adalah Raja Temagi. Parameswara telah membunuh Raja
Temagi dan mengambil alih memerintah Temasik selama lima tahun. Kematian Raja
Temagi menimbulkan kemarahan Kerajaan Ayuthya di Siam dengan mengutuskan bala
tenteranya untuk menyerang Parameswara. Paramswara melarikan diri ke Muar dan
menetap di situ selama enam tahun. Parameswara berpindah ke Sungai Bertam, Melaka
setelah mendapati Muar tidak sesuai untuk membina petempatan yang baru.

Sejarah Melayu meriwayatkan Parameswara telah membuka Negeri Melaka pada


tahun 1400 dan nama Melaka itu berasal daripada nama sejenis pokok. Parameswara dan
pengikut-pengikutnya sedang berehat di bawah sbatang pokok selepas berburu. Beliau
melihat anjingnya ditendang oleh seekor kancil (pelanduk) hingga terjatuh ke dalam
sungai. Parameswara menganggap peristiwa itu sebagai satu peristiwa yang ganjil lalu
memilih tempat itu untuk dijadikan kerajaan yang baru. Baginda menamakan tempat itu
sebagai Melaka sempen nama pohon tempat baginda berehat. Parameswara
mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka dengan gelaran Raja Iskandar Shah dan
melaksanakan pemerintahan negeri baru ini berasaskan sistem pemerintahan Kerajaan
Srivijaya. Bertitik tolak dari peristiwa ini Melaka muncul sebagai sebuah pelabuhan dan
pusat persinggahan pedagang-pedagang China, India dan Arab. Dan di sinilah
bermulanya Kesultanan Melayu dan keagungan Empayar Melaka.

PERKEMBANGAN EMPAYAR MELAKA

Bermula dari sebuah perkampungan nelayan yang kecil, Melaka muncul sebagai
sebuah pusat perdagangan yang terkenal di gugusan Kepulauan Melayu. Kegemilangan
Melaka banyak bergantung kepada faktor lokasinya yang strategik. Pelabuhan Melaka
terletak pada laluan perdagangan antara Negara India dan China. Pedagang-pedagang
dari Negara India dan China menjadikan Melaka tempat persinggahan bagi mendapatkan
bekalan makanan dan minuman. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Melaka
muncul sebagai pusat perdagangan yang paling penting di Asia Tenggara iaitu, Melaka
merupakan sebuah pelabuhan semulajadi yang terselamat dari ancaman angin Monsun
Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya. Di samping itu, pelabuhan Melaka juga
terletak berhampiran dengan kawasan pengeluaran bijih timah dan rempah ratus. Bahan-
bahan ini merupakan bahan dagangan yang amat penting pada zaman itu.

Parameswara telah menjadikan Melaka sebagai pelabuhan entrepot, iaitu pusat


membeli dan menjual barang dagangan. Untuk menjamin keselamatan Melaka,
Parameswara telah membina kediaman baginda di atas bukit yang berdekatan dengan
muara Sungai Bertam. Ini memudahkan baginda mengawasi kegiatan perdagangan di
Selat Melaka. Parameswara telah menubuhkan sebuah angkatan laut yang terdiri daripada
orang-orang laut untuk mengawasi keselamatan para pedagang yang singgah di Melaka.
Bagi menjamin keselamatan Negeri Melaka, Parameswara telah mengambil langkah
menjalinkan persahabatan dengan kuasa-kuasa luar seperti Kerajaan Siam. Bagi
mengelakkan serangan Siam terhadap Melaka, Parameswara telah menghantar ufti
tahunan ke Siam. Selain dari Kerajaan Siam, Parameswara menjalin hubungan
persahabatan dengan Negara China. Langkah-langkah ini menjadikan Kerajaan Melaka
sebagai pusat perdagangan yang semakin makmur.

Pada abad ke 15, Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa.
Ia menjadi tumpuan dan minat pedagang-pedagang dari timur dan barat. Kemampuan
Melaka menjadi sebuah pelabuhan yang penting di dunia pada zaman ini berdasarkan
kepada beberapa faktor iaitu :

a. Kedudukan yang strategik.


b. Perairan yang dalam dan sesuai bagi kemudahan berlabuh untuk kapal-kapal
besar.
c. Pentadbiran yang cekap dan tersusun.
d. Pelaksanaan undang-undang yang kemas iaitu Undang-undang Laut Melaka
dan Hukum Kanun Melaka.
e. Pelaksanaan sistem cukai yang teratur iaitu sistem cukai berkeutamaan.
f. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.
g. Perluasan Empayar Melaka meningkatkan lagi kemajuan perdagangan.
h. Penggunaan matawang dalam hal ehwal perdagangan.

SISTEM PENTADBIRAN KESULTANAN MELAKA

Sistem pentadbiran kerajaan Melaka dibentuk oleh anggota-anggota sebuah


Majlis Tertinggi. Anggota-anggota majlis ini mempunyai tugas dan tanggungjawab
tersendiri bagi mentadbirkan Negeri Melaka. Di bawah Majlis Tertinggi ini, terdapat 8
orang pembesar negeri yang bergelar Seri. Di bawah peringkat ini pula, terdapat 16 orang
pembesar rendah yang bergelar raja. Peringkat akhir dalam sistem pentadbiran
Kesultanan Melayu Melaka dianggotai oleh 32 orang pembesar kerajaan. Sistem
pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka ini dikenali sebagai Sistem Pembesar Empat
Lipatan.
Sultan

Majlis Tertinggi

Bendahara

Temenggung

Laksamana

Penghulu Bendahari

Pembesar-pembesar Negeri
yang bergelar Seri (8 orang)
termasuk Syahbandar

Pembesar-pembesar Rendah
yang bergelar raja (16 orang)

Pembesar peringkat rendah


(32 orang)

HUBUNGAN KESULTANAN MELAKA DENGAN CHINA

Pada zaman pemerintahannya, Parameswara telah menjalin hubungan


persahabatan dengan Kerajaan China sebagai langkah keselamatan negeri itu. Kerajaan
Ming di bawah pemerintahan Maharaja Yung Lo telah mengiktiraf Parameswara sebagai
Raja Melaka.

Pada tahun 1403, Maharaja China itu mengutuskan Laksamana Yin Ching ke
Melaka. Hubungan erat antara Melaka dan China menyebabkan Kerajaan Srivijaya dan
Kerajaan Siam tidak berani mengancam Kerajaan Melaka. Maharaja China telah
mengurniakan alat-alat kebesaran seperti cap mohor, satu persalinan pakaian daripada
sutera dan payung kuning kepada Parameswara sebagai tanda bahawa Kerajaan China
bersedia melindungi Kerajaan Melaka dari ancaman musuh.

Pada tahun 1409, Maharaja China telah mengutuskan laksamana Cheng Ho ke


Melaka bagi mengeratkan lagi perhubungan Melaka-China dan juga bagi memperluaskan
kawasan perdagangan China di Asia Tenggara. Parameswara juga turut mengantar
rombongan persahabatan ke Negara China.

Pada tahun 1414, Parameswara telah mangkat dan pemerintahan Melaka diambil
alih oleh putera baginda Sultan Mahkota Iskandar Syah. Selepas kemangkatan
Parameswara, hubungan Melaka-China terus dijalin demi kepentingan dan kemajuan
perdagangan Melaka. Hubungan antara Melaka-China bertambah erat apabila Sultan
Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po, anak Maharaja China. Di sinilah
bermulanya kehadiran masyarakat imigrans di Semenanjung Tanah Melayu. Walaupun
persahabatan Melaka-China bertambah erat, namun di zaman pemerintahan Sultan
Muzaffar Shah, Kerajaan Melaka bertambah kuat dan Melaka berjaya menewaskan
serangan tentera Siam di Muar dan Batu Pahat tanpa bantuan Kerajaan China. Pada abad
ke – 15, hubungan Melaka dan China terus renggang apabila Kerajaan China
mengamalkan dasar tutup pintu.

SULTAN-SULTAN MELAKA

Kesultanan Melayu Melaka wujud pada tahun 1400 dan berakhir pada tahun 1511
selepas Kerajaan Melaka ditawan oleh Portugis.

Nama Sultan Tahun pemerintahan

1. Parameswara (Iskandar Syah) 1400 – 1414

2. Sultan Mahkota Iskandar Syah 1414 – 1424

3. Seri Maharaja (Sultan Muhammad Syah ) 1414 – 1444

4. Parameswara Dewa Syah (Raja Ibrahim) 1444 – 1445

5. Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim) 1445 – 1459

6. Sultan Mansur Syah 1459 – 1477

7. Sultan Alauddin Riayat Syah 1477 – 1488

8. Sultan Mahmud Syah 1488 – 1511

9. Sultan Ahmad Syah (mati dibunuh oleh 1511


Sultan Mahmud Syah )
BENDAHARA MELAKA

Pada zaman keagungan, Kerajaan Melaka mempunyai beberapa orang Bendahara


yang berwibawa. Di bawah adalah senarai Bendahara yang telah mentadbir Empayar
Melaka.

1. Seriwa Raja (bapa Tun Perak) -- 1445


2. Tun Ali -- 1445 – 1456
3. Tun Perak -- 1456 – 1498
4. Tun Puteh -- 1498 – 1500
5. Tun Mutahir -- 1500 – 1510
6. Paduka Tuan -- 1510 – 1511

Bendahara merupakan satu jawatan yang amat penting dalam pentadbiran


Empayar Melaka. Di antara Bendahara-bendahara Melaka yang paling terkenal adalah
Tun Perak. Tun Perak merupakan pembina empayar Melaka. Beliau telah merancang
dasar perluasan Empayar Melaka hingga ke Sumatra. Kuasa Kesultanan Melayu Melaka
bertambah kuat apabila Tun Perak berjaya menawan Pahang, Terengganu, Selangor,
Johor, Kedah, Perak, Patani dan Kepulauan Riau-Lingga. Empayar Melaka terus
diperluaskan oleh Tun Perak sehingga ke Pasai, Aru, Rokan, Siak, Kampar, Inderagiri
dan Jambi di timur Sumatra. Menjelang abad ke-15, Melaka menjadi sebuah kuasa
terunggul dan pusat perdagangan yang terbesar di seluruh Kepulauan Melayu, di bawah
kepimpinan Bendahara Tun Perak.

KEJATUHAN EMPAYAR MELAKA

Empayar Melaka berada di puncak keagungan dan kegemilangannya semasa Tun


Perak menjadi Bendahara Melaka. Namun, keagungan dan kegemilangan empayar ini
merosot selepas kematian Tun Perak. Kematian Tun Perak pada tahun 1498
meninggalkan ruang kosong dalam pentadbiran Empayar Melaka.

Jawatan Bendahara telah diganti oleh Tun Puteh, yang sudah lanjut usia. Beliau
tidak berupaya mentadbir Melaka dimana hanya sempat menjadi Bendahara Melaka
selama 2 tahun (1498 –1500). Jawatan Bendahara dipegang oleh Tun Mutahir, bapa
saudara Sultan Mahmud Syah sementara Tun Mutahir merupakan pemimpin golongan
Tamil-Islam yang terkenal pada masa itu dan beliau mengamalkan sikap pilih kasih
dalam mentadbirkan negeri. Tetapi pada akhirnya Tun Mutahir dan keluarganya telah
dijatuhkan hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud Syah. Pada tahun 1510, Paduka Tuan
dilantik sebagai Bendahara Melaka, bagi menggantikan Tun Mutahir manakala
Bendahara Paduka Tuan terlalu tua untuk mentadbir kerajaan kerajaan Melaka yang
terlalu lemah dan kucar-kacir akibat perpecahan dan huru-hara yang kerap berlaku.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kejatuhan Empayar Melaka,


antaranya ialah :
1. Pemerintahan Sultan Mahmud yang tidak cekap.
2. Permusuhan Melayu-Islam dengan Tamil-Islam.
3. Perdagangan yang kian merosot.
4. Sikap ketidakjujuran pedagang asing.
5. Penaklukan Melaka oleh Portugis.