Anda di halaman 1dari 7

Penggunaan Bahasa Kiasan Al-Quran Sebagai Kaedah Berdakwah

Dalam
Menangani Masalah Gejala Sosial Remaja

Sapora Sipon (PhD)


Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

Abstrak

Al-Quran adalah satu mukjizat. Oleh itu, terdapat


keperluan untuk menggunakannya untuk tujuan baik.
Sumber dari al-Quran seperti bahasanya yang indah
boleh digunakan untuk tujuan berdakwah dan
diaplikasi dalam sesi kaunseling. Dewasa ini,
penglibatan remaja dalam masalah gejala sosial
seperti kes jenayah cukup membimbangkan dan
memerlukan perhatian serius serta tindakan proaktif
daripada semua pihak termasuk kerajaan, sekolah dan
ibu bapa. Usaha yang berterusan perlu dilakukan
dalam membantu menangani penglibatan remaja
dalam masalah gejala sosial ini. Penulis, melalui
artikel ini cuba membincangkan penggunaan bahasa
kiasan yang terdapat di dalam al-Quran seperti
metafora, fatamorgana, perumpamaan dan
personifikasi sebagai salah satu medium berdakwah
kepada remaja yang bermasalah. Penggunaan bahasa
kiasan juga boleh digunakan sebagai salah satu
teknik dalam sesi kaunseling. Dalam usaha
memantapkan penulisan mengenai penggunaan
bahasa kiasan dalam usaha berdakwah dan juga
semasa sesi kaunseling, penulis turut memberikan
contoh-contoh ayat-ayat al-Quran.

Pengenalan

Penglibatan remaja dalam masalah gejala sosial seperti kes jenayah cukup
membimbangkan dan memerlukan perhatian serius serta tindakan proaktif
daripada semua pihak termasuk kerajaan, sekolah dan ibu bapa.
Dilaporkan seramai 1,836 pelajar ditangkap oleh polis dalam tempoh
Januari hingga Ogos 2005 kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan
jenayah. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Chia Kwang Chye
berkata 1,516 daripada mereka adalah pelajar Melayu, diikuti 132 pelajar
India,119 pelajar Cina dan bakinya adalah pelajar daripada bangsa lain.

Kesan kepada masalah gejala sosial dikalangan remaja adalah besar.


Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof
Datuk Hamdan Adnan, berkata peningkatan jenayah remaja boleh
mencetuskan aliran negatif dalam masyarakat. Ia bukan setakat soal
jenayah, banyak isu berkaitan perlu diambil kira termasuk soal pemulihan
remaja selepas ditangkap. Selain daripada penglibatan remaja dalam

1
penyalahgunaan dadah, jenayah, seks boleh menyumbang kepada
masalah kesihatan dan kematian pada umur muda. Kesemua ini jika
tidak dikawal akan menjadi satu kebiasaan yang akan membawa
kemudaratan kepada bangsa.

Dalam membincangkan masalah tingkah laku bermasalah, golongan


yang banyak terlibat dengan gejala sosial adalah dari kalangan remaja
Melayu. Contohnya menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, sehingga
Jun 2002 seramai 47,630 rakyat negara ini dijangkiti HIV di mana 70%
terdiri daripada kaum Melayu diikuti oleh Cina (15%) manakala selebihnya
India dan kaum lain. Dari segi jantina, jumlah penagihan dadah di Kedah
dari Januari hingga September 2005, kaum lelaki jauh mengatasi kaum
wanita iaitu ratio 2264 lelaki dan 13 wanita.

Usaha perlu dilakukan dalam usaha menangani penglibatan


remaja dalam menangani masalah gejala sosial. Pihak-pihak yang terlibat
seperti kerajaan, ibu bapa, guru, badan-badan bukan kerajaan telah,
sedang dan akan melaksanakan perlbagai usaha dalam mengurangkan
jumlah remaja yang terlibat dalam gejala sosial. Usaha-usaha murni di atas
dipuji dan perlu berterusan. Penulis melalui artikel ini cuba melihat
bagaimana remaja yang terlibat dengan gejala sosial boleh dibantu
melalui penggunaan bahasa kiasan yang terdapat dalam al-Quran.

Keindahan Al-Quran Dan Penggunaan Unsur Sastera

Al Quran merupakan sebuah kitab suci bagi umat Islam, yang


disampaikan Allah SWT kepada Rasulullah dengan perantaraan malaikat
Jibril. Kitab ini merupakan petunjuk dan aturan hidup yang paling
sempurna yang bertujuan untuk membimbing manusia ke arah
kebahagiaan dan kebaikan. Ayat-ayat dalam Kitab Al Quran ternyata indah
dan menggunakan bahasa Arab dan susunan kalimat-kalimatnya
mengandungi nilai sastera yang sangat sempurna. Keindahan Al Quran
terbukti lagi apabila ia mengandungi kalimat-kalimat yang sangat halus
dan berbagai gaya bahasa kesusasteraan. Contoh gaya bahasa yang
terdapat dalam al-Quran ialah seperti majaz, metafora, perumpamaan,
atau penyerupaan. Dalam Al Quran juga terdapat ayat-ayat yang berpola
atau berirama, yang jumlahnya lebih dari 100 ayat. Namun demikian, Al
Quran memiliki perbedaan besar dengan syair dan merupakan sebuah
karya yang tidak ada duanya.

Keindahan Al-Quran yang berjaya menarik perhatian para bijak


pandai antaranya ialah susunan kata-katanya yang berirama. Susunan
kata-kata Al Quran sedemikian indah dan cantik. Para sasterawan Arab
sejak zaman ketika Al Quran diwahyukan sampai hari ini, mengakui
bahawa bahasa yang dipakai Al Quran berada di luar dari kemampuan
manusia. Hanya Allah SWT yang mampu menyusun kalimat-kalimat
yang sedemikian indah. Sebahagian besar ayat Al Quran memiliki
kesamaan nada pada bahagian akhirnya. Pola ini dalam puisi atau syair
disebut sebagai wazan atau rima. Ayat-ayat Al Quran menggunakan
jalinan rima yang menarik hati dan menyentuh jiwa sehingga
menyebabkan seorang cendikiawan Inggeris, Karbulad ketika
menceritakan pengalamannya saat pertama kali mendengarkan bacaan
Al Quran, mengatakan, “Saya masih terjaga ketika di suatu pagi dini hari,
saya mendengar suara yang sangat indah dan menawan hati. Suara itu

2
adalah suara ayat-ayat Al Quran yang indah dan penuh hakikat. Bersama
suara itu, saya tenggelam dalam alam hakikat. Saya memejamkan mata
dan menghanyutkan diri dalam suara Ilahiah dan memasrahkan diri
kepadanya.”

Penulis berpendapat bahasa kiasan dalam al-Quran perlu dimanfaat


dalam usaha berdakwah dan boleh diaplikasi dalam sesi kaunseling.
Bahasa kiasan boleh dijadikan sebagai medium berdakwah melalui
penggunaan metafora, hiperbola, fatamorgana, perumpamaan,
personifikasi, hiperbola, imageri dan ilustrasi. Tujuan penggunaan bahasa
kiasan adalah pelbagai. Di antaranya, bahasa kiasan sering digunakan
sebagai usaha penceritaan tentang kebesaran Allah swt (Al-Quran; Surah
An-Nur 24:25, Al-Quran; Surah Al-Hasyr 59:21) dan tentang kekufuran
orang-orang kafir (Al-Quran; Surah Al-Jumu’ah 62:5).

Pandangan penulis bahawa penggunaan bahasa kiasan boleh


dijadikan sebagai satu medium berdakwah adalah memandangkan
bahawa bahasa al-Quran adalah sangat indah seperti mana kata-kata Ibn
Qayyim al-Jawziyya, (1909) “The Quran is so wonderfully arranged and so
marvellously composed, and so exalted is its literary excellence that is
beyond what any mere creature could attain.” Sayyid Qutb turut
memperakui keindahan bahasa al-Quran yang menjelaskan banyak
menggunakan ilustrasi, imageri, metafora di mana ia menambahkan
keindahan kepada bahasa itu.

Hasanuddin Ahmad (2006) menjelaskan bahawa Abu Bakr


Muhammed-al-Baqillani (d.403/1013) telah mengenal pasti tidak kurang
dari 34 jenis bahasa kiasan dalam Ijaz Al-Quran. Namun artikel ini hanya
mengambil beberapa contoh penggunaan bahasa kiasan iaitu metafora,
perumpamaan, fatamorgana, personifikasi dan hiperbola sebagai salah
satu medium dalam usaha berdakwah kepada remaja-remaja bermasalah.

Elsayed M.H Omran (1988) mengatakan selain daripada Abu Bakr


Muhammed al-Baqillani, tokok-tokoh lain yang banyak menulis mengenai
keindahan bahasa al-Quran dalam penulisan mereka ialah Abu Jafar
Muhammad b Jariri al-Tabari dalam Tafsir al-Quran, Mahmud b. Umar al-
Zamakhashari di dalam Al-kashshaf, Nasr al-Din al-Baidawi di dalam Tafsir
dan Al-Baqillani di dalam I’jaz al-Quran

Ayat Muhkamat Dan Mutasyaabihaat.

Dalam menerangkan penggunaan bahasa kiasan sebagai medium


berdakwah, penulis merasakan adalah perlu untuk menerangkan terlebih
dahulu apa yang dimaksudkan dengan ayat muhkamat dan
mutasyaabihaat. Ayat al-Quran terdiri daripada ayat muhkamat dan ayat
mutasyaabihaat seperti mana firmannya dalam surah Ali-Imran ayat 7 yang
bermaksud “Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab
suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat
"Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas
maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran.
dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar,
tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbullah faham Yang berlainan
menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada
Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu

3
menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan
mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya).
padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang
sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta
mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami
beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan
tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang
Yang berfikiran.(Al-Quran dan Terjemahannya, 1971)

Ayat muhkamat

Apa yang dimaksudkan dengan ayat muhkamat ialah ayat-ayat yang


terang dan tegas maksudnya, dapat difahami dengan mudah seperti mana
firman-Nya yang bermaksud “Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan
bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan Yang tidak
mengandungi Hikmah dan keadilan; Yang demikian adalah sangkaan orang-
orang Yang kafir! maka kecelakaanlah bagi orang-orang Yang kafir itu dari
azab neraka” . (Al-Quran; Surah Shaad 38:27)

Ayat-ayat Mutasyaabihaat

Sementara itu, ayat-ayat mutasyaabihaat ialah ayat-ayat yang


mengandungi beberapa pengertian dan kita tidak dapat menentukan
maksud ayat kecuali sesudah diselidiki secara mendalam erti ayat-ayat
mutasyaabihaat ini. Pengertian sebenarnya hanya Allah yang mengetahui
seperti ayat-ayat yang berhubungan dengan alam ghaib, mengenal hari
kiamat, syurga, neraka dan lain-lain yang berkaitan.

Contoh ayat mutasyaabihaat ialah apabila ingin mengambarkan


sesuatu yang tidak pernah dialami seperti keadaan syurga dan neraka.
Gambaran syurga dalam surah Ar-Ra’d ayat 35 yang bermaksud
“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang taqwa
ialah (seperti taman) mengalir sungai-sungai didalamnya;buahnya tak
henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan
bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-
orang kafir ialah neraka” (Zamakhshari)

Penggunaan Bahasa Kiasan Dalam Menangani Masalah Sosial


Remaja

Seperti mana yang dijelaskan, artikel ini akan menggunakan bahasa kiasan
seperti metafora, fatamorgana, perumpamaan dan personifikasi sebagai
salah satu cara untuk berdakwah kepada remaja yang bermasalah.

Metafora

Kamus Dewan (2001) mendefinisikan metafora sebagai pemakaian


kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain
daripada makna biasa sebenar sesuatu perkataan itu. Contoh penggunaan
metafora dalam al-Quran ialah “Perumpamaan orang-orang yang
dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah

4
seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya
perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada
memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”.(Surah Al-Jumu’ah 62:5).
Mengikut Al-Quran dan terjemahannya (1971), maksud ayat di atas ialah
Allah swt memberi amaran kepada mereka yang gagal memikul amanah.
Bani Israel yang gagal untuk mengikut suruhan Allah dalam kitab Taurat
diibaratkan seperti keldai yang dibebankan oleh barang berat tetapi tidak
memahami apa yang dipikulnya.

Penggunaan ayat di atas sebagai kaedah berdakwah boleh digunakan


dengan menjelaskan bahawa manusia mempunyai tugas menjalankan
amanah yang diberikan oleh Allah kepada setiap umatnya. Lantaran itu
remaja tidak wajar melakukan perkara-perkara yang dilarang dan wajib
menjalankan amanah yang diberikan itu.

Fatamorgana

Fatamorgana merupakan penggunaan bahasa kiasan yang boleh juga


digunakan sebagai medium berdakwah dalam menangani masalah di
kalangan remaja. Definisi fatamorgana mengikut Kamus Dewan (2002)
ialah sesuatu yang bersifat khayalan logamaya. Contoh ayat yang
menunjukkan penggunaan fatamorgana ialah surah An-Nur ayat 39 yang
bermaksud “Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana
fatarmorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang
dahaga, tetapi bila didatangi air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu
apapun.Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan
kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup cukup dan Allah adalah
sangat cepat perhitunganNya”.

Maksudnya ayat di atas ialah adapun usaha orang-orang kafir,


meskipun kelihatannya baik, tetapi tidak ada pahalanya pada Allah, malahan
usahanya itu seperti bayangan panas di padang pasir, kelihatan dari jauh
seolah-olah air yang jauh nampaknya, tetapi apabila dihampiri tidak
berjumpa air tersebut (Al-Quran dan terjemahan, 1971)

Di sini, penulis berpandangan dalam usaha menjelaskan kepada


remaja-remaja yang bermasalah bahawa segala keseronokan yang
dilakukan tetapi membawa kepada mudarat adalah sebenarnya satu usaha
yang sia-sia sahaja. Ianya adalah seperti sebuah fatamorgana yang mana
sebenarnya keseronokan yang dirasai oleh para remaja ketika melakukan
perkara-perkara yang bertentangan dengan agama adalah palsu.

Perumpamaan

Kamus Dewan (2002) mendefinisikan perumpamaan sebagai sesuatu


yang dijadikan perbandingan. Perkataan yang sering digunakan sebagai
menunjukkan perumpamaan ialah “seperti”. Contoh ayat al-Quran yang
menunjukkan perumpamaan ialah surah al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud
.“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih
keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir
sungai-sungai daripadanya dan diantaranya sungguh ada yang terbelah lalu
keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang

5
meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah
dari apa yang kamu kerjakan”

Selain daripada itu, surah al-Baqarah ayat 261 juga menunjukkan


contoh bahasa perumpamaan. Ayat ini bermaksud “bandingan (derma)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama
seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap
tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan
melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha
Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”

Dalam usaha berdakwah, ayat di atas yang mengandungi bahasa


kiasan perumpamaan boleh disampaikan kepada remaja yang bermasalah
dengan tujuan untuk menjelaskan jika manusia banyak membuat amal
ibadah kepada Allah swt seperti menderma ke jalan Allah, ia akan mendapat
balasan yang berlipatganda.

Personifikasi

Selain daripada metafora, fatamorgana, perumpamaan, bahasa


kiasan lain yang boleh digunakan sebagai usaha berdakwah kepada remaja
bermasalah ialah personifikasi. Erti personifikasi mengikut Kamus Dewan
(2002) ialah pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda yang
tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak untuk medapatkan kesan sastera
atau seni. Contoh penggunaan metafora dalam al-Quran ialah surah Al-Azhab
ayat 72 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah kemukakan
tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang
(untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak
dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan
untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang
ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat
kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.

Langit dan bumi digambarkan sebagai mempunyai sifat manusia iaitu


diberikan tanggungjawab untuk memikul amanah. Berdasarkan ayat di atas
yang mengandungi bahasa kiasan personifikasi, penulis berpandangan
bahawa maksud ayat ini boleh diterangkan kepada remaja bermasalah dalam
usaha untuk menyedarkan mereka bahawa manusia adalah makhluk yang
mempunyai kesediaan untuk memikul amanah yang diberikan oleh Allah swt.
Bagaimanapun, tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan
kezaliman. Remaja diingatkan bahawa mereka juga berupaya untuk memikul
amanah yang diberikan Allah swt sekiranya mereka beriman kepada-Nya.

Kesimpulan

Artikel ini adalah satu penerokaan awal penulis dalam usaha menggunakan
bahasa kiasan yang terdapat dalam al-Quran sebagai salah satu cara
berdakwah kepada remaja yang bermasalah. Dalam usaha melakukan itu,
penulis telah menggunakan bahasa kiasan seperti metafora, perumpamaan,
fatamorgana dan personifikasi dalam usaha memberi kesedaran kepada

6
mereka. Selain daripada itu, penulis juga merasakan bahawa bahasa kiasan
ini juga boleh digunakan dalam sesi kaunseling yang juga bertujuan untuk
menimbulkan rasa kesedaran kepada remaja yang bermasalah ini.

Rujukan

Al-Quran dan Terjemahannya. (1971). Arab Saudi.

Ibn Qayyim al-Jawziyya. (1909). Kitab al-Fawai’id al-mushawwig ila ulum al-
Quran wa’ilm al-bayan. Cairo

Elsayed M.H Omran. (1988). Islam, the Quran and the Arabic Literature. Vol
XIV (1)

Hasanuddin Ahmed. Ulm-ul-Qur’an An Introduction to the Science of the


Qur’an (How to study and Understand the Quran http;//www. netnavigate.
com/ hasan/studyquran/an4.htm

Kamus Dewan (2002). Edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai