Anda di halaman 1dari 11

Kerajaan melayu lama

Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kesultanan di mana kuasa pemerintahan terletak di
tangan pemerintah dan pegawai-pegawai Melayu sepenuhnya. Pemerintah Melayu di Melaka berasal
dari Singapura, iaitu selepas kekalahan Kerajaan Melayu Singapura di tangan Siam. Kesultanan Melayu
Melaka telah bertahan lebih dari satu abad, bermula dari penghujung kurun ke –14 sehingga permulaan
kurun ke-16, iaitu dari tahun 1394 sehingga tahun 1511. Di bawah kekuasaan pemerintah Melayu,
Melaka bukan hanya menjadi sebuah kota perdagangan yang maju tetapi juga merupakan pusat  
penyebaran ajaran Islam kepada seluruh kepulauan Melayu. Selepas kejatuhan Empayar Seri Vijaya dan
Majapahit di penghujung abad ke-14, Melaka telah meneraju dan mengekalkan pemerintahan Melayu di
kepulauan Melayu. Kestabilan politik dan sistem perundangan yang adil berjaya menarik para
pedagang dari segenap pelusuk kepulauan Melayu ke Melaka. Para pedagang dari China, benua kecil
India, Pegu di Burma dan Tanah Arab juga telah datang ke Melaka untuk berdagang.
 
  Kerajaan Melayu Lama
   
Pemerintah Pertama Melaka : Parameswara (1394-
1414)
Pemerintah Kedua Melaka : Sultan Megat Iskandar
Syah (1414 – 1424)
Pemerintah Ketiga Melaka : Sultan Maharaja (Raja
Tengah) atau Sultan Muhammad Syah (1424 – 1445)
Pemerintah Keempat Melaka : Sultan Abu Syahid
(1445 – 1446)
  Pemerintah Kelima Melaka : Sultan Muzaffar Syah
(1446 – 1456)
Pemerintah Keenam Melaka : Sultan Mansur Syah
(1456 – 1477)
Pemerintah Ketujuh Melaka : Sultan Alauddin Riayat
Syah (1477 – 1488)
Pemerintah Kelapan Melaka : Sultan Mahmud Syah
(1488 – 1511)
 
 

Pemerintah Pertama Melaka : Parameswara (1394-1414)


       
Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang. Pada tahun
1390, baginda telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Maharaja
Majapahit dan menjadi pendukung setia kepada bapa mertuanya. Tidak lama
kemudian, Parameswara telah mengingkari janji setianya kepada Maharaja
Majapahit, yang terus menghantar panglima perangnya untuk menghalau
Parameswara dari Sumatera. Parameswara melarikan diri ke Tumasek, iaitu
nama lama Singapura bersama kaum keluarga dan pengikutnya. Pada waktu
    itu, Singapura di perintah oleh seorang Gabenor Melayu dari Patani yang  
dilantik oleh Raja Siam. Gabenor tersebut telah memberikan layanan yang
baik kepada Parameswara tetapi Parameswara telah membunuh Gabenor itu
beberapa hari kemudian dan mengisytiharkan dirinya sebagai Pemerintah
Singapura dan pulau-pulau di sekelilingnya. Parameswara telah memerintah
Singapura selama lima tahun dengan cara pemerintahan seumpama seorang
ketua lanun. 
Pada pertengahan kurun ke-14, Kerajaan Siam yang pada ketika itu sedang mengembangkan kuasa
jajahannya di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu hingga ke negeri Pahang, telah gagal untuk
meluaskan kekuasaannya di Singapura walaupun beberapa percubaan telah dibuat untuk menyerang
Singapura. Ini adalah kerana pada ketika itu kerajaan Majapahit berada di kemuncak kekuasaannya dan
kekuatannya pula ditakuti oleh kerajaaan lain di kepulauan Melayu. Beberapa negeri di sepanjang Selat
Melaka termasuk Tumasek atau sekarang ini Singapura, berada di bawah kekuasaan Majapahit. Sebuah
  angkatan laut Jawa dari Majapahit pernah menyerang Singapura semasa pemerintahan Parameswara.  
Setelah mengalahkan Singapura, mereka telah kembali ke tanah Jawa. Adalah dipercayai bahawa serangan
yang dilakukan oleh Majapahit ke atas Singapura bukanlah faktor kejatuhan kerajaan Singapura dan larinya
Parameswara dari Singapura tetapi sebaliknya Parameswara terus memerintah kerajaannya yang semakin
merosot.

Apabila Parameswara gagal menubuhkan sebuah kerajaan di dua buah tempat di Muar, iaitu di Biawak Busuk
dan Kota Buruk, baginda telah membawa pengikutnya ke suatu tempat yang bernama Sening Ujung atau
sekarang ini dikenali sebagai Sungei Ujong. Parameswara meneruskan perjalanannya hingga sampai ke
muara Sungai Bertam, di mana baginda telah menubuhkan kerajaan Melaka dan menjadi pemerintah pertama
  sekitar tahun 1394. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, Parameswara masih lagi menganut agama Hindu.  
Justeru, penubuhan kerajaan Melayu di Melaka merupakan kesinambungan daripada kerajaan Melayu di
Singapura yang telah jatuh.

Selepas Melaka ditubuhkan, Parameswara mula membangunkan kawasan itu dan mengarahkan
penduduknya untuk bercucuk-tanam dengan tanaman pisang, tebu, ubi keladi dan lain-lain tanaman sebagai
sumber makanan. Baginda sendiri turut menjalankan perniagaan di Melaka. Dalam masa yang singkat, berita
  tentang kota Melaka telah tersebar ke seluruh Malaya, Sumatera, Jawa dan India, yang menyebabkan ramai  
pedagang datang ke Melaka untuk berdagang. Dua tahun selepas Parameswara membuka Melaka,
penduduknya telah berkembang seramai dua ribu orang.

Tidak lama kemudian, berita tentang kota Melaka yang menjadi sebuah pusat perdagangan telah sampai ke
China. Yung-Lo, Maharaja China yang memerintah dari tahun 1402 sehingga tahun 1424, telah menghantar
utusannya yang bernama Ying Ching ke Melaka pada tahun 1405. Kedatangan Ying Ching telah membuka
jalan dalam membentuk hubungan persahabatan di antara Melaka dan China. Pedagang-pedagang Cina
mula singgah di pelabuhan Melaka dan mereka boleh dikatakan antara pedagang yang paling awal menubuh
pengkalan di Melaka. Ketika perwakilan dari Melaka mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja China,
  baginda telah memuji Parameswara dan mengiktiraf Parameswara sebagai pemerintah yang sah di Melaka.  
Maharaja Yung Lo kemudiannya menghadiahkan Parameswara dengan sebuah lambang kebesaran, sutera
dan sekaki payung kuning sebagai tanda kerabat diraja, serta sepucuk watikah pelantikan Parameswara
sebagai pemerintah Melaka. Melaka seterusnya diiktiraf sebagai sebuah kerajaan oleh Maharaja China.
Perwakilan tersebut telah pulang ke Melaka bersama sebuah angkatan kapal yang diketuai oleh Laksamana
Cheng Ho, orang Cina yang pertama berlayar dan mengembara ke kawasan selatan ini.
Pada zaman pemerintahan Parameswara inilah, ramai orang Jawa, India, Cina, Burma dan lain-lain telah
datang untuk menetap di Melaka. Pada tahun 1409, Parameswara telah memeluk agama Islam dan
menggunakan nama Parameswara Iskandar Syah. Dua tahun kemudian, pada tahun 1411, Parameswara
  Iskandar Syah bersama permaisurinya, puteranya serta rombongan diraja seramai 540 orang telah berangkat  
ke China mengikuti Laksamana Cheng Ho untuk mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja Yung Lo.

Pada tahun 1414, Parameswara telah mangkat dan makamnya dipercayai terletak di puncak sebuah bukit di
Tanjung Tuan, yang juga dikenali sebagai Cape Rachado. Parameswara telah menjadikan Melaka sebagai
  sebuah pusat perdagangan yang maju sepanjang pemerintahanannya selama dua puluh tahun. Baginda juga
telah menjalinkan hubungan yang kukuh dengan Maharaja China dengan menghantar seramai enam orang
utusan/perwakilan ke China.

Pemerintah Kedua Melaka : Sultan Megat Iskandar Syah (1414 – 1424)


       
Selepas kemangkatan Parameswara pada tahun 1414, baginda telah
digantikan oleh anakandanya Raja Ahmad yang juga dikenali dengan nama
Raja Besar Muda sebagai pemerintah kedua Melaka. Baginda digelar Sultan
    Megat Iskandar Syah. Sepanjang pemerintahannya, baginda telah membuat  
dua lawatan ke China bagi mendapatkan pengiktirafan dari Maharaja China
serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemerintah Melaka. 
Melaka terus berkembang maju di bawah pemerintahan Sultan Megat Iskandar Syah. Dua kawasan
perlombongan bijih timah dijumpai di bahagian utara Melaka di mana kawasan ini dikawal rapi oleh pengawal
diraja. Pada ketika itu, bijih timah digunakan sebagai matawang di Melaka. Kebanyakan daripada tongkang
dari China yang singgah di Melaka dikenakan cukai. Kayu arang dan damar dihasilkan di kawasan hutan.
Pokok sagu boleh didapati di ladang-ladang sementara di kawasan muara dan pantai pula dipenuhi oleh
pokok nipah. Pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, ubi keledek, ubi keladi, nenas dan ubi kentang
  diusahakan serta berbagai jenis sayuran seperti bawang, halia, sawi, labu dan tembikai juga ditanam.  
Binatang ternakan seperti itik, ayam, kerbau dan kambing turut diternak. Akan tetapi, penternakan kerbau dan
kambing sangat jarang pada ketika itu, disebabkan oleh harga pasaran yang tinggi. Kota Melaka dilindungi
oleh tembok yang dibina sepanjang kawasan pantai. Tembok tersebut mempunyai empat buah pintu yang
setiapnya dikawal rapi oleh para pengawal. Sebuah kubu berpagar turut dibina di dalam kawasan kota Melaka
di mana beberapa gudang digunakan sebagai pusat perbendaharaan dan pembekalan kerajaan.

Sultan Megat Iskandar Syah bersama permaisuri, putera dan pegawai-pegawai kanannya telah mengadakan
lawatan rasmi kedua ke China. Semasa lawatan tersebut, Sultan Melaka telah memohon bantuan daripada
Maharaja China bagi menentang kekerasan dari pihak kerajaan Siam. Sehubungan itu, pada tahun 1419,
Maharaja China telah menghantar perwakilannya ke Siam untuk memberi amaran agar tidak mengganggu
  Melaka. Hubungan di antara Maharaja China dan Sultan Melaka juga turut diperkukuhkan lagi dengan  
penghantaran beberapa perwakilan yang diketuai oleh putera-putera Melaka pada tahun 1420, 1421 dan
1423. Pada tahun 1424, Sultan Megat Iskandar Syah telah mangkat.
Pemerintah Ketiga Melaka : Sultan Maharaja (Raja Tengah) atau Sultan Muhammad Syah (1424 –
1445)
       
Pada tahun 1424, selepas kemangkatan Sultan Megat Iskandar Syah, putera
baginda Raja Tengah, juga dikenali sebagai Radin Tengah, telah ditabalkan
sebagai pemerintah ketiga Melaka. Pada tahun yang sama, Raja Tengah dan
permaisurinya mengadakan lawatan pertama mereka ke China bagi tujuan
memaklumkan kepada Maharaja China tentang kemangkatan ayahandanya
dan juga pertabalan baginda sebagai Sultan. Pada tahun 1433, Raja Tengah
    bersama permaisuri, putera-puteri dan adindanya bernama Radin Bala  
berserta rombongan diraja seramai 228 orang berangkat ke China mengikuti
angkatan laut Cheng Ho. Mereka telah tinggal di China selama dua tahun.
Bermula dari tahun 1434, kerajaan China telah membuat perubahan polisi
dengan mengurangkan tumpuan terhadap negara-negara lain termasuk Asia
Tenggara. 
Pada zaman pemerintahan Raja Tengah, seorang tokoh agama bernama Saiyid Abdul Aziz telah datang ke
Melaka untuk mengembangkan ajaran Islam. Sultan Melaka dan pegawai-pegawai kanannya serta orang-
orang Melayu Melaka menerima ajarannya. Dia juga mencadangkan agar Raja Tengah menggunakan nama
Islam iaitu Sultan Muhammad Syah. Sejurus kemudian, Sultan Muhammad Syah telah melantik beberapa
orang pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran dalaman. Di antara mereka yang dilantik
  adalah seorang Bendahara, yang digelar Seri Wak Raja; adinda Sultan Radin Amin dilantik sebagai Perdana  
Menteri dan diberi gelaran Seri Amar Diraja. Tun Perpatih Besar, anak Tun Perpatih Permuka Berjajar dari
Singapura, dilantik sebagai Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja telah mengahwini
anak kepada Seri Wak Raja dan mendapat seorang anak perempuan bernama Tun Ratna Sandari.

Mani Purindan, orang kaya dari India telah datang ke Melaka berserta angkatan tujuh buah kapal dan telah
disambut dengan baik oleh Sultan Muhammad Syah yang menganggap tarafnya seperti seorang menteri.
Mani Purindan kemudiannya menjadi menantu kepada Seri Nara Diraja apabila berkahwin dengan anaknya
Tun Ratna Sandari. Mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Tun Ali dan seorang anak perempuan
bernama Tun Wati. Tun Wati pula telah dikahwinkan dengan Sultan Muhammad Syah dan dikurniakan
seorang putera bernama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah kemudiannya berkahwin dengan anak
  perempuan kepada pemerintah Rokan dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Ibrahim. Walaupun  
Raja Ibrahim lebih muda dari Raja Kassim, beliau telah dilantik menjadi Raja Muda Melaka oleh Sultan
Muhammad Syah atas permintaan ibundanya, iaitu puteri Rokan, yang merupakan Sultanah Melaka. Pada
zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah juga, Tun Ali, anak Mani Purindan, dilantik sebagai Bendahari
Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar.

Di samping membuat perlantikan beberapa orang pegawai kanan, Sultan Muhammad Syah juga merupakan
pemerintah pertama memperkenalkan pelbagai adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di
antara adat resam itu ialah penggunaan payung, persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara
  kedatangan dan pemergian perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap  
diraja, upacara santapan diraja, keberangkatan diraja ke masjid dan sambutan Hari Raya.

Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah termasuklah
penggunaan warna dan bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan
perhiasan serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang tidak mematuhi
  larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil denda pati. Adat dan larangan yang  
diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh pemerintah Melayu sehingga kini akan
tetapi pada tahap yang lebih ringan.

  Pada tahun 1444, Sultan Muhammad Syah telah mangkat setelah memerintah Melaka selama dua puluh  
tahun. Beliau telah meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Kassim, anakandanya bersama Tun Wati dan
Raja Ibrahim, anakandanya bersama puteri Rokan.
 Pemerintah Keempat Melaka : Sultan Abu Syahid (1445 – 1446)
       
Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada tahun 1445, Raja
Ibrahim, anakandanya bersama Puteri Rokan, telah ditabalkan sebagai
pemerintah keempat Melaka dan diberi gelaran Sultan Abu Syahid. Tun Ali
telah dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja,
menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar. Walaupun
Sultan Abu Syahid merupakan pemerintah Melaka, kuasa pemerintahan
sebenarnya terletak di tangan Raja Rokan, sepupu ibundanya yang telah
datang menetap di Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah.
    Dalam jangkamasa tersebut, Melaka seolah-olah diperintah oleh Raja Rokan  
yang sentiasa berdamping dengan Sultan Abu Syahid. Akibatnya, pegawai-
pegawai kanan Melaka mula membenci Raja Rokan. Raja Rokan tidak
membenarkan Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama
Tun Wati, menetap di istana. Raja Kassim telah dipaksa untuk meninggalkan
istana dan meneruskan hidup sebagai seorang nelayan. Tiada sesiapapun,
melainkan memandanya Tun Ali, yang mengambil berat terhadap dirinya dan
melindunginya dari sebarang ancaman. 
Justeru, Raja Kassim kemudiannya telah berpakat dengan memandanya Seri Nara Diraja untuk menentang
Raja Rokan. Perancangan mereka mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk Melaka yang
sememangnya tidak menyukai Raja Rokan. Seri Nara Diraja dan Raja Kassim juga telah memperdaya
Bendahara Melaka untuk menyebelahi mereka. Satu serangan telah dilakukan pada waktu malam di istana,
dan terjadilah satu pertarungan diantara pengikut Sultan Abu Syahid dan penduduk Melaka yang diketuai oleh
Raja Kassim, Bendahara dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Sewaktu serangan tersebut, Raja Kassim dan Seri
  Nara Diraja Tun Ali cuba untuk memisahkan Sultan Abu Syahid daripada Raja Rokan, tetapi tidak berjaya.  
Apabila Raja Rokan ditikam oleh salah seorang penyerang, dia dengan pantas bertindak balas menikam
Sultan Abu Syahid. Akibatnya, kedua-dua Sultan Abu Syahid dan Raja Rokan telah terbunuh dalam serangan
itu, yang berlaku pada tahun 1447. Kemangkatan Sultan Abu Syahid, walaupun tidak dirancang, merupakan
perkembangan yang penting dalam sejarah Melaka kerana ia telah memastikan kesinambungan dan
kestabilan politik di Melaka.

 Pemerintah Kelima Melaka : Sultan Muzaffar Syah (1446 – 1456)


       
    Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati,  
telah ditabalkan sebagai pemerintah kelima Melaka setelah
kemangkatan Sultan Abu Syahid. Baginda bergelar Sultan Muzaffar
Syah. Setelah pertabalan baginda sebagai pemerintah Melaka, Sultan
Muzaffar Syah telah mengarahkan pegawai kanannya untuk
melaksanakan segala adat istiadat, tradisi dan larangan yang
diperkenalkan oleh almarhum ayahandanya. Sultan Muzaffar Syah
mengahwini anak Seri Amar Diraja, iaitu Perdana Menteri ketika itu
dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Abdullah. 
Apabila Bendahara Seri Wak Raja (I) meninggal dunia, Sultan telah melantik Tun Perpatih Serdang,
anak kepada Allahyarham Bendahara, sebagai Bendahara Melaka dan diberi gelaran Seri Wak Raja
(II). Akan tetapi, Seri Wak Raja (II) telah mengambil nyawanya sendiri dengan meminum racun
apabila beliau tersalah anggap yang Sultan telah murka kepadanya. Beliau meninggalkan seorang
  anak perempuan, Tun Kudu dan dua anak lelaki, Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Sultan  
Muzaffar Syah kemudiannya mengahwini Tun Kudu. Tun Perak yang pada ketika itu tidak
memegang sebarang jawatan di Melaka telah dihantar oleh Sultan Muzaffar Syah untuk mejadi
ketua di Kelang. Seri Nara Diraja pula memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka.

Ancaman yang mendatang dari Ayuthia, ibu negara Siam, menjadi kenyataan dengan terjadinya
serangan ke atas Melaka melalui jalan darat pada tahun 1446. Tun Perak membawa orang-
orangnya dari Kelang ke Melaka untuk menangkis serangan Siam. Daya pertimbangan dan
  kepimpinan beliau yang hebat telah menarik perhatian Sultan. Baginda yang mempunyai harapan  
yang tinggi untuk melihat Melaka terus berkembang maju, telah melantik Tun Perak sebagai
Bendahara.

Peningkatan Tun Perak di persada politik telah mencetuskan ketegangan di antara beliau dan Tun
Ali. Melihat persengketaan di antara dua pemimpin kesayangannya ini boleh membawa kepada
perpecahan di kalangan penduduk Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah mengadakan perbincangan
dengan Tun Ali, yang merupakan seorang duda yang telah berumur pada ketika itu. Tun Ali
bersetuju untuk meneruskan peranannya dengan syarat beliau dibenarkan untuk mengahwini Tun
Kudu, yang merupakan salah seorang isteri Sultan. Sultan Muzaffar Syah berkenan untuk
  menceraikan isterinya itu demi kestabilan politik dan Tun Kudu juga telah bersetuju untuk berkahwin  
dengan Tun Ali, demi kesejahteraan negara. Pengorbanan Sultan Muzaffar Syah dan Tun Kudu
tidak sia-sia. Tun Ali dan Tun Perak menjadi sahabat karib dan sentiasa berkerjasama dalam
membangunkan Melaka. Tidak lama kemudian, Tun Ali sendiri memohon kepada Sultan untuk
melantik Tun Perak sebagai Bendahara. Justeru, Sultan telah melantik Tun Perak sebagai
Bendahara dengan gelaran Paduka Raja di sekitar tahun 1456.

Kerajaan Siam, yang berpusat di Ayuthia, berazam untuk menakluki Melaka walaupun serangan
mereka sebelum ini melalui jalan darat telah berakhir dengan kekalahan di pihak mereka. Pada
tahun 1456, sewaktu pemerintahan Raja Boromo Trilokanat, Siam telah membuat rancangan untuk
menyerang Melaka melalui laut. Apabila Kerajaan Melaka mengetahui tentang rancangan ini, ia
telah mempersiapkan angkatan lautnya dan membuat keputusan untuk mematahkan serangan
Siam di Batu Pahat. Angkatan tersebut diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah,
seorang pahlawan yang digelar Datuk Bongkok. Satu pertempuran sengit telah berlaku di antara
kedua belah pihak dan ini merupakan peperangan yang pertama bagi Melaka. Namun demikian,
  Melaka yang mempunyai kelebihan dari segi kemahiran dan pengetahuan telah berjaya menghalau  
angkatan Siam hingga ke Singapura dan seterusnya memaksa mereka pulang. Kemenangan
Melaka dalam peperangan ini telah menyuntik semangat baru dalam menyusun strategi untuk
mengembangkan pengaruhnya di kepulauan Melayu. Kemenangan ke atas Siam juga telah
membawa kepada kestabilan politik di Melaka dan mengukuhkan lagi reputasinya di Asia Tenggara.
Namun demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mangkat selepas serangan dari Siam itu pada tahun
1456.

 
 Pemerintah Keenam Melaka : Sultan Mansur Syah (1456 – 1477)
       
Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakandanya Raja
Abdullah telah ditabalkan menjadi pemerintah keenam Melaka dan
dikenali sebagai Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah
mengahwini Tun Putih Nur Pualam, anak kepada Tun Ali dan telah
    dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Pada awal  
pemerintahan baginda di Melaka, Sultan Mansur Syah telah
mendengar tentang Pahang, yang ketika itu dikenali sebagai Pura,
yang terkenal dengan sungainya yang besar, sumber emas dan hutan
yang luas. 
Namun begitu, Pura berada di bawah pemerintahan sebuah keluarga diraja Siam dan dikuasai oleh
kerajaan Siam. Justeru, baginda membuat keputusan untuk menaklukinya dengan menghantar
sebuah angkatan yang terdiri dari dua ratus buah kapal, diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh
Tun Hamzah Datuk Bongkok, pemerintah pasukan tentera darat dan pegawai-pegawai tentera yang
lain. Sejurus tiba di Pahang, peperangan meletus di antara orang-orang Pahang dan Melaka.
Pahang, yang diperintah oleh Maharaja Dewa Sura, telah dapat dikalahkan dengan mudah dan
pemerintahnya terpaksa melarikan diri ke utara Pahang menerusi Sungai Pahang. Walau
bagaimanapun, beliau berjaya ditawan oleh pihak Melaka dan diserahkan kepada Tun Ali. Angkatan
  Melaka telah pulang ke Melaka dengan kemenangan dan membawa bersama mereka Maharaja  
Dewa Sura dan anaknya, Waning Seri atau Onang Seri yang dipersembahkan kepada Sultan
Mansur Syah. Ini merupakan kali pertama Melaka menakluki negeri lain. Sultan Melaka melantik
Tun Hamzah Datuk Bongkok sebagai wakil baginda untuk mentadbir negeri Pahang. Puteri Waning
Seri telah memeluk agama Islam dengan nama Puteri Lela Wangsa dan berkahwin dengan Sultan
Mansur Syah. Selain Pahang, beberapa negeri lain seperti Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga
dan Tunggal juga berada di bawah penguasaan kerajaan Melaka.

  Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, terdapat sembilan orang pemuda yang terkenal  
dengan keberanian mereka dan oleh itu, telah dilantik oleh Sultan sebagai pegawai tentera baginda.
Mereka adalah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang
Iskandar, Hang Hasan dan Husain. Hang Tuah merupakan yang paling cerdik dan berani di antara
mereka. Oleh yang demikian, dia telah dianugerahkan gelaran Laksamana oleh Sultan dan dikenali
sebagai Laksamana Hang Tuah.
Semasa Sultan Mansur Syah mengadakan lawatan ke Majapahit, beliau telah membawa bersama
Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang
Lekiu. Ketibaan mereka telah disambut baik oleh pemerintah Majapahit. Ketika berada di Majapahit,
para pegawai tentera Melaka yang terkenal dengan kehebatan mereka, terutamanya Hang Tuah,
telah mempamerkan kemahiran mereka dalam penggunaan senjata dan ini telah menarik perhatian
penduduk dan pemerintah Majapahit. Pemerintah Majapahit kemudiannya mengahwinkan anaknya,
Radin Galuh Cendera Kirana dengan Sultan Mansur Syah. Mereka dianugerahkan seorang putera
bernama Radin Kelang. Walau bagaimanapun, Radin Kelang meninggal dunia pada usia remaja
akibat ditikam oleh seorang penduduk yang mengamuk di kota Melaka. Pemerintah Majapahit juga
telah menyerahkan pemerintahan Inderagiri dan Siatan kepada Sultan Melaka. Ini menguatkan lagi
pengaruh Melaka di kawasan tersebut.
Hubungan diplomatik di antara China dan Melaka menjadi lebih akrab pada zaman pemerintahan
Sultan Mansur Syah. Sultan telah menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya ke China
dengan membawa warkah baginda kepada Maharaja China. Maharaja China kagum dengan
kemashyuran dan keagungan Sultan Mansur Syah lalu memutuskan untuk mengahwinkan puterinya
Hang Li Poh dengan Sultan. Seorang pembesar negeri berserta lima ratus dayang-dayang telah
mengiringi puteri Hang Li Poh ke Melaka. Setelah Hang Li Poh memeluk Islam, Sultan pun
mengahwininya dan membina sebuah istana untuknya di atas sebuah bukit yang sehingga kini
dikenali sebagai Bukit Cina.

Walaupun Sultan Mansur Syah mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap Hang Tuah dan
sahabat-sahabatnya, satu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan baginda murka kepada Hang
Tuah. Ianya berpunca dari satu fitnah terhadap Hang Tuah, menuduhnya mengadakan hubungan
sulit dengan salah seorang dayang di istana. Lantas, Sultan menitahkan Tun Ali untuk membunuh
Hang Tuah. Namun, Tun Ali menganggap Hang Tuah adalah seorang yang mempunyai
keperibadian luar biasa dan tidak harus dipersiakan. Lalu, dia memberanikan diri untuk
membohongi Sultan. Tun Ali tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya bertindak
menyembunyikannya di sebuah kampung yang terpencil dan melarangnya keluar dari kawasan
kampung itu. Tun Ali kemudiannya memberitahu Sultan bahawa Hang Tuah sudah dibunuh. Apabila
  Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah, mendapat berita tersebut, dia begitu marah lalu membuat  
noda atas seorang dayang di istana. Walaupun Sultan mengarahkan Hang Jebat dibunuh, namun
tiada sesiapapun yang berani berhadapan dengannya. Pada ketika itulah, Sultan terkenangkan
Hang Tuah kerana sekiranya dia masih hidup, hanya dia sahaja yang mampu mengalahkan dan
membunuh Hang Jebat. Tun Ali kemudiannya memberitahu keadaan yang sebenarnya kepada
Sultan, bahawa Hang Tuan tidak dibunuh tetapi disembunyikan olehnya. Sultan memerintahkan
agar Hang Tuah dibawa keluar dari tempat persembunyiannya untuk membunuh Hang Jebat. Atas
perintah Sultan, berlakulah pertarungan di antara dua sahabat karib yang berakhir dengan kematian
Hang Jebat di tangan Hang Tuah.

Apabila Melaka semakin makmur dan ekonominya bertambah maju, Sultan Mansur Syah telah
membina sebuah istana yang besar lagi indah di kaki Bukit Melaka. Istana itu merupakan
kebanggaan kerajaan Melayu kerana ianya bukan sahaja melambangkan kekayaan, kemajuan dan
kekuasaan Melaka malah turut mempamerkan kecemerlangan dan keistimewaan ciri-ciri senibina
Melayu. Istana tersebut telah dibina oleh tukang-tukang kayu Melayu di bawah arahan Tun Perak.
Walau bagaimanapun, istana tersebut telah hangus di dalam satu kebakaran tidak lama selepas
Sultan Mansur Syah mendiaminya. Namun barang-barang berharga yang berada di dalam istana itu
sempat diselamatkan oleh pegawai-pegawai istana. Sultan kemudiannya telah mengeluarkan
perintah untuk membina sebuah istana baru sebesar dan seindah istana dahulu. Setelah ianya siap
dibina, Sultan mendiami istana baru itu.
Melaka telah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah empayar pada zaman
pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ia bukan sahaja kaya dan makmur hasil dari kemajuan
  perdagangannya, malah ia telah berjaya menakluki beberapa buah negeri di kepulauan Melayu  
sebagai jajahan empayarnya. Pemerintah dari negeri-negeri ini akan datang ke Melaka selepas
perlantikan mereka bagi mendapatkan restu dari Sultan Melaka. Mana-mana pemerintah yang telah
digulingkan di negeri sendiri turut datang ke Melaka bagi mendapatkan bantuan Sultan untuk
memperolehi kembali kekuasaan mereka. Salah satu contoh adalah ketika Sultan Zainal Abidin,
pemerintah di Pasai yang telah digulingkan oleh kaum kerabatnya sendiri, telah datang ke Melaka
dan merayu kepada Sultan Mansur Syah untuk membantunya mendapatkan semula takhtanya.
Sultan menghantar sepasukan tenteranya ke Pasai, yang kemudiannya berjaya mengalahkan orang
Pasai. Justeru, Sultan pun melantik semula Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di Pasai.
Walaupun kemenangan ini tidak menjanjikan kesetiaan pemerintah di Pasai kepada Melaka, ianya
jelas mempamerkan keupayaan dan keadilan Sultan Melaka dan juga sikap saling membantu yang
wujud di antara pemerintah dan kerajaan.

  Kekuatan politik Melaka dapat dilihat melalui suatu peristiwa yang berlaku dalam sebuah permainan  
bola raga, di mana sepakan bola Tun Besar, iaitu anak Tun Perak, secara tidak sengaja terkena
Raja Mohammad, anakanda Sultan Mansur Syah. Bola itu terkena tanjak Raja Mohammad, lalu ia
jatuh ke tanah. Dalam kemarahan, Raja Mohammad dengan serta-merta menikam dan membunuh
Tun Besar. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan ahli keluarga Tun Besar yang
mahu membalas dendam dengan membunuh Raja Mohammad. Namun demikian, Tun Perak telah
berjaya menghalang mereka dari meneruskan tindakan khianat itu dengan mengisytiharkan bahawa
dia tidak lagi dapat menerima Raja Mohammad sebagai pewaris kepada Sultan. Akibat dari
peristiwa ini, Sultan Mansur Syah mengarahkan anakandanya itu meninggalkan Melaka dengan
melantiknya sebagai pemerintah di Pahang. Peristiwa ini jelas menunjukkan kesetiaan Tun Perak
kepada Sultan, keadilan Sultan kepada rakyatnya, kasih sayang baginda kepada anakandanya,
perlaksanaan hukuman ke atas pesalah serta kekuatan seorang Sultan yang ditaati.

Melaka mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ramai
peniaga dan pedagang dari merata tempat, telah datang ke Melaka untuk berniaga. Melaka juga
merupakan sebuah pusat pengembangan ajaran Islam di kepulauan Melayu. Banyak negeri di
semenanjung tanah Melayu, kepulauan Riau-Lingga dan Sumatra berada di bawah naungan
Melaka, antaranya ialah Pahang, Sungai Ujung, Jeram, Langat, Inderagiri, Palembang, Jambi,
  Lingga, Tungkal, Siantan, Brunei, Bentan, Kampar dan Siak.  
Namun, ketika Melaka berada di kemuncak kecemerlangannya, Sultan Mansur Syah telah mangkat
pada tahun 1477 setelah memerintah Melaka selama dua puluh satu tahun. Baginda sememangnya
termasyhur sebagai seorang pemerintah Melayu yang banyak menyumbang dalam
mempertahankan kedaulatan Melayu.

Pemerintah Ketujuh Melaka : Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 – 1488)


       
Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakandanya Raja
Hussain telah ditabalkan sebagai pemerintah ketujuh Melaka,
menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda masih
muda ketika ditabalkan dan cukup terkenal dengan kekuatan dan
keberaniannya. Pada awal pemerintahan Sultan Alauddin Riayat
    Syah, banyak kejadian rompakan dan kecurian telah berlaku di  
Melaka sehinggakan laporan tentang kejadian sedemikian diterima
pada setiap malam. Apabila Sultan dimaklumkan tentang perkara
tersebut, baginda bertekad untuk menghapuskan ancaman ini dengan
menangkap dan menghukum mereka yang bersalah agar rakyatnya
dapat hidup dengan aman. 
  Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, beberapa pemerintah asing termasuklah
seorang pemimpin dari Maluku yang telah tewas di tangan musuhnya, seorang pemimpin dari
Rokan serta seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai Terengganu, telah datang
ke Melaka untuk memberi penghormatan kepada Sultan. Kedatangan mereka telah disambut baik
oleh Sultan. Sultan sangat berbesar hati menerima pemerintah dari Maluku itu kerana
kemahirannya yang cukup hebat dalam permainan sepak raga.
Pada tahun 1488, setelah memerintah Melaka selama sebelas tahun, Sultan Alauddin Riayat Syah
mangkat pada usia tiga puluh tahun. Baginda kemudiannya turut dikenali sebagai Marhum Berdarah
Putih dan dimakamkan di Pagoh, berdekatan dengan Muar. Namun, tiada penjelasan mengapa
Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, yang terletak agak jauh dari Melaka. Ini mungkin kerana
Pagoh sudah lama mempunyai kaitan dengan pemerintah Melayu di Melaka. Beberapa makam
pemerintah Melayu yang lain juga terletak di Pagoh.

Pemerintah Kelapan Melaka : Sultan Mahmud Syah (1488 – 1511)


       
Selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Syah pada tahun 1488,
anakandanya Raja Mahmud ditabalkan sebagai pemerintah kelapan
Melaka. Baginda menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah dan
masih muda ketika ditabalkan sebagai pemerintah Melaka. Oleh yang
demikian, Melaka diletakkan di bawah pentadbiran Tun Perak, yang
    dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Pembesar-pembesar  
Melaka terdiri daripada Tun Tahir Seri Nara Diraja sebagai Bendahari,
Tun Mutahir sebagai Temenggung Seri Maharaja yang
bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri, Hang Tuah
sebagai Laksamana yang memimpin angkatan laut Melaka dan Tun
Kerutup Seri Bija Diraja sebagai pemerintah angkatan darat. 
Bendahara Paduka Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 setelah berkhidmat di bawah
empat orang Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar, Sultan Mansur, Sultan Alauddin dan Sultan
Mahmud. Sultan Mahnud Syah kemudian melantik Tun Perpatih Putih, adik kepada Bendahara
Paduka Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang baru dan dikenali sebagai Bendahara Putih.
Apabila Sultan Mahmud meningkat dewasa, baginda mengahwini saudara sepupunya, anakanda
  kepada Sultan Pahang, Sultan Muhammad Syah. Mereka dikurniakan dua orang puteri dan seorang  
putera yang bernama Raja Ahmad. Apabila Bendahara Tun Perpatih Putih meninggal dunia, Sultan
Mahmud melantik Tun Mutahir Temenggung Seri Maharaja, adik kepada ibundanya sebagai
Bendahara Melaka yang baru dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Anaknya Tun Hasan pula
dilantik menjadi Temenggung dengan gelaran Temenggung Tun Hasan.

  Kota Melaka semakin berkembang maju dengan kedatangan pedagang-pedagang asing selepas  
perlantikan Tun Mutahir. Ini adalah kerana kebijaksanaan dan kelancaran pentadbiran Bendahara
Seri Maharaja dan kebolehannya menarik pedagang-pedagang asing untuk datang ke Melaka.
Apabila isteri Sultan Mahmud, puteri Pahang, mangkat, baginda berhasrat untuk mengahwini
seorang puteri yang rupawan yang dipercayai tinggal di Gunung Ledang. Puteri itu telah
menetapkan beberapa syarat yang perlu ditunaikan oleh Sultan Mahmud sebelum baginda dapat
mengahwininya dan syarat-syaratnya termasuklah sejumlah besar emas dan perak serta
semangkuk darah Raja Ahmad, putera Sultan yang masih kecil. Oleh kerana tidak sanggup
memenuhi syarat yang terakhir itu, Sultan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan
hasratnya mengahwini puteri tersebut. Walau bagaimanapun, sukar untuk dipastikan samada
peristiwa ini benar-benar berlaku atau hanya sekadar satu lagenda. Namun, kisah ini kerap
diceritakan secara turun temurun di kalangan orang-orang Melayu Melaka dan Johor.
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia pada
usia yang lanjut. Beliau telah diberikan acara pengkebumian rasmi dan disemadikan di Tanjung
Keling, Melaka. Sultan kemudiannya melantik Khoja Hasan, menantu kepada Hang Tuah sebagai
Laksamana Melaka yang baru dan dikenali sebagai Laksamana Khoja Hasan.

Di sekitar tahun 1500, Melaka masih berada di kemuncak kekuasaan dan kegemilangannya. Kota
Melaka menjadi pusat empayar Melayu yang unggul dan juga pusat perdagangan bagi kain dari
India, tembikar dan sutera dari China dan rempah ratus dari kepulauan Melayu, serta markas aktiviti
pengembangan Islam di kepulauan Melayu.
  Pada tarikh 11 September 1509, semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan Tun Mutahir sebagai
Bendahara, satu angkatan Portugis yang terdiri daripada lima buah kapal besar yang diketuai oleh
Diego Lopez de Sequeira telah mendarat di pelabuhan Melaka. Kedatangan orang-orang Portugis
ini membawa petanda buruk kerana sejurus kemudian bermulalah keruntuhan dan kejatuhan
Kesultanan Melayu Melaka.

Anda mungkin juga menyukai