Anda di halaman 1dari 7

JUBAH UNTUK IBU

by Ahmad Khairilanwar on Sunday, October 24, 2010 at 2:40am

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat
ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along
hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni
dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam
Angah dengan Alang tu.. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah
kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula
dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu
tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa
kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar
namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga
tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la
kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah,
rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit
bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau
bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu
menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang
mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat
menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya
namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya
lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak
jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along.
Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada
manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu.
Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia
asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu
marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak
pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke
sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat
menjeling ibu di sebelah.

Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan
kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah
dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia
berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di
tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa
pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan
badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada
pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya
kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu.

Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu
dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati
dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada
ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi.
Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu
cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani
perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya,
hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus
menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ.
Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan
kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-
mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke
dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along
terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

“ Ibu...ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan.
Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya
enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak
bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang
telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar,
tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas
mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil
Along.

“Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si
ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo
patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik,
ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali
tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain,
diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah
masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek
kehairanan.

Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu
ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu,
pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah
ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-
bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along
anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya.
Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-
jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah.
Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung
bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along
melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba
disentuh seseorang. Dia segera menoleh.

Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin
tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat
sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak
kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less
50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.. “Betul ke ni Riz?
Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti
bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la.. Aku tak cukup
duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan.

Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-
sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu
berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada
berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along
menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu.
“Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual
dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan
Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di
ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa
lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup
makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi
di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan
arwah ayahnya.

“Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-
tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak
makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam..
Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa
yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi
ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat
ibu susah hati.

 
Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang
sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-
kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk
membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah
daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah
berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat
sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya
memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera
mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-
kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along
nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan
cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat
subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar
daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan
bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.

Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong
agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke
Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima
bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima
belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia
dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu
sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan
Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi
kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang
baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak
membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau
aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi
bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan.
“Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?”

Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar.
Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe
segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang
Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along
mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba
menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun
impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa
dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along pendek.

 
“Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…
atau….” Along menggeleng-gelengka n kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam
pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke
arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “ Ala , gurau ja la Abang Joe.
Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”.
Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum
mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu
baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita
mahu menghantar ibu ke Mekah..

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu,
petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu
makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya
beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang
mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu
pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu.

Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang
yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi.
“Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau
kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum
memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya
rasa tak mampu nak balas budi baik abang.. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin
maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang
memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang
diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu
disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari
rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh
menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar
pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu
aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang.

“Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi.
“Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok,
lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz.
Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan
sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” ,
soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along.
“Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik
kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi
hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?”
“Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi.
“Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu
aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu
untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan
wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke
Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang
cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along
dari depan yang tidak sempat mengelak.

Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan
yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut
daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si
ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya
itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin
membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat
orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus
dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila
dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat
mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang
keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan
cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.

“Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman


terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya
sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi.
Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang
menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-
lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan
Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya.
Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. 

Buat ibu yang sangat dikasihi, 

Ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta
sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu.. Along janji tak kan membuatkan ibu marah
lagi.

Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah
ini…

UNTUKMU IBU! 
Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga
perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan
pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing,
Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang
dipendamnya selama ini.

“Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan
tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat
kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam.
Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh
dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si
ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana
kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya
dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu.
Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang
makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik
dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat
menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah.
Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan
pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

Anda mungkin juga menyukai