Anda di halaman 1dari 15

BONGAI - Lagu Tradisional Negeri Sembilan

PENGENALAN

Bongai adalah suatu kesenian yang tidak asing bagi masyarakat di Negeri Sembilan. Bongai
boleh dikatogerikan sebagai lagu-lagu tradisi untuk masyarakat Negeri Sembilan khasnya, dan
Malaysia amnya. Ia boleh disama taratkan dengan 'Dondang Sayang' bagi Negeri Melaka,
'Ghazal' bagi Negeri Johor, 'Dikir Barat' bagi Negeri Kelantan, 'Boria' bagi Pulau Pinang dan
berbagai kesenian dalam bentuk 'lagu' di negeri-negeri lain.

Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, khususnya di
dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan. Namun, dalam dekad 1980 an dan
1990 an, Bongai kurang mendapat perhatian daripada jenerasi muda, kerana saingan dengan
lagu dan muzik moden yang semakin berleluasa ketika ini. Walau bagaimanapun, bagi
masyarakat lama yang pernah mengalami dan merasai kehidupan dalam zaman kegemilangan
Bongai, sekitar tahun-tahun sebelum 1970an, persembahan Bongai seolah-olah menjadi suatu
nostalgia bagi mereka. Lantaran itu, mereka masih memerlukan Bongai untuk persembahan
pada hari perkahwinan anak-anak mereka.

ASAL PERKATAAN BONGAI

Berbagai pandangan telah dibuat mengenai Bongai. Ada pendapat yang mengatakan bahawa
perkataan Bongai adalah perkataan yang tersendiri dan tidak ditiru daripada mana-mana
perkataan pun. Encik Udin Bin Russin atau lebih dikenali sebagai Pak Din Bongai, iaitu salah
seorang penyanyi Bongai yang aktif di Negeri Sembilan, mengatakan bahawa nama Bongai
berasal daripada perkataan 'Bong dan Lai' yang bererti 'sayang'.

Ismail Abdul Hadi didalam bukunya, mengulas : Seorang tokoh budaya tempatan Abdul Latif
Oyek, memberi pengertian bahawa perkataan 'bongai' adalah dicipta dari dua perkataan, iaitu
perkataan 'bong' dan perkataan 'aye'. Perkataan 'bong' memberi maksud 'seseorang yang
dihormati', sementara perkataan 'aye' bererti saya ". (Lihat, Ismail Abdul Radi, 'Bongai ,
Nyanyian Tradisional Negeri Sembilan', Grup Penulis Guru Negeri Sembilan Jabatan
Pendidikan Negeri Sembilan, Seremban, 1996, halaman 4).

Walau apapun asal usul perkataan 'Bongai' tersebut, namun yang paling utama ialah,
persembahan Bongai mempunyai keunikannya yang tersendiri dan telah diterima sebagai
1
identiti lagu bagi Negeri Sembilan (mulai 1997) serta telah mula diterima oleh kebanyakan
masyarakat di negeri ini.

SEJARAH ASAL USUL

Bongai dipercayai satu-satunya lagu rakyat yang asli kepunyaan masyarakat Negeri Sembilan.
Begitulah pendapat yang penuh meyakinkan yang diberi oleh Encik Udin Bin Russin, atau Pak
Din Bongai salah seorang penggiat Bongai yang masih terdapat di Negeri Sembilan. Pendapat
ini telah disokong oleh ramai ahli kumpulan Bongai Seri Petasih di Kampong Kepis, Kuala
Pilah.

Namun bagi kebanyakan pengkaji, Bongai dikatakan berasal daripada Sumatra Barat,
Indonesia, yang dibawa masuk oleh orang-orang Minangkabau, semasa mereka berhijrah ke
Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. Keadaan ini disebabkan oleh wujudnya persamaan
antara lagu kesenian rakyat Minangkabau yang diberi nama 'Berbilang Panjang' dengan 'Lagu-
lagu Bongai'. Persamaan ini meliputi inti dan cara ia dipersembahkan.

APA ITU BONGAI

Dalam pemahaman mudah, 'Berbongai' bererti berbalas pantun yang disampaikan dalam
bentuk lagu oleh para pemantunnya. Bongai adalah sejenis lagu rakyat tradisional Negeri
Sembilan yang dinyanyikan secara solo atau berduet atau beramai-ramai. Namun, konsep
persembahan adalah, hanya seorang sahaja boleh menyanyi atau berpantun dalam satu-satu
masa. Orang lain tidak boleh menyanyi atau mengacau ketika lawan atau pasangannya
sedang menyanyi.

Persembahan secara solo boleh dinyanyikan oleh samada lelaki atau wanita. Begitu juga, jika
dipersembahkan secara berduet, ia boleh menggunakan pasangan lelaki dan wanita atau
lelaki kedua-duanya atau wanita kedua-duanya. Jika persembahan dibuat beramai-ramai, ia
mengekalkan konsep asal, iaitu hanya seorang sahaja boleh menyanyi dalam satu-satu masa,
yang kemudiannya disahut atau disambut oleh orang lain dalam kumpulan yang sama. Rajah 2
dan Rajah 3 di bawah menunjukkan bagaimana Pembongai berbalas pantun.

Pembongai Pertama adalah orang yang memulakan nyanyian dan ia harus bijak
memulakan nyanyiannya dengan pantun yang indah. Pembongai Pertama ini
bertanggungjawab memilih,
1. lrama yang ingin dinyanyikan seperti lrama Petasih. Budu Landai. Cantik
Manih dll. Dan
2. Tema persembahan seperti cinta, adat dll.
2
Pembongai Kedua pula akan menjawab pantun yang di jual oleh Pembongai
Pertama tadi. Semasa menjawab pantun, ia mestilah menggunakan irama dan
tema yang sama. lrama dan tema yang digunakan oleh Pembongai Pertama
tidak harus atau tidak boleh ditukar oleh Pembongai Kedua. lrama dan Tema
mesti dikekalkan biar pun berbongai hingga ke pagi. Irama dan Tema hanya
boleh ditukar apabila sesuatu lagu baru dimulakan.

Untuk pantun ketiga ia boleh dijawab oleh sama ada Pembongai Pertama semula
atau Pembongai Ketiga. lrama dan Tema masih dikekalkan dan tidak boleh
ditukar. Begitulah seterusnya.

Rajah 2 : Carta memberi gambaran bahawa Irama dan Tema Bongai mesti sama di dalam
sesuatu lagu yang dipersembahkan walaupun mereka berbongai hingga ke dini hari.

Rajah 3 : Pantun-pantun yang dijual semasa berbongai boleh dijawab oleh sesiapa sahaja
daripada kalangan Pembongai

NAMA LAIN

Di tempat-tempat tertentu, di Negeri Sembilan, perkataan Bongai kurang popular dikalangan


penggiatnya kerana mereka mempunyai nama yang tersendiri bagi lagu t.radisional tersebut.
Di kawasan Kepis umpamanya, lagu-lagu bongai lebih popular dengan panggilan 'Lantak
Kudo' yang sama maksudnya dengan 'Rentak Kuda'.

Selain itu, nama 'Petasih' juga sering digunakan bagi menggantikan nama Bongai. Namun,
ketika ini, iaitu dekad 1990an, masyarakat Negeri Sembilan mula memanggil lagu-lagu
tradisional ini dengan nama 'Bongai' iaitu istilah yang diguna dan diterima pakai oleh pihak
kerajaan Negeri Sembilan.

MASA DINYANYIKAN

Bongai tidak dapat dipisahkan daripada majlis perkahwinan di Negeri Sembilan. Namun ia
bukanlah suatu kemestian yang wajib dilaksanakan apabila kenduri kahwin hendak
dilangsungkan. Sehingga tahun-tahun 1950 an, 'berbongai' didalam kenduri dan adat
perkahwinan adalah suatu yang amat perlu, dan seolah-olah tidak lengkap jika tidak
berbongai.

Didalam sesuatu majlis perkahwinan, berbongai biasanya dilangsungkan mulai jam sepuluh
atau sebelas malam hinggalah kesubuh, iaitu sebelum tarhim atau azan di surau. Ketika ini,

3
Bongai berperanan sebagai penghibur, dan seterusnya mengelakkan kebosanan kepada
orang ramai yang sedang sibuk membuat persiapan kenduri kahwin tersebut.

BENTUK atau TEMA

Usik mengusik, berkasih sayang, asam garam rumah tangga dan kehidupan sekampung
adalah merupakan tema yang popular di dalam sesebuah persembahan bongai. lni bermakna
bahawa, para pembongai akan mencipta dan menyanyi berasaskan kepada tema yang
dimulakan oleh penyanyi yang pertama atau penjual pantun yang mula-mula.

Keadaan ini berlaku kerana, setiap pantun yang dijual dan yang dibeli oleh pembongai harus
mempunyai kaitan dan kesinambungan bagi sesuatu irama yang dipilih. Tema-tema yang berat
seperti peperangan, kepahlawanan, kepimpinan dan sebagainya amat jarang menarik minat
pembongai.

TEMPAT PERSEMBAHAN

Bagi kebanyakan kesenian lain, persembahannya sudah pasti memerlukan tempat yang
sesuai agar ia kelihatan lebih menarik. Namun bagi Bongai, tidak ada tempat khusus untuk
persembahannya. Bongai boleh dipersembahkan di atas rumah, atau tempat-tempat yang
terbuka dan boleh didengari serta ditonton.

Serambi atau bahagian hadapan rumah adalah tempat yang sering digunakan untuk
persembahan Bongai. Sesuatu tempat persembahan Bongai tidak perlu dihias sebegitu rupa.
Memadai dengan hamparan sehelai tikar mengkuang. Para pembongai biasanya akan hanya
duduk bersila, sambil menyanyi atau bermain alat muzik yang diperlukan.

ALAT MUZIK

Terdapat berbagai alat muzik didalam sesuatu persembahan Bongai mengikut kesesuaian
persembahan dan penyanyinya. Namun alat muzik yang biasa digunakan didalam sesuatu
persembahan adalah Violin, Rebana, Gong, Gendang, Salung dan Tumbuk Kallang. Alat -alat
muzik lain boleh juga digunakan sebagai tambahan kepada alat muzik sedia ada, seperti
Caklempong, Bangsi, Accordian dan lain-lain lagi.

4
IRAMA atau LAGU

Di dalam sesuatu persembahan Bongai, terdapat berbagai irama yang didendangkan oleh
penyanyinya. Antara irama yang sering dinyanyikan ialah seperti irama Anak Bocek, irama
Petasih, irama Budu Landai, irama Cantik Manih, irama Comporai dan sebagainya.

SENIKATA atau PANTUN

Senikata bagi lagu-Iagu Bongai mempunyai keindahan dan keunikannya yang tersendiri yang
amat jelas membezakannya dengan lagu-Iagu lain. Bongai, biasanya dinyanyikan dengan
menggunakan pantun-pantun tradisi yang dicipta oleh penyanyi Bongai sendiri dengan tujuan
yang tertentu, seperti sindiran, usikan, gurauan, kasih sayang, dan lain-lain lagi.

Namun, tujuan dan maksud pantun amat jarang sekali berniat hasad dengki atau memburuk-
burukkan sahabat sesama mereka. Malah, pada pantun yang akhir sekali biasanya Pembongai
akan memohon kemaafan sekiranya tersalah dan terkasar bahasa semasa berbongai tadi.

Sesuatu yang amat menarik ialah, pantun-pantun dalam Bongai biasanya dicipta secara
spontan, iaitu semasa Pembongai sedang menyanyi. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan
bahawa seseorang Pembongai adalah juga seorang yang berbudi bahasa dan 'sasterawan'.
Malah jauh daripada itu ialah, beliau seharusnya juga mempunyai ciri-ciri berikut :

? Penyabar, kerana pihak lawan mungkin menggunakan perkataan yang kurang disenangi
semasa berpantun
? Bersuara merdu dan lunak untuk mengindahkan lagi lagu-Iagu Bongai yang dinyanyikan.
? Mempunyai nafas yang panjang, untuk disesuaikan dengan irama Bongai
? Mempunyai kebolehan untuk mendapatkan perkataan-perkataan yang tepat dan indah,
tetapi mempunyai maksud yang bukan sahaja selapis, bahkan dua lapis, tiga lapis dan
seterusnya
? Berani dan bersemangat, terutamanya semasa menyanyikan lagu-Iagu Bongai, kerana
penonton atau pendengar akan mencemuh atau mengejek jika pantun kurang tepat atau
tidak wajar. Sikap penakut akan menyebabkan persembahan Bongai tidak berseri pada
malam tersebut

5
Tidak dapat dinafikan bahawa pantun-pantun yang dicipta oleh Pembongai boleh dikatogerikan
sebagai puisi Melayu lama dalam bentuk syair, gurindam, seloka, pantun dan lain-lain lagi. la
dicipta sebegitu indah dan halus dengan menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam
bentuk pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat. Pantun-pantun ini boleh disesuaikan
mengikut rentak dan irama lagu yang ingin dinyanyikan serta tema yang sedang diperkatakan.
Antara pantun yang sering diperdengarkan atau dinyanyikan di dalam acara-acara berbongai
adalah seperti berikut :

Ikan sepat mudik ke hulu


Anak haruan putih dadanya
Siapalah cepat dapatlah dahulu
Siapalah kemudian putihlah matanya

Umbut-umbut dalam paya


Kalau hilir bawa lumut
Nak berebut saya tak terdaya
Kalau cicir saya boleh pungut.

Kelaut mencari gunja


Dapat gunja setengah kati
Kalau den hidup nak jadikan jua
Kalau mati luar janji

Kain perai bajunya perai


Pakaikan anak kelasi tongkang
Nyawa dibadan lagikan bercerai
lnikan pula kasih menumpang

Rakit-rakit pergi ke tepi


Budak-budak tumpang menyeberang
Hati sakit kerana budi
Budi abang tak dikenang orang

Cili api memang pedas


Buat rendang sedap rasanya
Abang berbudi tak hendak dibalas
Kalau kau kenangkan apa salahnya

6
Ikan sepat memang mudek ke hulu
Umbut-umbut dalam paya
Sapa cepat ambillah dahulu
Nak berebut saya tak terdaya

Buah keranji di tengah laman


Kalau berbuah bertaut muda
Sudah berjanji berjabat tangan
Kalau berubah mati muda

Sari-sari ke Tanjung Jati


Pasang racik kena murai
Carilah dik oi ubat tak mati
Supaya kasih jangan bercerai

Tidaklah dapat sihendak padi


Dedak jua ditumbuk luluh
Tidak dapat sikehendak hati
Kehendak Allah jua yang sungguh

Tanam ubi disimpang empat


Tanam mari rapat-rapat
Abang berbudi elok mencari tempat
Selalu berbudi balasnya tak dapat

Tanam ubi bulan purnama


Cahayanya sampai hingga pagi
Budi abang saya dah terima
Menjadi kenangan sampai ke mati

Api-api terbang lima


Hinggap seekor dicelah daun
Budi tuan sangat berguna
Menjadi kenangan bertahun-tahun.

Kurang minyak diperminyakkan


Minyak ditaruk tengah laman
Kalaulah burung tengah jinak
Boleh makan ditapak tangan

Sirih kuning junjungan inai


Gajah bersila diuratnya
Putih kuning gemuk gemunai
Geli hati dibuatnya

Kedarat mencari bingkat


Dapat bingkat pecah belah
Terbang melayang burung nak dipikat
Hinggap ke dahan abang pasang getah.

Kalau ada buah-buahan


Nak menebang kayu berduri
Kalau ada mudah-mudahan
Burung Terbang menyerah diri.

7
Apa tanda hari nak petang
Anak merebah terciap-ciap
Apa tanda abang nak pulang
Parah didada terkirap-kirap.

Bukan minyak sebarang minyak


Minyak bercampur dua pati santan
Macam mana burung nak jinak
Burung tidak diberi makan.

Hitam tampuk hitam tangkai


Patah ditanduk dek kerbau jantan
Sebulan mabuk setahun lolai
Baru tahu berkasih sayang.

Tinggi bukit kampung Melayu


Kain pelikat dari seberang
Tuan umpama burung dikayu
Nak dipikat ia dah terbang.

Pagi-pagi motong getah


Potong mari tiga penjuru
Kalau tak dapat burung ku getah
Hanyut pula petuan guru

Tinggi bukit gunung senanti


Air dalam berkala-kala
Adik tu ulit boleh dinanti
Kalau tak mahu apakan daya

Kedarat mencari rotan


Tiada rotan elokkan akar
Pandang diluar tak berkesan
Hati didalam kelusuh bakar.

Burung puchung terbang tinggi


Dia membawa sebatang damak
Sudah terlangsung kita kemari
Mengikut perintah orang yang banyak.

Pergi mengail kelubuk batu


Dapat seekor ikan haruan
Kalau dapat budak itu
Bayarkan niat ke Tanjung Tuan

Sari-sari pergi ke rimba


Nampak pelanduk menggaru papan
Petang-petang hatiku hiba
Nasiku senduk tidak termakan.

Ke daik membeli lada


Batu pahat kuala deli
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali.

8
Hancur luluh padi dek balam
Sayang selasih akan berderai
Hancur luluh hati di dalam
Kasih sayang akan bercerai

Nak berderai-berderai limpato


Berdekat padi ditengah laman
Nak bercerai, bercerai dimato
Bercerai dihati, itulah jangan

Bukan senang selasih berderai


Mentadak dimuka pintu
Bukan senang kasih nak bercerai
Macam budak bercerai susu.

Sungai baru sungai layang


Rama-rama di Kampung Tinggal
Dapat yang baun kepalang sayang
Tapi yang lama akan tinggal

Sungai baru sungai layang


Rama-rama atas permatang
Dapat yang baru memang sayang
Tapi yang lama sama-sama timbang.

Patah dari seberang


Ambik tempedu umpuh mengkuang
Sudah jadi pada nan orang
Habis madu hampas dibuang.

Apa guna pasir setimbun


Lebih baik setinggi duduk
Apa guna kasih setahun
Lebih baik selama hidup.

Elok kita mengail dulu


Lepas mengail menggali cacing
Elok kita bermain dahulu
Lepas bermain kita berunding.

Kalau mengail dekat rumah


Habis umpan campakkan daun
Kalau bermain dekat rumah
Habis bulan berganti tahun

Kalau mengail dekat rumah


Umpannya kulit duku
Kalau bermain dekat rumah
Nyawa bergantung dihujung kuku.

Anak keling sembahyang sami


Bakar lilin seorang sebatang
Saya ibarat rumput di bumi
Pagi dan petang dipijak orang.

9
Bunga tanjung tepi perigi
Ambil buah tiga tangkainya
Ditatang dijunjung sehingga tinggi
Jatuh kebawah tiada gunanya.

Tebang tebu beruas-ruas


Buah selama dari hulu
Pandang sekejap hati tak puas
Pandang lama terasa lama.

Cangkul sawah berlopak-Iopak


Tanam padi paras sempadan
Tiga hari saya tak nampak
Rasa luruh daging di badan.

Tuai padi berema-rema


Retak mari atas permatang
Kalau kita sama-sama gemar
Ganti-ganti kita datang.

Kalau tak jala serawan


Sama-sama kita tebarkan
Kalau ia kita dua sekawan
Sama-sama kita tinggalkan.

Angan-angan tepi perigi


Air segeluk saya tepiskan
Terigau-igau termimpi-mimpi
Bantal peluk saya tangiskan.

Hujan berenyai-renyai
Mari berteduh bawah belimbing
Mari kita beramai-ramai
Nak rnenyanyi lagu senaling.

Ikan selangat pandai berenang


Burung Pikau dipinggir kali
Tidak diingat tidak dikenang
Lupa tidak dalam hati.

Periuk muka dibeli


Kalau tidak belangga jua
Elok muko diganti
Kalau tidak yang lama juo.

Pandai-pandai nobang meranti


Kalau tak sompat sayo tolakkan
Pandai-pandai tuan mengganti
Kalau tak lebih saya sorakkan.

Maling-maling di Bukit Tinggi


Ditiup angin sama liuknya
Sudah diukur sama tinggi
Kalau dibanding sama eloknya.

10
Awan beralih perlahan-lahan
Ditiup angin berpecah lima
Hati beralih manakan tahan
Hidup sentiasa dalam merana.

TUJUAN DAN PERANAN

Bongai dipersembahkan dengan tujuan-tujuan tertentu, khasnya 'hiburan' pada waktu malam
iaitu setelah penat berkerja disiang hari. Secara umumnya, terdapat dua tujuan utama,
persembahan bongai iaitu :

i) Suatu masa dahulu, Bongai dipersembahkan sebagai 'pelepas penat', setelah berkerja
sepanjang hari. Dalam hal ini, penduduk kampung akan menyertai aktiviti Bongai samada

? Sebagai peserta yang turut berpantun atau


? Sebagai penonton

ii) Bongai juga dipersembahkan bagi tujuan menghiburkan dan melekakan orang kampung
yang sedang sibuk membuat persiapan di dalam sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan,
majlis keramaian, majlis menyambut kedatangan pembesar dan lain-lain lagi. Dengan cara ini,
Bongai boleh berperanan sebagai 'hiburan yang mengasyikan dan melekakan' kepada orang
yang sedang bergotong royong, sehingga mereka tidak sedar hari telah subuh.

KESAN-KESAN

Sesuatu persembahan Bongai biasanya boleh memberi kesan secara langsung atau tidak
langsung kepada masyarakat pengamal dan khalayak pendengarnya atau penontonnya.

Kesan secara langsung yang dapat disenaraikan ialah :

? Sesuatu persiapan persediaan makan minum untuk majlis perkahwinan boleh diadakan
menjelang subuh iaitu satu malam sahaja.
? Para pembongai akan merasa seronok dan terhibur, serta dapat melepaskan perasaan
atau sesuatu yang 'terbuku' dihati mereka kepada orang ramai. Selepas berbongai,
mereka akan merasa puas

11
Kesan secara tidak lansung ialah :

? Berbongai boleh mengeratkan lagi rasa persaudaraan dan semangat bermasyarakat


dikalangan penduduk sesebuah kampung. Keadaan ini berlaku kemana Bongai itu sendiri
mempunyai unsur-unsur dan tujuan memupuk persaudaraan dan kemasyarakatan di
kalangan penggiatnya. Malah, diakhir Sesebuah persembahan Bongai, mereka akan
saling bermaafan sama ada melalui kata-kata di dalam pantun atau secara bersalaman
antara mereka.

? Bongai juga boleh mencantumkan atau menyambungkan semula persahabatan yang


telah renggang atau terputus. Malah yang amat menarik ialah terdapatnya pasangan
suami isteri yang 'rujuk' semula perkahwinan yang telah runtuh, hanya kerana pujuk rayu
yang penuh perasaan melalui Bongai. Dalam hal ini, biasanya pantun-pantun yang
digunakan adalah dalam bentuk pujukan mendayu-dayu yang boleh menimbulkan
keinsafan apabila dinyanyikan dalam irama Bongai yang tertentu.

? Bongai dipercayai sebagai 'penemu jodoh' antara pasangan lelaki dan perempuan.
Semasa berbongai mereka akan usik mengusik dan saling bertanya hal masing-masing
melalui pantun-pantun yang dicipta. Akhirnya, usik mengusik ini tidak tamat semasa
berbongai sahaja, sebaliknya ia telah membuahkan bibit-bibit cinta dan sayang, yang
akhimya membawa kepada perkahwinan. Dalam sesetengah masyarakat dikampung-
kampung, orang yang pandai dan berkebolehan berbongai dianggap sebagai 'hero' untuk
menawan hati wanita yang diidaminya.

Rajah 10 : Gambar atas menunjukkan Kumpulan Bongai Seri Petasih, Kampung Kepis Hilir
sedang membuat latihan Bongai pada kadar seminggu sekali.

12
Gambar menunjukkan salah seorang ahli Kumpulan Bongai Seri Petasih sedang meniup
Bangsi untuk mengiringi irama Budu Landai

KUMPULAN-KUMPULAN BONGAI

Suatu masa dahulu, tidak dapat dinafikan bahawa, terdapat banyak kumpulan-kumpulan
Bongai di seluruh Negeri Sembilan. Namun akibat perubahan dan perkembangan zaman,
kumpulan Bongai semakin berkurangan dan hilang kerana merosotnya bilangan penggiat dan
pengemarnya. Sehingga, ini (1998), hanya terdapat tiga kumpulan bongai yang aktif di Negeri
Sembilan.

Kumpulan pertama ialah Kumpulan Bongai Seri Poron, Kuala Pilah, yang diketuai oleh Encik
Udin Bin Russin atau lebih dikenali sebagai Pak Din Bongai. Kumpulan ini telah bergerak aktif
dalam menghidupkan lagu-lagu Bongai di Negeri Sembilan sejak awal tahun 1990 an.
Kumpulan ini disertai oleh beberapa orang dari kampung Purun Kuala Pilah, termasuk Pak Din
sendiri yang bertindak sebagai penyanyi Bongai dan pemukul rebana atau gendang, Pak Basir
atau nama penuhnya Md. Sil Bin Khamis, sebagai pengesek Violin dan beberapa orang anak
cucu kepada Pak Din. Ahli lain dalam kumpulan ini ialah, Leha Binti Kassim, Noor Zam Bin
Mohd Zaman dan Esah Binti Suboh.

Kumpulan kedua ialah Kumpulan Bongai Kampung Tengkek, Batu Kikir, Kuala Pilah, yang
diketuai oleh Encik Mohd Shah bin Hj Abdul Rahman. Kumpulan ketiga pula ialah Kumpulan
Bongai Seri Petasih, Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah, yang di ketuai oleh Encik Dsoh Bin
Abdul Ghani. Kumpulan ini sebenarnya memang telah sedia ada di Kampung Kepis Hilir,
namun kebanyakan mereka hanya bergerak secara bersendirian dan menyanyi apabila
berpeluang.

Meraka tidak mempunyai sebuah persatuan yang khas, yang boleh mengketengahkan
mereka. Tahun 1997 dan 1998, mereka mula menubuhkan persatuan atau Kumpulan Bongai
Seri Petasih, yang diketuai oleh Encik Usoh Bin Abdul Ghani, Encik Kadiran Bin Muhamad
(Setiausaha), Encik Abdullah Mihat (Bendahari), sementara ahli-ahli kumpulan ialah Encik
Salleh Bin Rashid Encik Mohd Nor Bin Abdullah, Encik Wan Ahmad Kamal Bin Wan Hanid,
Encik Rahmad Bin Abdul Ghani, Encik Abas Bin Udin, Encik Buyong Bin Wok, Encik Ali Bin
Yassin, Encik Samah Bin Yassin, Encik Muhamad Bin Akhir dan Encik Muhamad Bin Manaf.

Kumpulan-kumpulan Bongai ini adalah merupakan kumpulan yang sememangnya


menyanyikan lagu-lagu Bongai sahaja, tanpa mencampur adukan dengan lagu-lagu lain.
Selain yang disenaraikan di atas, terdapat juga kumpulan-kumpulan lain, yang juga

13
menyanyikan lagu-lagu Bongai, tetapi tidak menjadikannya sebagai aktiviti utama mereka.
Sebaliknya, lagu Bongai hanya dijadikan sebagai lagu-lagu selingan dalam persembahan
mereka. Antara kumpulan tersebut ialah :

? Kumpulan Caklimpung Pesbudi, Lenggeng.


? Kumpulan Caklimpung Putrasari, Rembau.
? Kumpulan Tumbuk Kallang Seri Duanda, Jelebu.
? Kumpulan Tumbuk Kallang Seri Tajjali, Jelebu.
? Kumpulan Persada, Seremban
? Kumpulan Anak Desa, Kuala Pilah.
? Kumpulan Gebano Seri Perpatih, Kuala Pilah
? Kumpulan Sinar Kallang, Gemencheh.
? Kumpulan Tumbuk Kallang Warisan, Palong Enam, Jempol. . Kumpulan Anak Desa, Kuala
Pilah.
? dan kumpulan-kumpulan kesenian di kampung-kampung.

PENGGIAT BONGAI

Udin Bin Russin lahir di Kampung Bukit Tembusu, Kuala Pilah pada 5hb. Mac 1929. Beliau
menetap di alamat 18 C, Kampung Purun, 71500 Tanjung lpoh, Negeri Sembilan. Isteri beliau
bernama Esah Binti Siboh dan dikurniakan 5 orang anak. Pak Din adalah merupakan pesara
tentera yang mendapat pendidikan setakat darjah 3, Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah.
Penglibatannya dalam Bongai sejak tahun 1962 hingga kini. Kini Pak Din berkerja sendiri dan
mengetuai Kumpulan Bongai Seri Purun, Kuala Pilah.

Rajah 11 : Gambar menunjukkan Udin B Hussin atau Pak Din Bongai, aktivis budaya sebagai
penyanyi dan pemuzik dalam Bongai

Mohd Shah Bin Hj Abdul Rahman dilahirkan di Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri
Sembilan pada 15 Mei 1939. Beliau yang telah berkahwin dengan Norpipah Binti Mohd Nor,
telah dikurniakan tiga orang anak. Beliau telah terlibat dalam Bongai sejak berumur 14 tahun,
hingga kini. Beliau kini mengetuai Kumpulan Bongai Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri
Sembilan.

14
PERSEMBAHAN BONGAI MASA KINI

Selari dengan perkembangan dan peredaran masa, seperti juga seni-seni tradisional yang lain,
Bongai sedang diancam kepupusan dan mungkin hanya tercatit sebagai khazanah sejarah jika
tiada usaha untuk mengketengahkan semula. Bongai sedang bersaing dengan muzik dan
lagu-lagu barat dan lagu-lagu tempatan moden seperti lagu-lagu pop, rock, regge, dangdut,
rep dan lain-lain lagi. Tambahan pula, lagu-lagu seperti ini sering medapat tempat di media-
media elektronik, berbanding dengan Bongai.

Merosotnya bilangan penggiat dan pendengar Bongai telah memberi kesan kepada suasana
persembahan Bongai masa kini. Jika dahulu, Bongai dipersembahkan didalam majlis-majlis
keramaian dan majlis-majlis perkahwinan dimana muzik dan lagu moden adalah merupakan
'selingan' kepada persembahan Bongai. kini suasana itu amat sukar ditemui semula. Bongai
hanyalah dijadikan 'persembahan selingan' didalam sesuatu persembahan yang besar seperti
konsert lagu-lagu moden, dan biasanya hanya diberi masa tidak lebih 20 minit.

RUJUKAN

Ismail Abdul Hadi, BONGAI NYANYIAN TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN, Grup Penulis
Guru Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Seremban, 1996.

Encik Udin bin Hussin, Kampung Purun, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Ahli Kumpulan Bongai Seri Petasih, Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Diterbitkan oleh : Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan. 1998

15

Anda mungkin juga menyukai