Anda di halaman 1dari 20

PROSES KAUNSELING

Dr Sapora Sipon
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENGENALAN

Kaunselor boleh membahagikan proses kaunseling kepada


beberapa fasa sewaktu melaksanakan kaunseling (Brammer, 1973).
Setiap fasa ini pula mengandungi beberapa peringkat serta langkah
tertentu. Fasa-fasa yang perlu dilalui tersebut adalah seperti berikut;

Fasa Satu Sebelum proses kaunseling


(Peringkat pra-persediaan)

Fasa Dua Semasa proses kaunseling


(Peringkat penyediaan, kemasukan,
penetapan/penjelasan,menstruktur
perhubungan,penerokaan, pengukuhan
dan perancangan)

Fasa Tiga Selepas proses kaunseling


(Peringkat penamatan)

Fasa Satu: Sebelum proses membantu/kaunseling

Pra-persediaan

Dalam peringkat ini perkara-perkara yang perlu dilihat oleh


kaunselor ialah mengkaji latar belakang klien. Segala maklumat
peribadi klien perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk
memudahkan kaunselor tersebut memahami persoalan sebenar
kliennya. Di tahap ini, kaunselor tersebut perlu membentuk hubungan
dan seterusnya memberikan pertolongan.
Pada awal sesi, kaunselor tersebut haruslah menjadikan klien
lebih selesa. Kaunselor tersebut perlu menyatakan tujuan pertemuan
dengan jelas dan tekankan bahawa dirinya (kaunselor) sentiasa
prihatin dan bersedia membantu setakat yang terdaya. Dua komponen
penting yang perlu diambilkira di tahap ini ialah;

• Tempat sesi kaunseling

Sebelum memulakan sesi kaunseling, kaunselor haruslah


memikirkan dan menyediakan tempat serta menentukan masa yang
sesuai untuk berbincang tanpa banyak gangguan. Tempat yang selesa
dan menarik akan menggalakkan klien tersebut merasa selesa untuk
menghadiri sesi kaunseling dan seterusnya sesi tersebut dapat diadakan
dengan jayanya.

• Tahap kemampuan kaunselor dengan klien

Sebelum memulakan sesi kaunseling, kaunselor perlu


mengambil kira tahap kemampuan sama ada dirinya sendiri mahupun
klien. Kaunselor yang kelihatan letih akan menimbulkan rasa kurang
yakin di kalangan klien terhadap kaunselor. Selain dari itu, kaunselor
harus peka akan tahap kemampuan klien. Klien juga mungkin
kelihatan letih, lemah dan malas untuk bekerjasama. Dengan itu akan
terdapat juga keadaan di mana tahap kemampuan kedua-dua pihak ini
harus dititikberatkan sebelum memulakan sesuatu sesi kaunseling agar
proses kaunseling dapat dijalankan dengan lancar.
Apabila kaunselor dan klien masing-masing bersedia untuk
memulakan proses kaunseling, persetujuan antara kedua-dua pihak
bagi memulakan proses kaunseling mestilah dipersetujui. Brammer
(1973) menganggap persetujuan ini sebagai satu kontrak antara
kaunselor dan kliennya serta sebagai tanda persetujuan tanda
permulaan sesuatu proses kaunseling. Persetujuan antara kontrak ini
akan berubah pada bila-bila masa mengikut kehendak dan keadaan
klien itu sendiri.

Fasa dua. Semasa proses kaunseling

Setelah memastikan peringkat pra-persediaan berjalan dengan


lancar, perkhidmatan kaunselor boleh memasuki fasa kedua iaitu fasa
“semasa proses kaunseling”. Dalam fasa ini, beberapa peringkat
terlibat iaitu peringkat penyediaan dan kemasukan, penetapan,
penstrukturan, perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan
perancangan.

(i) Peringkat penyediaan dan kemasukan


Di tahap ini, temu bual secara minima antara kaunselor dan
klien akan berlaku. Sewaktu memulakan temubual, seseorang
kaunselor itu hendaklah menggunakan soalan-soalan yang tidak
menakutkan serta mempamerkan perlakuan yang membantu.
Umpamanya perbuatan pertentangan mata dan kedudukan tubuh badan
kaunselor tersebut hendaklah disesuaikan.
Jarak kedudukan antara kaunselor dan klien juga perlu diberi
perhatian bagi memudahkan proses komunikasi. Selain dari itu,
keadaan tempat juga merupakan satu perkara yang penting dalam
permulaan hubungan antara klien-kaunselor. Ini amat penting kerana
suasana bilik yang tenang akan memberangsangkan serta
menggalakkan klien untuk meluahkan perasaannya.

(ii) Peringkat penetapan/penjelasan

Pada peringkat ini, kaunselor akan cuba mendapatkan


gambaran yang jelas tentang persoalan serta permasalahan yang
dihadapi oleh klien serta menentukan matlamat kaunseling yang
diperlukan mengikut kehendak klien. Biasanya dua cara boleh
dilakukan iaitu;
Jika klien mudah bercakap dan meluahkan perasaan segala isi
hatinya, kaunselor akan terus mendorong klien tersebut untuk terus
bercerita.
Jika klien tersebut sukar untuk bercerita, maka kaunselor
hendaklah bijak mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar
menggalakkan klien tersebut untuk bercerita.
Kaunselor hendaklah mengelakkan pendekatan ‘soal-selidik’
digunakan kepada klien kerana ini akan menyebabkan klien tersebut
merasa terancam atau takut. Kaunselor haruslah mahir menggunakan
pendekatan psikologi yang boleh menimbulkan suasana selesa, sayang,
hormat dan terbuka. Kaunselor juga hendaklah menunjukkan sifat-sifat
sebagai pendengar yang baik dan kritikal serta membantu klien jika
menghadapi keadaan tersekat-tersekat sewaktu meluahkan pengalaman
dan perasaanya.
Kaunselor haruslah dapat juga menggalakkan klien menghurai
dan menentukan pernyataannya tentang bentuk dan jenis pertolongan
yang dikehendaki. Di tahap ini, kaunselor juga harus mengamati dan
menentukan siapa sebenarnya sedang menghadapi permasalahan
tersebut iaitu sama ada diri beliau sendiri atau pun melibatkan orang
lain.
Pengetahuan dan kemahiran ini amat penting bagi membantu
merangka alternatif ke arah penyelesaian. Pada peringkat ini,
kaunselor sepatutnya sudah dapat merangkakan ketetapan untuk
melihat matlamat klien. Kaunselor juga sudah boleh mencungkil
kehendak sebenar klien.
(iii) Peringkat Penstrukturan

Di peringkat ini, kaunselor dan klien akan menetapkan sama


ada perhubungan mereka itu boleh diteruskan atau tidak. Kaunselor
harus menilai dirinya sendiri sama ada beliau berkemahiran membantu
klien, memenuhi harapan, berasa selesa dengan klien tersebut dan
selanjutnya perlu atau tidak mengadakan kontrak kaunseling dengan
klien.
Bagi pihak klien juga sudah dapat menentukan sama ada
kaunselor tersebut boleh dipercayai atau tidak dan bersediakah ia
melibatkan diri serta menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh
kaunselor nanti.
Tahap penstrukturan ini akan menentukan sifat, batasan dan
matlamat perhubungan menolong. Kaunselor boleh memberitahu klien
langkah-langkah yang diambil bagi menyediakannya arah yang
sedang dituju.
Kontrak kaunseling akan dibuat pada peringkat ini iaitu
persetujuan antara kaunselor dan klien bagi berusaha mencapai
matlamat yang ditentukan serta bertanggungjawab untuk menepatinya.
Dengan adanya kontrak ini klien akan merasa lebih komited
menjalankan sesuatu tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat
yang ditetapkan.

(iv) Peringkat Perhubungan

Di peringkat ini, matlamat utama kaunseling ialah untuk


mengeratkan perhubungan antara kaunselor dengan klien.
Perhubungan akan terbina dengan baik melalui keyakinan dan rasa
selamat yang dirasai oleh klien semasa sesi kaunseling. Pada peringkat
ini, kaunselor hendaklah mewujudkan suasana sekeliling dan tingkah
laku yang meyakinkan serta sentiasa menunjukkan kemesraan.
Kaunselor hendaklah membina tanggapan pertama yang positif dan
untuk tujuan ini, kaunselor perlu mengambil kira beberapa perkara
yang dapat membina perhubungan yang baik dan selesa.

Membina suasana alam sekeliling yang kondusif

Tempat yang sesuai amat diperlukan semasa pengendalian sesi


kaunseling. Kerusi meja yang sesuai perlu disediakan seperti kerusi
yang tidak meyakitkan pinggang, bergoyang-goyang sehingga
menggangu tumpuan atau pemikiran. Keadaan bilik tidak terlalu
panas, terlalu sempit atau terlalu bising.
Elakkan tempat lalu-lalang yang boleh mengganggu tumpuan
klien atau kaunselor. Pastikan juga tidak ada bau yang tidak
menyenangkan seperti bau tandas yang berhampiran atau fail dan
buku-buku yang bertimbun atau berselerak sehingga menyusahkan
penglihatan klien atau kaunselor.

• Jarak antara kaunselor dengan klien

Dalam melaksanakan sesi kaunseling, jarak atau ruang antara


klien dengan kaunselor harus diambilkira bagi mempastikan agar tidak
terlalu dekat sehingga menyukarkan kedua-dua pihak untuk
berkomunikasi. Jarak antara 1 hingga 1.5 meter dapat menimbulkan
rasa selesa dan klien akan berasa mendapat perhatian yang baik.

• Penampilan diri

Pandangan pertama amat penting dalam menentukan


keberkesanan hubungan yang akan terjalin seterusnya. Sekiranya
klien berasa selesa dan gembira dengan penampilan kaunselor, ia
merupakan ciri pertama yang akan menentukan kejayaan sesi
seterusnya. Kaunselor atau klien hendaklah berpakaian mengikut
norma-norma tempatan, tidak keterlaluan sehingga klien memerlukan
masa untuk menerima kaunselor atau sebaliknya.

• Ekspresi muka/wajah

Ekspresi wajah yang timbul dari penglahiran rasa hati, emosi,


fikiran, penilaian dan keadaan diri individu juga perlu diambil kira.
Dalam sesi kaunseling, ekspresi wajah dapat membantu menerangkan
erti mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, amat penting bagi para
kaunselor mempamerkan ekspresi muka atau wajah yang dapat
menyakinkan klien.

• Cara duduk dalam sesi kaunseling

Cara duduk boleh menggambarkan penerimaan kita terhadap


orang lain. Seseorang yang bersifat terbuka dan mesra akan duduk
condong sedikit ke arah orang yang bercakap dengannya.

• Senyuman

Senyuman merupakan unsur penting dalam sesi kaunseling


terutama sekali di peringkat awal sesi tersebut. Ini adalah kerana
senyuman bertindak sebagai penjalin hubungan yang baik antara
kaunselor dengan klien.
Lazimnya, senyuman kaunselor boleh meredakan ketegangan
emosi di pihak klien. Senyuman juga harus diberikan mengikut
kesesuaian dalam sesi kaunseling. Sekiranya senyuman tidak
bersesuaian, ia akan mengakibatkan kesilapan interpretasi di kalangan
pihak klien.
Senyuman klien juga harus difahami oleh kaunselor. Klien
mungkin tersenyum untuk menutup rasa takut, risau, keliru atau
keadaan serba salah. Terdapat juga klien yang senyum kerana ingin
mengejek, sedih atau gembira. Kepekaan kaunselor melihat senyuman
ini sangat penting untuk memastikan sesi kaunseling yang dijalankan
itu sesuai dan menepati matlamatnya.

• Nada suara

Nada suara selalunya membawa bersama emosi yang


terkandung dalam sesuatu perkataan atau ayat. Sesuatu perkataan
yang disebut dengan nada yang berbeza akan membawa erti yang
berbeza. Oleh itu, adalah penting bagi kaunselor mendengar dan
memahami nada suara tersebut kerana ia akan memberi peluang
kepadanya untuk memahami emosi klien seperti nada tegang, geram,
pemarah, sedih, tidak bermaya, merungut dan sebagainya.

(v) Peringkat Penerokaan

Pada peringkat ini, kaunselor akan semakin mengenali klien


terutamanya dari segi pendirian, matlamat dan juga strategi yang bakal
diambil untuk membantu kliennya. Antara langkah-langkah yang boleh
diambil oleh kaunselor di peringkat ini ialah;

• Terus mewujud dan mengeratkan hubungan agar perasaan yakin,


percaya dan selamat timbul di pihak klien terhadap kaunselor.

• Klien di waktu ini digalakkan untuk meneroka masalah dan


perasaannya bagi mencapai kesedaran kendiri.

• Kaunselor boleh memutuskan sama ada akan meneruskan


hubungan sesi kaunseling ini atau menghentikannya atas sebab-
sebab tertentu.

• Kaunselor boleh memberi panduan kepada klien tentang


kemahiran-kemahiran yang perlu bagi mencapai matlamatnya.

Kaunselor boleh memberikan aktiviti “kerja rumah” untuk


klien bagi membolehkannya mencapai matlamat.
Pada tahap ini, kaunselor harus lebih bersifat aktif, tegas dan
cergas dalam tindakannya. Kaunselor seharusnya semakin jelas
tentang apa yang diperlukan oleh kliennya.
Kaunselor juga perlu menggunakan segala kemahirannya untuk
meneroka persoalan klien. Menurut Eisenberg dan Delaney (1977),
peringkat ini merupakan proses berlakunya komunikasi yang didorong
oleh keikhlasan dan kejujuran serta berterus-terang terhadap peranan
sebenar yang hendak dibincangkan antara kedua-dua pihak.
Segala perasaan tidak logik, tidak rasional sama ada dalam diri
kaunselor atau klien mestilah dikikis dan dihindari segera supaya tidak
mengganggu pencapaian matlamat sebenarnya. Perhubungan yang
erat sangat penting untuk menimbulkan keyakinan sehingga klien
dapat berasa bebas, selamat dan selesa serta terbuka dan sedia
berkongsi perasaan dan masalah dengan kaunselor.

(vi) Peringkat Pengukuhan

Pada peringkat pengukuhan ini, klien akan menjelaskan dengan


lebih lanjut tentang perasaannya serta menentukan pilihan-pilihan
yang boleh diambil olehnya. Kemahiran-kemahiran baru juga perlu
diamalkan. Klien seharusnya telah benar-benar melibatkan dirinya
secara langsung dan secara aktif di peringkat ini. Seboleh-bolehnya,
sesuatu pilihan telah dibuat, diterima dan diyakinkan serta
disepadukan mengikut proses-proses yang telah dipersetujui bersama.

(vii) Peringkat Perancangan

Peringkat perancangan merupakan satu peringkat ketetapan dan


kata muktamad kepada rancangan tindakan yang khusus. Kaunselor
seboleh-bolehnya menolong kliennya merancang strategi-strategi yang
hendak diambil termasuk langkah-langkah perlaksanaan strategi
tersebut. Peringkat ini lebih merupakan peringkat memperjelaskan
matlamat yang diharapkan oleh klien dan menyesuaikannya dengan
tindakan yang bakal diambil. Di tahap ini, proses perancangan sudah
hampir kepada tahap penyelesaian.

Fasa tiga: Selepas proses kaunseling

Berada di fasa ini bererti, kaunselor yang telah berjaya


melaksanakan peringkat-peringkat dalam fasa kedua perlu melakukan
peringkat penamatan.

Peringkat penamatan

Peringkat ini merupakan tahap pencapaian keputusan.


Lazimnya satu penamatan sesi dicapai melalui persetujuan pihak
kaunselor dengan klien. Di peringkat ini hasil atau pencapaian klien
akan dirumuskan. Jika masih terdapat matlamat-matlamat yang tidak
tercapai, maka sebab-sebabnya haruslah dikenal pasti. Di peringkat ini
pihak klien seharusnya sudah berpuas hati dengan proses kaunseling.
Sebaliknya jika klien tidak mahu lagi meneruskan sesi, maka
klien tersebut bolehlah merujuk kepada kaunselor atau pakar-pakar
lain. Penamatan juga boleh berlaku jika kaunselor mendapati klien
tidak mahu bekerjasama, tidak mahu berubah atau pun atas permintaan
klien sendiri.
Dapatlah dirumuskan bahawa peringkat penamatan ini
merupakan peringkat penilaian kaunselor terhadap keberkesanan
strategi atau teknik yang telah diaplikasikan terhadap kliennya.
Sebaliknya, jika tidak berkesan, mungkin sesi dan tindakan susulan
akan diteruskan.
Walaupun proses kaunseling sudah ditamatkan, ini tidak bererti
hubungan antara kedua-duanya akan terputus langsung. Sebaik-
baiknya adalah digalakkan supaya kaunselor mengikuti perkembangan
klien yang pernah dibantunya. Penamatan dalam konteks ini hanya
merupakan pemberhentian proses kaunseling sahaja.

Fungsi Penamatan

Terdapat beberapa fungsi penting penamatan, Pertama,


penamatan menunjukkan sesuatu ingin ditamatkan. Penamatan adalah
peluang untuk mengakhiri pembelajaran pengalaman dengan baik
sama ada di peringkat peribadi atau peringkat profesional. Dalam
kaunseling, penamatan lebih kepada tindakan yang menandakan
berakhirnya terapi, sebagai penggerak motivasi. Kesedaran bahawa
sesi kaunseling mempunyai limitasi seperti masa membawa klien
untuk bekerja keras.

Masa Penamatan

Menurut Gladding (2000), tidak ada satu jawapan jelas bila


perhubungan itu ingin ditamatkan. Jika penamatan ditamatkan dengan
lebih awal, klien mungkin akan hilang asas yang telah mereka temui
dalam sesi kaunseling dan mengundur diri sebagai tingkah laku awal.
Dengan kata lain, jika penamatan tidak dinyatakan, proses
kebergantungan klien kepada kaunselor akan berlaku dan klien akan
gagal menyelesaikan segala kesukaran yang dialami sebagai
perkembangan manusia.
Terdapat beberapa pertimbangan yang pragmatik untuk
penamatan sesi (Gladding, 2000) iaitu;

 Adakah klien telah mencapai matlamat tingkah laku, kognitif atau


matlamat kontrak afektif? Bila klien dan kaunselor mempunyai
idea yang jelas sama ada matlamat yang khusus telah bertemu,
masa penamatan menjadi mudah untuk dinyatakan. Kunci
pertimbangan ini adalah membentuk kontrak yang saling
dipersetujui di antara kaunselor dan klien sebelum kaunseling
dimulakan.

 Adakah klien secara konkrit menunjukkan bahawa dirinya telah


menunjukkan perkembangan. Dalam situasi ini, kemajuan yang
spesifik mungkin menjadi asas kepada klien dalam membuat
keputusan tentang penamatan.

 Adakah kaunseling satu perhubungan yang membantu? Jika klien


atau kaunselor merasai apa yang berlaku dalam sesi kaunseling
tidak membantu, penamatan adalah sesuai.

 Adakah konteks pengaturan permulaan kaunseling telah berubah?


Dalam kes di mana mereka mengalami kesakitan jangka panjang,
penamatan (termasuk rujukan) akan dipertimbangkan.

Keseluruhannya, tidak ada masa yang tepat untuk menamatkan


perhubungan kaunseling. “Bila” penamatan perlu adalah berdasarkan
menurut keunikan situasi dan menurut garis panduan etika dan
profesional.

Isu-Isu Penamatan

Penamatan Sesi Individu

Penamatan diutarakan ketika sesi kaunseling. Sesi permulaan


telah jelas mendefinisikan limitasi masa. Kaunselor mungkin
mengambil masa di antara 5-10 minit untuk menyesuaikan klien dan
kerisauan klien. Sesi kaunseling yang tamat awal mungkin kurang
produktif. Benjamin (1987) menyatakan terdapat dua faktor penting
dalam mengakhiri sesi iaitu;

(1)Kaunselor dan klien sedar bahawa sesi sudah berakhir dan

(2)Tiada isu-isu baru, yang diperkenalkan atau dibincangkan ketika


berakhirnya sesi. Jika klien mengutarakan isu baru, kaunselor perlu
memfokuskan pada sesi akan datang.

Kaunselor boleh menamatkan sesi secara berkesan dengan


pelbagai cara. Salah satunya ialah membuat pernyataan ringkas
bahawa sesi telah tamat. Contohnya, “nampaknya masa telah tamat
untuk hari ini.”
Jika klien membincangkan perkara tertutup-terbuka berdekatan
dengan pengakhiran sesi, kaunselor akan mengingatkan klien bahawa
terdapat hanya 5 hingga 10 minit lagi masa yang tinggal. Selepas itu,
klien boleh berfokus kepada perkara-perkara yang penting.
Sebagai alternatif pernyataan secara langsung, kaunselor boleh
menggunakan gerak badan bukan lisan untuk menunjukkan sesi tamat.
Contohnya melihat jam atau berdiri (Gladding, 2000). Gerak badan
adalah baik digunakan dengan indikator lisan untuk tujuan peneguhan
klien.
Ketika kaunselor ingin menamatkan sesi, rumusan boleh
membantu kaunselor ataupun klien untuk meringkaskan apa yang
berlaku dalam sesi. Kaunselor atau klien boleh merumuskan apa yang
berlaku iaitu ciri utama sesi dan akan diringkaskan kepada butir-butir
tanpa interpretasi. Ringkasan juga membolehkan kaunselor dan klien
sedar apa yang akan mereka perolehi dari luar sesi dan membekalkan
maksud menyelesaikan apa-apa salah faham.

Satu lagi yang penting dalam melakukan proses penamatan


ialah merangka sesi yang akan datang. Umpamanya,

Kaunselor : “Kita ada lima minit saja lagi, jadi saya rasa elok saya
rumuskan apa yang telah kita rundingkan dalam sesi
ini. Pada peringkat awal kedatangan tuan ialah untuk
membincangkan masalah tuan dengan anak remaja
tuan. Tuan rasa tidak dapat mengawal anak ini, begitu
juga isteri tuan. Jadi, dalam perbincangan kita, tuan
bersetuju untuk bekerja sama dengan isteri tuan. Tuan
mengambil keputusan untuk membincangkan masalah
ini dengan isteri tuan. Ini adalah beberapa langkah
yang akan tuan ambil dalam masa dua minggu ini.
Sekiranya tuan rasa perlu berbincang lagi setelah dua
minggu lagi dengan saya, tuan dipersilakan”.

Penamatan Perhubungan Kaunseling

Penamatan perhubungan kaunseling adalah berbeza dari satu


klien kepada klien yang lain. Kaunselor dan klien perlu bersetuju bila
perhubungan perlu ditamatkan. Umumnya, mesej lisan tentang
kesediaan untuk penamatan. Klien berkata “Saya berfikir, saya telah
banyak membuat kemajuan beberapa bulan yang lepas.” Atau
kaunselor menyatakan, “Anda kelihatan amat baik dan saya rasa anda
tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan saya.” Pernyataan ini
mencadangkan akan berakhirnya sesi kaunseling. Di antara contoh lain
iaitu;

Kaunselor : “Kita telah bertemu sebanyak lima sesi, saya


lihat tuan bertambah gembira sekarang. Tuan
juga menyatakan yang tuan telah berjaya
berbaik-baik dengan anak tuan. Jadi, saya rasa
bolehlah kita memberhentikan hubungan
kaunseling ini. Saya harap tuan berjaya di
dalam kehidupan tuan”.

Penamatan juga melibatkan perubahan dalam diri klien ataupun


mencapai resolusi. Beberapa tingkah laku lain juga menandakan
berakhirnya sesi kaunseling termasuklah ketidaksungguhan klien
ketika sesi dijalankan, menarik diri, marah, bersedih atau bergantung.
Shulman (dlm Gladding, 2000) mencadangkan beberapa
perkara perlu diberi perhatian apabila sesi ingin ditamatkan seperti;

1. Memeriksa sama ada masalah atau simptom awal klien


telah dikurangkan atau dihapuskan.
2. Menentukan sama ada tekanan perasaan yang telah
dihasilkan membawa kepada penamatan kaunseling.
3. Menilai kebolehan untuk menangani persoalan klien dan
tahap pemahaman diri dan orang lain.
4. Penentuan sama ada klien boleh dihubungkan lebih baik
dengan orang lain dan boleh untuk mencintai dan dicintai.
5. Memeriksa sama ada klien dapat mencapai kebolehan
untuk merancang dan bekerja dengan produktif

Sekurang-kurangnya terdapat dua cara bagi memudahkan


berakhirnya perhubungan kaunselor-klien. Satu darinya menggunakan
fading. Dixon dan Glover (1984) mendefinisikan fading sebagai
penurunan yang beransur-ansur dalam struktur yang bukan semulajadi
dikembangkan dengan keinginan untuk berubah.
Dengan lain perkataan, klien secara beransur-ansur berhenti
menerima peneguhan tingkah laku dalam beberapa cara. Matlamat
yang diingini dalam setiap kaunseling membantu klien menjadi kurang
bergantung pada kaunselor dan sesi kaunseling lebih bergantung pada
diri mereka sendiri dan saling kebergantungan dengan orang lain.
Cara lain untuk melakukan penamatan ialah dengan membantu
klien mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah. Jika
kaunselor dapat membantu klien mempelajari cara yang berkesan
untuk menangani kesukaran, klien tidak memerlukan masa yang lama
untuk menamatkan perhubungan kaunseling. Ini adalah proses
generalisasi pengalaman kaunseling untuk digunakan. Proses ini
termasuklah menekankan pendidikan, pencegahan dan kemahiran
membuat keputusan pada setiap keputusan dan situasi krisis.

Resistan Penamatan
Keengganan penamatan mungkin datang dari kaunselor atau
klien. Patterson dan Einsberg (dlm Gladding, 2000) menyatakan
resistan berlaku bila perhubungan kaunseling berlaku terlalu lama
atau penglibatan keintiman berada pada tahap yang tinggi.
Faktor lain yang menggalakkan klien resistan iaitu kesakitan
awal, kesunyian, kesedihan yang tidak diselesaikan, mahukan
ganjaran, takut ditolak dan tidak mempunyai kepercayaan diri.

Klien Resistan

Beberapa perkara membuktikan bahawa klien resistan untuk


menamatkan sesi seperti

(1) Banyak bertanya di akhir sesi


(2) ingin mengadakan banyak temujanji ketika matlamat telah
dicapai.

Selain itu, klien akan juga menambahkan persoalan-persoalan


baru yang bukan berkenaan dengan dirinya seperti kemurungan atau
kerisauan. Resistan klien ini akan menyebabkan penamatan lebih
sukar. Ada kalanya, klien akan menyakinkan kaunselor bahawa
kaunselor sahaja yang dapat menolongnya. Kemudian, kaunselor
mungkin merasa berkewajipan untuk meneruskan sesi kaunseling.
Lerner & Lerner (1983 dalam Gladding, 2000) menjelaskan klien yang
resistan seringkali takut untuk berubah. Ada kalanya mereka takut
mereka tidak dapat berfungsi baik tanpa kaunselor.
Cara yang terbaik untuk mengelakkan resistan ialah proses
penamatan dijalankan secara beransur-ansur Cormier & Cormier (dlm
Gladding, 2000). Sesi akan menjadi semakin berkurangan dan
kaunselor akan memberi tumpuan kepada kemahiran, kebolehan dan
sumber klien.

Kaunselor Resistan

Resistan bukan sahaja berlaku kepada klien. Terdapat


kaunselor yang menentang untuk menamatkan sesi. Antara sebab-
sebab kaunselor resistan ialah kerana klien mempunyai keistimewaan
yang menjadi tarikan kepada kaunselor. Goodyear (dlm Gladding,
2000) menyenaraikan beberapa keadaan di mana penamatan mungkin
sukar bagi kaunselor iaitu;

1. Apabila penamatan menandakan berakhirnya perhubungan yang


signifikan
2. Apabila penamatan membangkitkan kerisauan kaunselor tentang
kebolehan klien untuk berfungsi secara tidak bergantung.
3. Apabila penamatan muncul, kaunselor rasa bersalah kerana tidak
melaksanakan tugas dengan efektif.
4. Apabila klien mengancam meninggalkan kaunselor dalam keadaan
mendesak dan marah.
5. Apabila penamatan menunjukkan berakhirnya pengalaman
menarik kaunselor
6. Bila penamatan menandakan berakhirnya pengalaman
pembelajaran kaunselor (contoh, kaunselor mungkin bersandar
pada klien untuk mempelajari tentang dynamic disorder atau
subbudaya yang khusus).

Susulan

Proses susulan berlaku apabila kaunselor menyemak untuk


melihat bagaimana klien melakukan perancangan selepas proses
penamatan dilakukan. Tujuannya ialah untuk penyeliaan yang positif
yang menggalakkan pertumbuhan klien.
Susulan penting kerana ia dapat meneguhkan dapatan klien
yang berlaku dalam proses kaunseling. Susulan juga membantu
kaunselor dan klien menilai semula pengalaman. Ia menekankan pada
sikap kaunselor yang tulen dan mengambil berat. Susulan dijalankan
sama ada dalam jangka masa pendek (3 hingga 6 minggu) dan jangka
panjang (sekurang-kurangnya selepas 6 bulan penamatan). Susulan
dilakukan dalam banyak cara. Kebiasaanya empat cara digunakan
iaitu;

1. Menjemput klien ke sesi untuk membincangkan kemajuan


berterusan dalam memenuhi matlamat yang ingin dicapai.

2. Melalui telefon, klien boleh melaporkan kepada kaunselor


secara verbal
3. Kaunselor menghantar surat kepada klien bertanyakan
perkembangan terkini dan

4. Kaunselor menghantar kepada klien soal selidik berkenaan


dengan tahap kefungsiaan terkini klien dan ini dilakukan
menerusi pos .

Proses Rujukan

Shertzer & Stone (1980) menjelaskan tindakan merujuk


individu kepada pihak atau agensi lain adalah bertujuan untuk
membantu kepakaran yang tidak ada dari sumber dalaman kaunselor.
Selain daripada itu, rujukan juga boleh dilakukan di sebabkan oleh
etika atau alasan peribadi. Cormier & Hackney (2001) menjelaskan
rujukan melibatkan beberapa langkah iaitu;
1. Mengenal pasti keperluan untuk merujuk
2. Menilai potensi sumber rujukan
3. Memperlengkapkan klien untuk dirujuk
4. Menyelaraskan perpindahan

Keperluan Merujuk

Keperluan merujuk berlaku apabila kaunseling yang sedia ada


tidak dapat menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh klien.
Adakalanya juga, keperluan dari segi gender, etnik, budaya dan
berkaitan dengannya memerlukan kaunselor membuat rujukan.
Kebiasaannya klien biasanya akan menentang untuk dibuat rujukan.
Kaunselor akan menerangkan risiko yang akan diterima dengan
berbincang berkenaan klien yang mudah dilukai dan memberi
sokongan kepada klien.

Membuat Rujukan

Terdapat lima sumber utama klien dirujuk kepada seorang


kaunselor iaitu;

- Pemerhatian kaunselor sekolah


- Guru atau kakitangan sekolah.
- Individu atau agensi dalam komuniti
- Ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan
- Rujukan klien sendiri.

Setiap sumber rujukan ini membuat satu penentuan sama ada


perlu atau tidak merujuk seorang individu kepada kaunselor
berdasarkan pemerhatian, maklum balas daripada individu lain,
berhubung secara langsung atau rekod lepas individu tersebut.

Pemerhatian Kaunselor Sendiri

Kaunselor meluangkan masanya untuk memerhatikan tingkah


laku seorang individu, mengulas rekod di sekolah atau agensi dan
membincangkan isu yang berkaitan dengan individu seperti guru atau
profesional yang lain. Dengan demikian, kaunselor akan mengenal
pasti individu yang perlu dirujuk.

Guru Dan Kakitangan Sekolah.


Di sekolah, guru, pentadbir dan staf sokongan juga boleh
mengenalpasti individu yang memerlukan bantuan kaunseling.
Individu yang selalu menghadapi masalah disiplin di sekolah boleh
dirujuk untuk mendapatkan bantuan dalam proses mengubah tingkah
laku maladaptif. Tingkah laku individu yang menyebabkan masalah
utama sama ada terhadap individu tersebut ataupun individu lain
adalah antara kemungkinan yang menyebabkan mereka dirujuk kepada
kaunselor.

Individu Atau Agensi Dalam Komuniti

Rujukan juga boleh datang daripada beberapa agensi sosial dan


individu dalam komuniti.

Ibu Bapa, Ahli Keluarga Dan Rakan-Rakan

Ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga yang lain atau kawan-
kawan juga boleh merujuk individu yang memerlukan bantuan
daripada kaunselor.
Kebanyakan rujukan dilakukan dengan menyertakan sekeping
surat rujukan ataupun melalui satu laporan yang dibuat secara lisan
menerangkan sebab-sebab yang mendorongnya dirujuk untuk
mendapatkan manfaat daripada proses kaunseling.
Maklumat tambahan haruslah dikumpul dan dianalisis oleh
kaunselor lain bagi setiap kes yang dirujuk oleh sumber rujukan.
Daripada maklumat yang sedemikian, kaunselor boleh mengenal pasti
punca-punca setiap isu yang dibawa oleh setiap klien yang dirujuk.
Walau bagaimanapun, kaunselor harus menghubungi sumber rujukan
yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan
maklumat yang diterima.
Kaunselor haruslah memberitahu sumber rujukan tentang apa
yang mungkin diharapkan sepanjang proses menolong dalam sesi
kaunseling. Sekiranya kaunselor mengambil keputusan untuk menolak
rujukan tersebut yang biasanya agak rumit, beberapa bantuan haruslah
diberikan kepada klien atau sumber rujukan dalam usaha mendapatkan
bantuan yang bersesuaian
Sekiranya ahli adalah tidak berkemampuan menjadi profesional
dalam memberikan bantuan kepada seorang klien, ahli haruslah
mengelak daripada memulakan perhubungan kaunseling atau ahli
menamatkan sesi kaunseling.
Dalam salah satu daripada situasi tersebut, ahli adalah
diwajibkan untuk merujuk klien tersebut kepada seorang kaunselor
yang bersesuaian. Ini adalah satu tugas atau tanggungjawab kepada
ahli yang mempunyai matlamat berkaitan dengan sumber rujukan
supaya berbincang dengan kaunselor tersebut sebelum memulakan
proses rujukan. Sekiranya klien tersebut menolak cadangan rujukan,
kaunselor adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan perhubungan
menolong.
Syarat-syarat yang harus di ambil kira dan dipertimbangkan
dalam membuat rujukan adalah seperti berikut;

1. Adakah rujukan itu satu keperluan? Keperluan haruslah


ditentukan sama ada masalah tingkah laku klien adalah
jenis yang memerlukan perubahan.

2. Adakah klien berminat? Perubahan tingkah laku akan


menjadi lebih senang sekiranya klien mempunyai minat
dalam mengubah tingkah lakunya.

3. Adakah masa yang diperuntukkan dan kemudahan yang


disediakan mencukupi? Satu persediaan garis kasar pelan
rawatan yang berkemungkinan haruslah disediakan dengan
masa dan kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan
pelan rawatan tersebut.

4. Bolehkah satu persetujuan secara kontrak dilakukan?


Persetujuan sedemikian adalah perlu sekiranya keputusan
untuk memberikan rawatan kepada klien telah diambil.
Persetujuan di antara kaunselor-klien perlu digunakan
sebagai pengantara sepanjang sesi kaunseling ini
dijalankan.

5. Adakah saya merupakan seorang kaunselor yang secara


profesionalnya layak untuk membantu klien tersebut?

6. Adakah diri saya mempunyai kelemahan yang


berkemungkinan menyebabkan saya gagal memainkan
peranan secara efektif dengan klien.

7. Adakah terdapat individu lain atau agensi yang lebih baik


untuk menolong klien tersebut ?

Tujuh persoalan yang disenaraikan di atas haruslah


dipertimbangkan untuk menyediakan satu kerangka kerja di antara
kaunselor yang boleh mengambil keputusan sama ada seseorang klien
itu harus dirujuk kepada seseorang kaunselor yang lain, ditamatkan
atau diberi perkhidmatan kaunseling.
Sekiranya kaunselor mengambil keputusan untuk menerima
klien, klien haruslah diberitahu tentang jenis-jenis bantuan yang akan
diberikan kepadanya, tempoh masa yang akan diperuntukkan dalam
satu sesi kaunseling dan penglibatan individu yang dirujuk atau agensi
adalah diperlukan dalam proses menolong.
Keputusan kritikal yang harus dibuat dalam memproses klien
adalah sama ada rujukan tersebut bersesuaian ataupun tidak.
Kaunselor akan mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan
klien untuk mengambil keputusan tentang kesesuaian kaunseling
terhadap klien. Kaunselor akan menganalisis laporan diri klien secara
langsung ataupun kaunselor akan meneroka persoalan yang dibawa
oleh klien sehingga menjalinkan persefahaman.
Dalam kes sedemikian, kaunselor tidak akan berjumpa dengan
klien sehinggalah sesi temuduga yang pertama apabila perhubungan
kaunseling akan diterangkan. Mengikut prosedur, individu yang
dirujuk akan dikenal pasti oleh kerana tingkah lakunya di dalam kelas
telah menimbulkan masalah. Dalam situasi ini, kaunselor akan
berunding dengan orang yang merujuk pelajar untuk mengumpul ke
semua maklumat yang sesuai dan berkaitan dengan tingkah lakunya
yang menimbulkan masalah.
Kaunselor juga akan menganalisis rekod yang diperolehi
bersama-sama dengan sumber maklumat lain yang telah dikumpulkan.
Kaunselor akan mengulas dan menganalisis maklumat dengan
berdasarkan kepada kecekapan profesional yang ada pada seorang
kaunselor dan seterusnya akan mengenal pasti kesesuaian rujukan
tersebut. Sekiranya kaunselor mengambil keputusan bahawa rujukan
adalah bersesuaian, kaunselor akan menghubungi individu tersebut dan
menentukan temujanji klien untuk berjumpa dengan kaunselor.
Individu yang merujuk klien tersebut perlu diingatkan
mengenai kerahsiaan kaunseling di samping memahami apakah yang
diharapkan dalam perhubungan kaunselor-klien. Setelah kesemua
makalumat yang berkaitan dengan klien telah dikumpulkan daripada
sumber rujukan, kaunselor akan bersedia untuk memulakan sesi
temuduga bersama dengan klien.

Menilai Sumber Potensi

Kaunselor perlu membiasakan dirinya dengan sumber rujukan


yang digunakan dalam masyarakat. Dalam beberapa komuniti,
perkhidmatan kesihatan mental akan menyenaraikan beberapa senarai
agensi am, perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan, yuran dan
bagaimana rujukan akan disempurnakan. Direktori telefon Yellow
Pages juga membekalkan maklumat sama ada agensi kerajaan dan
swasta.

Menyelaraskan Perpindahan

Apabila kaunselor merujuk klien kepada kaunselor lain,


kaunselor berharap rujukan dapat berlaku dengan berjaya tanpa
memberi sebarang tekanan kepada klien. Jika klien mempunyai
kebimbangan yang tinggi, atau jika kaunselor merasakan klien
mungkin tidak boleh menerima rujukan, perhatian yang tertentu akan
ditumpukan pada kebimbangan klien. Tambahan kaunselor perlu
membekalkan maklumat dalam usaha memudahkan proses rujukan.

Memperlengkapkan Klien Untuk Dirujuk

Menyediakan klien untuk rujukan mungkin membimbangkan


klien. Oleh itu, penting bagi kaunselor untuk meringankan
kebimbangan klien dengan memberi tahu klien berkenaan dengan
potensi kaunselor baru secara terperinci seperti ciri-ciri peribadi,
kecekapan profesional dan kefahaman mereka terhadap rujukan.

Berkomunikasi dengan ‘ Receiving Professional’

Sebelum rujukan dibuat, kaunselor perlu memastikan sama


ada kaunselor yang ingin dirujuk bersedia atau tidak untuk menerima
rujukan. Cara ini akan dilakukan secara berkesan melalui telefon.
Ketika klien telah dikenal pasti, perpindahan maklumat tentang kes
mesti dinyatakan. Ringkasan kes beserta dengan maklumat demografi
perlu dinyatakan. Laporan penamatan akan diterangkan lebih awal
dengan tujuan memberikan maklumat yang memadai untuk bertemu
keperluan ini.
Sebelum menghantar bahan bertulis, kaunselor perlu
mendapatkan persetujuan yang ditandatangani daripada klien.
Kebanyakan pusat kaunseling menggunakan borang persetujuan yang
standard.

Hubungan kaunseling

Hubungan kaunseling sama ada antara kaunselor-klien atau


klien-kaunselor memainkan peranan penting dalam menentukan
kejayaan sesuatu proses kaunseling. Corey (1996) telah menyatakan
bahawa hubungan kaunselor-klien bukan sahaja bertindak untuk
meningkatkan peluang-peluang bagi klien mencapai matlamatnya,
malah bertindak sebagai model untuk mewujudkan perhubungan
interpersonal yang boleh digunakan oleh klien untuk
mempertingkatkan kualiti bentuk hubungan lain di luar setting
kaunseling.

RUMUSAN

Dalam proses kaunseling, kaunselor boleh melaksanakannya


dalam beberapa peringkat. Brammer (1973) telah membahagikan
peringkat kaunseling kepada beberapa fasa. Bab ini telah
membincangkan secara mendalam fasa-fasa yang terdapat dalam
proses kaunseling. Fasa-fasa yang telah dibincangkan adalah fasa satu
iaitu fasa sebelum proses kaunseling, fasa dua, semasa proses
kaunseling dan fasa tiga iaitu fasa selepas proses kaunseling.

RUJUKAN

Brammer (1973). The helping relationship: Process and skills. New Jersey: Prentice
Hall.

Cormier, W. & Cormier, L.S (1991). Interviewing strategies for helpers:


Fundamental skills and cognitive behaviour intervention: Pacific Grove CA:
Brooks/Cole.

Cormier, L.S., & Hackney,H (1999). Counselling strategies and interventions (5th ed).
Boston: Allyn & Bacon.

Eisenberg,S. & Delaney,D.J. (1977). The counseling process. Chicago: Rand McNally
Publishing Co.

Gladding,S (2000). Counseling: A comprehensive profession (4th ed). Upper Sadle


River. NJ: Prentice Hall.

Shetzer, B., & Stone, S.C. (1980). Fundamentals of counselling. Bostton: Houghton
Miflin.