Anda di halaman 1dari 2

Mutu sukan negara memang begitu memalukan terutama sukan-sukan tertentu seperti bola sepak,

sepak takraw, dan acara trek jika hendak dibandingkan dengan prestasi ahli sukan negara pada zaman
dahulu. Pelbagai pihak terutama masyarakat telah mula jemu dengan pelbagai alasan yang diberikan
oleh pihak berkuasa terutama persatuan sukan terbabit. Pihak media massa turut membuat pelbagai
program untuk meneliti dan membuat cadangan yang konkrit untuk membantu memajukan sukan
negara kita. Maka, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan semula sukan
negara.

Tindakan awal yang boleh dilakukan dalam menangani polemik ini ialah kerajaan melantik lebih ramai
jurulatih asing datang untuk melatih ahli sukan negara dalam acara sukan yang begitu mengecewakan
pencapaiannya. Kehadiran jurulatih asing ini amat penting kerana mereka mempunyai banyak
pengalaman dalam merangka latihan yang sistematik dan berasaskan sains. Bukan jurulatih tempatan
tidak layak untuk melatih ahli sukan negara tetapi pengalaman yang diperoleh oleh jurlatih asing itu
memerlukan tempoh masa yang lama untuk dipelajari oleh jurulatih tempatan. Lantaran itu, mutu sukan
negara akan meningkat secara mendadak dengan kehadiran lebih ramai jurulatih asing ke negara ini.

Pembinaan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa turut dilaksanakan dengan segera kerana
kemudahan sebegini memberi banyak kelebihan kepada ahli sukan negara. Infrastruktur yang moden
seperti stadium bola sepak yang besar, kolam renang bersaiz Olimpik dan trek bertaraf dunia
menjadikan ahli sukan kita sudah biasa menyesuaikan diri mereka dengan suasana pertandingan yang
sudah pasti akan dilakukan di luar negara tetapi dalam stadium atau balapan yang serupa. Latihan yang
lebih kerap dan sistematik turut mampu dilaksanakan di kemudahan sukan yang bertaraf dunia ini selain
memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mencuba dan menjadi ahli sukan juga. Maka,
pembinaan lebih banyak kemudahan sukan akan membuka lebih banyak peluang kepada ahli sukan
untuk meningkatkan diri lalu meninggikan kualiti sukan negara.

Bukan sahaja kemudahan sukan ini mampu menyediakan tempat berlatih yang baik tetapi kemudahan
sukan ini turut menjadikan negara berpeluang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah acara sukan
dunia. Semua kemudahan yang sudah tersedia ini wajar digunakan oleh kerajaan untuk menawarkan
negara menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia yang mampu disertai oleh ahli sukan negara juga.
Persaingan yang dihadapi oleh ahli sukan negara sudah pasti hebat kerana semua ahli sukan terbaik
dunia akan datang ke acara sukan sebegini lalu menjadikan ahli sukan kita lebih baik pada masa
hadapan. Oleh itu, mutu sukan negara terus bertambah jika negara menjadi tuan rumah acara sukan
bertaraf dunia.

Selain itu, ganjaran dalam bentuk kewangan dan kedudukan harus diberikan kepada ahli sukan, jurulatih
dan sesiapa sahaja yang berperanan meningkatkan lagi prestasi sukan negara. Pemberian ganjaran
dalam bentuk kewangan sudah pasti akan menarik minat atau menyuntik semangat kepada ahli sukan
untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik lagi dalam setiap acara yang disertainya. Bukan sahaja masa
depan ahli sukan lebih terjamin dengan adanya ganjaran kewangan sebegini tetapi mereka juga boleh
menggunakan bantuan kewangan itu untuk membuat atau menjalani latihan intensif yang lebih baik
terutama di luar negara. Sesungguhnya, ganjaran kewangan berupaya meningkatkan prestasi ahli sukan
negara kita dalam tempoh terdekat ini.

Malahan, kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan boleh mengadakan program untuk membentuk
ahli sukan sejak peringkat awal lagi dengan memperkenalkan program-program pemilihan ahli sukan di
bangku sekolah. Mereka yang terpilih ini akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani
kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek
pendidikan. Latihan yang bermula sejak mereka masih muda ini sudah pasti memberikan ahli sukan kita
satu asas yang kukuh dalam sesuatu acara sukan itu dan hanya perlu digilap sahaja ketika mereka sudah
dewasa untuk bertanding secara aktif. Maka, program melatih ahli sukan sejak di bangku sekolah
mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam acara sukan di negara ini.

Kesimpulannya, mutu sukan negara kita memang berada di tahap yang begitu mengecewakan sehingga
rakyat sudah berasa bosan mendengarnya. Keadaan ini memerlukan satu perubahan drastik dalam cara
kita melihat sukan kerana tanpa perubahan sebegini sudah pasti tidak akan berlaku perubahan yang
dimaksudkan itu. Dalam masa yang sama ahli sukan turut berperanan untuk berusaha lebih gigih dan
yakin akan kemampuan sendiri untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang lain. Slogan "majulah
sukan untuk negara" harus dipraktikkan dengan sejelas mungkin.

Anda mungkin juga menyukai