Anda di halaman 1dari 9

Masyarakat Pluralistik Selepas Merdeka.

Politik

Secara umumnya, di kebanyakkan negara sedang membangun, aspek etnik


selalunya mencorakkan pentas politiknya. Politik Malaysia juga tidak terlepas daripada
dipengaruhi oleh aspek etnik. Oleh itu, usaha untuk memelihara kestabilan politik yang
bersandarkan kepada kerjasama antara etnik terus menjadi agenda utama negara.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Malaysia masih lagi dianggap
sebagai negara yang berupaya melaksanakan system demokrasi secara berkesan.
Dalam konteks politik domestik, demokrasi di negara ini telah berjalan lancar
(terutamanya sejak pilihan raya umum pertama tahun 1955) kerana orang Melayu,
Cina dan India telah bersatu untuk mendesak British memberikan kemerdekaan. Pada
peringkat ini, perjuangan menuntut kemerdekaan menjadi pengikat bagi ketiga-tiga
kumpulan etnik untuk bersatu dalam satu pakatan parti, iaitu Perikatan. Parti Perikatan
terdiri daripada United Malays National Organisation (UMNO), Malayan Chinese
Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC). Selain itu, pimpinan parti
Perikatan yang mengamalkan sikap bertolak ansur juga turut mengukuhkan kerjasama
antara kumpulan etnik yang mereka wakili. Menurut R.K.Vasil (1980), pakatan dalam
parti Perikatan pada dasarnya telah menerima kepimpinan Melayu tanpa menjejaskan
hubungan harmonis antara kumpulan etnik. Tunku Abdul Rahman diterima sebagai
Perdana Menteri pertama oleh kumpulan-kumpulan etnik lain berdasarkan keupayaan
beliau mempengaruhi orang Melayu dan bukan Melayu untuk bertolak ansur dalam
beberapa perkara asas.

Dalam tempoh 1957-1959, politik Malaysia telah melalui perjalanan yang berliku-liku.
Terdapat beberapa pergolakan dalaman anggota parti Perikatan. MCA menghadapi
kemelut kepimpinan apabila terdapat golongan yang tidak berpuas hati terhadap
kepimpinan Tan Cheng Lock sehingga akhirnya memaksa beliau digantikan oleh Dr.
Lim Chong Eu. Dr. Lim memberikan tekanan kepada parti Perikatan untuk memberi
kerusi yang lebih kepada MCA dalam pilihan raya umum 1959. Krisis MCA Dr. Lim
Chong Eu meletak jawatan. Parti MIC juga tidak terlepas daripada menghadapi kemelut
dalaman apabila terdapat segelintir pihak yang menunjukkan sikap tidak puas hati
terhadap Parti Perikatan. Namun demikian, melalui proses perundingan dalam
kalangan pemimpin parti yang terlibat, segala kemelut dapat diatasi dengan cara yang
baik.

Selepas era 1960-an, politik Malaysia terus berkembang secara dinamik. Kerjasama
parti-parti politik dalam pakatan parti pemerintah telah berkembang dengan
peningkatan keahliannya. Hal ini terbukti melalui penubuhan Barisan Nasional pada
tahun 1974. Rekod Barisan Nasional yang terus kekal memerintah sehingga kini
sebahagiannya adalah kerana wujudnya kerjasama antara parti komponennya.
Sehingga kini, segala usaha membina ikatan kerjasama dan merancang serta
melaksana program pembangunan negara secara berterusan telah berjaya mendapat
sokongan rakyat setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Dasar-dasar kerajaan dalam menguruskan pelbagai perkara yang berkaitan dengan


perhubungan etnik melalui formula tolak ansur telah Berjaya mengekang pihak tertentu
seperti parti pembangkang yang cuba memecahbelahkannya. Justeru, struktur
hubungan etnik di Malaysia kini dipengaruhi oleh kumpulan etnik yang memiliki batas
etnik yang nipis. Bentuk perhubungan mereka berasaskan perkiraan bukan etnik.
Secara rasional, hubungan mereka lebih bersifat utilitarian dan mengikat mereka dalam
jaringan silang budaya dan merentas etnik masing-masing (Mansor Mohd. Noor, 2005)
Perlembagaan

Sebagaimana telah disebutkan di atas terdapat persekutuan berlapis, iaitu Persekutuan


Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia. Walau bagaimanapun, Perlembagaan
Persekutuan Malaysia adalah penerusan daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu walaupun terdapat beberapa penambahan dan pengubahsuaian.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi yang
menjadi sumber kepada segala perundangan lain yang wujud di negara kita.

Perlembagaan merupakan panduan asas kepada perlaksanaan sistem politik di negara


kita. Perlembagaan tokoh Melayu merupakan panduan asas yang berlandaskan suatu
kontrak sosial yang dipersetujui antara kaum di Negara ini. Dari segi sejarah, terdapat
dua peringkat kontrak sosial di Alam Melayu. Pertama, berlaku pada zaman pluraliti
iaitu janji taat setia dan saling menghormati antara rakyat dan raja. Janji taat setia dan
saling menghormati ini diistilahkan sebagai waad. Perkara ini berlaku antara Demang
Lebar Daun mewakili pihak rakyat dan Sang Sapurba mewakili raja atau pemerintah.
Oleh itu, kita boleh memahami dengan mudah mengapa orang Melayu sangat setia
kepada pemerintah mereka daripada kalangan sultan atau raja.

Kontrak sosial kedua berlaku dalam konteks masyarakat pluralistik hasil daripada syarat
yang dikenakan oleh pihak British umtuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah
Melayu. Antara perkara penting yang sering dikaitkan dengan kontrak sosial ini ialah
soal kerakyatan. Orang Melayu bersetuju menerima kehadiran orang bukan Melayu
dengan persetujuan memberikan taraf kerakyatan sebagai satu hak istimewa kepada
orang bukan Melayu. Pada masa yang sama, orang bukan Melayu bersetuju ke atas
peruntukkan hak-hak istimewa orang Melayu. Setiap kumpulan etnik mestilah
mempunyai wakil mereka dalam bentuk parti politik dan kesemua mereka mestilah
mencapai persetujuan untuk hidup bersama-sama secara aman dan damai dalam
Negara Malaysia. Sehubungan dengan ini, pada tahun 1949 telah terbentuk apa yang
dinamakan sebagai Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (Communities Liason
Committee-CLC). CLC tersebut merupakan usaha bersama antara Tan Cheng Lock
dan Dato’ Onn bin Jaafar, dengan sokongan pemerintah colonial, sebagai tanda awal
ke arah menyelesaikan isu-isu antara etnik di Tanah Melayu. Oleh itu, persetujuan ini
kemudiannya menjadi acuan atau model kepada penggabungan parti politik antara
kaum seterusnya sama ada mewakili pemerintah mahupun pembangkang. Jadi, secara
alamiahnya kelangsungan parti politik di Malaysia ialah parti-parti politik tidak mampu
hidup secara individu.

Pendidikan

Sehingga Penyata Razak 1956, tiada terdapat satu system pendidikan nasional di
Tanah Melayu. Apa yang wujud ialah empat aliran pendidikan yang berlainan, iaitu
aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Setiap kumpulan etnik mempunyai adunan dan
acuan pendidikan yang berbeza. Semasa zaman penjajahan, sistem pendidikan di
Persekutuan Tanah Melayu boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Pertama,
pendidikan British rendah dan menengah yang dihadiri oleh anak-anak kalangan
bangsawan Melayu dan hartawan Cina dan India. Kedua, sekolah Melayu peringkat
rendah yang dibantu oleh British dengan matlamat untuk menjadikan mereka sebagai
petani yang lebih baik sedikit daripada ibu bapa mereka. Pihak British juga
membenarkan kewujudan sekolah agama dan mengaji Quran. Pada peringkat ini tiada
sekolah menengah Melayu. Ketiga sekolah vernakular Cina dan India. Sekolah Cina
dibiayai oleh masyarakat Cina sendiri (Milne dan Mauzy, 1986),

Selain perbezaan dalam aliran pendidikan, kerencaman sistem pendidikan juga dapat
dilihat daripada sudut kurikulum, sukatan mata pelajaran serta orientasi matlamatnya.
Bagi aliran pendidikan Cina dan India, kurikulum, sukatan mata pelajaran dan
orentasinya berkiblatkan negara asal mereka.

Walau bagaimanapun, sistem pendidikan negara era pascamerdeka telah berubah


kepada satu corak baharu yang berorientasikan unsure-unsur tempatan. Sistem
pendidikan kebangsaan telah dibentuk berasaskan keseragaman kurikulum, sukatan
mata pelajaran dan orientasi. Pendidikan kebangsaan penting sebagai satu wadah bagi
menyatukan kepelbagaian budaya, nilai dan norma masyarakat ke dalam satu acuan
demi mencapai matlamat membentuk identity kebangsaan Malaysia. Usaha kea rah ini
sebenarnya telah dilakukan semenjak sebelum merdeka lagi khususnya melalui dua
laporan iaitu Penyata Razak tahun 1956 dan Penayata Rahman Talib tahun 1960.
Matlamat utama dasar pendidikan menurut kedua-dua penyata tersebut ialah untuk
menyatukan kanak-kanak daripada berbilang etnik di bawah satu sistem pendidikan
kebangsaan dengan menggunakan satu bahasa pengantar tunggal iaitu bahasa Melayu
(Wan Hashim, 1983).

Lebih jauh daripada itu, dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi


kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan
dengan bahasa Inggeris masih lagi digunakan sebagai bahasa rasmi. Walau
bagaimanapun, pucuk pimpinan parti Perikatan telah mencapai kesepakatan pada
tahun 1956 dan bersetuju dengan Akta Pendidikan 1957 atas prinsip :

i. Sekolah pelbagai aliran dibenarkan dan pengajaran dalam bahasa ibunda


masing-masing dibenarkan;
ii. Oleh sebab bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsa, maka di sekolah-
sekolah Cina dan Tamil wajib mengajar Bahasa Melayu sebagai salah satu
daripada mata pelajaran;
iii. Pendekatan dalam mata pelajaran sejarah, geografi dan buku-buku teks yang
lain mestilah berteraskan Malaysia; dan
iv. Bukan lagi berteraskan negara China dan India (John lowe, 1960)

Persetujuan kepimpinan parti Perikatan terhadap penyata Razak 1956 dan Rahman
Talib 1960 melalui proses musyawarah telah secara langsung mengiktiraf penggunaan
bahasa Melayu sebagai alat untuk penyatuan tanpa menjejaskan bahasa etnik-etnik
lain. Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan juga mempunyai motif ekonomi yang tersirat. Perkara ini
tercatat dalam Laporan Jawatankuasa Barnes tahun 1951, antara lain menegaskan
untuk menggalakkan dan membolehkan etnik Melayu mendapat kedudukan dalam
jabatan-jabatan tertentu. Manifestasi motif ekonomi dalam sistem pendidikan ini
bersandarkan kepada kedudukan etnik Melayu yang jauh ketinggalan berbanding
dengan etnik bukan Melayu. Kebimbangan etnik Melayu semakin meningkat dengan
statistic kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, 70 peratus
daripada jumlah pelajar di Universiti Malaya pada tahun 1966-1967 terdiri daripada
pelajar bukan Melayu. Manakala taburan bukan Melayu di Fakulti Kejuruteraan ialah 98
peratus, sains 93 peratus dan perubatan 84 peratus. Di Universiti Teknologi Malaysia
(dulunya Kolej Teknik) Kuala Lumpur, 90 peratus pelajar ialah bukan Melayu.

Oleh itu, selepas tragedi 13 Mei 1969, parti UMNO yang menerajui Parti Perikatan telah
menegaskan bahawa pendidikan perlu diseimbangkan bagi memperkasakan orang
Melayu. Secara beransur-ansur, mulai 1969, kerajaan telah melaksanakan penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah bantuan kerajaaan.
Sebagai tindakan pengukuhan, kerajaaan telah merumuskan dasar kuota dan biasiswa
bagi kemasukan university. Kerajaan juga telah mengambil langkah memperbanyakkan
penubuhan institusi pendidikan tinggi bagi mempertingkatkan bilangan pelajar Melayu
ke university. Kesan daripada dasar ini, kemasukan pelajar ke university telah
meningkat daripada 20 peratus pada tahun 1960-1964 menjadi 65 peratus pada tahun
1975 (Milne dan Mauzy, 1986)

Pada masa yang sama, golongan bukan Bumiputera (khususnya masyarakat Cina)
merasakan satu keperluan untuk melindungi budaya warisan nenek moyang dengan
menggunakan wadah pendidikan. Oleh yang demikian, masyarakat Cina masih
mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina. Namun begitu, suktan pelajaran di
sekola-sekolah jenis kebangsaan Cina adalah selaras dengan apa yang ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini penting untuk memastikan perpaduan negara
dan pembinaan bangsa Malaysia dapat dicapai.
Ekonomi

Selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan telah menggiatkan usaha
untuk mengatasi pelbagai masalah sosioekonomi dan sosiopolitik. Rancangan
pembangunan ekonomi negara dibahagikan kepada empat peringkat :

i. Rancangan pramerdeka iaitu meliputi Rangka Pembangunan Persekutuan


Tanah Melayu (1950-1955) dan Rancangan Persekutuan Tanah Melayu
Pertama (1956-1960);
ii. Perancangan selepas merdeka, merangkumi Rancangan Persekutuan Tanah
Melayu Kedua (1961-1965) dan sebahagian daripada Rancangan Malaysia
Pertama (1966-1970)
iii. Perancangan dalam era Dasar Ekonomi Baru; dan
iv. Dasar-Dasar Pembangunan Negara.

Secara umumnya, sistem ekonomi Malaysia berasaskan laissez faire atau sistem
ekonomi pasaran bebas yang diadaptasi daripada warisan British. Kerajaan pada
asasnya membataskan kuasanya dalam regulasi perniagaan, pengurusan dan
perbankan demi menjaga pelabur-pelabur asing (Lim Mah Hui dan William Canak,
1981). Semasa era penjahan, pihak British telah memperkenalkan sistem ekonomi
moden. Namun demikian, sistem ekonomi tradisional masih dikekalkan. Kesan
langsung daripada proses tersebut ialah kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem
ekonomi dualisme ini merujuk kepada dua orentasi dan tumpuan yang berbeza namun
bergerak seiringan dengan garis etnik.

Pertama, sistem ekonomi moden yang mendominasi keseluruhan organisasi


pengeluaran. Sistem ekonomi penjajah tertumpu kepada perdagangan moden
terutamanya berasaskan pengeluaran getah dan bijih timah. Sistem ekonomi ini
berorentasikan budaya Bandar dengan asas pasaran bandar, corak pengurusan dan
teknik organisasi berteraskan bandar. Mobilasi modal juga berasaskan sumber-sumber
bandar. Sistem ekonomi moden ini di bawah kawalan British dan juga firma asing.
sektor ini banyak melibatkan kelompok etnik Cina dan India. Kedua, sistem ekonomi
tradisional yang diidentifikasikan dengan sector ekonomi pertanian. Komoditi utamanya
ialah padi dan perikanan. Teknik pengeluarannya, pemasaran, tenaga kerja serta modal
adalah didominasi oleh etnik Melayu dengan berlandaskan budaya Melayu luar bandar
(Ness, 1967).

Secara langsung ekonomi dualism ini telah mengidentifikasikan agihan tenaga kerja
mengikut tiga etnik utama di Malaysia. Etnik Melayu tertumpu di sektor pertanian
tradisional. Ciri-ciri ekonomi etnik Melayu dalam sektor ini ialah pekebun kecil getah,
kelapa, pesawah padi dan nelayan kecil-kecilan. Dalam sektor ini, kadar kemiskinan
adalah yang tertinggi (Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (1991-2000).
Sementara dalam sektor ekonomi moden, terutamanya perlombongan, perkilangan dan
perkhidmatan yang diceburi lebih kurang 10 peratus daripada tenaga kerja didominasi
oleh kumpulan etnik Cina (Ness, 1967).

Dalam sektor ketiga pula (tertiary sector), jelas terdapat ketidakseimbangan antara
etnik. Etnik Cina menguasai separuh daripada keseluruhan sektor ini, manakala etnik
Melayu dan India masing-masing cuma menguasai satu perempat sahaja. Lebih
daripada itu, dalam lingkungan sektor ini jurang etnik lebih luas lagi. Sebagai contoh
menurut Ness, separuh daripada etnik melayu yang terlibat dalam sektor ketiga; adalah
dalam sektor kerajaan (termasuk polis). Manakala dalam sektor ketiga swasta pula,
etnik Cina menguasai bidang pengangkutan, perniagaan dan kewangan. Sementara itu,
etnik India pula ramai terlibat dalam sektor pengangkutan awam (terutamanya kereta
api), dalam perkhidmatan awam, perniagaan dan kewangan (Ness, 1967).
Sehubungan dengan corak taburan ekonomi semasa, jurang purata pendapatan antara
kumpulan etnik seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan jelas
belum seimbang lagi. Bumiputera masih tertinggal ke belakang berbanding dengan
kumpulan etnik yang lain.

Berdasarkan gambaran umum di atas ketara sekali isu yang berkaitan dengan ekonomi
memerlukan iltizam yang kuat daripada semua pihak untuk merapatkan jurang yang
sedia ada. Keperluan untuk memperbetulkan kedudukan dimensi ekonomi ini amat
mendesak kerana dimensi ini menjadi salah satu asas utama dalam memupuk
kerjasama kumpulan etnik. Ketidakseimbangan kedudukan ekonomi berdasarkan etnik
juga harus diatasi kerana ketidakseimbangan itu berpotensi sebagai punca pencetus
konflik. Dalam hal ini, isu ketidakseimbangan ekonomi telah dianggap sebagai salah
satu factor yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969.

Anda mungkin juga menyukai