Anda di halaman 1dari 2

KEBURUKAN MUZIK

Muzik boleh didefinisikan sebagai cabang seni yang melibatkan pengolahan dan pengorganisasian
tenaga bunyi. Seni muzik meliputi banyak perkara yang amat berkait rapat dalam kehidupan manusia.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa manusia dan muzik sukar untuk dipisahkan. Muzik dalam
kehidupan individu dapat memberikan impak pro dan kontra. Walaupun banyak faedah boleh didapati
daripada muzik, namun sisi buruknya juga wujud seperti pepatah Inggeris yang menyebut, tiada satu pun
yang sempurna di dunia ini. Oleh itu, natijah muzik mestilah diambil tahu dan bukannya dipandang
enteng.

Pendedahan berterusan terhadap bunyi sederhana bising yang disebabkan oleh muzik yang kuat boleh
menyebabkan deria pendengaran hilang. Kehilangan salah satu daripada deria utama ini mungkin di luar
kesedaran selepas satu tempoh. Hal ini kerana, sensitiviti deria pendengaran berkurangan buat sementara
waktu setelah terdedah kepada bunyi yang bising. Namun, lama-kelamaan, kerosakan ini akan terus
merebak ke kawasan pendengaran yang diperlukan untuk memahami percakapan iaitu bahagian saraf
yang menghantar mesej kepada otak untuk dianalisis. Kehilangan pendengaran yang sementara akan
menjadi kekal setelah berterusan didedahkan kepada bunyi bising. Lebih lama durasi bunyi tersebut, lebih
kurang bunyi bising yang diperlukan untuk merosakkan telinga. Melalui kemajuan teknologi, pemain
muzik seperti pemain Mp3 dan iPod, serta headset dan earphone merupakan penyumbang terbesar
kepada masalah pendengaran yang menimpa para remaja dewasa ini. Justeru itu, pengaruh muzik
mestilah dipandang berat dan usaha menggalakkan hiburan muzik melalui cara yang betul mestilah
digembleng dan dilaksanakan.

Di samping itu, penglibatan dalam arena muzik juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Hal
ini kerana, seseorang yang ingin menceburi arena ini terpaksa melaburkan sejumlah wang ringgit
yang bukannya sedikit untuk membayar yuran pengajian, membeli instrumen muzik dan bahan
pembelajaran, serta kos pengangkutan untuk mempelajari ilmu muzik. Jika tidak menguruskan
kewangan diri mahupun keluarga dengan betul, banyak masalah akan timbul dari sudut ekonomi
seseorang itu. Tambahan pula, negara ini juga sedang mengalami kenaikan harga barang yang
menggawatkan lagi kewangan sesebuah keluarga. Sedangkan keperluan harian, bil-bil, serta
hutang yang berbagai-bagai sukar dilangsaikan, ditambah pula dengan perbelanjaan muzik,
pastinya sukar untuk seseorang itu hidup di kawasan kota terutamanya yang tinggi kos sara diri.
Justeru itu, sememangnya muzik membawa keburukan kepada individu.
Selain itu, muzik juga menyebabkan golongan remaja terutamanya, mudah terjebak dengan
pergaulan yang bebas. Hal ini kerana, budaya berhibur yang lebih kebaratan dan menyimpang
jauh daripada budaya tempatan yang lebih ketimuran, menjadi rebutan para remaja kini.
Kelambakan remaja yang membanjiri konsert, bergaul, menari dan melompat tidak kira lelaki
dan perempuan membuktikan lagi keburukan muzik dari segi sahsiah. Suasana dan tempat
muzik, terutamanya aksi muzik barat moden yang lebih mengujakan menyebabkan jiwa remaja
yang kuat naluri mencuba, meniru perilaku yang tidak senonoh itu. Hal ini seterusnya
menyumbang kepada gejala sosial yang serius seperti seks bebas yang akhirnya membawa
kepada pembuangan bayi yang menjadi-jadi seperti dewasa ini. Oleh hal yang demikian, muzik
yang dinikmati melalui cara yang salah pastinya menyebabkan keburukan yang serius.

Seterusnya, muzik juga memberikan pengaruh negatif kepada kepada remaja khususnya.
Kebanyakan muzik barat mempromosikan budaya mereka yang gemar berparti, minum minuman
keras, penggunaan dadah, rasuah, dan seks yang sudah terang lagi bersuluh, jauh menyimpang
daripada budaya tempatan yang lebih ketimuran. Terdapat juga muzik yang bersifat anti-
ketuhanan dan memuja syaitan seperti black metal yang semakin menjangkiti remaja kita. Hal ini
seterusnya mewujudkan masalah keruntuhan akhlak remaja yang akan memalitkan kotoran pada
imej masyarakat negara ini, dan membantutkan pembangunan negara ke arah kemajuan. Oleh
itu, jelaslah bahawa muzik pastinya boleh menjejaskan moral golongan remaja yang mudah
terpengaruh.

Kesimpulannya, walaupun muzik menyumbangkan manfaat yang banyak, namun muzik juga
menyalurkan keburukan yang serius yang tidak sewajarnya dipandang enteng. Oleh itu, pelbagai
pihak sepatutnya menggembleng usaha dalam menyalurkan muzik yang memberikan impak
positif dan bukannya memandang sebelah mata terhadap muzik yang terang-ternagan
memberikan impak negatif.