Anda di halaman 1dari 10

KAEDAH BELAJAR UNTUK MIKRO

EKONOMI – SATU CADANGAN


Oleh Rithuwan Bin Nasir
Hak cipta terpelihara

http://mikroekonomistpm.wordpress.com

NOTA : Artikel ini diubahsuai dari artikel asal tulisan saya sendiri bertajuk,
“BAGAIMANA MERANCANG MEMPEROLEH GRED CEMERLANG UNTUK
MIKROEKONOMI (ATAU LULUS PENUH)” yang pernah diterbitkan online sejak
bulan September 2008. (kini ditarik siaran dan diganti dengan artikel ringkas ini)

PENGENALAN

Ramai calon mengatakan Ekonomi STPM sukar. Malah ada yang mendakwa bahawa
Makroekonomi lebih senang berbanding Mikroekonomi. Dengan kata lain, subjek
ekonomi susah, dan antara yang tersusah adalah Mikroekonomi. Sebelum sifu
membangkang kata-kata itu, adalah lebih baik jika sifu nyatakan di sini matlamat
pembelajaran Mikroekonomi yang mungkin telah dilupakan pelajar.

Kenyataan 1
“Mikroekonomi juga dikenali sebagai teori harga. Aspek harga yang dibincangkan adalah
tentang harga output dan harga faktor atau input. Dalam sukatan pelajaran STPM, isu dan
persoalan mengenai harga input dibincangkan dalam teori agihan. Antara perkara yang
turut dibincangkan termasuk aspek penentuan upah, sewa, kadar bunga dan untung.
Sebahagian besar daripada perbincangan mikroekonomi sebagai teori harga memfokus
kepada pasaran output. Dua pemboleh ubah utama dalam menentukan harga output di
pasaran ialah permintaan (DD) dan penawaran (SS). Keseimbangan tercapai apabila SS =
DD.”

Kenyataan 2
“Seperti dinyatakan sebelum ini, ilmu ekonomi merupakan satu bidang sains sosial yang
mengkaji gelagat pelaku ekonomi yang kompleks. Walaupun kompleks, gelagat pelaku
ekonomi di dalam aktiviti ekonomi dapat dijangkakan melalui pembentukan teori.
Dengan menggunakan teori, isu dan permasalahan ekonomi dapat dicerap dan dianalisis
dengan jelas. Teori ekonomi dapat dinyatakan dan dianalisis dengan menggunakan tiga
kaedah, iaitu melalui kaedah pernyataan, analisis dengan menggunakan jadual dan rajah
serta analisis dengan menggunakan kaedah persamaan matematik.”

Sepanjang pembelajaran mikroekonomi, anda akan dapati kita membincangkan tentang


hubungan antara harga dengan kuantiti. Dalam pasaran barang, harga sesuatu barang
semasa boleh mempengaruhi permintaan atau penawaran barang tersebut, sekali gus
menentukan jumlah kuantiti yang diminta atau ditawarkan mengikut unit ekonomi yang
dibincangkan. Dalam pasaran faktor pula harga buruh adalah upah dan kuantiti buruh
adalah bilangan orang yang sanggup bekerja. Sekali lagi dalam mikroekonomi, kita
membincangkan bagaimana harga buruh boleh mempengaruhi kuantiti buruh dalam
pasaran. Begitu juga dengan faktor lain seperti tanah, modal dan usahawan. Harga tanah
adalah sewa yang diterima dalam nilai wang. Kuantiti tanah pula adalah keluasan tanah
tersebut seperti hektar. Modal pula, harga modal ialah faedah yang diterima dalam nilai
wang juga manakala kuantiti modal adalah sejumlah wang yang dilaburkan. Jelas di sini
perbincangan dalam mikroekonomi tetap berfokuskan kepada hubungan harga dengan
kuantiti di mana fokus sukatan adalah lebih menjurus kepada pasaran barang.

Memandangkan ilmu ekonomi peringkat STPM adalah setahap dengan pembelajaran pra-
universiti, maka sudah pastilah pengisian pembelajaran turut diperluaskan dan kemahiran
yang perlu dimiliki oleh pelajar telah digariskan oleh pihak kementerian berwajib.

Persoalan yang ingin dijawab ialah mampukah anda memperoleh gred “lulus penuh” atau
akan tercapaikah impian anda memperoleh gred A dalam mikroekonomi dan ekonomi itu
sendiri. Jawapannya ialah boleh. Sifu yakin ia boleh dicapai. Apa kata kita mula bercerita
tentang potensi ini, teknik menyediakan nota belajar yang betul.

Amalkan Teknik Belajar yang Betul

Berdoa sahaja tanpa usaha tak akan membawa perubahan yang besar, ya tak. Belajar tu
belajar juga, tapi tak semestinya belajar yang anda amalkan sekarang adalah teknik yang
betul atau satu-satunya teknik terbaik. Teknik belajar BUKAN HANYA dengan
membaca. Dan bukan pula baca dan terus baca dan terus baca dan terus baca.

Teknik ulang kaji yang betul ialah baca, buat catatan ringkas, jawab soalan peneguhan
sendiri. Dalam subjek mikroekonomi pula, mana-mana topik yang menyediakan rajah
atau keluk maka ia mesti dilukis semula semasa anda ulang kaji. Pastikan anda sediakan
banyak kertas untuk melakar keluk-keluk atau membina semula jadual yang disediakan.
Anda harus menyedari ilmu ekonomi tak akan sama dengan ilmu bahasa dan tak akan
serupa dengan ilmu matematik. Maka kaedah belajar bahasa tak semestinya 100% serupa
dengan teknik belajar matematik, apatah lagi ekonomi.

Dalam subjek mikroekonomi, setiap kali anda membuat pembacaan, pastikan anda turut
membuat catatan ringkas tentang bacaan anda. Tindakan menggaris kata kunci di atas
buku rujukan sebenarnya TIDAK cukup. Anda harus menulis semula apa yang anda
sedang pelajar secara kasar pun tak apa. Ia membantu anda fokus, dan dengan rangsangan
deria rasa, penglihatan dan pendengaran, otak anda akan dapat menyimpan fakta tersebut
dengan lebih baik lagi berbanding hanya dengan pembacaan yang statik.
Tapi ingat, nota kemas lain, lakaran lain. Catatan di atas itu adalah satu teknik
merangsang otak, tetapi ia boleh dijadikan nota jika tulisan anda sememangnya cantik
dan mudah dibaca. Tetapi sifu harus tegaskan di sini, jika anda fokus hanya buat nota,
maka ini bukanlah masanya. Boleh tu boleh, tapi seperti tak sesuai pula. Buku rujukan
anda sudah boleh membantu anda, dan catatan nota seperti di atas sebenarnya sudah
boleh menggantikan nota ringkas anda, jika anda rancang catatan anda supaya tersusun
kemas seperti contoh di bawah.
Contoh catatan yang boleh dijadikan nota ringkas.

Perhatikan sifu gunakan pelbagai warna. Sebenarnya ia teknik tambahan yang baik,
kerana kajian mendapati rangsangan warna dapat membantu peningkatan daya ingatan.
Tetapi jika anda hanya memiliki hanya sebatang pen atau pensil, ia juga sudah
mencukupi. Tak perlu risau sangat.

Tetapi apa yang penting ialah JANGAN ABAIKAN KELUK. Ilmu ekonomi
menggunakan keluk untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk ringkas dan padat.
Juga anda mesti belajar MEMBACA KELUK dan menulis huraiannya. Selalunya buku
rujukan akan menunjukkan penerangan bagi setiap keluk. Pendekatan yang sama boleh
digunakan. Di bawah ini sifu tunjukkan bagaimanakah proses ulang kaji anda
bermanfaat, contohnya latihan esei.
Perhatikan bahawa pelajar ini berlatih tulisan esei. Dalam esei panjang, soalan yang kerap
ditanya berkaitan Bab Pasaran Persaingan Sempurna akan menghendaki pelajar melukis
rajah dengan TEPAT dan menghuraikan rajah tersebut. Perasan tak, jawapan tak
semestinya berjela-jela panjang sehingga 150 patah perkataan. Esei ekonomi
dipermudahkan kerana adanya lukisan keluk tadi. Jika tidak mungkin anda terpaksa
mengarang esei seperti 300 patah perkataan. Apa yang ditulis oleh pelajar adalah dengan
memastikan 4 perkara yang bersangkutan dengan rajah itu dinyatakan dalam satu hingga
dua perenggan ayat. Oh ya, rajah yang pelajar itu lukis adalah contoh semasa ulang kaji,
tetapi jawapan sebenar TAK BOLEH ‘sekotor’ itu. Tak boleh ada catatan atau garis-garis
tambahan. Ia haruslah kemas seperti berikut:

Oh ya, dalam peperiksaan sebenar pelajar mesti lukis keluk itu dengan menggunakan
pembaris ya, jangan pula seperti lakaran di atas.

Dengan kata lain, dalam amalan teknik ulang kaji yang betul, pelajar mesti membaca,
merangsang dan melakukan peneguhan yang berterusan untuk diri sendiri.
Kerap berjumpa Guru Untuk Bimbingan Berterusan

Setiap minggu sifu sarankan agar anda berlatih menulis jawapan esei mungkin dengan
memilih soalan sebenar STPM dahulu. Jujurlah ketika melakukannya dan jika perlu rujuk
guru untuk mendapatkan maklum balas dari guru, sama ada prestasi jawapan anda
bertambah baik atau sebaliknya. Oh, oleh sebab ia tindakan sukarela anda, pastikan anda
jumpa guru dalam keadaan bersedia dan guru juga bersedia. Sebaiknya tanya satu soalan
pada satu-satu masa. Mohon guru anda periksa ‘on the spot’ hanya satu soalan dahulu
setiap kali berjumpa dengannya. Jika anda dah berlatih 5 soalan esei panjang dengan jujur
(tanpa meniru buku contohnya), maka berilah pula masa, sehari-dua untuk beliau
menyemak kertas jawapan anda. Ia lebih baik dari tergesa-gesa meminta guru menyemak
terus. Jika nak respons terus, ikut tips sifu: satu soalan untuk satu masa perjumpaan. Ia
akan mengambil masa kurang dari 10 minit.

Pupuk Minat Terhadap Subjek dipelajari

Satu perkara yang pasti ialah semua pelajar mesti timbulkan minat terhadap subjek yang
dipelajari. Sifu dapati jika kita minat terhadap sesuatu subjek, mudah untuk kita
pelajarinya dan mudah untuk kita mencipta kejayaan di dalamnya. Pengalaman sifu
mengajar sifu tentang perkara ini. Mana-mana subjek atau bahagian ilmu yang sifu minat,
mudah untuk sifu faham, ingat dan mahir. Malahan kalau di universiti dulu, subjek
sebegini sifu pasti akan dapat A. Oleh itu apabila sifu menyedari kekuatan ini, sifu cuba
amalkan kepada subjek yang susah. Rupa-rupanya kesukaran belajar itu disebabkan
ketiadaan minat terhadap subjek itu. Selepas menyedari kepincangan itu, sifu cuba teknik
ini, mencipta minat ke atas subjek yang dianggap bosan. Kejayaan agak minimal tetapi
itu lebih baik dari tidak ada minat langsung. Dari situ sifu dapati prestasi sifu mengingati
fakta meningkat, kefahaman sifu meningkat dan keupayaan sifu menjawab soalan
peperiksaan semakin baik. Malangnya tempoh masa adalah singkat. Setiap semester sifu
akan berjumpa subjek baru yang kurang menarik. Maka proses yang sama iaitu memupuk
kecintaan terpaksa dimulakan lagi untuk subjek baru pula. Sekali lagi kejayaan pelbagai,
ada yang minimal ada yang memberangsangkan, dan ada juga kejayaan luar biasa!
Perkara sebegini sememangnya dijangka berlaku.

Seperti juga bercinta. Perasaan cinta terhadap seseorang tak mudah untuk dipupuk. Masih
mudah untuk memupuk perasaan sayang jika individu yang berkaitan mempunyai ciri-ciri
yang menarik, tetapi jika kita dah benci dengannya, cantik atau baik hati bagaimanapun si
dia, kita akan tetap menghindarkan diri darinya. Difahamkan ia adalah kesan psikologi
seseorang. Oleh itu sifu akur bahawa kejayaan menggunakan teknik ini amat bergantung
pada tahap kematangan psikologi individu berkenaan. Dipercayai jika pelajar itu dari
golongan pemaaf, mudah untuk menukarkan perasaan tak suka kepada minat dengan
subjek yang dipelajari, dengan teknik yang betul. Sebaliknya pelajar yang agresif dan
mempunyai keras hati, maka sukar menggunakan teknik ini. Tetapi jangan risau, kerap
kali walaupun benci, tetapi selagi memiliki matlamat untuk berjaya, subjek yang sukar itu
masih mampu ditukar kepada subjek yang cemerlang.
Tempoh masa juga memainkan peranan. Di sekolah terutamanya bagi pelajar STPM, sifu
yakin teknik mencari cinta itu sesuai kerana tempoh masa pendidikan yang panjang.
Mulakan dengan penetapan cita-cita, mencari alasan untuk meminati subjek itu. Antara
cara yang sifu sarankan adalah supaya pelajar awal-awal mencari maklumat kemasukan
ke IPTA. Dapatkan maklumat subjek yang penting dipelajari dan tetapkan bahawa anda
suka belajar subjek itu kerana ia adalah syarat masuk ke ijazah yang anda ingin pohon.
Teknik lain ialah pemilihan buku yang menarik. Tapi semua itu adalah masalah persepsi,
oleh itu atasi dengan sebaiknya. Jangan biarkan persepsi negatif mengaburi kewujudan
manfaat sebenar yang diperoleh dalam pencarian ilmu pengetahuan. Insyaallah, walaupun
subjek itu diuar-uarkan sebagai sukar, kill subjek, dan anda pula tak pernah mempunyai
asas ilmu, percayalah apabila sifu katakan pelajar yang berjaya meminati subjek sukar
tersebut akan terkejut dengan kemampuan beliau. Hanya dengan belajar sedikit-sedikit
mereka cepat faham. Hanya dengan memberi penumpuan di dalam kelas mereka menjadi
faham. Kenapa ya? Sebab mereka itu mempunyai perasaan yang positif, pemikiran yang
positif dan persepsi yang positif terhadap subjek tersebut. Kepada orang lain, mereka
dianggap pandai dan kuat belajar. Kepada diri mereka sendiri mereka hanya perlu
amalkan ‘study smart’.

PENUTUP

Artikel ini ditulis untuk memenuhi harapan pelajar sifu dan pengunjung blog yang
meminta tips belajar. Penulisan sifu menjurus kepada isi yang hendak disampaikan. Sifu
menganggap diri ini sebagai seorang pengatur strategi, ataupun bolehlah dipanggil Guru
Strategis. Fokus sifu sekarang ialah menyelesaikan masalah pelajar yang idamkan
kejayaan tetapi tak pasti bagaimana nak lakukannya.

Sepanjang sifu menjadi guru tingkatan enam, sifu dapati teknik dan pendekatan strategik
yang sifu sarankan untuk pelajar ‘lemah’ atau ‘lemah semangat’ membuahkan hasil.
Walaupun sifu tak dapat memantau calon-calon lepas sama ada mereka ada benar-benar
mengulang kaji di rumah atau tidak, tetapi yang sifu pasti ialah pelajar yang masih
mengikuti kelas tambahan yang sifu anjurkan (percuma) dan mengikuti tips-tips bab
popular dan kaedah belajar yang betul, pada akhirnya terkejut kerana sepanjang 1 ½
tahun di sekolah, mereka sukar mendapat C- pun, tapi alih-alih mereka dapat C+. Ada
juga yang hanya C yang mana memuaskan hati mereka. Tapi sifu percaya mereka ini tak
cukup bersedia kerana jika mereka benar-benar menguasai beberapa topic utama, sifu
yakin mereka boleh mencapai sekurang-kurangnya gred B-. Ia pernah berlaku dan tak
mustahil berlaku lagi.

Sebenarnya anda sebagai pelajar pra-U memainkan peranan diri sendiri lebih banyak dari
peranan yang sepatutnya guru mainkan, untuk menjayakan misi cemerlang anda. Jika
pelajar STPM masih bertingkah laku seperti pelajar PMR atau SPM maka sukarlah guru
membantu anda menguasai subjek-subjek STPM. Teknik belajar hendaklah disesuaikan
mengikut peringkat pengajian anda. Ingatlah, bukan hanya anda yang bakal memohon
program ijazah di IPTA atau IPTS. Pelajar matrikulasi dan program asasi adalah saingan
setaraf dengan anda. Mereka juga bekas pelajar SPM dan belajar di peringkat pra-u. Di
samping itu, siswazah lepasan diploma yang menyambung pengajian ke ijazah juga
adalah pesaing yang tak boleh dipandang ringan. In belum lagi mengambil kira
penempatan yang amat terhad. Empat saluran permohonan berlumba ke arah satu tujuan.
Dalam keadaan desakan IPTA meningkatkan kualiti mereka, mereka juga memerlukan
pelajar/siswazah yang berkualiti juga untuk masuk ke IPT masing-masing. Pastikan anda
adalah salah seorang dari mereka yang cemerlang supaya ‘survival’ anda di IPTA boleh
diteruskan dengan lebih meyakinkan lagi. Amalan pembelajaran yang bijak, cekap dan
berkesan membolehkan anda menjadi pelajar yang cemerlang, tak perlu dengan usaha
yang keras, tapi cukup dengan usaha yang jujur dan bijak. “Study smart all the time (but
not smart cheating), only then you know what study hard means.”

Akhir sekali sifu ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat blog sifu,
http://mikroekonomi.wordpress.com yang menyokong usaha sifu. Juga diucapkan terima
kasih kepada pembaca tips ini kerana kesudian anda membaca tulisan sifu yang panjang
ini. Sepertimana anda dah maklum, sifu bukanlah penulis profesional. Oleh itu maafkan
di atas kesilapan bahasa mahupun kepincangan idea. Sekian.
Esei Ringkas – Bhgn1
Contoh soalan

Bagaimana seseorang individu dapat menyelesaikan masalah kekurangan? [3m]

Tips menjawab:

a. Tips Guru-ingati perkara ini:

• kekurangan berkaitan masalah ekonomi-kurangan, pilihan, kos lepas


• Walaupun ditanya ttg kekurangan, pelajar mesti bangkitkan mslh pilihan dan kos
lepas kerana ia saling berkait
• 3m maka hanya nyatakan ketiga-tiga secara mengikut urutan.

b. Rangka Jawapan yang mungkin

• punca kekurangan-pendapatan terhad tapi kehendak tak terhad


• cth 2 barang, barang A dan barang B (atau barang X dan Barang Y)
• Nak beli 2 barang tapi mampu 1 brg shj (kekurangan)
• pilih barang A dan lupakan barang B (pilihan)
• barang B kos lepas utk barang A

c. Skrip Jawapan yang boleh diterima (cadangan sahaja)

Individu pasti mengalami masalah kekurangan akibat sumber pendapatan terhad


sedangkan kehendak tidak terhad. Katakan individu tersebut ingin meminta dua jenis
barang, Barang A dan barang B. Akibat kekurangan pendapatan, individu itu hanya boleh
membeli salah satu. Untuk mengatasi masalah kekurangan itu, individu itu terpaksa
hanya membeli satu jenis barang, katakan memilih barang A. Maka dia terpaksa lupakan
atau lepaskan barang B. Penggunaan barang A lebih memberi kepuasan berbanding
barang B. Tingkah laku melepaskan barang B yang merupakan barang kedua terbaik itu
menyebabkan kos lepas berlaku. Dengan kata lain, individu terpaksa membuat pilihan
meminta satu jenis barang sahaja, tetapi kesannya berlaku pula kos lepas.

Nota: MOHON KOMEN lanjut dari mana-mana guru berpengalaman atau pelajar sendiri.
Untuk makluman, sifu BUKAN pemeriksa kertas tetapi hanyalah guru biasa yang juga
cuba memahami kehendak pemeriksa STPM.