Anda di halaman 1dari 8

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil*

“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?

Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan
erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?

Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan,
melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari
emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.

Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada
keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan
dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin
sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-
perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.

Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada
perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.

Perbuatan kepada Tuhan

Perbuatan kepada sesama insan

Perbuatan kepada alam

Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian

Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada
perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan
berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan
kamu kepada perbuatan seharianmu.

PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN

Islam itu penyerahan…

Islam itu ketundukan…

Islam itu kesejahteraan…

Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.


Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan
apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.

Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk
kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup
di dunia dan di Akhirat”.

Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah


persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu
tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada
Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman?
Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim
yang kebelakangan?

“Saya hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik
Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya seorang peserta PUISI
2007.

Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak
menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan
yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di Bukit Melleray, Co.
Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA
MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini
bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-
ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.

HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN


Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh
mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang
manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?

Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.

Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…

Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya,
puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab
dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.

Pak Haji menanam jagung.

Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam
ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.
Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji,
halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti
saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan,
minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.

Ah Chong menanam jagung.

Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan
dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam
semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan
siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas
baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang
hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan
anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di
pondok usang, berehat dan makan menanti petang.

Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50
hari untuk menuai.

Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing.
Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?

Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur
dan sejahtera.

Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?

Allah…

Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?

Pak Haji…

Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak
Haji?
Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan
hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan
keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

MUSLIM DI LADANG JAGUNG

Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di
medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?

Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan
Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad
Abduh:

“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya
kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam
bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama
jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia
memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah
kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada
singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan
menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya,
cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya
dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.

Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?

Jawapannya… Ah Chong.
Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada
Sunnatullah (cara kerja Allah).

Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di
ladang jagungnya.

Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah,
namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!

TAUBAT SAINTIFIK

Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun
seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman
jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya,
dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini
dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.

Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat
hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?

Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.

Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana
beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.

KESEJAHTERAAN HIDUP

Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak
Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada
bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian
yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.

Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang
membanyakkan.
Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau
tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan
orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas
kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan
yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains


pertanian.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan


nafkah minum makan yang dibekalkan.

Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang
dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini,
sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.

Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan


Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak
beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan
menuju Akhirat.

Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika


berada di puncak pencapaian.

INILAH SIFIRNYA

Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan


kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.

Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam
ciptaan-Nya ini.

Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan
patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti
saya menganut Islam”.
Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada
ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui
seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah.
Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada
maksud “apa erti saya menganut Islam”.

PERATURAN YANG MENYELURUH

Solat seperti kita melihat Nabi SAW bersolat

Memperelokkan sembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam

Keluasan ilmu pada teknik menanam tamar, “kamu lebih tahu akan urusan duniamu”…
kesemuanya diungkapkan pada perintah Syariatullah, dan keluasan ruang untuk
penerokaan sains dan Sunnatullah…

APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?

Iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi sains yang menafsirkan sistem Allah
dalam hubungannya dengan alam dan sesama insan.

iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi syariat yang menafsirkan sistem
Allah dalam hubungannya dengan Tuhan pencipta alam dan insan.
Muslim itu adalah manusia yang SAINTIFIK lagi SYARIATIK

Semoga 2008 subur dengan aktiviti menjawab soalan “APA ERTI SAYA MENGANUT
ISLAM”

Anda mungkin juga menyukai