Anda di halaman 1dari 5

Pengenalan Adat Resam

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun
tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran,
perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di
Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu
masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

Pengenalan Adat Resam Masyarakat Melayu

Pentingnya adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi
Biar mati anak, jangan mati adat. Tata perlakuan dalam adat resam masyarakat
Melayu banyak dipengaruhi oleh adat yang diwarisi dari budaya Hindu yang
disesuaikan mengikut unsur-unsur Islam.

Perkahwinan
Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan
termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin
dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.

Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia
merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar
raja sehari.

Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak
saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai
dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan
perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum
majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin
didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi
makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur
bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat
mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini
sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga
manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan.
Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras
kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan
kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di
tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau
juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan
akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat,
pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka
pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil
pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan
bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas
pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung
tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga
telur pada hari tersebut.

Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan.
Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis
selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak
saudara serta hadirin yang datang.

Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan
pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau.
Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai
pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan
dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya
dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan
diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan
akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah
majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis
bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara
mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut


akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya
adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat
berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.
Pengenalan Adat Resam Masyarakat Cina

Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik.
Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling
menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara,
tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal
kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan
secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun
apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina
secara keseluruhannya

Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut
tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan
sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan
itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah
tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung
kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias
indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang
diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian
dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih,
merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana
dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan


pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali
pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan
pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu.
Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga
masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara
maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua
pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam
masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan.
Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri.
Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam
keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada
saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara
minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu
jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah,
dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai
hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan
cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir
sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua
pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.
Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi
sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan
perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.
Pengenalan Adat Resam Masyarakat India

Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu
kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di
negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri
kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini.
Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan
dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan
perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada
pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam
masyarakat India secara umum

Perkahwinan
Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara
pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis
perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil
Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah
berlandaskan aspek suku kaum.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan


memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air
kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan
perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan
disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan.
Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin


hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah
selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang
diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan
seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai
memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-
buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah
menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu
ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu
bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang.
Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga
kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara
ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan
untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk
melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah,
penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan
meroboh khemah perkahwinan.