Anda di halaman 1dari 3

4 Bidang PSV KBSR

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun


dalam empat bidang kegiatan iaitu:
1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif,
interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta
menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. Menggambar
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta
kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan
pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan
komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster
Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri.
Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali
pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan
memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan.
Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan
menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan
kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya.
Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa
yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu
proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti
pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.
2. Membuat Corak dan Rekaan
Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk
menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan
rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang
kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.
Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan
seperti:
2.1 Corak tidak terancang secara:
2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:


2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi
Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam
dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan
olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang
kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga
corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan
sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara
seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat Binaan


Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni
dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek
tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan
membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga
mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik
penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan
alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan
membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:
3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid


membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran
bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja
diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam
pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional


Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan
kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi
turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional
seperti:
4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar
Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam
budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan
teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja
diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses
pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan.
Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan,
nyanyian dan cerita.

Anda mungkin juga menyukai