Anda di halaman 1dari 4

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“HATI SEORANG IBU”


(15 MEI 2009 / 20 JAMADIL AWWAL 1430)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan taqwa kepada Allah s.w.t. dengan


melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-
mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di
akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HATI
SEORANG IBU”.

Muslimin Yang Berbahagia,

Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas
mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan
menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga
secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua
1
selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam
firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah


melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur
tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada
keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23)

Muslimin Yang Berbahagia,

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding
bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih
mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika
sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang
masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin
berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian
pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang


mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan
dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis
dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu
sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 14:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas
kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-
Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

2
Muslimin Yang Berbahagia,

Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia
ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-
anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan
dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian
anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan
hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan
pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

Dalam hal ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said
bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung
ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu
Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa
bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan
dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan
melahirkan kamu.

Muslimin Yang Berbahagia,

Mimbar hari ini merasa dukacita kerana masih terdapat kes penderhakaan yang
dilakukan oleh segelintir masyarakat kita terhadap ibu. Antaranya ada yang
menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak
suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu
tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu
sebagai orang gaji, malah ada yang sanggup memukul ibu. Apa yang ganjilnya, ada
segelintir dari kalangan kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi
jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan.

Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa akan mendatangkan kecelakaan


kepada kita di dunia dan di akhirat. Di dunia kita akan menerima giliran diderhakai
oleh anak-anak kita, dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat akan menerima

3
kemurkaan Allah Azza Wajalla. Ini selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Mafhumnya: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka


Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah
seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga
(lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru bagi pihak ibu-ibu kepada anak-anak


dan jemaah sekalian, marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka
didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta
perbanyakanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan
dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat
pada masa-masa tertentu sahaja. Inilah kewajipan anak-anak yang ditegaskan oleh
Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan


dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Sural al-Israa’:24)

Anda mungkin juga menyukai