Anda di halaman 1dari 4

Kejutan pasangan papan iklan

Posted on the February 15th, 2010 under Berita, Sosial, Tempatan, Unik by johnjimat

Oleh ADHAM SHADAN dan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Apa perkembangan kisah cinta romantik pasangan papan iklan, David Tan dan Kelly
Tan?

BERAPA kerap dapat kita saksikan lamaran melalui papan iklan seperti yang dilakukan
David Tan di bahu Lebuh Raya Damansara-Puchong ini?

PADA 13 Februari 2008, sebuah papan iklan gergasi di bahu Lebuh Raya Damansara-
Puchong (LDP) di Kelana Jaya, Selangor, mencetus persoalan ribuan orang yang
menggunakan laluan itu.

Paparan visual seorang lelaki muda yang memegang sekotak cincin dengan soalan Kelly
Tan E Li, sudikah awak mengahwini saya? begitu membekas dalam ingatan.

Ada yang menyangka ia hanya satu bentuk pengiklanan sebuah perniagaan. Hakikatnya,
empunya badan, David Tan, mempertaruhkan nasibnya pada papan itu untuk melamar
buah hatinya sendiri, Kelly Tan. Nasib nampaknya menyebelahi David apabila Kelly
menerima lamaran itu.
Tindakan berani tersebut mendapat liputan meluas di seluruh negara membuatkan ribuan
gadis mencemburui tuah Kelly dilamar sebegitu indah.

Kami mengambil masa hampir setahun untuk berkahwin selepas lamaran itu kerana
membuat segala persiapan perkahwinan sendiri, ujar David yang kini mengusahakan
syarikat rekaan untuk pengiklanannya sendiri, Dope by Design, di Kelana Jaya, Selangor.

Pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka pada Oktober 2008 manakala majlis
perkahwinan diadakan pada Disember 2008.

Kongsi David, perkahwinan yang dirancang dan dilaksanakan tanpa khidmat perancang
perkahwinan itu menggabungkan perkahwinan idaman Kelly, dirinya dan keluarga
kedua-dua belah pihak.

Kami menggabungkan perkahwinan gaya tradisional Cina dan Barat yang bermula
dengan rombongan pengantin lelaki menjemput pengantin perempuan pada awal pagi,
disusuli acara menghidang teh kepada keluarga.

Cinta jarak jauh

Pada sebelah malam, kami mengadakan acara memotong kek dan makan besar. Majlis itu
kami sudahkan dalam sehari saja, imbas David.

Buat Kelly pula, perkahwinan itu membuatkannya berasa cukup gembira kerana
percintaan mereka yang hampir mencecah enam tahun itu akhirnya dapat menyatukan
mereka sebagai pasangan suami dan isteri.

Kami bercinta jarak jauh kerana pada waktu itu saya belajar dan bekerja di Australia
sedangkan David bekerja di Malaysia.

Jadi kami sudah melalui rintangan yang besar untuk sampai ke tahap sekarang, ujar Kelly
ketika ditemui di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur.
SUSULAN daripada lamaran penuh romantis melalui papan iklan pada 13 Februari 2008,
Kelly dan David Tan bersatu dalam majlis perkahwinan impian mereka pada Disember
tahun yang sama.

Memori itu kata Kelly, akan sentiasa membuatnya tersenyum.

Ia satu situasi yang amat romantik dan saya pasti setiap gadis mempunyai impian untuk
dilamar dalam gaya yang paling romantik, luahnya.

Mengenang detik yang mendebarkan ketika lamaran itu dibuat, David mengakui beliau
tidak mungkin dapat melupakan reaksi balas pada wajah dan gerak-geri Kelly.

Saya masih ingat wajahnya yang terkejut apabila melihat papan iklan itu ketika kami
melaluinya bersama-sama beberapa minit sebelum 12 tengah malam, menjelang Hari
Kekasih. Kami membuat pusingan U sehingga dua kali untuk membolehkan Kelly
melihat soalan itu dengan jelas.

Kelly juga meminta untuk melihatnya dari dekat, jadi kami ke (bekas) tapak restoran
makanan laut Kelana, katanya yang merancang lamaran itu sejak September 2007.

Kalau papan iklan itu sudah berkategori gergasi, tentulah kosnya juga tinggi. Namun,
bagi David, ia satu pelaburan yang berbaloi.

Satu dalam sejuta


Kerana Kelly satu dalam sejuta. Dia sangat berkarisma dalam apa jua yang dilakukannya.
Saya juga sukakan dirinya yang aktif, penyayang, positif dan tidak menggunakan orang
tengah untuk melakukan sesuatu.

Pada usia yang masih muda, ramai yang mahu mengejar keseronokan, tetapi bukan Kelly.
Dia sudah merancang masa depannya dari awal. Disebabkan ciri-ciri inilah, saya pasti
dialah pilihan saya dan saya tidak pernah berasa lamaran itu satu pembaziran, ujar David.

Ketika ditemui pada hari itu, Kelly yang berperwatakan matang, anggun dengan
potongan rambut yang lebih panjang berbanding dua tahun lalu. Katanya, mungkin
kerana itu, tidak ramai yang mampu mengecamnya wajahnya.

Sebagai pemilik salun dandan dan rias kuku, kuku Kelly turut terias cantik. Sempat juga
wanita itu mempromosikan salunnya, Sommerset Nails and Waxing di Bangsar Baru
sedang mengadakan tawaran diskaun 50 peratus untuk rawatan IPL Membuang Bulu
Badan Kekal.

Ujar Kelly, beliau dan David merupakan pasangan yang sering sibuk. Namun, mereka
akan memastikan untuk makan malam bersama-sama setiap hari.

DAVID memastikan pelaburannya membuat lamaran seperti itu berbaloi dengan memilih
wanita yang tepat untuk dikahwini.

Sempena Hari Kekasih dan Tahun Baru Cina ini, saya berharap agar kami berdua terus
dikurniakan kebahagiaan, ujarnya.

Pasangan itu bagaimanapun masih belum merancang untuk memiliki cahaya mata kerana
mahu memberi perhatian kepada perniagaan yang sedang diusahakan.

Anda mungkin juga menyukai