Anda di halaman 1dari 6

PUASA-PUASA SUNAT DAN HARI-HARI YANG DIHARAMKAN

DAN DIMAKRUHKAN BERPUASA

(BILANGAN 72 BAHAGIAN PERTAMA)

Puasa adalah ibadat yang berkesan sekali dalam mengendalikan hawa nafsu
sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh anggota sehingga ke
martabat taqwa, kerana puasa yang sebenar-benarnya bukan hanya
menahan perut dan kemaluan serta mengecap keinginan syahwat bahkan
mengekang pancaindera daripada melakukan perkara-perkara dosa dan
haram. Akhirnya berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan
pemikiran keduniaan yang boleh memesongkan perhatian selain Allah.

Dari segi ganjaran puasa, bahawa tidak ada satu amal ibadat pun yang tidak
ditentukan dan dibataskan ganjaran pahalanya selain dari ibadat puasa.
Sesungguhnya ganjaran pahala orang yang melakukan ibadat puasa tidak
ditetapkan dengan satu jumlah dan tidak pula dihadkan dengan satu had
tertentu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan


pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman:
"Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku
memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang
berpuasa) telah meniggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku."

(Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menerangkan bahawa segala amalan manusia itu dihadkan atau
dibatasi oleh Allah ganjarannya daripada sepuluh sampai 700 kali ganda,
tetapi tentang puasa tidaklah sedemikian. Dalam erti kata lain tidak
dibataskan ganjarannya oleh angka atau jumlah yang tertentu, bahkan
terserah kepada Allah yang Maha Kaya memberikan pembalasan yang
setimpal dengannya. Ini tidak lain tidak bukan adalah menggambarkan
bahawa betapa besarnya dan istimewanya ibadat puasa di sisi Allah.

Lebih daripada itu lagi, Allah Subhanahu wa ta‘ala menyediakan sebuah


pintu di dalam Syurga yang dikhususkanNya bagi orang yang berpuasa
untuk memasukinya di hari Kiamat nanti sebagaimana diriwayatkan
daripada Sahl bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang


disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang
berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka
memasukinya. Dikatakan: "Dimanakah orang-orang yang berpuasa?"
Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorangpun
selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu
itu ditutup sehingga tidak ada seorangpun yang masuk dari padanya."

(Hadits riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata,


aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah


nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh
perjalanan) 70 tahun."

(Hadits riwayat Bukhari)

Di dalam Islam di samping puasa fardhu yang diwajibkan di bulan


Ramadan, ada disyariatkan juga puasa-puasa sunat yang dikerjakan di luar
bulan Ramadan. Puasa sunat mempunyai beberapa perbezaan daripada
puasa fardhu yang dikerjakan di bulan Ramadan dari berbagai-bagai segi.
Di antaranya:

1. Orang yang dalam mengerjakan puasa sunat atau lain-lain


perkara yang sunat seperti sembahyang kecuali haji dan
umrah adalah harus baginya memutuskan (tidak wajib
menyempurnakan) puasanya itu berdasarkan sabda
Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Orang yang dalam berpuasa sunat itu adalah raja bagi
dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka."

(Hadits riwayat Imam Ahmad)

 
 

Akan tetapi adalah dihukumkan makruh jika dia memutuskan puasa


sunatnya itu tanpa ada sesuatu keuzuran bagi keluar daripada perselisihan
pendapat yang mengatakan wajib disempurnakan apabila seorang itu telah
masuk mengerjakan puasa sunat berdasarkan zahir firman Allah di dalam
surah Muhammad ayat 33:

Tafsirnya: "Dan janganlah kamu batalkan amalan-amalan kamu."

Jika dia keluar dari puasanya itu dengan sebab ada sesuatu keuzuran seperti
menolong tetamu yang merasa keberatan untuk dijamu makan secara
bersendirian maka tidaklah dihukumkan makruh bahkan disunatkan
baginya berbuka. Namun berpuasa adalah lebih afdhal jika tidak ada
keberatan atau kesukaran dari mana-mana pihak untuk menjamu makanan.
Maka dengan itu, orang yang berbuka puasa tanpa ada keuzuran, tidak ada
pahala bagi puasanya itu manakala orang yang berbuka puasa kerana ada
sebab keuzuran dikurniakan pahala bagi puasanya itu walaupun ianya tidak
sempurna dilakukan. (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj 3/460)

Adalah disunatkan juga bagi orang yang mengerjakan puasa sunat jika dia
memutuskannya sama ada disebabkan keuzuran atau pun tidak, supaya
mengqadha puasanya itu sebagai mengambil kira pendapat yang
mengatakan wajib mengqadhanya kerana menyempurnakannya adalah
wajib disisi mereka iaitu imam-imam yang tiga (Imam Hanafi, Maliki dan
Hambali Rahimahumullah). (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/604 dan Fath
Al-‘Allam 4/167)

2. Tidak disyaratkan berniat di malam hari dalam mengerjakan puasa-puasa


sunat kerana akhir waktu untuk berniat bagi puasa-puasa sunat itu adalah
sebelum tergelincir matahari (waktu zuhur) berdasarkan hadits yang
diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam


kepadaku pada satu hari: "Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu
(untuk dimakan)?" Aisyah berkata, aku berkata: "Wahai Rasulullah! Tidak
ada di sisi kita sesuatu pun (untuk dimakan)" Baginda bersabda: "(Jika
begitu) maka aku berpuasa."

(Hadits riwayat Muslim)

Begitu juga tidak disyaratkan dalam mengerjakan puasa-puasa sunat di


dalam berniat menta‘yin (menentukan jenis puasa seperti puasa hari isnin,
Arafah, ‘Asyura’ dan sebagainya). Ia sah dilakukan dengan berniat mutlaq
sahaja seperti katanya:

Ertinya: "Sahaja aku berpuasa"

Imam Nawawi berkata: "Adalah wajar supaya disyaratkan ta‘yin di dalam


puasa yang beriringan seperti puasa hari Arafah, ‘Asyura’, puasa hari-hari
Putih, Enam Syawal dan sebagainya sebagaimana disyaratkan sedemikian
itu di dalam Sembahyang sunat rawatib."

(Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/572, Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah 28/87-88 dan


I‘anah Ath-Thalibin 2/252)

PUASA-PUASA SUNAT ITU IALAH : PUASA ENAM

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di dalam
bulan Syawal. Ia boleh dikerjakan berselang seli di dalam bulan Syawal,
tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas hari raya adalah terlebih
afdhal. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu
berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian


diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah (puasanya itu)
seperti puasa sepanjang tahun."

(Hadits riwayat Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping


mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadan diibaratkan seperti berpuasa
di sepanjang tahun berdasarkan perkiraan setiap kebajikan itu dibalas
dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadan
selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan
puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan
berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi
dengan sebuah hadits riwayat daripada Tsauban bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan)


dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya
(dibulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang
sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun."

(Hadits riwayat Ad-Darimi)

PUASA HARI ARAFAH


 

Puasa hari Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang
disunatkan kepada orang-orang yang tidak melakukan ibadat haji.
Kelebihan berpuasa pada hari itu menghapuskan dosa-dosa setahun yang
telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan
daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata:

Maksudnya: "Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam)


tentang berpuasa di hari Arafah? Maka Baginda bersabda: "Ia menebus
dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang."

(Hadits riwayat Muslim)

Manakala bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji pula adalah


disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi
perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan
apa yang diriwayatkan daripada Ummu Al-Fadhl binte Al-Harits berkata:

Maksudnya: "Bahawa beberapa orang di sisinya di hari Arafah


membicarakan puasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (di hari
Arafah). Sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa Baginda
berpuasa dan sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa Baginda
tidak berpuasa. Maka aku hantar kepada Baginda segelas susu yang pada
ketika itu Baginda berada di atas untanya, lalu Baginda meminumnya."

(Hadits riwayat Muslim)

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa


pada hari Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana
kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah
(Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari iaitu dari hari
yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi
orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama
dengan hari Arafah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:

Maksudnya: "Tidak ada hari-hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk
dilakukan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari di bulan Zulhijjah,
dimana satu hari berpuasa daripadanya (sebanding) dengan puasa satu
tahun dan mendirikan ibadah satu malam daripadanya (sebanding) dengan
mendirikan ibadah pada lailatulqadar."

(Hadits riwayat Tirmidzi)

Dalam hadits yang lain yang diriwayatkan daripada Hunaidah bin Khalid,
daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam


adalah melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di hari
‘Asyura’ dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan
dua hari Khamis yang berikutnya."

(Hadits riwayat An-Nasa’i)

  

Anda mungkin juga menyukai