Anda di halaman 1dari 13

“MASIHKAH ADA SINAR”

Pagi itu cuacanya cerah seperti biasa cuma yang berbezanya ialah hari ini hari
cuti. Aku mengambil kesempatan yang ada ini untuk mengemas rumah. Tiba-tiba aku
terpandang ke arah gambar yang tergantung di dinding. Kenangan dulu menggamit
fikiranku kembali. Aku masih ingat sewaktu itu umurku baru mencecah sembilan belas
tahun iaitu baru sahaja lepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia
(STPM).
* * *

“Ya Allah, Kau tempatkanlah ibu bapaku di dalam syurgamu. Sesungguhnya aku
amat berterima kasih dan bersyukur kerana telah mengurniakan ibu bapa yang begitu
menyayangi diriku dan adik-adikku. Kau tabahkan hatiku untuk menghadapi hari-hari
yang mendatang…amin Ya Rabbal al-amin…”.sayu sekali rintihan doa seorang hamba
mengharapkan doanya dimakbulkan pada suatu subuh yang hening.

“Adik, abang, bangun. Dah Subuh ni. Cepat-cepat nanti terlajak jadi Subuh gajah
pulak. Berdosa tau. Bangun cepat !.”

“Tapi hari ni kan cuti kakak. Bagilah kami tidur lama sikit.”

“Ya la. Tapi kamu berdua tak sembahyang lagikan.Ingat tak pesan arwah ibu
dan ayah. Walau macam mana pun jangan tinggal sembahyang. Dah-dah, abang
bangun cepat nanti adik ikut tak bangun ! .” Dengan langkah yang malas abang bangun
diikuti oleh adik. Hanya itulah caranya untuk aku mengejutkan adik-adikku. Pantang
disebut nama arwah ibu dan ayah mesti mereka turut kata-kataku.

Pagi-pagi lagi rutin harianku adalah membungkus nasi lemak yang akan dihantar
ke kedai Mak Cik Timah. Selain nasi lemak aku juga ada membuat beberapa jenis kuih-
muih. Semuanya aku hantar ke kedai Mak Cik Timah. Aku akan membayar RM 10
sebulan kepadanya sebagai sewa. Walaupun Mak Cik Timah tidak pernah meminta
walaupun satu sen tapi aku malu dengan budinya yang begitu banyak kepada kami
adik-beradik.
“Assalamualaikum, apa khabar pagi ni Mak Cik Timah?. Semalamkan mak cik
demam?.”

“Oh, kamu Najihah!. Mak cik ingat siapa la tadi. Pagi ni alhamdulillah dah tahan
sikit dari semalam. Kepala pun dah tak berat lagi. Lewat kamu hantar nasi lemak hari ni.
Ada masalah ke tadi?.”

“Maklumlah mak cik adik-adik saya cuti hari ni. Tadi nak kejutkan mereka
sembahyang subuh bukan main liat lagi bangun.”

“Biasalah tu budak-budak. Dengan mereka kita tak boleh berkasar. Bila


keputusan STPM kamu akan keluar?. Kalau tak silap mak cik, pagi tadi makcik dengar
hari Rabu akan diumumkan. Betul ke?.”

“Aah hari rabu iaitu lusa akan diumumkan keputusan STPM. Takut juga saya mak
cik kalau apa yang disasarkan tak dapat.” “Insyaallah, jika kita dah berusaha pasti Allah
akan tolong.”

Pagi hari Rabu itu, aku bangun awal seperti biasa tetapi yang berlainannya hari
itu aku tidak menjual nasi lemak. Untuk menenangkan hati yang tidak tenteram aku buat
solat hajat dan solat tahajjud sebelum solat subuh. Aku bermohon kepada Allah agar
apa yang aku harapkan akan menjadi kenyataan dan ditetapkan iman di hati. Tidak
dilupakan juga doa kutitipkan kepada kedua ibu dan ayahku agar roh mereka berdua
berbahagia di sana.

Tepat jam sepuluh pagi aku melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan


Pulau Duyung untuk mengambil keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aku
sengaja datang lewat kerana aku belum betul-betul bersedia untuk menghadapi
keputusanku. Sesampainya aku di sana, aku lihat sudah ramai rakan-rakanku. Ada
yang tersenyum kegembiraan dan ada yang menangis kesediahan. Tidak sempat aku
mahu melangkah kaki ke dewan tiba-tiba ada seseorang menepuk bahuku dari
belakang. Rupa-rupanya guru kelasku Puan Anita.

“Tahniah Najihah, kamu telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam


STPM. Bukan itu saja malahan, kamu juga telah diiktiraf sebagai pelajar cemerlang
daerah ini. Kamu telah membanggakan Sekolah Kebangsaan Pulau Duyung.”
Tersenyum manis guru kelasku mengucapkan tahniah kepadaku.

Aku terpana tanpa kata. Tidak tahu apa yang harus aku perkatakan lagi. Rasa
mahu pengsan pun ada. Usahaku selama ini tidak sia-sia. Aku memeluknya sambil
mengucapkan terima kasih kepada Puan Anita. Jatuh juga setitis air mata
kegembiraanku sambil mulut terkumat-kamit mengucap syukur ke hadrat Allah. Tidak
sempat aku mahu mengambil tempat duduk, tiba-tiba namaku dipanggil dari atas
pentas. Aku telah diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM iaitu dengan mendapat
empat principal. Selain itu, aku juga telah terpilih menjadi tokoh pelajar. Aku seperti
berada di awan-awangan apabila semua mata tertumpu kepadaku. Namun,
kugagahkan jua kaki ini melangkah menuju ke pentas untuk mengambil pengiktirafan
tersebut.

Aku tidak sabar-sabar mahu memberitahu Mak Cik Timah dan Pak Daud yang
sudah kuanggap seperti ibu dan bapaku sendiri. Setelah pemergian kedua orang tuaku
sewaktu aku berumur lapan belas tahun, merekalah yang banyak membantu kami tiga
beradik. Sesampainya aku di rumah, aku lihat sudah ramai orang yang menanti
kepulanganku. Pak Daud dan Mak Cik Timah juga ada sekali. Tidak sempat aku berkata
apa-apa abang sudah menyambar keputusan peperiksaan di tanganku. Abang
mengumumkan keputusanku kepada semua yang ada di ruang tamu rumahku. Semua
yang ada mengucapkan tahniah kepadaku. Mak Cik Timah bangun dan memelukku.
Menitis air mata keharuanku di atas layanannya persis seorang ibu kepada anak.
“Tahniah nak, kamu tidak mengecewakan arwah ibu dan ayahmu. Tentu mereka
bangga denganmu.”
“Terima kasih mak cik. Kalau tidak kerana jasa baik mak cik dan keluarga yang
banyak membantu saya dan adik-adik tak mungkin saya mampu memperoleh
keputusan secemerlang ini.”

Hari-hari yang berikutnya aku lalui dengan penuh kecerian tanpa ada sebarang
masalah. Prestasi abang dan adik di sekolah dalam pelajaran juga baik. Mereka tidak
membuat sebarang kesalahan disiplin. Aku ada juga menyimpan impian untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman tetapi apabila difikirkan semula banyak
tanggungjawab yang harus aku pikul tehadap adik-adik. Abang pula bakal menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini. Nasib baik adik baru
berumur sepuluh tahun. Tidaklah aku rungsingkan sangat. Besar kemungkinan aku
akan menguburkan sahaja hasratku itu.

Suatu petang yang damai ketika aku sedang beristirehat di bawah pohan
ketapang yang rimbun, Amir iaitu anak Mak Cik Timah dan Pak Dollah datang
menemuiku. Aku dan Amir memang bersahabat baik sejak dari kecil lagi cuma apabila
masing-masing meningkat dewasa kami menjadi kurang rapat. Tambahan pula, dia
berjaya menyambung pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di ibu kota iaitu
Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang perakaunan. Walaupun aku dapat
melanjutkan pelajaran di tempat yang sama dengannya, namun aku tolak tawaran itu.
Aku tidak mahu ibu dan ayah bersusah-payah keranaku. Jadi aku mengambil keputusan
untuk melanjutkan pelajaran sebagai pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah
Kebangsaan Duyong. Aku dapat agak kedatangannya pada petang itu pasti ada
sesuatu perkara yang penting.

“Najihah, Amir nak tanya ni. Jiha dah isi ke borang permohonan masuk
universiti?. Bukan ke tarikh akhir memohon adalah 21 Mac 2001 bersamaan hari Selasa
ni?.”
“Jiha tak isi lagi. Eerm, Jiha rasa Jiha malas dah nak sambung belajar. Jiha tak
sanggup nak tinggalkan adik-adik Jiha uruskan diri sendiri. Abang tu walaupun dah tujuh
belas tahun tapi dia bukan boleh tolong tengok-tengokkan adik. Nak uruskan diri sendiri
pun susah.” Aku bercakap sambil tergelak-gelak dengan Amir untuk menyembunyikan
perasaanku yang tidak senang dengan persoalannya.

“Tapi makkan ada boleh tolong tengok-tengokkan diorang semua. Jiha tak rasa
rugi ke kalau tak menggunakan keputusan Jiha yang cemerlang tu. Kalau mak tahu Jiha
buat macam ni tentu dia sedih. Arwah ibu dan ayah Jiha pun dah pesan kepada
keluarga Amir supaya tolong tengok-tengokkan anak-anak dia. Harapan mereka hanya
satu iaitu supaya Jiha dan adik-adik semua berjaya hingga ke puncak menara gading.
Kalau Jiha tak cuba ubah nasib adik-adik Jiha siapa lagi. Takkan Jiha nak jual nasi
lemak sampai bila-bila. Amir pergi dulu. Amir harap Jiha fikir semula apa yang telah
Amir cakap ni. Maaf kalu kata-kata Amir buat Jiha makan hati. Ini semua untuk kebaikan
Jiha dan adik-adik. Assalamualaikum.”

Malam itu aku tidak boleh tidur. Sekejap aku pusing badan ke kanan, sekejap ke
kiri. Semuanya tidak kena. Kata-kata Amir petang tadi masih terngiang-ngiang di
telingaku. Memang banyak betulnya kata-kata Amir itu tetapi aku tidak sanggup
meninggalkan adik-adikku atas jagaan Mak Cik Timah walaupun dia aku telah anggap
seperti ibu sendiri. Aku tidak mahu menyusahkan ibu tua yang begitu banyak menabur
budi kepada kami adik-beradik. Selepas pemergian ibu dan ayah, keluarga Mak Cik
Timahlah yang paling banyak membantu kami tidak kira dari segi kewangan ataupun
galakkan semangat. Aku terasa seperti mahu menangis apabila memikirkan semua ini.
Semangatku mulai luntur sedikit demi sedikit. Mulalah fikiranku teringat kepada arwah
ibu dan ayah.

“Kakak, walau macam manapun susah hidup kita, ibu nak kamu dan adik-adik
belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya sampai ke menara gading. Ingat, ilmu itu
penting dari segalanya. Bukan harta yang dikejar tetapi ilmu yang bermanfaat.”
Aku ingat lagi, waktu itu ibu pernah berpesan kepada kami adik-beradik sewaktu
umurku baru mencecah lima belas tahun. Akhirnya, malam itu aku tidak sedar pukul
berapa aku terlena sendiri. Lenaku bersama-sama dengan kata-kata Amir dan pesanan
arwah ibu. Menitis juga air mataku ke bantal pada malam itu.

Keesokan paginya, aku bangun dengan azam dan semangat yang baru. Walau
bagaimana susah pun hidup ini aku harus melanjutkan pelajaranku untuk membela
nasib adik-adikku. Mulai sekarang aku harus mengumpul lebih banyak wang untuk
persediaan masuk ke universiti. Pagi itu selesai mengemas rumah dan menghantar nasi
lemak ke kedai Mak Cik Timah aku ke bandar untuk mengisi permohonan masuk ke
universiti melalui internet. Semestinya pilihan pertamaku adalah Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan kos yang menjadi pilihanku adalah guaman.

Dalam perjalanan pulang dari bandar aku bertembung dengan Amir. Aku cuba
mengelak darinya dengan buat-buat tidak perasan dengannya. Aku sungguh malu
dengan peristiwa semalam tetapi Amir lebih dahulu menegurku.

“Jiha takkan jalan dah tak nampak Amir?. Ke buat-buat tak nampak?.”

“Eh, Amir. Maaflah Jiha tak perasan tadi.” Pada waktu itu Tuhan sahaja yang
tahu bagaimana perasaanku. Ibarat mahu gugur jantung ini.

“Dah buat permohonan masuk universiti?.”

Soalan yang aku nanti-nanti darinya telah keluar dari ulas bibirnya yang
kemerah-merahan itu. Itu tandanya dia memang tidak merokok. “Dah, Jiha baru balik
dari bandar sebab isi borang permohonan masuk universiti la tadi.” Dengan tersekat-
sekat aku menjawab pertanyaan Amir itu.
“Eerm, bagusla kalau begitu. Amir mohon maaf kepada Jiha atas keterlanjuran
kata-kata Amir kepada Jiha semalam. Amir tahu Amir tak sepatutnya terlalu berkasar
dengan Jiha. Harap Jiha tak simpan dalm hati yer.”
“Tak mengapa. Memang betul kata-kata Amir semalam. Kalau Amir tak sedarkan
Jiha.....tak tahulah apa lagi keputusan yang mengarut Jiha akan buat. Sepatutnya Jiha
mengucapkan jutaan terima kasih kepada Amir kerana telah menyedarkan Jiha. Terima
kasih banyak-banyak yer Amir.”

“Tak mengapa. Dah memang tanggungjawab Amir menasihati Jiha. Lagipun


kitakan kawan baik. Lepas ni jangan beratkan fikiran Jiha dengan masalah adik-adik
Jiha. Itu semua mak dan ayah Amir boleh uruskan.”

Genap dua minggu sudah tarikh akhir permohonan masuk universiti. Aku
memang tidak senang di rumah. Hari-hari aku menanti posmen ibarat menanti buah
yang tidak akan gugur. Harapanku hanya satu iaitu permohonanku berjaya. Pada
tengah hari itu, sedang aku menyediakan makanan tengah hari abang menjerit-jerit
memanggil namaku. Pelik juga aku kenapa abang terjerit-jerit panggil namaku. Ingat
ada hal kecemasan.

“Kakak, ada surat untuk kakak. Abang rasa ni mesti dari universiti yang kakak
minta. Tengok sampul surat pun dari Universiti Kebangsaan Malaysia.”

Berlari aku dari dapur untuk mengambil surat dari abang. Aku melompat
kegembiraan kerana aku berjaya mendapat tawaran dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan kos yang ditawarkan adalah guaman. Tarikh aku harus
mendaftarkan diri adalah pada 17 April 2001.

“Abang kakak berjaya masuk UKM. Alhamdulillah.”

“Nampaknya doa kakak telah dimakbulkan Allah. Abang harap kakak akan lebih
berjaya apabila di sana nanti.”
Tiba-tiba wajahku bertukar sayu dan sedih. Aku teringat akan adik-adikku. Tidak
sampai hati pula rasanya mahu meninggalkan mereka bersama Mak Cik Timah.
Abang sedar perubahan mendadak wajahku itu. “Kenapa kakak tiba-tiba bersedih
pula?. Tadi bukan main ceria. Eerm, ni mesti risaukan kami. Kakak jangan risaukan
kami. Tahulah kami menjaga diri kami sendiri.”

Aku pergi ke rumah Mak Cik Timah untuk memberitahu bahawa aku sudah
mendapat tawaran sambung belajar di UKM. Bukan main sukanya Mak Cik Timah
mendapat tahu hal itu sampai bangun dari kerusi dan memelukku. Menitis air matanya
kerana dia tahu melanjutkan pelajaran di UKM adalah impianku sejak dari dulu lagi.

“Pergilah Najihah. Mak cik boleh tolong tengok-tengokkan adik-adik kamu. Kamu
jangan risau itu semua. Kalau kamu tak ada duit nak mendaftar pun tak mengapa pak
cik ada dan mak cik akan usahakan untukmu nak. Apa yang penting sekarang kamu
harus sambung belajar dan mencapai impianmu untuk menjadi seorang peguam.”

Menitis air mata keharuanku atas kata-kata Mak Cik Timah itu. Mulai hari ini, aku
bertekad untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dan menjadi peguam yang
terkenal suatu hari nanti. Ini semua untuk ibu bapaku yang sudah meninggal dunia dan
untuk keluarga Mak Cik Timah.

Tibalah hari yang dinantikan. Pada hari itu aku harus mendaftar masuk UKM. Pak
Daud dan keluarganya menghantarku ke sana. Adik-adikku juga turut serta
menghantarku. Proses pendaftaranku berjalan lancar kerana Amir salah seorang ahli
jawatankuasa pendaftaran pelajar baru. Setelah selesai semuanya, Mk Cik Timah
meminta izinku untuk pulang. Sebak juga hati ini untuk berpisah dengan adik-adik.
Maklumlah, kami bertiga memang tidak pernah berpisah.

Aku menarik abang dan adik jauh dari mereka semua. “Abang, nanti bila kakak
tak ada tolong jaga adik. Abang belajar bersungguh-sungguh untuk SPM hujung tahun
ni. Biar berjaya masuk universiti. Adik pula dengar cakap abang. Jadi budak baik.
Insyallah kakak akan menelefon kamu berdua sekali dalam seminggu. Kamu berdua
jangan menyusahkan keluarga Mak Cik Timah dan Pak Daud.” Adik sudah terhinjut-
hinjut bahunya kerana menangis. Aku hanya mampu menahan air mata dari mengalir
keluar. Aku harus berlagak tabah di hadapan adik-adikku.

“Mak cik, pak cik, tolong jaga adik-adik saya. Jika mereka ada buat silap mak cik
dan pak cik tegurlah mereka. Saya tak ada sesiapa lagi di dunia ini untuk minta
bantuan. Mak cik dan pak cik sajalah harapan saya. Terima kasih di atas bantuan yang
telah pak cik dan mak cik berikan kepada saya ini. Jatuh juga setitis air mataku. Aku
sememangnya tidak tabah dan kuat terutama untuk berpisah dengan adik-adikku. Buat
kali terakhirnya sebelum mereka pulang, kami berpeluk-pelukkan.

Kehidupanku kini sudah berbeza. Aku kini menjadi seorang siswazah. Tidak
percaya rasanya kaki ini berjaya juga akhirnya melangkah ke universiti. Aku harus
belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Mujurlah aku berjaya mendapat biasiswa
tajaan Jabatan Pertahanan Awam (JPA). Tidaklah pening kepala memikirkan tentang
wang pinjaman. Ringanlah sedikit bebanku

“Abang, Mak Cik Timah nak tanya sikit. Sejak-semenjak ni mak cik tengok kamu
selalu bangun lewat. Kenapa?. Hampir setiap hari kamu pulang lewat. Guru kelas kamu
pun ada berjumpa dengan mak cik. Dia beritahu kamu selalu tidur dalam kelas sekarang
ni. Bukan apa, mak cik takut kamu kurang rehat. Macam mana nak tumpukan perhatian
dalam kelas. Nanti keputusan kamu merosot.”

“Tak mengapa mak cik, saya masih boleh tumpukan perhatian kepada SPM
saya. Terima kasih kerana mengambil berat tentang diri saya.”

Sebenarnya Mak Cik Timah pelik dengan sikap abang yang banyak berubah.
Sejak aku melanjutkan pelajaran, abang menjadi seorang yang pendiam dan lebih suka
memencilkan diri dari orang lain. Berbanding dengan sikapnya selama ini seorang yang
ceria dan suka bergaul. Mak Cik Timah rungsing memikirkan ha itu. Oleh kerana risau
abang mempunyai masalah yang serius, Mak Cik Timah menghubungiku.

“Najihah, mak cik ada hal penting nak cakap dengan kamu.”

“Kenapa mak cik?. Adik-adik saya buat perangai ke?. Mereka menyusahkan mak
cik ke?.” Aku seperti dapat menjangka apa yang bakal Mak Cik Timah ingin sampaikan.

“Begini Najihah, abang sahaja yang mempunyai masalah. Adik tak ada apa-apa
masalah. Sejak kamu masuk universiti, abang banyak berubah. Selalu pulang lewat ke
rumah. Kadang-kadang sampai malam. Kesian dia mak cik tengok. Besok pagi kena
bangun awal nak ke kelas. Kalau mak cik tanya dia kata ada perbincangan dengan
kawan-kawan. Mak cik tak tahu nak buat apa dah. Nak kata dia terlibat dengan benda-
benda kotor ni tak mungkin. Mak cik basuh baju dia tak ada pula bau atau terjumpa apa-
apa yang memusykilkan.”

“Nanti saya cuba bercakap sendiri dengan dia mak cik yer. Maaf kerana masalah
adik saya mak cik terpaksa peningkan kepala.”

“Tak mengapa Najihah. Kamu bertiga mak cik sudah anggap seperti anak sendiri.
Kamu jangan terlampau fikir masalah abang tu. Belajar yang penting.”

“Eerm, baiklah mak cik. Terima kasih. Assalamualaikum. Sampaikan juga salam
saya kepada Pak Daud dan adik-adik.”

“Waalaikumussalam.”

Petang Jumaat itu aku bertekad untuk pulang ke kampung. Aku habis kelas pukul
11 pagi. Jadi, aku mengambil bas dari sini pada pukul 2 petang. Walau bagaimanapun,
aku harus menyelesaikan masalah abang dari menjadi bertambah serius. Tambahan
lagi SPM semakin hampir. Aku tahu abang tidak akan melakukan perkara-perkara yang
tidak elok.

Mak Cik Timah terkejut dengan kepulanganku. Biasanya aku akan


memberitahunya terlebih dahulu jika nak balik. Malam itu, aku bercakap sendiri dengan
abang. Apa sebenarnya masalahnya.

“Abang, kakak nak tanya ni. Kenapa sejak kakak masuk universiti mak cik
baritahu abang kerap pulang lewat. Lepas tu, pagi besok mulalah penat nak ke sekolah.
Abang ada masalah ke?. Kerja banyak sangat ke?. Cuba cerita kepada kakak.”

“Eerm, sebenarnya abang buat kerja sambilan. Abang ambil upah cuci kereta di
kedai Abang Jehan. Itulah sebab abang kerap pulang lewat ke rumah. Abang banyak
nak guna duit. Beli buku lagi, bayar yuran kelas tambahan lagi. Semuanya nak guna
duit. Jadi abang tak nak menyusahkan kakak. Abang nak usaha sendiri. Abang tahu,
kakak belajar di universiti lagi banyak nak guna duit.” Begitu telus adikku yang seorang
ini menceritakan masalahnya.

Kami adik-beradik memang sudah biasa hidup tanpa menyusahkan orang. Arwah
ayah dan ibu yang mendidik kami semua. Menitis air mataku setelah mendengar cerita
abang. Sebelum aku melanjutkan pelajaran ke universiti aku pernah berpesan kepada
abang jika memerlukan duit minta kepadaku. Rupa-rupanya abang lebih rela berusaha
sendiri daripada menyusahkanku.

“Kenapa abang susahkan diri?. Kakak boleh tolong abang lagi. Biar kakak susah
yang penting abang berjaya dalam SPM. Kalau abang kerja, abang tak ada masa nak
ulangkaji pelajaran lagi, nak berehat lagi. Kakak harap abang faham apa yang kakak
nak sampaikan ni. Nanti berhenti kerja di tempat cuci kereta Abang Jehan.” Tersekat-
sekat suaraku menahan sebak ketika menasihati abang. Aku tahu niatnya baik, tetapi
aku tidak suka pelajarannya terganggu.
Abang hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kataku. Tidak
berani dia mengangkat kepala memandangku. Aku faham benar perangai abang yang
sama dengan perangai ayah iaitu memang suka berdikari dan tidak suka mengharapkan
bantuan daripada orang lain selagi mampu buat sendiri. Aku tahu abang sememangnya
tidak akan meminta duit dari Mak Cik Timah ataupun Pak Daud walaupun mereka akan
memberinya

* * *

“Jiha oh Jiha....Menungkan apa la tu?. Punyalah lama abang panggil, rupa-


rupanya dia tengah asyik bermenung. Ingatkan dah kena culik dengan penjahat isteri
kesayangan abang ni.” Tergelak-gelak suamiku mengusikku.

“Ada-ada je abang ni kalau nak mengusik Jiha. Maaflah Jiha tak sedar abang
panggil Jiha. Kenapa, abang nak Jiha siapkan sarapan dah ke?.”

“Takdelah, abang nak tanya Jiha jadi tak nak balik kampung hari ni?.”

“Eh. Jadilah abang. Jiha dah kemas beg dah pun. Kenapa abang tanya macam
tu?. Abang ada kerja ke?.”

“Bukan. Nampak Jiha asyik sangat mengemas rumah macam tak nak balik
kampung je. Kalau macam tu, kita sarapan dulu kemudian kita terus bertolak. Takut
nanti sampai lewat. Abang rancang nak sampai sebelum Zohor. Bolehlah kita beli ikan
patin sebelum balik. Kita suruh mak masak gulai tempoyak ikan patin. Dah lama betul
abang tak rasa air tangan mak.”

“Sedapnya. Boleh juga. Jiha pun dah lama tak makan masakan mak. Baby dalam
perut ni lagilah mengidam nak rasa air tangan mak.”
Aku mempercepatkan kerjaku. Dalam hati, aku tersenyum sendirian kerana rupa-
rupanya begitu lama aku bermenung sendirian mengingatkan kisah lama. Tidakku
sangka kawan baikku sendiri Amir, iaitu anak Pak Daud dan Mak Cik Timah adalah
suamiku sekarang. Aku mempunyai suami yang begitu baik serta menyayangi diriku
sepenuh hati. Tidak akanku lupa juga jasa mentuaku yang banyak membantuku dan
adik-adik. Pertolongan mereka suatu masa dahulu tidak sia-sia kerana aku kini sudah
berjaya menjadi seorang peguam yang terkenal di ibu kota. Abang pula sudah berjaya
menjadi Doktor Pakar Sakit Puan dan adik pula sudah menjawat jawatan sebagai
Pengawai Pemasaran di sebuah syarikat swasta yang terkemuka.

“Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana telah memberikan kesenangan dalam


hidupku ini setelah aku diuji oleh-Mu suatu masa dahulu. Ibu, ayah, kakak dan adik-adik
sudah berjaya merealisasikan impianmu.”

TAMAT

**Cerpen ini sesuai dibaca untuk kanak-kanak sekolah rendah di tahap 2

Anda mungkin juga menyukai