Anda di halaman 1dari 9

SEBUAH PENYESALAN

……………………………….
Angin sepoi-sepoi bahasa yang meresap ke segenap tubuhku kurasakan
nyaman sekali. Entah mengapa dengan tiba-tiba, hati kecilku ini seperti
membisikkan sesuatu ke telingaku,
“Ibu sayang sangat Udin..Udin janji belajar bersungguh-sungguh ya. Ibu
teringin sangat tengok Udin cemerlang macam kawan-kawan Udin. “
Lantas air mataku jatuh berlinangan menyimbahi dada bumi. Kurasakan
jantungku berdegup dengan pantas tanpa sempat ku menarik nafas yang
seterusnya.
“ Bu, Udin berdosa pada ibu. Udin menyesal. Udin tak mahu ibu pergi dulu. Ibu
maafkan segala kesilapan Udin, ye bu. Udin janji akan jadi anak yang berguna.
Udin sayang ibu. “
“ Udin, kenapa duduk sorang-sorang tu?” aku tersentak tatkala terdengar
suara garau tetapi kurasakan lemah sekali ketika menyebut namaku itu. Aku
berpaling dan melemparkan senyuman ke arahnya.
“ Eh, ayah. Udin teringatkan ibu. Kenapa bukan Udin yang pergi dulu, ayah?
Kenapa ibu pula yang harus tinggalkan Udin? Udin berdosa, ayah. Udin berdosa.
Udin menyesal. “
Pak Samad mengurut-urut belakang anaknya dengan penuh perasaan sayang
dan terkilan. Dia tidak menyangka Udin akan berubah dengan tiba-tiba sahaja.
“ Allah lebih sayangkan ibumu, Din. Kita sebagai hambanya hanya redha
menerima kehendaknya. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.
Sudah, mari kita makan. Nasi dah sejuk tu.”
Perasaan bersalahku kembali menerjah fikiranku. Masakan aku tidak pernah
memikirkan perasaan orang tuaku sebelum ini. Kurasakan nasi kini sudah
menjadi bubur. Dengan sayu, aku membontoti ayahku masuk ke dalam rumah
kecil itu..
“ Biar kita miskin harta, jangan miskin budi bahasa.”
Nasihat ibu itu akanku pegang sehingga akhir hayatku. Ketika aku menjamah
nasi yang hanya berlaukkan ikan masin dan sambal belacan, aku teringat
kembali peristiwa yang menjadi noktah hitam di dalam hidupku.

………………………………
“ Udin, bawa kawan baru kamu ini ke kelas. Tempatkan dia di meja kosong
kelas kamu. Sekejap lagi, saya masuk ke kelas.” pesan Cikgu Zaidi kepadaku.
“ Siapa nama kau? Aku Udin. Kita boleh jadi kawan.” entah mengapa lancar
sahaja mulutku menegur pelajar baru itu. Pada dasarnya, budak itu seakan asing
pada diriku ekoran sikap dan perwatakannya yang sepertinya seorang anak
orang berada.
“ Aku Dani. Baru saja pindah ke sini. Kau ni ramah juga, ya? Aku nak kawan
dengan kau.” balas Dani dengan nada bersahaja.
Udin tidak menyangka budak kaya itu sanggup menjadi kawannya walaupun
baru sahaja bertemu. Tetapi, itu tidak menjadi persoalannnya sekarang.
Masakan si Dani itu sanggup berkawan dengannya yang dirinya adalah seorang
miskin dan tidak punya apa-apa.
“ Tetapi, untung juga kalau aku berkawan dengannya.” fikir Udin tanpa dia
sedari, fikiran jahat sedang menguasai mindanya.
“ Woi, cepatlah! Mana kelas kita? “ bentak Dani tiba-tiba.
“ Eh..eh..ye tak ye jugak. Kat sana, jomlah. “ balas Udin.
“ Dani, perkenalkan diri kamu.” kata Cikgu Zaidi kepada Dani sambil matanya
galak memerhatikan tingkah laku pelajar-pelajar kelas 6 Cendiakawan itu.
“ Hai, saya Dani! Saya baru sahaja berpindah ke sini mengikut keluarga saya.
Saya harap kamu semua dapat menerima kedatangan saya ke kelas ini.” Dani
memperkenalkan dirinya dengan lagak bersahaja tetapi penuh makna tersirat.
“ Baiklah. Dani, duduk. Kelas, kita sambung pelajaran kita semula.” Cikgu Zaidi
mengarahkan pelajarnya mengeluarkan buku Kajian Tempatan dan meneruskan
pengajaran mereka yang tertangguh tadi ekoran kemasukan pelajar baru ke
kelas.
Sedang Udin membelek-belek buku Kajian Tempatan di dalam perpustakaaan,
tiba-tiba Dani datang menyergahnya dari belakang sehingga menyebabkan
jantungnya seperti seakan-akan berhenti dengan tiba-tiba. Dani ketawa melihat
telatah rakannya yang seperti terkejut akibat ternampak hantu.
“ Wei Udin! Apa la kau ni. Baru gertak sikit dah terkejut.” balas Dani sambil
dirinya tidak henti-henti menahan ketawa. Udin memandang Dani dengan wajah
yang kehairanan dan dirinya sendiri terpinga-pinga.
“ Apa pula si Dani buat di perpustakaan ni? “ gerutunya di dalam hati.
“ Dani, kenapa kau datang dekat sini? Aku pelik la. Selama 2 bulan kau pindah
kat sekolah ni, baru kini kali pertama kau jejakkan kaki di perpustakaan ini. Angin
tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba je muncul. Kau demam ke? “ tanya Udin sambil
mentertawakan temannya itu. Dia tahu yang selama ini Dani hanyalah
merupakan anak orang berada tetapi dia tidak pernah menyerlah di dalam
pelajarannya. Bukan niatnya untuk mempersendakan Dani, tetapi itu adalah
kenyataan. Dani sangat terkenal dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah itu yang
nakal dan tidak mendengar kata-kata gurunya. Menyiapkan kerja-kerja sekolah
sudah tentulah menjadi kemestiannya.
“ Salah ke aku datang sini? Udin, aku nak ajak kau teman aku pergi beli-belah
dekat Giant petang nanti. Kau teman aku eh? Kau je la kawan aku yang paling
baik. Boleh ye, Din?” pujuk Dani dengan menggunakan ayat yang paling mudah
aku fahami iaitu,” Kau je la kawan aku yang paling baik.”
Aku tergamam apabila dengan tidak semena-mena Dani datang memujukku
menemaninya ke pusat membeli-belah yang letaknya berpuluh-puluh kilometer
dari rumahku. Sedangkan pasar besar di kampungku hanya aku pergi sebulan
sekali, apatah lagi pergi ke bandar. Orang miskin sepertiku ini memang tidak
layak menjejakkan kaki ke bandar besar yang aku sendiri tidak pernah pergi.
“ Apa yang kau termenung lagi tu? Kau tiada duit ke? Itu kau jangan la risau.
Aku datang ambil kau dekat rumah kau nanti. Aku belanja kau dekat sana eh.
Kau cakap saja apa yang kau nak.” balas Dani tanpa sempat aku memberikan
jawapan. Tetapi, hati aku melonjak-lonjak kegirangan apabila ada orang yang
sudi membelanjaku.
“ Bukan mudah dapat peluang sebegini. Jikalau aku tolak, rugi besar la. Aku
mesti ikut Dani.Jikalau ibu dan ayah tidak membenarkanku pergi, lantak mereka
lah! Janji aku puas.” fikiran jahatku mengaburi segenap lapisan akal fikiranku
yang waras ini.
……………………………..
“ Apa yang kau tengok-tengok dari tadi tu? Masuk la. Mari ikut aku pergi tengok
baju. Hari ini aku mahu beli semua yang aku mahu. Kau sebut saja apa yang kau
nak, nanti aku bayar.” kata Dani sambil tersenyum puas apabila dia berjaya
mengajakku pergi menemaninya ke pusat beli-belah itu. Walaupun aku berasa
gembira dapat keluar ke bandar petang itu, namun hati kecilku masih rasa sangsi
terhadap kebaikan Dani.
“ Ah, persetankan semua itu! Aku mahu enjoy hari ini. Apa nak jadi, jadilah.”
hati keciku berbisik.
Sedang aku berehat-rehat di atas buaian di bawah pokok ketapang rumahku,
ibu datang membawa sepinggan kuih cucur udang dan secawan teh. Aku dapat
melihat kedutan-kedutan di wajah ibu yang kelihatan sudah tua itu, Walaupun ibu
tidak sesihat dahulu, tetapi dia masih melayaniku dengan baik. “Mungkin aku
seorang sahaja anaknya, jadi sudah tentulah dia sangat menyayangiku.” fikirku.
“ Udin, mari makan kuih ini. Kuih ni sajalah yang ibu boleh buat.” rungut ibu
sambil tangannya mengurut-urut dadanya. Jantung ibu sangat lemah sejak akhir-
akhir ini. Aku perasan wajah ibu sudah tidak seceria dahulu. Hanya ayah
seorang yang bekerja siang dan malam untuk mencari nafkah.
“ Ibu, kalau ibu tidak sihat, ibu duduk rehat sajalah. Biar Udin yang buat semua
ini.” balasku sebaik sahaja kuih dihidangkan. Aku sedar walaupun aku masih
kecil, namun tanggungjawabku besar pada keluarga. Jikalau aku
menghampakan mereka, itu sama seperti aku mencabut nyawa kedua-dua orang
tuaku itu. Aku akan memastikan perkara itu tidak kan terjadi. Namun, janji hanya
hanya tinggal janji.
………………………….
“ Udin, jom la pergi bandar lagi petang ni. “ dengan tiba-tiba Dani bersuara
ketika aku sedang sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Cikgu Zaidi
sebentar tadi.
“ Bandar lagi? Aku tiada duit la, Dani. Aku bukan orang kaya macam kau.”
balas Udin walaupun dia sedar kata-katanya boleh menyinggung perasaan Dani.
Udin tidak sanggup lagi menghabiskan wangnya hanya dengan membuang
masa di pusat membeli-belah dan membuang duit tanpa menggunakannya ke
jalan yang betul. Sesungguhnya dia kasihan akan ayahnya yang bekerja keras
siang dan malam semata-mata untuk mencari wang tetapi dia hanya
menggunakannya pada jalan yang salah.
“ Ya, aku tidak mahu mengecewakan orang tuaku lagi.” bentaknya di dalam
hati. Tetapi, tanpa Udin sedari, fikiran nakal dan jahatnya telah mengatasi niat
sucinya itu. Tiba-tiba,
“ Dani, pukul berapa kau mahu ke bandar petang nanti? “
“ Apa-apalah kau ni Din. Sekejap kata nak pergi, sekejap kata tak nak. Erm,
lebih kurang pukul empat nanti la.” balas Dani acuh tak acuh.
“ Ok lah, aku tunggu kau dekat simpang jalan tu nanti.” jawab Udin tanpa
memikirkan akibat daripada tindakan tidak rasionalnya itu.
Ibu hanya memerhatikan tingkah lakuku tanpa berkata apa-apa. Setelah mandi
dan memakai baju, aku menyikat rapi rambutku dan menyisirnya ke tepi. Sambil
aku bersiul-siul keriangan, ibu menegurku,”Mahu ke mana Din? Sejak akhir-akhir
ini, ibu lihat kamu selalu keluar petang. Kamu pergi ke mana, Din? “
soal ibuku sambil tangannya menggosok-gosok dada yang terasa perit itu.
Keadaan ibu juga ku lihat semakin parah dari sehari ke sehari. Aku sangat
memahami perasaan ibuku ketika itu, namun hati kecilku memberontak
mengatakan aku wajar mengikut kehendak sendiri. Biarkan apa yang hendak
berlaku tetap berlaku. Yang penting, aku gembira dengan setiap apa yang aku
lakukan.
“ Alah, ibu ni. Udin keluar dengan kawan sahaja. Takkan itu pun tidak boleh? “
balasku bersahaja.
“ Salah memang tidak salah. Tapi, ibu lihat, kamu sudah seperti bukan anak
ibu yang ibu kenal sebelum ini.” ibunya berkata lagi sambil kedengaran batuk-
batuk kecil.
“ Ibu, Udin sudah bosan hidup dalam keadaan macam ni. Udin bosan sangat
hidup dalam kemiskinan. Ayah dan ibu tidak mampu memberikan apa yang Udin
mahukan. Dani sahaja yang baik pada Udin dan mampu memberikan segala-
galanya kepada Udin.” dengan tidak semena-mena Udin melemparkan kata-kata
tersebut kepada ibunya tanpa memikirkan perasaan ibunya ketika itu.
Ibunya terdiam tanpa mampu berkata-kata walau sepatah pun. Dia tidak
menyangka anak sekecil Udin yang baru berusia dua belas tahun itu sudah
pandai melemparkan kata-kata sebegitu terhadap orang tuanya sendiri. Tanpa
dia sedari, pipinya panas ekoran mendengar kata-kata anaknya yang sangat
memberi kesan mendalam terhadap dirinya sebagai seorang tua yang tidak
berdaya. Ibunya menangis sambil berkata,
“ Ya Allah, Udin. Kenapa Udin cakap begitu? Ibu tidak sangka kamu sanggup
berkata sabagitu rupa. Kamu belajar dari mana ni nak? “ tangisan ibunya
memecah kesunyian dan kedamaian petang yang hening itu.
“ Tetapi, itu semua kenyataan. Udin tidak sanggup lagi hidup dalam serba
kemiskinan!” dengan tidak semena-mena Udin lari menuju ke pintu rumahnya
lantas meninggalkan ibunya yang terkesima mendengar kata-kata anaknya itu.
“ Eh, Din. Kenapa dengan kau ni? Macam ada masalah saja. Kau nak pergi ke
tidak ni? “ soal Dani kepada Udin setelah melihat rakannya itu seperti dalam
kebingungan.
“ Aku bertengkar dengan ibuku tadi. Aku penat la. Aku tak sanggup lagi hidup
macam ni. “ rungut Udin sambil diperhatikan Dani.
“ Kalau macam tu, jom kita pergi bandar. Kau buang segala masalah kau dan
lupakan apa yang terjadi.” pujuk Dani pula.
Sesungguhnya kedua-dua mereka masing-masing tidak mempunyai fikiran
yang cukup matang untuk memikirkan apa yang berlaku. Dalam diri mereka
hanyalah keseronokan sahaja. Penat lelah dan sikap ambil berat kedua-dua
orang tua mereka langsung mereka tidak ambil kisah.
“ Udin, mari sebentar.” arah Cikgu Zaidi kepada Udin.
“ Saya mahu kamu kemas buku-buku kamu dan pulang ke rumah kamu
sekarang juga.” kata Cikgu Zaidi kepada anak muridnya itu walaupun dia tahu
bahawa pelajarnya itu harus tahu keadaan yang sebenarnya.
“ Tapi, kenapa cikgu? Masa belajar kan belum habis lagi.” jawab Udin pula.
“ Jangan banyak bertanya. Mari, saya bawa kamu pulang ke rumah. Ibu kamu
sakit tenat sekarang ini.” balas Cikgu Zaidi walaupun dirinya sendiri berat untuk
menyatakan hal tersebut kepada Udin.
Udin kaku. Kakinya tidak dapat bergerak walau selangkah pun. Dia rasakan
langit seperti menghempas kepalanya dan jantungnya seperti berhenti berdegup.
Dirinya seperti dihantui perasaan bersalah yang sangat mendalam dan
kekesalan menyelubungi segenap tubuhnya. Air matanya lantas gugur dengan
lajunya tanpa sempat dia mengesatnya walau sesaat.
“ Udin, Udin, kamu tidak apa-apa? Mari, saya bawa kamu pulang. Menyesal
pun tiada gunanya lagi.” kata Cikgu Zaidi kepadanya.
Rakan-rakan sekelasnya memandangnya dengan penuh hiba. Dengan langkah
penuh longlai, Udin melangkah keluar dari kelasnya dan mengikuti gurunya itu
sehingga ke garaj kereta.
Sesampainya di perkarangan rumah, Udin lihat sudah ramai orang memenuhi
setiap ruang rumahnya yang kecil itu. Hati kecilnya berbisik, “ Pasti tiada apa-
apa yang berlaku pada ibu. Ya, aku pasti.”
“Udin, mari turun.” Cikgu Zaidi bersuara tiba-tiba. Udin menurutnya tanpa
berkata sepatah perkataan pun. Mulutnya seakan-akan terkunci tatkala melihat
sekujur tubuh yang sudah tua dan tidak berdaya itu terbaring kaku dan ditutup
oleh kain batik panjang.
“ Ayah, apa yang berlaku? Mana ibu? “ soalku sambil mencari-cari kelibat ibu di
setiap ruang rumah kecilku itu. ” Ayah, mana ibu? “soalku lagi.
“ Sabar Udin. Ibumu sudah tiada lagi. Allah lebih sayangkan ibumu. Sabar ya
nak.” kata ayahnya kepada anak tunggalnya itu sambil menangis teresak-esak.
“Kenapa? Kenapa ibu yang pergi dulu? Kenapa bukan Udin sahaja? Ayah, Udin
berdosa pada ibu. Udin bersalah pada ibu, ayah. Udin minta ampun. Udin salah.”
tangis Udin sambil dipeluk oleh ayahnya.
“ Sudahlah Udin. Ibumu telah memaafkanmu,nak. Bertaubatlah kamu kepada
Tuhan selagi kamu masih hidup. Pintu taubat masih terbuka untukmu.” pujuk
ayahnya.
Udin sedar akan kesilapannya kini. Tetapi, apakan daya, nasi sudah menjadi
bubur. Tiada ertinya lagi sebuah penyesalan terhadap dirinya. Udin tersentak
apabila bahunya ditepuk dek tangan ayahnya yang tua itu.
“Apa yang kamu menungkan lagi itu, Udin?” tanya ayahnya apabila melihat
anaknya itu masih belum lagi menjamah nasi yang dihidangkan itu.
“Eh,ayah. Maafkan Udin. Tidak ada apa-apa lah. Udin cuma teringatkan arwah
ibu. Kan bagus jikalau ibu masih hidup.” kata Udin dengan suara yang mendatar.
“ Sebagai hambaNya, kita berdoa sahajalah agar roh ibumu ditempatkan dalam
kalangan orang-orang yang beriman. Insyaallah, rohnya akan aman.” nasihat
ayahnya pula.
“ Insyaallah.” balas Udin pula.
Setiap masa dan ketika, Udin tidak pernah lupa mendoakan arwah ibunya dan
dia sentiasa memohon taubat kepada Allah dan dirinya sendiri berjanji akan
menjadi anak yang berguna.
……………………………………..

Anda mungkin juga menyukai