Anda di halaman 1dari 7

Takut

Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu
rasa takut sekiranya namanya dipanggil pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya,
dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran
kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut. Dia takut dibuang sekolah kerana
perbuatannya mencuri, sekali gus namanya akan tercemar. Semua terjadi disebabkan kemiskinan
keluarga pak long yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.

Siapa Mereka?

Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan
Syarifah Rozan. Mereka memberitahu dirinya kembar seiras Tengku Murni, seorang remaja yang
meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz
memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya
dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi
anak emas keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras,
umpama kembar.Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah
meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu,
mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan
hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan
pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long dan mak
longnya.

Kerana Terdesak

Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah
pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah
dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku
Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanya
ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program
pertukaran pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya
menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk
membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu
menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir
lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri
Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa
sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah
memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini boleh disembuhkan, akhirnya dia menerima
tawaran Tengku Mazran.
Seawal Kehadiran

Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan
bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku
Murni ketika hayatnya dahulu. Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar
Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian
berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini,
bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya yang mencari beberapa orang pelajar
lelaki. Apabila Datin Maziah sudah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia
mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.

Sebagai Murid Baharu

Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan dengan
saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan
Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan
Fauziana yang dipanggil Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga
kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.

Imbalan Budi

Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-
sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa
Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz
menyatakan mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar.
Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di
dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni dan dibaca diari itu untuk mengetahui
peribadi Tengku Murni.Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan
membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku
Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa
menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.

Kerenah Laili

Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi
membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan
terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak
RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam
pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat
Sumbangsih. Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat.
Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian.
Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal
ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.
TERTANYA-TANYA

Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya
menjadi kelu kala berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya mengapa Ekran menjual burger
berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di
perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat
Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar
Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan
baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu
marah.

EKRAN

Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi ke
Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya dia cuma beralasan untuk keluar rumah.
Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu
menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali
lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran
menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan

MELUAHKAN RASA

Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku
Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak
manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku
Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran
mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long
dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan
Zuraini yang lumpuh.
BUKAN DIRANCANG

Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah
kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan
dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya,
Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah
mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan
cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki
motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu.
Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum
Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih.
Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai
pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.

MELULU

Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung
sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani
mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar orang menyebabkan dia bergegas ke bilik
persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia
bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam
Bakat Sumbangsih. Kata-kata menghina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa
Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.

HADIAH BERERTI

Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi
johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa
Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah
mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil
peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu
meriah. Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani
meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran.
Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di
kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat
menghubungi kawan-kawannya di kampung.
MISTERI YANG TERSIMPAN

Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk
menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-
rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran
bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan
Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran.
Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di
dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.

Kunjungan mengejut

Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan
Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani
pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas
bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah
Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan
Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka
sebelum ini.

Hari sumbangsih

Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari
Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan
lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan
bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani
mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak
Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran
membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan
Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada
pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan
dompet tersebut.
Terusir

Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa
Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran
terputus. Dengan menggunakan teknik yang tertentu, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang
terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar
untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang
merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar
memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin
menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina
kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku
Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara
mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa
Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar
dari rumah itu.

Hakikat

Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan Azfa Hanani di
rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung
Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani
sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz
berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani
telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga
Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku
Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa
Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak
sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu
menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani.
Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke
rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di
Indonesia.
Segala-galanya berakhir

Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu
dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin
mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak
RM16,655.00. Syafikah dan Fauzana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang
oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang
membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah
diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah
Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan
sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku
Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga
yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini
sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik
perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah asrama penuh. Dia
selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.

Anda mungkin juga menyukai