Anda di halaman 1dari 3

 Abah 

Oleh : Maizurah Mahmood


Asri menyarung kasut sekolahnya. Lusuh sahaja. Sudah dua tahun kasut itu tidak berganti. Mujurlah dia seorang yang tahu
menghargai barang. Matanya melilau ke kiri dan kanan. Kelibat abahnya tidak kelihatan. Ke mana agaknya orang tua itu? Getus hati kecil Asri.
Langkahnya longlai ke sekolah. Kadang-kadang, kaki itu bagai sudah jemu melalui lorong yang sama. Meniti batu-batu besar di tepi
jalan. Dan seringkali menjadi mangsa percikan lecak air di jalan yang dilangggar oleh kenderaan besar. Asri selalu berangan-angan. Dia ingin
merasa di hantar pergi dan di jemput pulang dari sekolah. Ingin hidup dalam sebuah keluarga yang bahagia. Punya banyak harta. Hidup sekadar
goyang kaki.
“Asri, lajunya jalan kaki? Nak kejar apa?” Asri mengalih pandangannya kepada empunya suara. Wanita itu tersenyum mesra. Asri
juga begitu.
“Tak adalah Mak Ngah. Asri jalan macam biasa. Tapi, kalau boleh sampai sekolah cepat,Asri nak buat kerja sekolah.” Asri tersenyum
lagi. Wanita separuh abad itu mengangguk-angguk, faham.
“Asri dah sarapan?” tiba-tiba terjengul kepala bapa saudaranya dari pintu dapur. Asri menggeleng-geleng perlahan. “Tak apalah Pak
Ngah. Nanti Asri sarapan kat sekolah je.” Asri segera memberikan alasan. Dia tidak mahu terus bergantung makan dengan keluarga itu setiap
hari. Malah, Harun dan Salimah selalu memberikan Asri barang-barang dapur untuk dimasak.
“Tak apalah Asri. Ambillah nasi lemak ni. Mak Ngah letak banyak sikit. Nanti boleh bawak rehat. Jangan lupa sarapan ya nak?”
Salimah menasihati anak muda itu persis seorang ibu. Ya, Harun dan Salimah tidak punya anak. Namun, pasangan itu tetap redha menerima
dugaan Ilahi. Kerana itu jugalah, mereka sangat sayangkan Asri seperti anak sendiri.
“Terima kasih Mak Ngah, Pak Ngah.”Asri menyambut huluran nasi lemak itu dengan keberatan. Kemudian dia melangkah
meninggalkan gerai makan kepunyaan ibu dan bapa saudaranya. Langkahnya pantas menuju ke sekolah.



“Bangun semua!” semua murid bangun dan mengucapkan terima kasih kepada guru muda yang berkumis nipis di hadapan kelas.
“Baiklah, saya nak kamu semua hantar kerja sekolah yang saya beri semalam kepada ketua kelas awak. Zahid, nanti hantar buku
rakan-rakan awak di atas meja saya. Sebelum pukul 12 tengah hari. Faham?” Zahid mengangguk patuh. “Oh, sebelum saya terlupa. Asri, sila
jumpa saya di bilik guru pada waktu Ustaz Nordin. Dia tidak hadir hari ni sebab tangan dia patah.”
Kata-kata itu menjemput senyuman di bibir beberapa orang pelajar. Sudah pasti pelajar yang tidak menganggap pelajaran penting
dalam kehidupan. Asri pula bertukar murung. Waktu terlalu pantas berlalu. Asri terasa ingin memberhentikan masa agar waktu Ustaz Nordin
tidak kunjung tiba.
“Asslamualaikum cikgu.” Asri menyapa perlahan. Guru muda itu sedang khusyuk menanda buku latihan kelasnya. Bimbang andai
kehadirannya mengganggu.
“Waalaikumsalam. Asri, duduklah.” Asri menarik kerusi yang berhampiran. Zulatfi mempamerkan wajah yang mesra. Asri hanya
tertunduk bisu.
“Kenapa awak tak datang latihan bola sepak lagi Asri?”
“Saya tak ada kasut cikgu.” Asri menjawab lambat tanpa memandang wajah Zulatfi. Guru itu tesenyum sinis. Matanya terarah ke kaki
Asri. Benar, kasut sekolah itu telah usang.
“Berapa saiz kasut awak?” Asri mengangkat wajahnya dan bertentang mata dengan Zulatfi. “Saya tak nak kasut baru cikgu. Nanti
abah saya marah!” Asri kelihatan seperti diancam. Zulatfi terdiam.
“Kenapa abah awak nak marah pula? Saya bukan belikan awak dadah pun.”
“Cikgu tak faham abah saya!” Asri menegaskan. Suaranya sedikit tinggi. Lama mereka diam. Fikiran masing-masing bercelaru dan
keliru.
“Baik, kalau itu yang awak mahu. Saya boleh tunaikan. Tapi awak perlu berjanji dengan saya. Awak akan hadiri latihan bola sepak
setiap petang.” Asri diam. Tiada reaksi dari pelajar tingkatan lima itu. “Tapi cikgu...”
“Awak dah buat perjanjian dengan saya.” Zulatfi cepat sahaja memintas kata-kata Asri. Seketika kemudian Asri bangun dari tempat
duduknya. Selepas mengucapkan terima kasih, Asri melangkah malas menuju ke kelas.



Pintu rumah yang terbuka berkuak-kuak di tiup angin. Tudung saji dibuka kemudian di hempas. Tiada suatu makanan pun di atas
meja. Lelaki itu merengus kasar. Asri terkocoh-kocoh keluar dari biliknya.
“Asri tak masak, abah.” Hidir merenungnya tajam.
“Kenapa kau tak masak? Aku nak makan apa? Aku kebulur tahu tak!” Hidir terjerit-jerit seperti separuh gila. Asri tunduk. Dirinya
terlalu takut. Dia tidak mahu menjadi tempat libasan tali pinggang Hidir lagi. Namun sudah terlambat. Lelaki itu sudah mula menarik tali
pinggangnya. Satu libasan sudah cukup untukl menjatuhkan tubuh kurus kering itu. Asri berguling-guling kesakitan. “Sakit abah.... Sakit!” Asri
terjerit-jerit. Seluruh tubuhnya semakin enak dimamah tali pinggang itu.
“Anak tak guna! Aku bela kau dari kecil sampai besar. Aku tak pernah biar kau lapar tahu tak?” libasan tali pinggang semakin hebat.
Fikirannya sudah dirasuk syaitan dadah.
“Abah jangan! Sakit! Tolong ... Beras dah tak ada. Dah tak ada makanan dah dalam rumah ni.” Asri berkata pantas. Sakit dan perit
sudah tidak tertanggung lagi. Dia sudah lemah di atas lantai. “Argh...! Alasan!” jerkah Hidir sambil berlalu pergi dari rumah itu.



“Awak, jaga anak kita baik-baik. Tegur dengan kata-kata yang berhikmah. Biar anak kita terus sedar.” Hidir mengusap lembut pipi
Rozana. Matanya memandang wajah ayu Rozana sekilas-sekilas.
“Kenapa cakap macam tu?” Hidir bertanya kehairanan. Isterinya itu bermuram sahaja sejak dua tiga hari yang lepas. Justeru itu, Hidir
membawanya berjalan-jalan di sekitar bandar untuk menggembirakannya.
“Entahlah. Zana tak rasa Zana lama lagi kat atas bumi ni.” air matanya tiba-tiba mengalir. Pandangannya dialih pula kepada Asri yang
terlena di bahagian penumpang belakang kereta. Anak pertamanya yang berusia lima tahun itu dipandang penuh kasih sayang. Sempatkah dia
mencurahkan semua kasih sayang yang ada kepada anak kecil itu?
“Zana, jangan cakap macam tu lagi sayang. Zana tak boleh tinggalkan abang.” Hidir berkata-kata tanpa melihat wajah Rozana.
Pandangannya lebih tertumpu kepada lori kecil yang membawa batang-batang kayu panjang di hadapan keretanya.
“Ajal maut di tangan Tuhan. Kalau dah Tuhan kata jadi. Zana tetap akan tinggalkan abang walau setinggi mana pun kasih sayang
Zana pada abang.” Hidir sebal. Hatinya meruntun-runtun sedih dengan kata-kata itu. Lori di hadapan semakin mengundang pedih dan amarahnya.
Lori itu melayang-layang kerana muatan yang dibawa terlebih panjang dan terlebih di bahagian kiri.
“Abang...” Zana memanggil manja. Namun tidak dihiraukan oleh Hidir. “Abang... cuba pandang Zana sekejap.” Panggil Zana lagi.
Hidir akur. “Ya sayang?” tiba-tiba keretanya sudah terlalu hampir dengan lori di hadapan. Sedar-sedar dia sudah berada di hospital dan isterinya
terkorban.



“Assalamualaikum.” Zulatfi memberi salam. Rumah buruk itu sunyi sepi. Tiada sebarang bunyi pergerakan.
“Waalaikumsalam.” Jawab Hidir sedikit kasar. “Kau ni siapa?”
“Mintak maaf. Saya cikgu Asri, Zulatfi.” Hidir merenung pemuda itu keatas dan kebawah. Pemuda itu berbaju ringkas sahaja sambil
membawa sebuah kotak ditangannya.
“Kenapa dengan Asri? Dia buat masalah ke dekat sekolah? Tak apa cikgu. Asri tu nanti saya uruskan.” Hidir mula melangkah masuk.
“Eh, bukan macam tu. Asri tu budak pandai. Cuma akhir-akhir ni pelajarannya merosot benar. Saya datang ni nak tanyalah dia ada
masalah ke di rumah? Saya nak bincang dengan En. Hidir.”
“Tak perlulah susah-susah cikgu. Tak payah bincang-bincang. Pandailah saya nak uruskan anak saya.” Pintas Hidir.
“Tapi, En. Hidir tak boleh ajar dia dengan rotan dan tali pinggang setiap hari. Patutlah dia tidak mahu pergi ke latihan bola sepak.
Kalaulah macam ni cara encik mendidik Asri, saya tak kisah kalau Asri tinggal dengan saya.” Sindir Zulatfi panjang lebar.
“Kau siapa nak tolong-tolong anak aku? Kau bapak dia ke? Aku ni bapak dia. Aku yang besarkan dia. Aku tahu apa yang betul apa
yang salah!” jerkah Hidir.
“Suka hati En. Hidirlah. Ni saya ada belikan dia kasut sukan baru. Harap dia boleh turun latihan bola sepak. Asri tu pemain harapan
sekolah. Sayang kalau dia tak manfaatkan kebolehan yang dia ada. Saya tak akan cakap macam ni kalau Asri tak pergi sekolah dengan keadaan
lebam sana lebam sini.” Huluran Zulatfi tidak bersambut. Lantas dia meletakkan sahaja kotak kasut itu di atas pangkin di tepi rumah.
Zulatfi hanya tenang dengan tenungan Hidir yang tajam menikam. Sebelum ini pun dia sudah banyak menemui bapa yang tidak
bertanggungjawab seperti Hidir. Entah kenapa bapa seperti ini wujud di dalam dunia. Tidak sayangkah mereka kepada anak masing-masing.
Itukah sahaja cara untuk menuntut semula jasa membesarkan anak itu dari kecil sehingga besar? Soal Zulatfi sendiri.
Hidir melangkah masuk ke dalm rumah. Kotak kasut itu dipegang kemas di tangan.
“Asri!” jeritnya kuat. Asri terjengah-jengah keluar dari bilik. Dia sudah mendengar semua perbulan Zulatfi dan Hidir. Pasti ajalnya
akan sampai sebentar lagi.
“Nah!” kotak kasut itu dilempar tepat ke kepala Asri. Sambil menggosok-gosok bahagian yang sakit, Asri mencuri-curi pandang ke
arah kotak yang dibaling. Cikgu mungkir janji. Cikgu tak faham keadaan saya! Rusuh hati kecilnya. Hidir sudah menarik rotan yang terselit di
tepi dinding.
“Siapa suruh kau minta kasut kat cikgu? Kau dah miskin sangat ke? Oh... kau masih pergi latihan bola sepak. Aku dah kata
jangankan? Kenapa degil sangat?” Hidir mula membelasah Asri. Hidir sudah naik hantu!
“Sakit abah... Asri tak minta. Cikgu yang... bagi. Cikgu.. yang paksa Asri pergi latihan... tolonglah berhenti abah. Sakit!” Jawab Asri
terputus-putus. Namun air matanya tidak mengalir. Tidak akan! Sepak terajang Hidir sudah berkali-kali hinggap di badannya.
“Alasan! Sekarang nak salahkan orang lain pula? Pelajaran kau merosot, nak salahkan orang lain juga?” Hidir masih hebat
membelasah Asri. Entah dari mana kekuatannya muncul.
“Ibu tolong Asri ibu!” Hidir terhenti. Nama itu...
“Astaghfirullah, Hidir!” jerkah Harun. Salimah sudah berlari ke dalam rumah sambil mendakap Asri yang sudah lembik terdampar di
atas lantai rumah.
“Kau dah gila ke Hidir? Ini Asri anak kau! Bukan binatang tahu tak?” Salimah teresak-esak dengan air mata. Kepala asri yang
berdarah di usap-usap perlahan.
“Abang, saya... Saya tak buat apa-apa pun...” Hidir sudah tergagap-gagap. Dari dulu, Hidir memang takut dengan Harun. Sejak kecil,
Hidir dididik dengan ketegasan Harun selepas kematian kedua orang ibu bapanya.
“Kepala otak kau tak buat apa-apa!” ringan sahaja sebuah penumbuk padu tepat mngenai wajah Harun. Terhuyung-hayang tubuh
kurus itu seketika.
“Kau ni lagi baik jadi macam akulah. Tak ada anak! Dah ada anak buat macam ni! Aku rasa kalau Zana hidup lagi sekarang, mesti dia
sedih dan kecewa dengan kau!” Hidir terus mengatur langkah keluar dari rumah.
“Ha...bagus! Berambus dari rumah ni!”
“Abang, mari kita bawa Asri pergi klinik.” Harun mengangguk dan menurut kata-kata isterinya.



“Asri...Asri.” Asri membuka matanya perlahan-lahan. Terasa kepalanya diusap-usap lembut. Hidir sudah tersenyum ditepinya. Entah
kenapa hatinya terlalu tenang saat menatap wajah tua itu.
“Asri demam ya? Abah mintak maaf nak.” Air mata Asri menitis laju. Saat itu terlalu syahdu. “Tak apa.” Asri diam lagi. Menunggu
Hidir membalas katanya. Menghadiahkan kata-kata persis seorang ayah yang terbaik kepada anaknya yang sudah lama hilang.
“Asri jaga diri baik-baik.” Hidir tidak mampu menahan sebak. Lelaki itu segera bangun dari tempat duduknya dan melangkah. Namun
langkahnya terbatas apabila tangannya dipegang dari belakang.
“Abah nak pergi mana? Abah nak tinggalkan Asri?” Hidir berpaling. Wajah itu dikucup penuh kerinduan.
“Abah nak ikut ibu. Nanti bila-bila kalau abah ada masa, abah datang jumpa Asri ya?”
“Asri nak ikut.” Jawab Asri pantas. Anak mata Hidir menyoroti wajah dan tubuh Asri yang kurus kering. Lebam-lebam pagi tadi
masing jelas kelihatan. Hatinya sedih penuh sesal.
“Tak boleh. Asri masih muda. Asri sambung tidur.” Hidir merebahkan anaknya di atas bantal. Selimut nipis dan lusuh itu ditarik
hingga ke paras dada.
“Asri jaga iri baik-baik. Belajar pandai-pandai. Ingat, abah dan ibu sayang Asri sangat-sangat. Jadi orang yang berguna. Jangan jadi
macam abah.” Air matanya menitis jua setelah sekian lama terperam. Asri hanya mengagguk-angguk. Setelah mengucup wajah Asri, Hidir
bangun dan melangkah keluar pantas. Asri tenang di perbaringan.
“Abah nak ikut ibu.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Asri tersedar sesuatu.
“Abah!” Asri tersedar dari mimpinya. Matanya melilau mencari kelibat Hidir. Langkahnya terus kedapur, tiada. Namun ada
bungkusan-bungkusan makanan dan barangan dapur di atas meja. Hatinya tidak tenang.



Hidir melangkah pantas keluar rumah. Hatinya tiba-tiba terasa bersalah. Kakinya terus diatur kebawah jambatan besar. Disitulah dia
dan ‘rakan-rakannya’ yang lain berkumpul. Hidir terduduk di atas kotak. Lama dia mengambil masa untuk berfikir dan mengenang.
“Aku ni tak berguna!” monolog dirinya sendiri. Terasa bahunya ditepuk dari belakang. “Relakslah beb!” Hidir hanya tersenyum.
Picagari yang terhulur disambut lambat-lambat. Alat itu direnung lama. Mungkin hari ini penentunya. Jarum alat itu diarahkan ke arah leher.
Perlahan-lahan jarum itu menusuk batang leher Hidir. Bibir kering lelaki itu mengukir senyum.
Hidir tiba-tiba berdiri dan menari-nari mengikut rentak iramanya yang tersendiri. Zana muncul dihadapannya dan turut sama-sama
menari dan bersuka ria. Gelak tawa mereka bersatu dan terus membawa Hidir jauh-jauh. Jauh ke jalan raya.



“Asri.” Anak muda itu tersedar dari tidurnya. Tubuhnya masih terasa panas. Demam semalam masih belum kebah sepenuhnya.
Salimah sudah teresak-esak di tepi katil.
“Abah... Abah mana Mak Ngah?” Salimah semakin hebat teresak-esak. Kesedihannya tidak dapat ditampung lagi. Melihat keadaan
itu, Harun membantu isterinya.
“Abah dah tak ada Asri. Abah kena langggar lari.” Asri terpempan.

Anda mungkin juga menyukai