Anda di halaman 1dari 4

Apa itu dasar wawasan Negara

Dasar Wawasan Negara asas perpaduan


RAMAI pelawat asing kagum apabila melihat rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai
kaum dan kebudayaan dapat hidup secara aman dan harmoni.
Ada yang juga terperanjat bahawa krisis ekonomi 1997 tidak memecahbelahkan rakyat negara
ini. Ada pula yang cuba menghasut rakyat Malaysia supaya menggerakkan reformasi untuk
menumpaskan kerajaan kini juga tidak membawa kesan yang diharapkan.
Sememangnya rakyat Malaysia dapat hidup secara aman dan harmoni berkait rapat dengan dasar
pembangunan yang dilaksanakan. Keistimewaan dasar pembangunan negara ialah ia
mengimbangkan amalan ekonomi bebas dan campur tangan kerajaan.
Sebelum tahun 1969, amalan ekonomi bebas diberi keutamaan dan ia telah membawa kepada
ketidakseimbangan sosioekonomi di antara kaum di negara kita. Tidak kurang yang mengaitkan
peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dengan jurang perbezaan sosioekonomi di antara
kaum.
Walaupun peristiwa 13 Mei membawa maut dan kerosakan harta benda, ia juga menyedarkan
para pemimpin negara dan masyarakat bahawa sesuatu tindakan yang tegas harus diambil.
Pasaran ekonomi bebas tidak boleh dibiarkan mencari haluan sendiri. Sebaliknya, campur tangan
kerajaan amat penting dalam dasar pembangunan negara.
Dalam konteks inilah lahirnya Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang bertujuan untuk mencapai
perpaduan rakyat melalui strategi penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.
Semangat dan falsafah DEB kemudiannya dilanjutkan Dasar Wawasan Negara (1991-2020) di
mana Dasar Pembangunan Negara merupakan fasa pertama.
Untuk jangka 2001-2010, Dasar Wawasan Negara akan menjadi strategi dan program di bawah
Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJK-3).
Pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara telah membawa kesan-kesan positif. Kesan yang
paling jelas ialah peningkatan taraf sosioekonomi mereka yang kurang berada, khasnya golongan
bumiputera.
Pada tahun 1970, lebih kurang 49 peratus daripada 1.6 juta isi rumah di Semenanjung Malaysia
hidup di bawah garis kemiskinan. Pada tahun 1999 pula, kadar kemiskinan di negara kita telah
dikurangkan kepada 7.5 peratus.
Ini bermakna negara kita telah membangun daripada keadaan kemiskinan berleluasa pada 30
tahun lalu hingga kini di mana kemiskinan bukan lagi isu yang penting.
Pada masa yang sama, pendapatan rakyat Malaysia telah meningkat dengan jelasnya. Pada tahun
1970, pendapat purata seisi rumah sebulan ialah RM269 di Semenanjung Malaysia. Ia telah
meningkat kepada RM2,607 seisi rumah sebulan pada tahun 1997. Untuk kaum Melayu secara
khasnya, ia meningkat daripada RM178 pada tahun 1970 kepada RM2,038 pada tahun 1997.
Begitu juga, dasar pembangunan negara juga memperlihatkan wujudnya satu komuniti kelas
menengah bumiputera.
Golongan bumiputera yang serba kekurangan pada 30 tahun yang lalu kini telah dapat
memegang ekuiti korporat yang lebih banyak.
Pada tahun 1970, pegangan hak milik dalam syarikat-syarikat berhad oleh kaum Melayu di
Semenanjung Malaysia hanya 2.4 peratus. Pada tahun 1995 pula, pegangan ekuiti bumiputera
dalam sektor korporat telah meningkat kepada 20.6 peratus.
Mudah-mudahan, sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus akan dicapai menjelang tahun 2010
seperti yang dinyatakan dalam RRJK-3. Sasaran ini bukan susah dicapaikan sekiranya pegangan
ekuiti bumiputera hanya dapat dijual kepada bumiputera.
Kejayaan dasar pembangunan negara tidak terhad kepada bidang sosioekonomi. Bagi kaum
bumiputera secara khasnya, peluang untuk berpendidikan tinggi, memegang jawatan penting dan
membuat keputusan telah memberi keyakinan dan menguatkan moral. Aspek-aspek psikologi ini
telah mengukuhkan asas kaum bumiputera untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi.
Kejayaan yang dicapai oleh kaum bumiputera tidak bermakna kemunduran bagi bukan
bumiputera. Sebagai misalan, bagi kaum Cina, pendapatan purata seisi rumah sebulan telah
meningkat daripada RM387 pada tahun 1970 kepada RM3,737 pada tahun 1997. Bagi kaum
India, ia meningkat daripada RM310 kepada RM2,896 dalam jangka yang sama.
Apa yang jelas ialah pelaksanaan dasar pembangunan yang menekankan kesaksamaan antara
kaum telah membawa darjah perpaduan yang lebih tinggi.
Cuba bayangkan apa yang berlaku di negara jiran di mana jurang perbedaan ekonomi antara
kaum dan kemiskinan telah membawa kekecohan apabila krisis ekonomi berlaku.
Pada masa yang sama, dasar pembangunan negara kita telah dapat menyahut cabaran krisis
ekonomi 1997 dan memastikan rakyat pelbagai kaum dapat terus hidup dalam aman dan damai.
Maka, tidak hairanlah terdapat pelawat asing yang menyatakan keinginan untuk menetap di
negara kita sekiranya diberi peluang.
http://skypin.tripod.com/rencana/renc27.html

DASAR WAWASAN NEGARA

MATLAMAT DAN RANGKA DASAR

I. PENDAHULUAN

1.01 Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) yang meliputi tempoh 2001-2005 merupakan fasa
pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010. Dasar
Wawasan Negara (DWN) yang terkandung dalam RRJP3 akan menentukan arah pembangunan
negara dalam dekad pertama abad ke-21. RMKe-8 menggabungkan strategi, program dan projek
yang dirangka bagi mencapai objektif DWN, iaitu pertumbuhan mampan dan pengukuhan daya
tahan ekonomi serta mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saksama.
1.02 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7), negara mengalami pertumbuhan
ekonomi yang pesat, kecuali pada tahun 1998 apabila negara dilanda krisis ekonomi yang teruk.
Walau bagaimanapun, penguncupan ekonomi yang mendadak hanya berlaku dalam jangka masa
yang singkat. Ekonomi kembali mengalami pertumbuhan dengan cepat hasil pelaksanaan dasar
fiskal dan kewangan serta strategi yang berkesan oleh Kerajaan dan prestasi sektor luaran yang
menggalakkan. Pada tahun 2000, ekonomi mencatat kadar pertumbuhan sebelum krisis dengan
harga secara relatifnya stabil dan kadar penggangguran yang rendah. Tahap kemiskinan dapat
dikurangkan dengan ketara dan kualiti hidup dapat ditingkatkan.
1.03 Dalam tempoh RMKe-8, ekonomi Malaysia akan menghadapi cabaran yang lebih besar
kesan daripada peningkatan globalisasi dan liberalisasi serta kemajuan teknologi yang pesat,
terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Bagi meningkatkan daya saing dan
memperkukuhkan daya tahan ekonomi, usaha yang bersungguh-sungguh akan dilaksana untuk
meningkatkan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) serta memudahkan pembangunan ekonomi
berasaskan pengetahuan. Keutamaan akan diberi untuk meningkatkan penawaran tenaga buruh
yang berkualiti, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) dan
mempercepatkan pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan. Penekanan juga
akan diberi kepada memperkukuhkan nilai-nilai positif di kalangan rakyat dan membentuk
masyarakat yang bersatu padu dan saksama.
II. DASAR WAWASAN NEGARA
1.04 Dasar Wawasan Negara menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu
Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai
perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula
masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. DWN juga
berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada Malaysia
untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.
1.05 Secara khususnya, DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas
dengan tujuan mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang
dapat hidup dalam suasana harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani
cabaran yang dihadapi oleh Negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut
acuan sendiri, penekanan juga akan diberi kepada membina negara yang berdaya tahan dan
berdaya saing serta masyarakat yang bersatu padu dan saksama untuk memastikan perpaduan
dan kestabilan sosial. Bagi merealisasikan objektif ini, DWN akan merangkumi teras kritikal
seperti berikut:
• membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan
semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih
bertolak ansur dan penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan
kualiti hidup dan keutuhan ekonomi;
• menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan
dan pengurangan ketidakseimbangan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta
wilayah;
• mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber
pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro;
• mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi;
• membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk
meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya
pemikiran rakyat;
• mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang
cekap, produktif dan berpengetahuan; dan
• meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk meneguhkan pertumbuhan
jangka panjang.
III.
IV. PENUTUP
1.58 Teras RMKe-8 adalah untuk mengekalkan pertumbuhan dan daya saing bagi menghadapi
perkembangan globalisasi dan liberalisasi. Pengurusan berhemat ekonomi makro bagi
memastikan penggunaan sumber yang optimum dan cekap serta usaha memperkukuhkan daya
tahan sistem kewangan diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan. Strategi untuk menangani
cabaran utama dalam tempoh Rancangan termasuk meningkatkan produktiviti, menambah
penawaran tenaga manusia yang berkualiti, menggiatkan aktiviti P&P dan meningkatkan
pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan. Bagi membolehkan negara
membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, ekonomi negara perlu beroperasi pada
sempadan pengeluaran yang lebih tinggi dan mempercepatkan peralihan daripada pertumbuhan
yang didorong oleh input kepada pertumbuhan didorong oleh produktiviti. Pada masa yang sama,
tumpuan akan juga diberi bagi meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan perkhidmatan
sosial yang lebih baik termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan, perumahan yang
mencukupi dan mampu dimiliki dan perkhidmatan lain yang berkaitan. Usaha juga akan
dilaksana bagi memastikan kehidupan sosial masyarakat diperkukuh dan mempunyai daya tahan
untuk menghadapi pengaruh negatif yang mungkin akan memberi
kesan terhadap asas toleransi dan keharmonian sosial serta pembinaan nusa bangsa

Anda mungkin juga menyukai