Anda di halaman 1dari 20

Perdagangan manusia

Perdagangan manusia kini sudah menjadi satu jenis jenayah yang samik berleluasa. Pada pendapat anda, mengapakah jenayah
perdagangan manusia ini berlaku dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya?

PENDAHULUAN:

• merupakan antara jenayah tertua


• dianggap sebagai suatu industri universal
• tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi
• Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan
manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3. 5 bilion hingga RM10.5
bilion) setahun.
• Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar
14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun
• Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap
perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion
(RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun
• Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam kebanyakan negara termasuk Malaysia
• Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus
daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan
sebagainya.

PUNCA:

1. Kemiskinan/ kesempitan hidup

2. Terpengaruh tawaran kerja

3. Kurang didikan moral/agama

4. Materialistik

5. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah

6. Taraf pendidikan mangsa

LANGKAH:

1. memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke
sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia - kementerian berkenaan
mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan
kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu
melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan
Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit - menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan
mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan antara
sangat diperlukan bagi menggembleng usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

2. menjalinkan kerjasama dengan negara jiran- Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah bersepakat untuk meningkatkan
kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan-
negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian
bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan - kerjasama menerusi pertukaran maklumat dalam
usaha menangani isu ini terutama dari aspek bentuk serta kaedah penyeludupan dan negara mana yang dijadikan tempat transit
utama penyeludupan manusia - Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara - menjalankan operasi rondaan secara berjadual
dan intensif oleh pasukan keselamatan Malaysia dengan negara-negara jiran – berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan
negara pembekal – berusaha mengenal pasti ‘lubang-lubang tikus’

3. Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat juga dipergiatkan

4. Membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap negara – jabatan-jabatan yang masih
menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran – amalan
rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara.

PENUTUP:

Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang masalah yang dihadapi yang berkaitan
dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi
menang-menang bagi kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdagangan manusia ini, pihak negara berjiran terpaksa
berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan
agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana.

Globalisasi dikatakan membawa kesan yang mendalam


terhadap rakyat sesebuah negara. Pada pendapat anda
apakah kesan globalisasi kepada Malaysia.

Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud


"fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi
perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan
teknologi maklumat." Imam Ghazali ketika berhadapan dengan
cabaran falsafah Yunani pada zamannya, tidak terlalu cepat
mengeluarkan hukuman terhadap falsafah tersebut. Bahkan, beliau
mengkaji baik dan buruknya perkara tersebut sehingga mampu
mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang
terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru, globalisasi juga perlu dikaji
baik dan buruknya sehingga kita dapat menggunakan aspek positif
yang ada untuk menentang keburukan globalisasi.

Kesan baik yang utama ialah rakyat Malaysia perlu mengalami


anjakan paradigma, iaitu mereka perlu menggunakan teknologi
terkini berbanding dengan cara tradisional dalam pelbagai lapangan
hidup mereka. Sebagai contoh, negara kita menuju ke arah E-
Kerajaan, dan E-Dagang. Sehubungan dengan ini, rakyat mahu tidak
mahu terpaksa menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT). Kita akan ketinggalan dalam arus perdana sekiranya kita tidak
menguasai ICT. Dalam era globalisasi, perniagaan dan perdagangan
tidak mengenali batasan atau sempadan. Seorang usahawan batik
contohnya, boleh menjual hasil batiknya ke seluruh dunia dengan
hanya mengiklankan dalam internet dan boleh menjalankan
perniagaannya dari rumah. Justeru, beliau dapat menjimatkan
kosnya kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil api
dan air, serta tidak perlu mengupah pembantu. Tegasnya, peluang
pasaran terbuka di seluruh dunia.

Kesan baik yang seterusnya ialah rakyat Malaysia amnya dan


usahawan khusunya perlu meningkatkan mutu produk mereka
dalam era globalisasi. Hal ini demikian kerana ahli perniagaan kita
bukan sahaja berhadapan dengan saingan dari dalam negara, malah
terpaksa bersaing dengan produk dari seantero dunia. Oleh itu,
mahu tidak mahu, rakyat Malaysia perlu berkreatif dan inovatif
dalam menampilkan produk mereka agar dapat bersaing di
peringkat antarabangsa. Hal ini menuntut rakyat Malaysia untuk
menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ke atas
barangan tempatan agar negara kita boleh duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Justeru, imej
negara kita dapat ditingkatkan di persada dunia.

Seterusnya, globalisasi juga membolehkan negara kita


menerima teknologi terkini. Hal ini disebabkan kemajuan dalam
bidang ICT membolehkan kita berhubungan dengan sesiapa sahaja
di seluruh dunia. Hasil penemuan yang terbaru disiarkan dalam
internet. Hal ini membolehkan pakar-pakar tempatan dalam bidang
perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, perindustrian,
pertanian dan sebagainya memanfaatkan penemuan-penemuan
terbaru oleh rakan mereka dari seluruh dunia dan dalam masa yang
singkat rakyat Malaysia juga dapat menikmati hasilnya. Sebagai
contoh, pakar neurologi dari Malaysia boleh mengadakan telesidang
dengan pakar-pakar neurologi dari seluruh dunia untuk mengubati
penyakit berkaitan dengan neurologi. Jelaslah bahawa globalisasi
memang menguntungkan rakyat Malaysia.

Juga, globalisasi mendatangkan kesan buruk kepada rakyat


Malaysia. Globalisasi bersinonim dengan pengamerikaan dunia. Ia
merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikuti oleh
semua penduduk dunia. Maklumlah globalisasi dikatakan “Semua
Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya lain
selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya
budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah
kejadian manusia dan budaya timur serta agma Islam. Sebaliknya
budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya
bertentangan dengan akhlak dan norma hidup masyarakat timur
amnya dan Malaysia khususnya.Budaya seks bebas dan gay
merupakan contoh yang jelas. Saban hari kita dapat menatap di
dada akhbar dan dapat mendengar berita di radio dan televisyen
tentang kebobrokan yang dialami oleh remaja kita seperti melepak,
seks bebas, buang bayi, memakai pakaian yang bukan sahaja tidak
menutup aurat malah berunsur seksi. Tegasnya globalisasi
merosakkan budaya dan norma hidup masyarakat kita yang
dipandang mulia seperti kata peribahasa biar mati anak, jangan
mati adat.

Tambahan pula, globalisasi juga telah mempengaruhi gaya


hidup masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, kita dapat lihat betapa
ramai yang mengunjungi Kentucky Fried Chicken, Mc Donald, Pizza
Hut, Kenny Rogers dan sebagainya. Golongan remaja tidak suka
makan makanan ulam dan mereka berpendapat bahawa ulam ialah
makanan golongan tua yang sudah ketinggalan zaman. Mereka
sebenarnya tidak menyedari bahawa makanan segera dan ringan
memudaratkan kesihatan mereka. Satu kajian yang dijalankan oleh
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menunjukkan
bahawa hampir 40% daripada remaja kita mengalami obesiti. Hal ini
bersangkut-paut dengan penyakit seperti penyakit serangan
jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, kerosakan buah
pinggang dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan ringan
dan segera ini mengandungi bahan kimia seperti Monosodium
Glutamate (MSG) dan bahan pengawet yang menjejaskan kesihatan
dalam jangka panjang. Slogan KFC ialah, “Sedap sehingga menjilat
jari”. Ini bertentangan dengan budaya masyarakat timur amnya dan
Malaysia khususnya kerana kita tidak dibenarkan menjilat jari
selepas makan. Selain itu, menjilat jari bermakna mengajak umat
mengutamakan rasa sedap. Walhal, kita sepatutnya bersyukur
dengan makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita walaupun
sederhana kerana berjuta-juta manusia di seluruh dunia
menghadapi kebuluran. Jelaslah bahawa globalisasi mengajar rakyat
kita untuk tidak bersyukur dengan apa yang ada dan menyebabkan
rakyat kita menjadi tenaga kerja yang berpenyakit dan tidak
produktif. Akhirnya hal ini akan membantut usaha kita untuk
menjadikan negara kita sebagai negara maju mengikut acuan kita
sendiri sebagaiman yang digariskan dalam Wawasan 2020.
Globalisasi juga menyebabkan jurang perbezaan antara
negara-negara kaya dengan negara-negara miskin bertambah luas.
Menurut Dr.Yusuf al-Qaradawi, “Sesungguhnya globalisasi hanyalah
untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk
menguntungkan yang kaya dan untuk memanfaatkan blok utara
yang kaya terhadap blok selatan yang miskin”. Dalam sistem
globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya , manakala
yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan
antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan
jurang yang besar antara negara blok utara dan blok selatan.
Negara-negara dunia ketiga yang berada dalam blok selatan, ketika
berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-
syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan
negatif kepada peminjam. Dalam era globalisasi, negara blok
selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi
menyaingi negara-negara maju di blok utara. Oleh itu, jelaslah
bahawa globalisasi merupakan satu bentuk penjajahan negara maju
ke atas negara miskin dan sedang membangun seperti Malaysia.

Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-


hati. Kerajaan kita harus mengambil langkah-langkah yang proaktif
agar rakyat kita amnya dan remaja khususnya tidak terjerumus
dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang oleh negara
maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara
miskin dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan
menagih simpati dan pertolongan yang akhirnya membelenggu kita
dari segala aspek kehidupan kita. Jelaslah bahawa globalisasi boleh
ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan – penjajahan mental,
ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati
menghadapi era globalisasi ini kerana jangan sudah terhantuk baru
tengadah.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 1:29 PM 0 comments

Rabu, 17 November 2010

Peranan pelbagai pihak dalam melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif.

Sememangnya Wawasan 2020, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan


NKRA bertujuan untuk melahirkan rakyat yang kompeten, berkreatif dan inovatif.
Hal ini kerana kita tidak seharusnya menjadi pengguna teknologi sebaliknya
hendaklah menjadi penyumbang teknologi. Sehubungan dengan hal ini, pelbagai
pihak memainkan peranan. Kita perlu senantiasa ingat akan kebenaran peribahasa
bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Faktor utama yang memainkan peranan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif
dan inovatif ialah sistem pendidikan negara kita. Sebagai menyahut seruan
kerajaan ini, kurikulum sekolah telah mengalami perubahan mengikut peredaran
zaman. Matlamat pendidikan adalah untuk melatih pelajar berfikir dan mencapai
tahap kemahiran yang telah ditetapkan. Mata pelajaran Kemahiran Hidup, Reka
Cipta, Teknologi Maklumat, Mata pelajaran Vokasional seperti landskap, perabot,
katering dan sebagainya menggalakkan pelajar untuk mengembangkan kreativiti
dan inovasi mereka. Selain itu, Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK)
telah merentasi kurikulum. Guru-guru digalakkan melatih pelajar untuk berfikir. Di
samping itu, kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi kemahiran seperti
Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN), Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian
(ILP), Giat MARA, dan sebagainya untuk melatih para belia menguasai kemahiran
dan menjadi pekerja mahir yang berkreatif dan inovatif. Jelaslah institusi pelajaran
ialah institusi yang paling sesuai untuk melatih dan melahirkan insan yang
berkreatif dan inovatif.

Tugas ini seterusnya perlu dipikul oleh ibu bapa. Semasa anak-anak mereka masih
kecil, ibu bapa perlu membeli alat-alat mainan yang boleh mengembangkan
kemahiran kreatif dan inovatif anak mereka. Permainan seperti Lego amat sesuai
untuk kanak-kanak. Dengan menggunakan bongkah-bongkah plastik ini, kanak-
kanak boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan, robot, dan
sebagainya. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu
bapa perlu menerapkan unsur kreativiti dan inovasi dalam diri anak mereka sejak
mereka kanak-kanak lagi.

Seterusnya, kerajaan memainkan peranan yang penting. Dalam hal ini,


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Karnival
Malaysia Inovatif 2010 di seluruh negara yang bertemakan “Meraikan Kreativiti”.
Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan
pemikiran yang kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan rakyat di
negara ini. Kumpulan sasaran meliputi semua lapisan masyarakat iaitu golongan
OKU, wanita, belia, pelajar-pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar
bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak swasta. Tindakan MOSTI ini
amat dialau-alukan oleh semua pihak. Walau bagaimanapun, adalah harapan
semoga usaha seumpama ini dapat dijalankan secara berterusan dan jangan
bersifat hangat-hangat tahi ayam.

Pihak swasta khususnya sektor perindustrian juga perlu berganding bahu dengan
kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Usaha untuk
melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif menuntut rakyat kita supaya
terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Oleh itu, sektor swasta harus
menggiatkan penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan kaki tangan mereka.
Sejumlah wang sepatutnya diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan.
Sebagai contoh, durian tidak dapat dieksport ke Singapura kerana faktor
pencemaran. MARDI telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan ke atas
durian dan akhirnya para penyelidik berjaya menghasilkan serbuk durian yang
boleh dibungkus dan dieksport bukan sahaja ke Singapura malah ke luar negara.
Pengguna hanya perlu mencampurkan serbuk durian dengan air dan mereka dapat
menikmati durian. Serbuk ini pula boleh tahan dalam tempoh masa yang lama. Oleh
itu, pihak swasta perlu mencontohi MARDI dalam menghasilkan barangan yang
berkreatif dan inovatif. Kata peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih.

Akhir sekali, kita tidak boleh menidakkan peranan para pendidik dalam melahirkan
masyarakat yang kreatif dan inovatif. Sehubungan dengan hal ini, para pendidik di
seluruh negara sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau
Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institusi Pendidikan Tinggi Swasta
(IPTS), termasuk kolej dan institusi kemahiran harus menghadapi pelbagai cabaran.
Cabaran pertama ialah mempertingkat profesionalisme. Para pendidik harus sedar
tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan
mencapai wawasan negara. Seterusnya, suatu anjakan paradigma dapat dilakukan
oleh para pendidik. Cabaran kedua ialah kemahiran dalam penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT). Pembestarian sekolah dan Schoolnet hendaklah
dihargai dengan menggunakan segala kemudahan semaksimum mungkin untuk
melahirkan insan yang kreatif dan inovatif. Cabaran ketiga ialah budaya fikir dan
berakhlak. Pendidik yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah
pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk
dibincang dan mencari penyelesaian berkaitan kekeluargaan, komuniti, ekonomi
dan sebagainya untuk mencari penyelesaian. Oleh itu, pendidik yang
berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang yang boleh
berfikir secara kritis dan berinovasi dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Intihanya, semua pihak hendaklah bekerjasama dalam usaha melahirkan


masyarakat yang kritis, kreatif dan inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran
baru serta peka kepada kepedulian sosial, keadilan sejagat dan solidariti
antarabangsa. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Kita perlu
ingat bahawa generasi muda hari ini perlu mempunyai daya saing untuk
berhadapan dengan globalisasi dan seterusnya negara kita dapat berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 9:21 AM 0 comments

Selasa, 16 November 2010

Kes Buang Bayi


Masalah buang bayi dalam kalangan remaja semakin
meningkat. Pada pendapat anda apakah punca berlakunya
masalah ini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk
menangani masalah ini.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes pembuangan bayi di negara


ini didapati semakin serius apabila ia meningkat lebih 154
peratus sejak Januari 2010 sehingga Ogos 2010 berbanding
tempoh lapan bulan pertama tahun lalu. Statistik terbaru
dikeluarkan oleh Bukit Aman menunjukkan terdapat 65 kes
pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara sejak Januari
sehingga hari ini. Jumlah tersebut didapati meningkat lebih
154 peratus berbanding hanya 42 kes dicatatkan bagi
tempoh lapan bulan pertama tahun lalu.

Berita seumpama ini menghiasi dada akhbar tempatan


sepanjang tahun. Kes buang bayi semakin menular dalam
kalangan remaja negara kita seperti cendawan tumbuh
selepas hujan. Fenomena ini harus dikekang dari awal lagi.
Jika tidak, kebobrokan dalam kalangan remaja akan semakin
meningkat dan akan menggagalkan visi kudsi negara kita,
iaitu Wawasan 2020.

Faktor utama berlakunya masalah buang bayi ialah


kurangnya didikan agama. Maklumlah orang yang kurang
pegangan agama umpama sebuah bahtera yang belayar di
tengah samudera tanpa jurumudi. Nescaya, bahtera
berkenaan akan tersasar dari destinasi yang ditujui atau
akan tenggelam dipukul ribut. Begitu jugalah halnya dengan
remaja kita yang tidak menghayati ajaran agama.
Sehubungan dengan ini, ibu bapa memainkan peranan yang
penting. Hal ini demikian kerana kanak-kanak umpama kain
putih. Ibu bapalah yang akan mencorak kain putih itu
menjadi warna pelangi atau hitam. Kata peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa
perlu menerapkan nilai-nilai moral dan agama dalam
kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Seterusnya, ibu bapa juga menjadi satu faktor. Kini, kedua-


dua ibu bapa bekerja. Mereka sibuk dengan kerjaya masing-
masing dan terlalu bersifat materialistik dan mata duitan.
Sebilangan kecil ibu bapa ini tidak meluangkan masa
bersama-sama anak mereka untuk membincangkan masalah
yang dihadapi oleh anak mereka. Mereka juga tiada masa
untuk mengawasi gerak-geri anak-anak mereka. Justeru,
remaja diberi kebebasan yang kerterlaluan. Hal ini
menyebabkan mereka terjebak dalam gejala zina dan
seterusnya terlibat dalam kes buang bayi. Ibu bapa yang
bekerja siang dan malam untuk mencari wang perlu sedar
bahawa wang bukan segala-gala dalam hidup kita kerana
anak itu satu amanah. Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak
ialah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda
yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa
dengannya. Jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik,
maka menderitalah dia dan binasa." Jelaslah bahawa ibu
bapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dalam
mendidik anak menjadi insan yang berguna kepada nusa dan
bangsa.

Faktor lain yang menyumbang kepada masalah buang bayi


ialah pengaruh rakan sebaya. Dalam era mengejar
kebendaan, ibu bapa tiada kawalan ke atas anak-anak
mereka. Oleh itu, remaja yang berkawan dengan mereka
yang sudah mengalami keruntuhan akhlak, mudah
terpengaruh dengan nilai-nilai negatif. Kata peribahasa
Cina, apabila kanak-kanak, dia berkata ayahnya betul dan
kawannya salah; apabila sudah remaja, dia berkata
kawannya betul dan ayahnya salah; apabila sudah dewasa,
baru menyedari bahawa ayahnya betul, kawannya salah.
Peribahasa Cina ini jelas menggambarkan kepada kita
betapa kuat pengaruhnya rakan sebaya ke atas seseorang
remaja. Sehubungan dengan ini, ibu bapa perlu
memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Mereka perlu
mengetahui latar belakang kawan-kawannya. Sebagai ibu
bapa bimbinglah anak-anak ke arah jalan yang baik yang
diredahi-Nya dan menghindari kemungkaran. Maklumlah
mencegah lebih baik daripada mengubati.

Kes buang bayi juga berpunca daripada pengaruh media


massa khususnya media elektronik. Hampir setiap remaja
mempunyai telefon bimbit. Walaupun telefon bimbit
membawa kebaikan tetapi apabila disalahgunakan, ia tetap
membawa kesan buruk. Remaja dengan mudah boleh
memuat turun gambar dan video lucah. Begitu juga dengan
penggunaan internet. Dalam dunia tanpa sempadan dan
dasar langit terbuka membolehkan remaja kita mengakses
bahan pornografi dengan mudah. Selain itu, VCD lucah
begitu berleluasa dan boleh dibeli dengan begitu mudah di
kedai-kedai jualan video dan pasar malam. Hal ini meracuni
minda remaja kita. Disebabkan naluri ingin tahu, mereka
tergamak melakukan perkara terlarang dan sebagai jalan
penyelesaian, mereka terpaksa membuang bayi.
Sehubungan dengan hal ini, kerajaan harus bertindak tegas
dengan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengedar
VCD lucah. Kementerian Komunikasi dan Multi Media harus
mengawasi laman web yang menawarkan bahan lucah dan
mereka yang terbabit harus dibawa ke muka pengadilan.
Tindakan segera dapat menyelamatkan anak kita supaya
tidak menjadi seperti kata peribahasa sudah terhantuk baru
nak tengadah. Oleh itu, jelaslah bahawa kerajaan harus
bertindak untuk menangani masalah ini.

Seterusnya, kita perlu menyalahkan masyarakat dalam hal


ini. Ini disebabkan golongan dewasa harus menjadi contoh
dan ikutan golongan remaja tetapi saban hari ada saja kes-
kes zina, sumbang mahram, perceraian, simbah asid ke atas
suami, isteri ditetak dengan parang dan sebagainya yang
melibatkan orang dewasa. Kata peribahasa bagaimana
acuan begitulah kuihnya, dan bapa borek anak rintik. Segala
perlakuan negatif orang dewasa akan menjadi ikutan anak-
anak remaja yang memang setahun jagung dan masih naif
dan tidak dapat membezakan antara baik dengan buruk,
syurga dengan neraka, kaca dengan intan.Bagi yang muda,
kegagalan orang tua untuk menjadi contoh dan model
terbaik untuk diikuti menyumbang ke arah kebobrokan yang
dialami oleh generasi muda. Justeru, ahli masyarakat perlu
lebih prihatin dan menjadi contoh kepada remaja pada masa
akan datang. Janganlah menjadi seperti ketam menyuruh
anaknya berjalan dengan betul. Oleh itu, setiap ahli
masyarakat, khususnya yang sudah dewasa perlu
menunjukkan budi pekerti yang baik agar menjadi ikutan
remaja.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur


dengan tebing untuk menangani masalah pembuangan bayi
yang sudah menjadi duri dalam daging. Jika tidak, segala
impian kita untuk mencapai taraf negara maju menjelang
tahun 2020 akan tetap menjadi impian dan tidak dapat
direalisasikan. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Apabila semua pihak bekerjasama, masalah
pembuangan bayi pasti dapat dikurangkan.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:08 PM 0 comments

Jumaat, 12 November 2010


Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak

Anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada


setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung
zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru
bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan
yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam
rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa
memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa.
Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai kes penderaan
kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa
sebagaimana yang telah disiarkan dalam akhbar dan berita di
televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak
berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa
kandung kepada mangsa. Kata peribahasa haruan makan anak.

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes


penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang
bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja.
Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan
mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak
berdosa. Kata peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana
mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa
yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak
yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu
tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran
matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk
puntung rokok,dan sebagainya. Apakah dosa mereka sehingga
diperlakukan sebegitu?

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-


kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh
sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah
keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap
anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain,
sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang
mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak
tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang
masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah
kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada
anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan
masalah. Mintalah pertolongan daripada Allah supaya hati kita lebih
tenang. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak
mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti
pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan
pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan
mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai
kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering
berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah


penderaan kanak-kanak ini ialah kurangnya pendidikan agama
dalam kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting dalam rumah
tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam
menguruskan keluarga. Orang yang kurang pegangan agama
umpama sebuah kapal yang belayar di tengah samudera tanpa
jurumudi. Nescaya kapal ini tidak akan sampai ke destinasi malah
kemungkinan besar akan tersasar atau akan tenggelam dipukul
ribut. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku pasti ada
penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh
setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya
dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah
menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang
tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang
merupakan amanah Allah kepada kita.

Tambahan pula, ahli psikologi berpendapat bahawa


penderaan kanak-kanak juga berpunca daripada pengalaman pahit
yang dilalui oleh ibu bapa mereka semasa mereka masih kecil lagi.
Ibu bapa yang menjadi pendera, sebenarnya didera oleh ibu bapa
atau orang lain semasa zaman kanak-kanak mereka. Pengalaman
pahit ini terbuku di hati dan minda bawah sedar mereka. Apabila
sudah dewasa dan mendirikan rumah tangga, dan seterusnya
memperoleh anak, pengalaman pahit yang terpahat di alam bawah
sedar muncul tanpa disedari dan mereka tergamak mendera anak
mereka sendiri sebagai balasan atau unsur mendendam.
Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan
keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini demikian kerana
perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan
aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan
keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah
Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab
kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau
sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif
semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas
apabila meningkat dewasa. Kata peribahasa bapa borek anak rintik.
Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak
kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang
akan kita dapat di akhirat nanti.

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:34 PM 0 comments

Belilah barangan buatan tempatan

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak


menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.
Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya
kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan
kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar
negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin
dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri
pasaran.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian,
pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi
produk luar negara.

Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti


dan sikap orang kita sendiri untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi
sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagung-agungkan
barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk
tempatan negara ini.Rakyat Malaysai perlu mengutamakan barangan buatan
Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Kata
peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negri
sendiri lebih baik. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa
manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak. Pertama, ia akan
mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan
pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk
lebih berkualiti dan berdaya saing.

Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap


serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi
memudahkan mereka membuat pilihan. Berikutan itu, FOMCA dengan
kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu
mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu
boleh diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pemasaran
pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang
mengeluarkan barangan berkenaan. Maklumlah bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana bermuafakat. Jika rakyat Malaysia mengutamakan
barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan
RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu.Berikutan itu, pengguna
dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia
dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit
sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan
menggalakkan rakyat membeli barangan buatan tempatan, serta kurang
bergantung kepada produk import.

Seterusnya ialah peranan Media. Pihak media boleh memberi sokongan


kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan
buatan Malaysia. Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam
usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia dari
segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan
buatan Malaysia. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh
kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Maklumlah
tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Usaha mengadakan Kempen Belilah
Barangan Buatan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan
dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan
sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini
harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang
buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk
memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru, semua agensi, sektor
swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Kempen yang
bakal diadakan oleh media janganlah bersifat hangat-hanagat tahi ayam.

Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan


pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu
memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja
melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem
pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barangan tempatan. Di
kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapat
barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan tetapi penduduk di
luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga
yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang
kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi
perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani
masalah ini. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Semua pihak iaitu agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memberikan
keutamaan dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk
berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan
mereka. Rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak-anak
tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka
yang setanding dengan produk import. Institusi kerajaan, swasta dan rakyat
perlu mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi
membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti.
Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah


malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan
barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen belilah barangan
buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah
menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan
melalui kempen. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan
memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?

Posted by Subramaniam Rengasamy at 10:00 PM 0 comments

Kesan-kesan kemasukan pendatang asing tanpa izin


kepada negara ini.

Ekonomi Malaysia kebelakangan ini berkembang dengan pesat.


Projek pembangunan raksasa berjalan dengan lancar. Sebagai
hasilnya, wujudlah peluang pekerjaan yang meluas dan timbul
masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia kini menjadi
tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan.
Maklumlah di mana ada gula di situ ada semut. Namun kemasukan
pendatang asing tanpa izin yang banyak telah menimbulkan
pelbagai masalah.
Masalah utama ialah kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan untuk
membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak
polis, tentera, dan Jabatan Imigresen terpaksa bekerja keras seperti
aur dengan tebing untuk memberkas mereka. Mereka ditahan dan
ditempatkan di kem tahanan sementara. Kedutaan asing pula
kurang bekerjasama. Kedutaan asing enggan mengeluarkan
dokumen perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka
dapat dihantar balik. Kedutaan asing juga enggan membiayai kos
penghantaran pulang. Hal ini menyebabkan banyak tenaga, wang,
dan masa kerajaan terbazir dalam usaha mencegah kemasukan
pendatang tanpa izin.
Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang
asing tanpa izin ini merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh
pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka melarikan diri ke
Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa negara
asal mereka. Malangnya, mereka terus melakukan jenayah di sini.
Kes-kes rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa
akan menanggung trauma sepanjang masa. Kata peribahasa berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Malahan
sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap malam buat
satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk
tempatan hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga
Indonesia ditembak mati dalam serbuan polis bukanlah kes yang
luar biasa lagi. Malah, tentera kita terpaksa dikerah ke Semporna,
Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata
canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.
Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas.
Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan.
Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian.
Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal
mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka
menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya,
rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan
rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak
pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman
HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur
tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS. Oleh itu, mencegah
lebih baik daripada mengubati.
Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga
mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan
kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan
pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan
perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan
kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah
dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku.
Selain itu, pembangunan negara pada mas a akan datang juga
terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga
terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran
kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Kata
peribahasa kerana nila ssetitik, rosak susu sebelanga.
Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan
lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor
perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka
jauh lebih rendah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan
rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam
bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan
diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual
barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada
antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa
membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh
dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini
memang tidak adil kepada rakyat kita. Tindakan ini umpama kera di
hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan.
Kita memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara.
Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga
menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini
dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah
airnya sendiri. Tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, dan tiada
masalah yang tidak dapat diselesaikan.
Posted by Subramaniam Rengasamy at 9:38 PM 2 comments

Khamis, 4 November 2010

Lihat gambar di atas dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha
meningkatkan mutu pengangkutan awam di Malaysia. Panjang huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA

Dalam usaha menuju negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia telah berusaha
menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan
berjalan lancar. Sistem pengangkutan yang cuba dibangunkan ini meliputi laluan
darat seperti jalan raya dan jalan kereta api, laluan udara dan laut. Fokus utama
pembangunan sistem pengangkutan ini bagi memudahkan orang ramai berhubung
dengan masyarakat tempatan dan masyarakat di dunia luar.

Teksi digunakan sebagai alat pengangkutan mudah untuk pergi ke sesuatu


destinasi. Kenderaan tersebut sebagai keperluan wajib untuk masyarakat ke
destanasi yang diinginkan seperti ke sekolah, ke pejabat, ke surau dan ke pasar
raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kerajaan telah mewartakan semua
teksi bandar menggunakan sistem bermeter dan radio teksi.Kerajaan juga telah
menggunakan warna yang berbeza untuk teksi bandar dan luar bandar.Bagi
pengangkutan ke destinasi lapangan terbang, kerajaan telah memperkenalkan teksi
limosen. Melalui keadah ini, mutu prkhidmatan dapat ditingkatkan dan diselaraskan
serta memudahkam pengguna. Selain itu, penggunaan teksi bermeter dapat
mengelakkan pemandu teksi melakukan penyelewengan dan menguntungkan
pengguna.

Pengangkutan awam yang paling murah dan popular dalam kalangan pengguna
ialah bas. Bas biasa digunakan oleh orang ramai untuk pergi bekerja atau ke pasar
raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ini, kerajaan telah menggalakkan
pengusaha bas yang berskala kecil membentuk konsortium bagi meningkatkan
aliran modal. Antara syarikat konsortium yang beroperasi ialah Transit Link,
Couseway Link dan Pak May. Melalui keadah ini, syarikat pengangkutan akan dapat
menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dengan cara menggantikan kenderaan
yang telah lama dengan kenderaan yang baru serta selesa. Keadah ini akan
menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

Sementara itu, mereka yang ingin ke seberang laut, ramai yang memilih
perkhidmatan kapal terbang dan kapal laut. Untuk meningkatkan mutu
perkhidmatan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dan Air Asia telah
menambah destinasi penerbangan baru dan membeli pesawat-peswat yang baru.
Selain itu, syarikat penerbangan ini juga telah menawarkan pekej tambang murah
khasnya yang telah dilakukan oleh Air Asia.Dengan cara ini, ramai pengguna akan
mampu menggunakan perkhidmatan ini.

Sesungguhnya, sistem pengangkutan awam di Malaysia boleh dikatakan setanding


dengan negara-negara maju. Oleh itu, menjadi tanggungjawab syarikat yang
mengendalikan perkhidmatkan ini terus mengekalkan dan meningkatkan mutu
perkhidmatan agar manarik minat pengguna menggunakannya.