Anda di halaman 1dari 4

AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu
sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat
dilihat di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada sekalian manusia.”


(Surah at-Taubah: 3)

Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji…”


(Surah al-Haj: 27)

Dari segi syara` pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui
waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu
sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Azan disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai
atau qadha’. Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini
bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan
tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat
diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.

Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di
dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil
daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...”


(Surah al-Ma’idah: 58)

Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah
hadith yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan


azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Hal ini telah
terkandung di dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada
Ibnu `Umar r.a. Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka
berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang
menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah
mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya
waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam
mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.
Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat.
Apabila bendera telah berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada
orang ramai. Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan
oleh penganut agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang
dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit.
Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.

Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Nabi s.a.w. Kemudian, Umar bin al-Khattab
mencadangkan agar diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul beliau ini telah
diterima oleh Nabi s.a.w. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang
bererti “marilah solat berjemaah”.

Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi tentang seorang
lelaki yang datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu
dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: “Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?”.
Abdullah menjawab: “Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat
kepada orang ramai”. Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata:
“Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?”. Abdullah
menjawab: “Itu baik sekali”. Lalu pembawa loceng itu berkata: “Kumandangkanlah Allahu
Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Nabi
s.a.w. bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah
mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang
kepada Nabi s.a.w. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh
Abdullah bin Zaid.

Di sini jelas menunjukkan bahawa lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.
mempunyai persamaan dengan lafaz-lafaz azan yang didengar oleh Abdullah bin Zaid dan
Umar bin al-Khattab dalam mimpi masing-masing. Namun begitu, mimpi-mimpi tersebut
bukanlah menjadi dasar pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz-lafaz azan yang
diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua orang sahabat
tadi. Sandaran azan bukan sahaja melalui mimpi bahkan ia diperkuatkan lagi dengan
penerimaan wahyu. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:

“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan
diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril
mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah
Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan
baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

Menurut pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam
melaksanakan azan. Antaranya ialah:

1. mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.

2. mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.

3. mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.


4. ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka
dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah”
menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

5. mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.

6. suara mu’azzin hendaklah nyaring.

7. mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.

8. orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan


dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah”
dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi
Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

9. setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa:
“Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati
Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah”
yang bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan
solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan
serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala yang
besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala
dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain
membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu
dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara
menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar
oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada
Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)

Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:

“Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah
adalah lebih baik daripada menjadi Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang
bermaksud:

“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada
Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)
`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan”. Di dalam
hadith lain ada juga menyebut:

“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang


dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imiam-imam dan
ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada
petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana
mereka tidak mempunyai banyak masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi
imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya
menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.

SUMBER RUJUKAN:

 Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.

 Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn.
Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.

 Ensiklopedia Islam, Jilid 1, Cetakan Pertama 2004, Terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, Susunan Drs. H.A. Hafizah Dasuki dll.

 Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar, Jilid 1, Cetakan Pertama 2003, Terbitan Era Visi
Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Susunan Shafie Abdul Rahman dll.

 Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad
Syed Hussain dll.

Anda mungkin juga menyukai