Anda di halaman 1dari 10

KESEPADUAN ILMU DALAM TMK ; SATU SEMAKAN SEMULA

Noor Hisham Md Nawi


hisham@umk.edu.my

Abstract
There are various form of interpretations about a concept of knowledge integration. The
concept of knowledge integration from Islamic and western perspective is totally different. In
fact, the concept of knowledge integration among Muslim scholars is also unanimous.
Different interpretation will entail different impacts on the education system and its
application which includes the field of ICT. This working paper will be discussing various
concepts of knowledge integration and its connection to the field of ICT. Besides that, it will
also make a comparison between the concept of knowledge integration and Islamization of
knowledge and its reciprocal relationships among them. The working paper will also propose
the concept of knowledge integration and its relation with ICT and the steps that should be
taken into account to implement the concept of knowledge integration in education system
particularly in higher education institution. Finally, knowledge integration and ICT will be
associated with the concept of studying (berguru).
Keywords: Knowledge integration, Islamization of knowledge, information and
communication technology, the concept of studying (berguru).

Definisi Ilmu

Sebelum meneroka lebih jauh, pengertian ilmu perlu difahami dengan jelas lebih-lebih lagi
dalam era ledakan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
Perbincangan mengenai konsep dan pengertian ilmu sangat luas. Apakah itu ilmu? Frank
Rosenthal (1970) telah membincangkannya dengan panjang lebar dengan mengemukakan
107 buah definisi ilmu yang dibahagikan kepada 12 kategori. Dalam pengertian Barat moden,
terdapat tiga aliran pemikiran utama yang berusaha menanggapi pengertian ilmu. Mazhab
empirisisme yang didokong John Locke, David Hume dan lain-lain berpegang teguh kepada
kaedah sains di mana ilmu merujuk kepada pengenalan tentang fakta. Fakta pula merujuk
kepada perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir. Mazhab rasionalisme pula
seperti Socrates, Plato dan Descartes menumpukan perhatian kepada prinsip kekal yang
diperolehi samada melalui akal rasional atau pun agama. Pertembungan antara dua mazhab
ini telah melahirkan mazhab baru iaitu pragmatisme. Mazhab yang didokong oleh Charles,
William James dan John Dewey melihat ilmu sebagai satu proses yang berdasarkan
percubaan dan pengalaman, bukan berdasarkan prinsip besar atau utama. Justeru, ilmu itu
lebih merujuk kepada proses bukan kepada kandungannya. Secara keseluruhannya kesemua
mazhab tersebut mengabaikan peranan wahyu sebagai sumber ilmu dan tidak meletakkannya
sebagai sumber tertinggi pemerolehan ilmu. Menurut al-Attas (1978) kekaburan dan
ketidaktepatan konsep ilmu yang dipimpin oleh pandangan alam Barat sekular telah
mengakibatkan banyak kezaliman kepada kehidupan manusia dan alam. Dengan bantuan
TMK, manusia pada hari ini sememangnya mengetahui banyak perkara. Namun kebanyakan
perkara yang diketahuinya itu tidak memasukkan hakikat-hakikat penting dalam kehidupan
seperti kewujudan Tuhan, hari pembalasan, roh dirinya sendiri dan lain-lain yang hanya dapat
diketahui melalui sumber wahyu.

Ilmuan Islam mempunyai pandangan yang pelbagai tentang pengertian dan konsep
ilmu. Umumnya mereka bersepakat bahawa semua sumber ilmu pada hakikatnya datang

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 189


daripada sumber yang satu. Ruang lingkup ilmu amat luas dan tidak terbatas. Oleh itu ilmu
yang sempurna atau mutlak adalah milik Allah. Menurut Wan Mohd Nor (1994) ilmu dalam
perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Justeru itu, istilah ilmu dalam Islam
menegaskan bahawa tidak wujud sebarang pertentangan antara proses dan kandungan dan ia
meliputi pelbagai perkara dan maksud seperti Al-Qur‘an, syariah Islam, sunnah, Islam, iman,
ilmu kerohanian (ilmu al-laduni), hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan. Sebagai
landasan perbincangan, penulis memilih takrifan ilmu yang dikemukakan oleh al-Attas. Al-
Attas (1978) mentakrifkan ilmu dengan mengemukakan semula takrif Fakhruddin Al-Razi
dalam bentuk yang diperbaiki dan diubahsuai sebagai; ―apabila merujuk kepada Allah
sebagai sumber segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna bagi sesuatu ke dalam diri
seseorang. Sebaliknya apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan
diri seseorang kepada makna tentang sesuatu‖. Takrifan ini membawa maksud bahawa Allah
adalah sumber sebenar ilmu dan manusia adalah makhluk aktif yang berusaha mendapatkan
ilmu. Oleh itu semua ilmu bertolak daripada premis tauhid iaitu ilmu terbit daripada sumber
yang satu.

Takrifan tersebut memberi beberapa implikasi penting. Sesuatu itu dikatakan ilmu
jika ia berdasarkan maklumat yang benar dan memberi makna kepada pemiliknya. Ini
bermakna ilmu tidak sama dengan fakta, teori, kemahiran atau maklumat walaupun ilmu
tentunya meliputi maklumat dan kemahiran. Maklumat yang tidak tersusun secara sistematik
belum mencapai tahap ilmu. Justeru, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) tidak
disebut sebagai ilmu walaupun ia menawarkan pelbagai maklumat yang rencam bentuknya.
Komputer yang amat canggih dan memiliki keupayaan menyimpan maklumat yang sangat
banyak juga tidak dianggap sebagai berilmu kerana maklumat tersebut tidak memberi apa-
apa makna kepadanya. Berdasarkan hujah sebelumnya, Abdul Rahman (2005) menganggap
ledakan ilmu pengetahuan itu sebenarnya lebih merupakan ledakan maklumat sahaja.
Takrifan itu juga memperakukan bahawa sumber ilmu itu pelbagai dan boleh dikelaskan
kepada lima jenis iaitu pancaindera, akal, intuisi, ilham dan wahyu. Dengan menyepadukan
sumber metafizik dengan sumber empirikal dalam satu sistem hierarki yang berlandaskan
prinsip tauhid, tradisi keilmuan yang berasaskan epistemologi Islam bebas daripada tiga
permasalahan besar yang melanda tradisi keilmuan Barat moden iaitu masalah pandangan
atomisme (juz‘i), dualisme (pemisahan kepada dua) dan skeptisme (keraguan). Al-Attas
adalah antara ilmuan Islam yang secara konsisten menganjurkan agar sistem pendidikan
umat Islam mengambil kira semula secara jelas konsep klasifikasi dan hierarki ilmu secara
tepat khususnya pembahagian ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah untuk menjaga
peradaban Islam daripada kehilangan identitinya di bawah pengaruh pensekularan ilmu.

Kesepaduan Ilmu

Konsep kesepaduan ilmu turut dibincang oleh tokoh-tokoh ilmuan Barat (Haught 1995 ;
Robert & Kellough 2000). Setiapnya mengupas kesepaduan ilmu dalam konteks yang
berbeza-beza dan tersendiri berdasarkan disiplin masing-masing. Menurut Fuller (2001),
kesepaduan ilmu seharusnya difahami sebagai proses sosial. Berlatar belakangkan bidang
sosiologi, Fuller melihat kesepaduan ilmu dari sudut sejarah sosiologi boleh disorot melalui
dua perspektif. Pertama, kesepaduan ilmu dilihat sebagai proses pembangunan ilmu secara
semulajadi samada secara induktif atau deduktif. Kedua, kesepaduan ilmu adalah sesuatu
yang tidak asli kerana kecenderungan ilmu untuk mencapah dan berkembang secara
pemecahan. Dalam konteks pendidikan, kesepaduan ilmu dilihat dalam tiga pendekatan
iaitu kesepaduan beberapa disiplin ilmu (interdisciplinary), kesepaduan dalam pelbagai
disiplin ilmu (multidisciplinary) dan kesepaduan melampau disiplin-disiplin ilmu

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 190


(transdisciplinary) (Drake 1991). Konsep kesepaduan ilmu telah pun dilaksanakan di pelbagai
institusi pendidikan dan mendapat maklumbalas yang pelbagai. Walaupun diakui bahawa
konsep kesepaduan ilmu memberi banyak kebaikan kepada para pelajar, pakar-pakar
pendidikan turut memberi perhatian besar untuk mengurangkan impak negatif daripada
proses kesepaduan tersebut seperti pengabaian aspek kedalaman dan ketepatan sesuatu
bidang ilmu serta hubungan isi yang longgar antara pelbagai disiplin ilmu (Ingram 1979 ;
McNeil 1996). Secara keseluruhan, konsep kesepaduan ilmu difahami secara berbeza-beza
oleh tokoh-tokoh pendidikan Barat berdasarkan disiplin ilmu masing-masing dengan
perspektif yang pelbagai. Kepelbagaian tersebut tidak pula diikat atau disatukan oleh mana-
mana prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama.

Salah satu ciri penting pengertian ilmu menurut perspektif Islam ialah sifat
kesepaduannya. Kesepaduan ilmu terpancar dari epistemologinya yang mengiktiraf lima
sumber ilmu dengan martabat yang berbeza. Sebahagiannya bersifat kebenaran mutlak dan
sebahagiannya bersifat relatif. Disepakati bahawa semua sumber ilmu tersebut hakikatnya
datang dari Allah (Yang Maha ‗Alim) yang disampaikan kepada manusia dalam bentuk yang
beragam. Justeru, ilmu yang sempurna atau mutlak adalah milik Allah. Oleh kerana
puncanya satu, maka sekalian ilmu akhirnya akan kembali kepada sumber asalnya yang satu
(tauhid ilmu). Kefahaman ini memberi implikasi terhadap kesatuan dan kesepaduan semua
sumber dan matlamat epistemologi. Berpunca dari kesedaran ini, ilmuan Islam di sepanjang
zaman telah menghasilkan banyak penulisan mengenai pengelasan ilmu (maratib al-ulum).
Mereka berusaha menyusun pelbagai disiplin ilmu menurut skema keutamaan. Dalam
pandangan alam Islam, ilmu boleh dibahagikan kepada beberapa pembahagian dan
pengelasan berdasarkan kepada pelbagai dimensi. Ramai pemikir Islam terdahulu dan
kontemporari telah menformulakan beberapa bentuk klasifikasi ilmu. Osman Bakar (1992)
menyatakan bahawa klasifikasi ilmu yang terkenal ialah yang dibuat oleh Al-Farabi (870 –
950 M), Al-Ikhwan Al-Safa, Ibn Sina (980 – 1037 M), Al-Ghazali (1058 – 1111M) dan Ibn
Khaldun (1332 – 1406 M).

Pada zaman sekarang perbincangan mengenai kesepaduan ilmu diangkat kembali


dan sangat signifikan untuk menghadapi krisis keilmuan khususnya sekularisme dan dualisme
pendidikan. Sebahagian besar ilmuan Islam yang melihat bahawa krisis tersebut sebagai
punca kemunduran umat menyeru supaya sistem pendidikan umat Islam disemak semula.
Dalam konteks tersebut, konsep kesepaduan ilmu mula dibincangkan semula secara meluas.
Ramai tokoh ilmuan kontemporari seperti al-Faruqi (1989), Abdul Hamid Abu Sulayman
(1994) Taha Jabir al-Alwani (1994) dan Shahahir Mohd Zain (1984) memberi penumpuan
kepada aspek kesepaduan ilmu dalam bentuk kesepaduan ilmu naqli dan aqli atau ilmu
warisan Islam dan sains moden sekular. Di samping itu, terdapat sebahagian daripada para
ilmuan seperti al-Attas (1978), Syed Ali Ashraf (1994), Hassan Langgulung (1995) dan
Mohd Syukri Salleh (1984) memilih konsep kesepaduan ilmu yang merujuk kepada
kesepaduan antara ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain adalah ilmu teras
agama yang mengandungi kebenaran mutlak, disampaikan melalui perantaraan wahyu,
mengisi keperluan rohani manusia, mengandungi panduan-panduan yang bersifat abadi dan
diwajibkan ke atas setiap orang untuk mengetahui dan mempelajarinya. Manakala ilmu
fardhu kifayah pula memenuhi keperluan intelek dan emosi serta berkaitan dengan kehidupan
dan kemakmuran dunia. Setiap bahagian tersebut mempunyai fungsi-fungsinya yang
tersendiri dan perlu diletakkan pada tempatnya yang betul. Dewasa ini, al-Attas (1978) telah
mengangkat kembali martabat ilmu fardhu ain dengan mengembalikan fungsinya sebagai
teras dalam sistem pendidikan umat khususnya di peringkat pengajian tinggi. Justeru,
kesepaduan ilmu menurut perspektif Islam bukan sekadar memasukkan semua jenis ilmu

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 191


pengetahuan dalam satu bekas yang sama tanpa sebarang hierarki dan fungsinya yang
tertentu. Kesepaduan ilmu yang dimaksudkan ialah kesepaduan klasifikasi dan hierarki ilmu
sekaligus di mana setiapnya diletakkan mengikut kategori dan hierarkinya yang wajar,
disepadukan kesemuanya dalam keadaan saling kait-mengait, dimurnikan segala kecelaruan
yang wujud pada ‗topeng-topeng ilmu‘ dan kesemua proses tersebut berpaksikan prinsip
tauhid.

Kesepaduan Ilmu Dan Hubungannya Dengan Gagasan Islamisasi Ilmu Moden

Dalam konteks epistemologi ilmu dalam Islam, perkembangan ilmu fardhu kifayah perlu
berpaksikan kepada ilmu fardhu ain. Walau bagaimanapun, ilmu fardhu kifayah yang
berkembang pesat masa kini (merujuk khusus kepada ilmu sains moden Barat) terpisah dari
paradigma tauhid (Ashraf 1981; al-Attas 1978). Ini menjadikan proses kesepaduan ilmu
fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah tidak lagi dapat dilakukan dengan mudah. Justeru
proses kesepaduan ilmu di peringkat IPT memerlukan satu pendekatan yang jitu dan tepat.
Jika ia tidak dilakukan dengan sempurna, proses tersebut hanya akan mengulangi kesilapan
yang sama iaitu mengekalkan kesinambungan keterpisahan ilmu naqli dan aqli. Untuk itu,
lahir gagasan Islamisasi ilmu moden yang cuba merungkaikan permasalahan umat Islam
dengan memberi tumpuan kepada agenda pendidikan (Mohd Nasir Omar 2001). Premis
Islamisasi ilmu ialah ilmu sains moden kini tidak bersifat neutral kerana ia telah dipengaruhi
oleh pandangan keagamaan, kebudayaan dan filsafat manusia Barat.

Kesepaduan ilmu dan Islamisasi ilmu pada dasarnya adalah perkara yang sama. Pun
begitu konsep kesepaduan ilmu bersifat lebih umum manakala Islamisasi ilmu pula lebih
mengkhusus. Ini bermakna bahawa tidak semua konsep kesepaduan ilmu boleh dikaitkan
dengan Islamisasi ilmu tetapi sebaliknya pula bagi gagasan Islamisasi ilmu. Walau
bagaimanapun, tujuan dan matlamatnya adalah sama. Hubungan antara keduanya juga boleh
dilihat dari sudut bahawa konsep kesepaduan ilmu diperlukan di semua peringkat pendidikan
khususnya di peringkat rendah dan menengah. Manakala gagasan Islamisasi ilmu pula
diperlukan di peringkat pendidikan tinggi bagi menghadapi cabaran perkembangan ilmu
pengkhususan yang semakin kompleks. Setiap konsep tersebut (kesepaduan ilmu dari
perspektif Islam dan Islamisasi ilmu) mempunyai pendekatan yang pelbagai walaupun dasar
dan matlamatnya adalah sama. Kepelbagaian konsep kesepaduan ilmu telah dijelaskan
sebelumnya. Menurut Syed Azad Syed Attar (1998), gagasan Islamisasi ilmu juga
mempunyai pelbagai pendekatan walaupun matlamatnya adalah sama. Kepelbagaian
pendekatan tersebut berkait rapat dengan pendefinisian Islamisasi ilmu yang dikemukakkan
oleh tokoh-tokoh berkenaan. Antara tokoh-tokoh penting tersebut ialah Syed Muhammad
Naquib al-Attas (1978), Ismail al-Faruqi, al-Alwani (1995), Ziauddin Sardar (1984), Abu
Sulayman (1994), Shaharir Mohamad Zain (1984), Hassan Langgulung (1984), dan Ragab
(1995). Dikemukakan dua pendekatan yang masyhur dalam gagasan Islamisasi ilmu secara
ringkas iaitu pendekatan al-Attas (1978) dan al-Faruqi (1982). Proses dan kaedah
pelaksanaan gagasan Islamisasi ilmu moden menurutt al-Attas (1978) melibatkan proses dua
tahap; iaitu pembebasan diri dan pengembalian diri kepada kejadian asalnya (fitrah). Tahap
pertama ialah penyingkiran segala elemen dan konsep yang mencirikan peradaban Barat
dalam setiap cabangan ilmu pengetahuan. Manakala tahap yang kedua ialah proses
memasukkan elemen-elemen dan konsep-konsep Islam dalam setiap cabangan ilmu. Apabila
pemikiran telah dibebas dan dibersihkan maka ia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu
mengakui hakikat dan kebenaran. Pendekatan al-Faruqi pula melibatkan 12 langkah yang
amat masyhur yang diringkaskan oleh Yasin (1993) kepada tiga proses berikut. Pertama,
seseorang itu haruslah menguasai ilmu Barat moden dan berupaya membuat penilaian dan

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 192


kritikan terhadap ilmu-ilmu ini dari segi kaedah dan nilai-nilai yang terkandung di
dalamnnya. Keduanya, seseorang itu juga haruslah menguasai ilmu Islam dan membuat
penilaian dari segi perspektif Islam, keperluan ummah pada masa ini dan pengetahuan moden
terkini. Ketiga, menjalankan sintesis yang kreatif di antara ilmu-ilmu Islam dan ilmu-ilmu
moden.

Kesepaduan Ilmu dan TMK

Penggunaan TMK yang begitu meluas pada hari ini bukan sahaja telah mengubah gaya hidup
manusia, bahkan juga proses keilmuan. Teknologi maklumat adalah teknologi yang
digunakan untuk memperolehi, memproses, menyimpan, merekod, menganalisis dan
memanipulasikan data dan maklumat. Teknologi komunikasi pula adalah penggunaan
teknologi untuk menghubungkan atau menyampaikan data dan informasi dalam bentuk teks,
grafik, audio, video dan animasi atau secara kombinasi bentuk-bentuk ini dari seorang
individu kepada individu yang lain dan dari satu tempat ke tempat yang lain. Gabungan
teknologi maklumat dan komunikasi adalah semua bentuk teknologi yang terlibat dalam
bentuk pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan dan menggunakan data (dan
data yang ditransformasi kepada maklumat)(Martin et al. 1994). Menerusi TMK, kita
diperkenalkan dengan beberapa istilah dan pendekatan baru dalam pendidikan khususnya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) seperti e-learning, open university,
pengajian jarak jauh (PJJ), pendidikan interaktif, pembelajaran secara maya dan lain-lain
(Musa Abu Hasaan 2002).

Adakah TMK memerlukan proses kesepaduan ilmu dan Islamisasi ilmu sekaligus?
Jika ya bagaimana dan apakah pendekatan yang patut digunakan? Diyakini bahawa ramai
yang berpendapat TMK sememangnya memerlukan proses kesepaduan ilmu walaupun
mungkin bentuk kesepaduan tersebut tidaklah begitu jelas. Namun adakah TMK juga
memerlukan proses Islamisasi ilmu ? Untuk menjawab persoalan tersebut, konsep ilmu, sains
dan teknologi perlu diperjelaskan. Persoalan tentang ilmu telah diperjelaskan sebelumnya.
Sains adalah perkataan Bahasa Inggeris ‗science‘ yang berasal dari bahasa Latin ‗scentica‘
yang bermaksud pengetahuan atau ilmu. Menurut Baiquni (1983) sains secara singkatnya
boleh dirumuskan sebagai ―himpunan pengetahuan manusia yang dikumpulkan melalui suatu
proses pengajian yang dapat diterima oleh akal, ertinya dapat difikirkan untuk dibuat
penilaian. Jadi dapat kita katakan bahawa sains adalah himpunan rasionaliti kolektif insane‖.
Teknologi adalah istilah yang sering disalah tafsirkan kerana ia sering dianggap sinonim
dengan sains. Teknologi dari segi bahasa berasal dari Yunani iaitu techne yang bermakna
kerja tangan dan logos bermakna wacana atau kajian. Teknologi merupakan ilmu yang
bersifat praktikal berbanding dengan sains yang bersifat teoritikal. Dalam sejarah sains Islam,
teknologi bukanlah sesuatu yang asing di mana ia dikenali dengan istilah ‗sinaah‘ yang
bererti ilmu gunaan. Teknologi ketika itu sangat pesat dan memberi sumbangan yang besar
kepada keagungan Tamadun Islam khususnya sebelum abad ke 16 M. Mudahnya, teknologi
adakah cara atau kaedah atau perkakas yang membuatkan kerja manusia lebih mudah,
selamat, jimat dan efisien.

Manusia kini tidak boleh mengelak lagi dari TMK. Pembangunan TMK berjaya
mengubah hubungan antara tiga dimensi iaitu masa (kepantasan), ruang (jarak) dan kos
(perbelanjaan). Malahan TMK telah menjadi satu budaya, kerjaya dan gaya hidup. Barbour
(2001) telah memberi ingatan bahawa terdapat tiga aliran pandangan mengenai teknologi
iaitu teknologi sebagai pembebas, ancaman dan alat kekuasaan. Pembahagian tersebut
menunjukkan bahawa penilaian terhadap teknologi adalah pelbagai. TMK memberi kesan

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 193


positif dan negatif kepada pengguna dan masyarakat. Impak TMK dalam bidang pendidikan
khususnya dalam aspek p&p amat besar. Dari aspek postif, TMK boleh membantu guru
merekabentuk p&p yang kreatif dan inovatif, mengadun pelbagai maklumat dari pelbagai
sumber, mempercepatkan proses kefahaman dan merangsang aras pemikiran tinggi di
kalangan pelajar. Walau bagaimanapun,TMK juga memberi impak negatif seperti
pendedahan pengaruh budaya asing, kebanjiran maklumat yang tidak bermanfaat, dan
mengubah tradisi dan konsep berguru. TMK juga menjadikan proses p&p berorientasikan
pelajar sepenuhnya di mana guru atau pensyarah hanya bertindak sebagai pemudahcara
sahaja.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, TMK mempunyai dua wajah yang berbeza.
Persoalannya ialah adakah TMK itu satu entiti yang mempunyai nilai tertentu (sarat nilai atau
bebas nilai?). Penulis berpandangan bahawa teknologi tidak seperti ilmu atau sains dengan
maksud ia bersifat bebas nilai. Nilai hanya akan muncul apabila ia melibatkan aplikasi
teknologi tersebut. Sekiranya aplikasi dan impaknya bertepatan dengan prinsip shariah,
maka teknologi tersebut adalah baik dan demikianlah sebaliknya. Berdasarkan prinsip yang
dikemukakan oleh Ziauddin Sardar (1990), teknologi akan menjadi sesuatu yang baik dan
harus jika ia mematuhi prinsip-prinsip berikut iaitu tauhid, khilafah, ibadah, halal, adl dan
istislah. Sebaliknya teknologi boleh bertukar menjadi buruk dan fasad jika ia membelakangi
prinsip-prinsip sebelumnya dan bertukar menjadi haram (lawan halal), zulm (lawan adl), dan
dhiya‘ (lawan istihsan). Berdasarkan kefahaman tersebut, TMK hanya perlu melalui proses
kesepaduan ilmu dan bukannya Islamisasi ilmu. Kesepaduan tersebut hanya melibatkan
aplikasi dan impaknya yang perlu bertepatan dengan kerangka pandangan alam Islam (ru‘yat
al-Islam lil wujud) dan mematuhi prinsip-prinsip umum shariah. Dalam konteks pendidikan,
TMK seharusnya berkhidmat sebagai wasilah untuk mencapai tujuan dan matlamat
pendidikan dan pelaksanaannya tidak harus melanggar prinsip-prinsip dan adab-adab dalam
pendidikan Islam. Dalam konteks ini, adalah lebih strategik sekiranya umat Islam melihat
TMK secara positif tetapi berhati-hati supaya tidak bersalahan dengan prinsip-prinsip shariah.
Bagaimana bentuk kesepaduan tersebut ? Berdasarkan pandangan Tajul Ariffin
(1993) dengan beberapa pengubahsuaian, kesepaduan ilmu dalam TMK boleh dibahagikan
kepada lima tahap. Pertama, aplikasi TMK sebagai pemangkin untuk mempelbetulkan
pandangan masyarakat terhadap konsep Pendidikan Islam yang kini difahami secara sempit.
Kedua, TMK dimanfaatkan untuk membantu proses p&p bagi menyepadukan ilmu naqli /
fardhu ain dengan ilmu aqli / fardhu kifayah. Ketiga, mengguna dan mengeksploitasi TMK
secara positif untuk membina pengajian Islam teras yang tepat dan berkesan di semua
peringkat pendidikan terutama di IPT. Keempat, menguasai TMK untuk mewujudkan suatu
rangkaian pendidikan Islam sedunia dengan membina satu paradigma dan kurikulum
Pendidikan Islam (sebagai satu sistem) yang sama untuk Negara-negara Islam. Kelima,
memanfaatkan TMK untuk membina konsep ketauhidan ilmu-ilmu (kesatuan ilmu) bagi
membina tamadun Islam yang baru. Ini bermakna kesepaduan ilmu dalam TMK memerlukan
umat Islam bertindak bukan lagi sebagai pengguna atau penyewa TMK tetapi pembina atau
pencipta TMK bagi mencapai tujuan yang bertepatan dalam kerangka pandangan alam Islam.
Dalam kerangka yang lebih jauh, kesepaduan ilmu dalam TMK perlu didahului dengan
pembinaan iklim keilmuan dalam bidang sains dan teknologi untuk membina masyarakat
yang mengamalkan budaya dan tradisi saintifik Islam sebagaimana yang telah berlaku suatu
ketika dahulu. Pembentukan budaya tersebut bukan pula didorong oleh kepentingan komersil
dan ekonomi semata-mata tetapi lebih kepada pembangunan akal budi, pemikiran dan
keilmuan serta keperluan masyarakat yang berlandaskan prinsip dharuriyat, hajiyat dan
tahsiniyat. Justeru, TMK hanya bertindak sebagai teknologi atau alat dalam pendidikan dan
bukannya sebagai matlamat pendidikan. TMK sangat berperanan sebagai pemangkin untuk

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 194


merangsang dan mempercepatkan proses kesepaduan ilmu (sebelumnya) dan bukannya
sebagai sebahagian daripada proses kesepaduan ilmu biasa (dalam pengertian pelbagai
bidang ilmu aqli yang juga diakui bermanfaat). Isi kesepaduan ilmu yang sebenar ialah
apabila berlakunya proses kesepaduan di antara ilmu fardhu ain (yang bersifat dinamik)
dengan ilmu fardhu kifayah khususnya ilmu sains moden yang bersifat sarat nilai.
Sebenarnya, kesepaduan ilmu fardhu ain dengan ilmu sains moden tidak mudah untuk
dilaksanakan walaupun dengan menggunakan bantuan TMK.

Langkah-langkah Melaksanakan Proses Kesepaduan Ilmu Dengan Memanfaatkan


TMK

Dengan kefahaman bahawa TMK adalah wasilah yang perlu dimanfaatkan secara optimum
untuk melaksanakan proses kesepaduan ilmu yang sebenar, al-Attas mencadangkan supaya
seseorang itu mestilah terlebih dahulu menguasai ilmu fardhu ain yang bertepatan dengan
peringkat kehidupannya. Perlu difahami bahawa ilmu fardhu itu bersifat dinamik dan sentiasa
berkembang mengikut tahap kerohanian, perkembangan sosial dan profesional serta
tanggungjawab yang dipikul. Dalam konteks KUIS, ilmu fardhu ain tersebut diwakili oleh
sekelompok kursus yang berjumlah 12 jam kredit di mana ia diwajibkan kepada semua
pelajar. Kursus-kursus tersebut terdiri daripada kursus Aqidah dan Akhlak, Fiqh Islami I,
Fiqh Islami II, Fiqh al-Muamalah, Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam dan Falsafah Sains
Dan Teknokrat Muslim. Dalam komponen ini, kesepaduan ilmu yang diperlukan ialah
kesepaduan intra. Kesepaduan intra bermaksud kesepaduan antara pelbagai komponen di
dalam kandungan ilmu fardhu ain yang dapat membina kekuatan dalaman, melahirkan
kefahaman tasawwur Islam yang jelas, diikuti dengan amalan yang benar dan seterusnya
menghasilkan peribadi yang bertaqwa. Pada tahap ini, pelajar seharusnya memahami
dengan jelas konsep-konsep penting yang membentuk tasawwur Islam seperti konsep
Tuhan, manusia, ilmu, wahyu, alam, realiti dan kebenaran, serta akhlak dan nilai.
Kesepaduan intra perlu disusuli dengan kesepaduan inter. Kesepaduan inter bermaksud roh
ilmu fardhu ain dihayati secara bersepadu dalam kurikulum bidang pengkhususan.
Kesepaduan akan berlaku apabila seseorang individu mampu meletakkan semua maklumat
yang diperolehi dan ilmu yang dipelajari (bidang pengkhususan) dalam kerangka
epistemologi ilmu yang berpaksikan prinsip tauhid.

Pelaksanaan proses kesepaduan intra dan inter memerlukan rekabentuk instruksi dan
kurikulum yang khusus. Noor Hisham (2008) mencadangkan supaya IPTS yang
berorientasikan kesepaduan seperti KUIS menggunakan rekabentuk pusatan nilai bagi
Kurikulum Fardhu Ain (Kurikulum Pengajian Islam Teras) dan rekabentuk pusatan
pengetahuan bagi Kurikulum Fardhu Kifayah (bidang pengkhususan) di mana kedua-duanya
meletakkan prinsip-prinsip shariah sebagai prinsip penyusunnya. Prinsip-prinsip shariah
tersebut terdiri daripada tiga unsur iaitu konsep, kemahiran dan nilai-nilai asas yang mesti
dikuasai oleh setiap pelajar. Rekabentuk tersebut membantu proses kesepaduan intra dan
inter di mana penyusunan yang dibuat pada aspek kandungan dan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran akan membimbing pelajar melihat setiap konsep, kemahiran dan nilai saling
berhubung kait antara satu sama lain secara bermakna. Sebagai contoh pelajar dapat melihat
hubungan yang jelas antara prinsip tauhid (aqidah) dan ibadat zakat (fiqh), nilai sabar
(akhlak) dan konsep sad al-zaraie‘ (usul-fiqh) ; atau fenomena murtad dari perspektif
aqidah, syariah, akhlak, dakwah, perundangan dan lain-lain dalam satu kerangka tasawwur
Islam yang jelas (kesepaduan intra). Demikian juga pelajar akan dibantu untuk melihat
perkaitan di antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah (bidang pengkhususan) dengan
menjadikan ilmu fardhu ain sebagai paksinya seperti hubungan di antara konsep khilafah

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 195


dengan bidang bioteknologi serta sub-sub kursus di bawahnya. Setiap subjek diterapkan
dengan konsep dan nilai-nilai Islam untuk menunjukkan bahawa semua ilmu saling kait
mengait dan mempunyai matlamat yang sama. Rekabentuk ini dipilih dengan tujuan untuk
memastikan ilmu fardhu kifayah akan dipandu selia oleh prinsip-prinsip dari ilmu fardhu
ain. Ia juga bertujuan supaya proses kesepaduan ini tidak berlaku secara tohor atau tempelan
sahaja. Rekabentuk kurikulum tersebut diharapkan akan dapat membantu proses kesepaduan
ilmu dan Islamisasi ilmu moden dengan menyediakan suasana pengalaman pembelajaran
yang kondusif untuk mengasingkan elemen-elemen asing dan memasukkan konsep-konsep
Islam dalam pelbagai kursus/mata pelajaran. Dengan cara ini, ilmu fardhu kifayah yang tidak
neutral akan sedia untuk diolah semula mengikut epistemologi Islam dan kembali berperanan
untuk melengkapkan kesalingan hierarki ilmu serta membentuk kesepaduan ilmu yang asal.
Di samping itu, pendekatan ini juga akan menjadikan semua pihak khususnya guru dan
pelajar secara automatik menjadi kritis dan kreatif terhadap idea dan isi kandungan buku-
buku teks dari Barat.

Dalam kaitan sebelumnya, TMK memainkan peranan yang sangat penting untuk
merangsang dan mempercepatkan lagi proses kesepaduan tersebut. Melalui TMK,
kemampuan pelajar untuk memahami dan menguasai prinsip-prinsip shariah dapat
ditingkatkan dan seterusnya mengaplikasikannya dalam situasi yang pelbagai. P&p yang
menggunakan TMK secara optimum boleh membantu untuk membuahkan hasil yang
terkandung di dalamnya olahan-olahan baru paduan ilmu warisan Islam dan disiplin ilmu
moden dalam bentuk analisis dan sintesis kreatif. Dengan cara ini, pelajar akan mengalami
sendiri proses kesepaduan ilmu atau Islamisasi ilmu moden dengan bimbingan guru yang
berwibawa. Peranan TMK sangat besar untuk membantu proses p&p supaya pelajar mampu
berfikir dan melihat keseluruhan idea dan aspek kehidupan menurut perspektif Islam.

Kesepaduan IImu Dan TMK Serta Hubungan Dengan Konsep Berguru.

TMK telah menjadikan proses penyampaian ilmu berlaku dengan cepat dan mudah tanpa
perlu hubungan bersemuka antara pelajar dengan guru. Akibatnya, guru kini disaran supaya
berperanan sebagai fasilitator atau pemudahcara bagi membantu pelajar membina skema ilmu
pengetahuannya sendiri. Dengan kata lain, TMK telah mengubah konsep berguru dan
menggantikannya dengan konsep pembelajaran berorientasikan pelajar dalam kerangka baru.
Guru seolah-olah direndahkan tarafnya hanya sebagai penyampai maklumat. Adakah budaya
baru ini bertepatan dengan prinsip dan adab belajar dalam Islam serta membantu proses
kesepaduan ilmu ?

Berdasarkan kepada definisi ilmu dan pendekatan kesepaduan ilmu yang


dikemukakan oleh al-Attas, ilmu memerlukan maklumat yang benar dan memberi makna.
Makna di sini bermaksud ilmu tersebut membawa pemiliknya kepada pengenalan dan
pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku Pemilik dan Pentadbir alam,
kedudukan diri sendiri selaku hamba dan khalifahNya serta kedudukan makhluk Allah yang
lain dengan peranan dan fungsinya yang tersendiri (al-Attas 2001). Ilmu yang benar bukan
sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu
tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan
berakhlak. Pemahaman terhadap ‗makna‘ memerlukan guru yang berautoriti. Autoriti yang
paling tinggi adalah al-Quran dan Nabi Muhammad. Seterusnya adalah para sahabat, para
ilmuan yang benar-benar mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w., memiliki pengetahuan,
kebijaksanaan dan pengalaman spiritual serta selalu mengamalkan agamanya pada tingkatan
ihsan (Wan Mohd Nor 1998). Berdasarkan kepada konsep kesepaduan ilmu yang telah

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 196


dikemukakan, konsep berguru bagi kategori ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah perlu
dibezakan. P&p kategori ilmu fardhu ain memerlukan konsep berguru yang tersendiri di
mana pelajar perlu mempelajari konsep, kemahiran dan nilai asas secara langsung dari guru
yang berwibawa. Sebagai contoh, kemahiran membaca dan memahami makna ayat-ayat al-
Quran tidak boleh dipelajari semata-mata menggunakan TMK tanpa bimbingan guru secara
langsung. Ini bermakna bahawa TMK hanya berperanan sebagai alat bantuan untuk
membantu proses p&p dengan lebih efektif dan bukannya menggantikan peranan guru.
Peranan guru sebagai sumber bimbingan kerohanian dan pembentukan akhlak tidak
seharusnya hilang. Namun secara tidak langsung, ia juga bermaksud guru atau pensyarah
ilmu fardhu ain seharusnya melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan malahan jika
mampu membina TMK untuk membantu proses p&p yang menarik dan bermakna.

Dalam konteks p&p yang melibatkan ilmu fardhu kifayah, konsep berguru lebih
fleksibel di mana guru boleh berperanan sebagai fasilitator di samping peranan-peranan
asalnya yang lain. Namun perlu diperingatkan bahawa guru atau pensyarah dalam bidang
berkenaan mempunyai tugas yang berat untuk menyepadukan prinsip-prinsip shariah dengan
bidang ilmu pengkhususan yang dikuasainya. Ini bermakna guru atau pensyarah juga mesti
menguasai ilmu mengenai asas-asas Islam untuk melaksanakan proses kesepaduan tersebut.
Pelajar akan dibimbing supaya melihat perkaitan dan hubungan di antara prinsip-prinsip
shariah dengan bidang pengkhususan secara bermakna. Konsep berguru yang melibatkan
bidang TMK perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut untuk melaksanakan
proses kesepaduan ilmu :
1) Pensyarah memahami dan menginsafi konsep hierarki ilmu dan TMK adalah salah satu
cabang ilmu fardhu kifayah yang perlu dikuasai dengan baik.
2) Pelajar yang mengikuti bidang pengkhususan TMK perlu melepasi dan menguasai ilmu
fardhu ain peringkat pengajian tinggi.
3) Dalam proses keilmuan secara maya, perlu wujud juga hubungan bersemuka meskipun
tidak kerap. Seandainya keadaan tidak mengizinkan untuk tujuan itu, taaruf antara guru
dan murid (secara maya) harus berlangsung dalam semangat penuh kejujuran, ikhlas dan
penuh adab.
4) Penuntut ilmu harus bersikap selektif terhadap maklumat di internet. Penuntut ilmu harus
sentiasa memastikan kesahihannya dengan merujuk kepada sumber yang muktabar dan
juga berbincang dengan guru yang berwibawa secara bersemuka.
5) Meskipun penyampaian maklumat secara maya, guru muslim seharusnya memasukkan
nilai-nilai ketauhidan kepada Allah dalam isi pengajarannya.

Penutup

Kesepaduan ilmu memerlukan jaringan kerjasama semua pihak bermula dengan pembinaan
sistem pendidikan yang betul, rekabentuk kurikulum yang tepat, pensyarah yang berwibawa,
prasarana yang baik, persekitaran yang kondusif dan pelajar yang ikhlas dan bersemangat.
TMK memainkan peranan yang sangat penting sebagai alat untuk membantu proses tersebut
dari pelbagai sudut khususnya dari dimensi kepantasan, kedekatan ruang dan penjimatan
perbelanjaan. Pun begitu aspek-aspek negatif perlu juga dipantau dengan cermat.
Ringkasnya kesepaduan ilmu menatijahkan bahawa pelajar akhirnya akan menemui
kebesaran Allah (dalam bentuk yang luas dan pelbagai) dan kemudian tunduk serta taat
kepadaNya.

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 197


RUJUKAN
Abdul Rahman Abdullah. ( 2005). Wacana falsafah ilmu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1978). Islam and secularism. Kuala Lumpur : Muslim
Youth Movement of Malaysia (ABIM).
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1979). Aims and objective of Islamic education. Jeddah:
King Abdul Azis University.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (2001). Prolegomena to the metaphysics of Islam. Kuala
Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Baiquni, A. (1983). Islam dan ilmu pengetahuan moden. Bandung : Penerbit Pustaka.
Barbour,I .(2001). Dlm Hester, D. M and Ford, P. J. (2001). Computers and ethics in the
cyberspace. New Jersey : Prentice Hall.
Drake, S.M. (1991). How our team dissolved the boundaries. Educational leadership, 49(2),
20-22.
Fuller, S. (1988). Social epistemologi. Bloomington : Indiana University Press.
Rosenthal, F. (1997). Keagungan ilmu. Terj. Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haught, J.F. (1995). Science and religion : from conflict to conversation. New York : Paulist
Press.
Ingram, J.B. (1979). Curriculum integration and lifelong education. Oxford: Pergamon Press.
Martin et al. (1994). Dlm Abdul Razak et al. (2000). Teknologi maklumat. Kuala Lumpur :
Mc Graw Hill.
McNeil, J.D. (1996). Curriculum ; a comprehensive introduction. Ed. ke-5. New York:
Harper Collin College Publishers.
Mohd Nasir Omar. (2001). Gagasan Islamisasi ilmu: suatu telahan tentang signifikasi,
konsep dan metodologi. Pemikir 26: 67-103
Musa Abu Hasaan (2002). Peranan dan penggguna ICT di kalangan masyarakat. Serdang :
Universiti Putra Malaysia.
Noor Hisham Md Nawi. (2008). Pembinaan garis panduan bagi pembentukan Kurikulum
Teras Fardhu Ain di IPTS. Tesis Ph.D. Universiti Kebangsaan Malaysia
Osman Bakar. (1992). Classification of knowledge in Islam. Kuala Lumpur: Institute of
Policy Research.
Robert, L.P & Kellough, R.D. (2000). A guide for developing interdisciplinary thematic unit.
Ed. ke-2. USA: Prentice Hall.
Syed Ali Ashraf. (1981). Islamic curricula for muslim education. Islamic Education
Quarterly 1(1): 61-82.
Syed Azad Syed Attar. (1998). Gagasan Islamisasi ilmu dan implikasinya kepada falsafah dan
sistem pendidikan negara. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Malaya.
Tajul Ariffin Noordin. (1993).Penggunaan teknologi canggih dalam Pendidikan Islam pada
abad ke 21. Kertas kerja Seminar Islam Dan Cabaran Abad 21. ITM Shah Alam.
Wan Mohd Nor Wan Daud. (1994). Konsep ilmu dalam Islam. Terj. Rosnani Hashim. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd Nor Wan Daud. (1998). The educational philosophy and practice of Syed
Muhammad Naquib Al-Atass; an exposition of the original concept of Islamization.
Kuala Lumpur: ISTAC.
Yasin, Mohammed. (1993). Islamization of knowledge: a comparative analysis of Faruqi and
Rahman. Muslim Education Quarterly 11(1): 27-40.
Ziauddin, Sardar. (1990). Masa hadapan Islam. Bentuk idea yang akan datang. Terj. Mohd
Sidin Ahmad Sahak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Proceedings of Regional Conference on Knowledge Integration in ICT 2010 198

Anda mungkin juga menyukai