Anda di halaman 1dari 4

Peranan Pendidikan Kepada Negara

Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara dan boleh dianggap
sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya. Merujuk
kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih tertumpu kepada keperluan
politik. Usaha-usaha secara intensif bagi mencapai matlamat mula dilaksanakan selepas
peristiwa 13 Mei 1969 khususnya menerusi rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Matlamat
yang lebih jelas pula hanya muncul ekoran pengenalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir
Mohamed pada tahun 1991. Wawasan yang menekankan terhadap keperluan wujudnya
bangsa Malaysia yang mantap mula diberikan perhatian yang lebih serius oleh pelbagai pihak.
Pembinaan negara bangsa Malaysia berdasarkan acuan sendiri harus dilaksanakan melalui
pelbagai saluran. Salah satu dari saluran terpenting ialah pendidikan memandangkan bidang
ini berperanan sebagai agenda utama untuk membentuk perpaduan masyarakat dan seterusnya
mencorakkan pembentukan negara bangsa. Sehubungan itu, pendidikan sejarah memainkan
peranan penting sebagai mekanisme bagi mencapai matlamat tersebut. Memang tidak dapat
dinafikan, sejarah ibarat guru kepada seluruh manusia untuk memahami, mempelajari dan
mengambil iktibar dari kejadian masa lampau. Tanpa sejarah, manusia akan hilang pedoman
ibarat kapal tanpa nakhoda di tengah-tengah lautan luas. Sejarah juga membolehkan kita
bersifat yakin pada diri sendiri serta berbangga terhadap bangsa dan negara. Ahli – ahli
sejarah mengangkat kepentingan sejarah sebagai hakikat kepada kesinambungan sesebuah
masyarakat dan ia diperlukan sebagai panduan bagi memastikan perjalanan masa depan
menjadi lebih terarah. Ringkasnya, sejarah berperanan menjadikan seseorang itu berfikir
secara sedar tanpa melibatkan unsur-unsur yang melampau dari batas sebenarnya. Pendidikan
pula akan dilihat sebagai alat bagi mencapai tujuan tersebut khususnya melalui tinjauan
terhadap perkembangan Dasar Pendidikan Negara.

Seterusnya ialah peranan pendidikan dalam membangunkan ekonomi negara. Menurut


William Schweke di dalam buku nya yang berjudul Smart Money: Education and Economic
Development (2004), menyatakan bahawa, pendidikan bukan sahaja akan melahirkan sumber
daya manusia yang berkualiti, memiliki pengetahuan dan keterampilan, serta menguasai
teknologi, tetapi pendidikan juga dapat menumbuhkan iklim peniagaan yang sihat dan
kondusif bagi pertumbuhan ekonomi di dalam negara.

Kerana itu bidang pendidikan bukan sahaja memberi faedah kepada seseorang
individu, tetapi juga memberikan faedah kepada komuniti peniaga dan masyarakat umum.
Pencapaian pendidikan pada semua tahap akan meningkatkan pendapatan dan produktiviti
masyarakat. Pendidikan merupakan jalan menuju kemajuan dan pencapaian kesejahteraan
sosial serta meningkatkan ekonomi negara, sedangkan kegagalan dalam pendidikan akan
melahirkan pelbagai masalah dalam negara contohnya seperti masalah pengangguran,
peningkatan kes jenayah dan penyalahguaan dadah yang akan menjadi beban kepada kerajaan
dan menjadi gangguan kepada masyarakat. Negara Korea merupakan contoh terbaik dalam
membuktikan peranan pendidikan terhadap pembangunan dan peningkatan ekonomi negara.
Pada asalnya Korea merupakan negara yang kurang maju di dalam pertumbuhan ekonomi.
Namun, melalui pendidikan,mereka dapat meningkatkan ekonomi negara mereka ke persada
dunia.

Pendidikan juga berperanan dalam membangunkan sains dan teknologi negara.


Penggunaan sains dan teknologi secara pesat amat perlu. Negara Malaysaia perlu melahirkan
tenaga kerja mahir yang bukan sahaja mempunyai kepekaan terhadap profesionalismanya
tetapi juga sentiasa bersedia untuk menerima perubahan. Pendidikan sebagai satu institusi
sosial memainkan peranan yang penting dalam penyediaan tenaga kerja pakar, teknikal dan
profesional. Pendidikan juga dapat membentuk sikap, nilai serta set minda seperti bersedia
untuk menerima perubahan, inovasi serta penggunaan sains dan teknologi dalam bidang kerja
dan kehidupan seharian terutamanya di kalangan generasi muda. Dari segi pembentukan
sebuah negara, pendidikan menyediakan belia-belia untuk hidup sebagai warganegara yang
baik. Melalui pendidikan,sains dan teknologi dapat di sampaikan kepada golongan belia ini
dan melalui pendidikan juga sains dan teknologi di dalam negara juga akan dapat di
kembangkan selain ia dapat digunakan untuk kebaikan negara.

Pendidikan bukan sahaja berperanan dalam segi sains dan teknologi sahaja, pendidikan
juga berperanan dalam meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi dalam kalangan
masyarakat sekali gus dapat melupuskan atau menghilangkan kadar buta huruf masyarakat.
Hal ini merupakan peranan terpenting pendidikan kepada negara kerana kebolehan membaca
dan menulis merupakan asas yang utama dalam menjalani kehidupan di zaman yang serba
moden ini. Pada zaman kini, seseorng individu tidak akan mendapat tempat sekiranya mereka
tidak tahu membaca dan menulis. Melalui pendidikan, kemahiran membaca dan menulis dapat
dikembangkan. Setelah kemahiran ini dapat di kuasai, sebarang maklumat atau segala ilmu
pengetahuan akan dapat di peroleh dan di fahami dengan mudah. Dengan ini, tidak dapat
dinafikan bahawa peranan pendidikan berperanan meningkatkan kadar celik huruf dalam
kalangn masyarakat. Kadar celik huruf yang tinggi dalam kalangan masyarakat juga
melambangkan tahap kebijaksanaan sesebuah negara.

Selain itu pendidikan juga berperanan dalam mempengaruhi sosialisasi negara.


Permasalahan sosial yang sedang meruncing kini seharusnya mendapat perhatian daripada
semua pihak. Samada secara sedar atau tidak, peningkatan kes-kes yang dikategorikan sebagai
gejala sosial kini berada pada tahap yang agak membimbangkan. Ini dapat dibuktikan melalui
pendedahan dan laporan harian media massa mengenai peningkatan kes-kes berkenaan. Setiap
hari kita akan mendengar atau membaca berita serta liputan mengenai kes-kes gejala sosial.
Dalam hal ini pendidikan berperanan dalam mencorakkan perkembangan dan pembentukan
watak seseorang bagi melahirkan individu yang baik. Sekolah adalah institusi penting dalam
pembentukan nilai kerana para pelajar menghabiskan masa selama enam hingga lapan jam
sehari di situ. Para pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang mempelajari nilai-
nilai baru setiap hari dalam aktiviti yang dilakukan bersama. Mereka belajar tentang
peraturan, menghormati, kasih sayang, etika dan kerjasama melalui silibus pendidikan yang
dibentuk secara berhati-hati, diajar oleh guru yang terlatih dan melalui proses komunikasi
setiap hari. Perkara pokok dalam pembentukan nilai ini ialah pendidikan nilai tidak boleh
dihalang oleh sesiapa sahaja walaupun ia cuba berbuat demikian. Sebaliknya nilai ini perlu
didedahkan dengan sebaik-baiknya.

Oleh itu sekolah merupakan institusi pendidikan formal yang menjadi agen
bertanggungjawab memindahkan nilai-nilai masyarakat kepada kanak-kanak dan generasi
muda. Kekuatan dan kehebatan sesuatu masyarakat dan negara banyak bergantung kepada
perubahan nilai yang berlaku. Mahu ataupun tidak, pendidikan adalah faktor utama bagi
membina dan menanam nilai-nilai positif yang akan mendorong kepada kemajuan sosial
negara. Pendidikan yang dilihat sebagai agen perubahan sosial wajar berkembang selari
dengan perubahan ekonomi, politik dan teknologi semasa supaya nilai-nilai yang sedia ada
boleh ikut selari dengan perubahan-perubahan tersebut.

Golongan muda harus didedahkan dengan nilai-nilai yang baik dan diterima oleh
masyarakat sejak kecil lagi. Walaupun keluarga adalah penentu masa depan anak-anak,
dengan peningkatan masalah sosial hari ini yang melibatkan remaja, timbul persoalan sama
ada keluarga mempunyai cukup kekuatan bagi membentuk adab dan akhlak yang mulia pada
anak-anak. Di sinilah peranan kerajaan yang harus bertanggungjawab mengatasi masalah
sosial ini melalui pendidikan formal, penguatkuasaan dan pemulihan.

Anda mungkin juga menyukai