Anda di halaman 1dari 2

Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak basah dek hujan, tak lekang dek panas”.

Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven
dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku
sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya menerapkan
unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan
melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai
warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai
pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka
akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan
penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya
tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek
moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya
kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan
mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti
dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia.
Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar
bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan
tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh
hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.
Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia,
bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di
situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini
diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk
pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus
mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak
pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui
kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang
penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain
itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan.
Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat
menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan
rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita
berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan
maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana.
Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan
masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang
penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja
menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja
seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis
tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja
menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab
pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan
bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas
fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api,
biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa
kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia
yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu
banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam
ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh
muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan
penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional.
Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat
kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan
sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat,
malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan


golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain,
golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya
mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah
membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau.
Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung
dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu
untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang
terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman
ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur
tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan
menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh
hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar
menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius
haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan
kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus
mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam
arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan
ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh
rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus
berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain.
Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!