Anda di halaman 1dari 2

Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya membuka arena perdebatan pada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dipertua, barisan kerajaan, perwakilan
pembangkang, Ahli-ahli Yang Berhormat sidang parlimen sekalian.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.
Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli berhormat sekalian, saya amat bersyukur kerana berkat
keamanan dan keharmonian bawah kepimpinan kerajaan pada hari ini dewan kembali
bersidang untuk membahaskan satu usul yang begitu penting untuk dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
Usul hari ini berbunyi, "Kemasukan Warga Asing Memberi Kebaikan kepada Negara".
Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Berhormat sekalian,
Pertama izinkan saya melakukan penakrifan usul secara literal. Perkataan "warga
asing" menurut kamus dewan edisi keempat merujuk kepada orang yang bukan rakyat kepada
sesuatu Negara,berasal atau datang dari daerah atau negeri lain,dan bukan orang tempatan.
Jadi, dapat dirumuskan bahawa warga asing adalah pendatang dari Negara luar ke sesuatu
Negara melalui proses migrasi iaitu penghijrahan sekumpulan manusia dari satu negara ke
satu negara yang lain untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.
Warga negara adalah orang yg tinggal di dalam sebuah negara dan mengakui semua
peraturan yg terkandung di dalam negara tersebut

Sebagai Perdana Menteri, saya akan menyatakan hujah-hujah yang menyokong usul
ini. Selain itu, hujah-hujah seterusnya akan disambung oleh menteri kedua manakala menteri
ketiga akan membidas hujah-hujah songsang daripada pihak pembangkang. Saya ingin
menyatakan bahawa pihak kerajaan yakin dengan hujah-hujah yang akan dibentangkan nanti
dan seterusnya usul yang kami bawa akan diterima secara konsensus.
Tuan Yang Dipertua,
Kami meletakkan 2 indikator bagi memantapkan usul kami. Pertama, kedatangan
warga asing berpermit dan kedua kedatangan warga asing tidak berpermit yang lebih dikenali
sebagai pendatang asing tanpa izin. Kita akan merungkai kebergantungan kita kepada warga
Negara asing yang datang memenuhi sektor pekerjaan samaada dalam bidang professional,
separuh mahir dan tidak mahir, malah kedatangan mereka untuk tujuan pendidikan dan juga
sebagai pelancong yang banyak memberi kebaikan kepada Negara. Semua keadaan merujuk
kepada proses migrasi penduduk atau warga asing apabila sesebuah negara sedang
membangun dengan begitu pesat. Namun ia bukanlah satu hal yang dapat dibanggakan
kerana kemasukan pendatang asing sememangnya diperlukan oleh negara ini yang dalam
proses peralihan pergantungan ekonomi daripada sektor pertanian kepada sektor
perindustrian dan seterusnya perkhidmatan.
Tuan Yang Dipertua dan sidang dewan sekalian,
Hujah pertama kami dengan kata kunci kebergantungan kita kepada warga asing yang
datang memenuhi sektor pekerjaan. Penegasannya disini, sumbangan yang telah diberikan
oleh golongan tersebut terhadap pembangunan ekonomi Negara terutamanya dalam bidang
professional. Sebagai bukti, Negara amat memerlukan kepakaran asing dalam bidang tertentu
seperti sukan yang memerlukan khidmat jurulatih asing, dan pakar-pakar dalam bidang
automotif serta sektor pembuatan lain. Kita melihat betapa gahnya barangan buatan Malaysia,
tetapi kita lupa kita masih dibayangi dengan kepakaran-kepakaran asing yang banyak
membantu dalam perkembangan ekonomi Negara. Malah anggapan beberapa sektor akan
lumpuh jika tiada khidmat pekerja asing juga perlu diteliti kerana hakikatnya, sumbangan
warga asing kepada bidang ekonomi Negara dalam sektor-sektor tertentu amatlah diperlukan.
Sehingga awal tahun ini, jumlah keseluruhan pekerja asing yang direkodkan pada
masa ini adalah seramai 1.8 juta orang dan mereka bekerja dalam beberapa sektor antaranya
pembinaan, perladangan, pembuatan dan sector perkhidmatan seperti di restoran. Sebanyak
RM12.2 bilion wang keluar dari negara ini hasil daripada aktiviti pekerjaan yang dilakukan
oleh tenaga asing di Malaysia sehingga akhir 2008.
Yang berhormat Tuan Yang Dipertua,
Jika direnungi, angka di atas membawa dua mesej penting iaitu pertama, negara
memang kekurangan tenaga kerja tempatan terutama dalam sektor kritikal. Kedua, kita
memiliki tenaga kerja mencukupi tetapi terpaksa mengimport orang luar atas alasan peluang
dalam bidang pekerjaan yang dibuka tidak diminati orang kita. Ketika banyak sektor
menggalakkan penggunaan khidmat pekerja asing, ramai warga kita sendiri masih terus
bergelar penganggur. Jawapannya sudah pasti kebergantungan ini memang tidak dapat
dielakkan terutama permintaan yang amat tinggi dalam sektor perkilangan, perladangan dan
pembantu rumah.

Kehadiran ramai pekerja warga asing telah lama membantu menjana ekonomi negara
kerana mereka turut mengeluarkan perbelanjaan harian yang banyak sehingga meningkatkan
pendapatan penduduk setempat. Malah kata-kata seperti "Malaysia ibarat syurga bagi
kami",telah biasa kedengaran,Itulah hakikat yang dinyatakan oleh ramai warga asing yang
perlu kita terima kerana kebergantungan kita kepada khidmat atau tenaga kerja mereka.

Tuan yang dipertua,

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan
memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai