Anda di halaman 1dari 5

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN

PENDIDIKAN SENI REKA PERINDUSTRIAN


(Dr. Marzuki Hj. Ibrahim UiTM Shah Alam)

Pengenalan

Seni Reka Perindustrian atau dalam bahasa Inggerisnya ‘industrial design’ merupakan satu
aktiviti berkaitan dengan nilai-nilai hiasan dan estetik pada sesuatu barangan yang
dikeluarkan secara komersil. Aspek hiasan dan estetik dilihat dari sudut luaran (visual
appearance), corak dan warna. Ia biasanya digabungkan dengan struktur dan fungsi yang
boleh diterima pakai oleh pengeluar dan pengguna. Bidang seni reka perindustrian boleh
dibahagikan kepada tiga sub-bidang utama iaitu Reka Bentuk Barangan (Product Design),
Reka Bentuk Pengangkutan (Transportation Design) dan Reka Bentuk Perabot (Furniture
Design). Reka Bentuk Barangan berkaitan dengan rekaan barangan pengguna (consumer
durable products) seperti barangan elektrik kegunaan domestik (domestic electrical goods),
peralatan kecil (small electrical appliances) dll, Reka Bentuk Pengangkutan berkaitan dengan
rekaan kenderaan di udara seperti kapalterbang, helikopter, rekaan kenderaan darat seperti
kereta, bas, motosikal, basikal dan rekaan kenderaan air seperti bot, kapal selam dll,
manakala Reka Bentuk Perabot berkaitan dengan rekaan perabot pejabat (office furniture),
perabot jalan (street furniture) dan perabot dalaman (interior furniture) dll.

Sejarah
Seni Reka Perindustrian wujud kira-kira 90 tahun yang lepas di Jerman (1913). Ianya
dipelopori oleh sebilangan arkitek dan jurureka yang menggelarkan kumpulan mereka
sebagai “Werkbund”. Tujuan asal penubuhan adalah untuk memperbaiki nilai-nilai estetik
dan teknikal pada barangan yang dikeluarkan dengan mengambil kira kehendak dan
kemahuan pengguna akhir. Dengan kewujudan seni reka perindustrian, negara Jerman telah
menjadi fokus dan model bagi perkembangan barangan industri pada masa itu.

Di Malaysia, kewujudan seni reka perindustrian dikaitkan dengan aktiviti kraf tradisional
seperti kraftangan dan tembikar sekitar tahun 1780an di negeri-negeri Kelantan, Terengganu
dan Pahang.
Pendidikan Seni Reka Perindustrian
Pendidikan formal di bidang seni reka perindustrian bermula di Institut Teknologi MARA
(sekarang Universiti) dengan kewujudan Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka pada tahun 1967
sebagai sebahagian daripada Kajian Aplikasi Seni dan Senibena (School of Applied Arts and
Architecture). Pada tahun 1972, Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka diasingkan dari Kajian
Aplikasi Seni dan Senibena dengan penubuhan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka. Di bawah
Kajian inilah Jabatan Seni Reka Perindustrian diwujudkan.

Pada 1973, tujuh daripada sembilan graduan pertama kursus Seni Reka Perindustrian
menamatkan pelajaran mereka dan menjadi pengasas dan pengembang kepada bidang ini di
Malaysia. Sehingga tahun 1995 sahaja, iaitu selepas 18 tahun tertubuhnya Jabatan Seni Reka
Perindustrian di UiTM, di anggarkan seramai 300 graduan berjaya dilahirkan bagi mengisi
pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia.

Dengan perkembangan pesat industri semasa, hari ini, UiTM tidak lagi menjadi satu-satunya
(the only) IPTA yang menawarkan kursus seni reka perindustrian di Malaysia. IPTA lain
seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan
Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) juga turut menawarkan kursus di bidang ini.
IPTS juga tidak ketinggalan menawarkan kursus ini. Antara IPTS yang menawarkan kursus
ini termasuklah Centre for Advanced Design (CENfAD), Malaysian Institute of Art (MIA)
dan Limkokwing Institute for Creative Technology (LICT).

Mengenai sektor pekerjaan di bidang seni reka perindustrian pula, kajian yang dijalankan
oleh penulis pada tahun 1997 yang melibatkan seramai 208 graduan lepasan UiTM dalam
pelbagai sektor pekerjaan menunjukkan 49% daripada graduan seni reka perindustrian UiTM
menumpukan pekerjaan mereka di sektor pengeluaran seperti barangan pengguna,
pengangkutan, perabot dan industri plastik. Sebanyak 33% daripada mereka bekerja dalam
agensi kerajaan, institusi penyelidikan, menjadi tenaga pengajar di IPTA/IPTS dan menjadi
guru pendidikan seni di sekolah-sekolah menengah. Selain daripada itu, baki sebanyak 18%
pula melibatkan diri atau bekerja dengan firma perunding reka bentuk yang terlibat dalam
reka bentuk barangan, pengangkutan, perabot, grafik, pengiklanan, hiasan dalaman dan
arkitek.

Ringkasan keputusan kajian yang dijalankan oleh penulis mengenai jurureka perindustrian di
dalam industri adalah seperti Rajah 1 di bawah.
Rajah 1 : Sektor Pekerjaan Jurureka Perindustrian di Malaysia
Sektor Pekerjaan Bil Graduan (%) Jumlah %

Barangan Pengguna 45 22%


Pengangkutan 18 8%
Perabot 26 13%
Barangan Plastik 12 6% 49%

Agensi Kerajaan 11 5%
IPTA/IPTS 28 14%
Guru Pendidikan Seni 18 8%
Institusi Penyelidikan 12 6% 33%

Konsultan Reka Bentuk 6 3%


Lain-Lain Konsultan (Grafik/Pengiklanan/Hiasan Dalaman) 32 15% 18%

JUMLAH BESAR 208 100% 100%

FASA 1 FASA 2

Masa Depan
Masa depan bidang seni reka perindustrian di Malaysia amatlah cerah walau pun pada
dasarnya bidang ini dikenali umum sekitar tahun 1980an dengan penglibatan jurureka
perindustrian secara langsung dalam reka bentuk kereta buatan Malaysia, Proton Saga. Jika
dibandingkan dengan bidang-bidang lain seperti kejuruteraan, arkitek, kedoktoran mahu pun
perniagaan, bidang ini merupakan satu bidang yang baru hendak bertapak di Malaysia,
namun mempunyai potensi dan prospek yang cerah. Ini ditambah dengan komitmen yang
tinggi daripada kerajaan Malaysia yang ingin melihat bidang ini menjadi salah satu bidang
penting di masa akan datang. Usaha kerajaan untuk mempertingkatkan bidang ini jelas
tergambar seawal tahun 1990an. Sebagai contoh, pada tahun 1991 kerajaan telah
memperuntukkan sebanyak RM45.5 juga kepada institusi pendidikan tinggi di Malaysia
untuk melaksanakan projek penyelidikan dan perundingan (R&D) sekaligus meningkatkan
keupayaan, kreativiti dan inovasi di kalangan penyarah dan pelajar-pelajar di bidang ini. Pada
tahun yang sama juga, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM1 juta kepada
UiTM bertujuan memberi latihan dan memperkembangkan pembelajaran di bidang seni reka
perindustrian.

Menyedari tentang kepentingan bidang ini, pada bulan Ogos 1994 kerajaan Malaysia melalui
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah menubuhkan Majlis Reka Bentuk
Malaysia (MRM) yang berfungsi sebagai peneraju kepada segala aktivi reka bentuk di
Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan oleh MRM termasuklah membantu dan
menjelaskan kepada industri tempatan tentang kepentingan bidang seni reka perindustrian
dan kaitannya dengan rekaan barangan baru yang berkualiti serta pendedahan kepada umum
betapa pentingnya bidang ini terhadap negara. Usaha dan bantuan MRM dalam
memperkembangkan bidang seni reka perindustrian tidak dapat disanggah lagi. Antara usaha
yang telah dijalankan oleh MRM termasuklah mengadakan pameran reka bentuk, seminar,
konferensi, kursus jangka pendek dan pertandingan reka bentuk. Pada tahun ini sahaja, MRM
telah berjaya mengadakan pameran dan konferensi peringkat Asia Pasifik disamping
pertandingan Anugerah Pereka Muda Malaysia dan Pertandingan ‘Malaysia Good Design
Mark’.

Pada hari ini, kepentingan bidang seni reka perindustrian telah menjadi satu isu penting
kepada kebanyakkan industri di Malaysia yang terlibat dalam reka bentuk barangan baru
(new product development). Ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang memberi
penekanan kepada barangan buatan Malaysia yang bukan hanya dapat menembusi pasaran
tempatan tapi juga boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Dalam hal ini Malaysia
memerlukan jurureka perindustrian yang boleh membantu negara mengeluarkan rekaan
barangan baru yang bukan hanya inovatif, canggih, bermutu tinggi dan boleh dimilikki oleh
setiap pengguna di Malaysia, malah rekaan baru yang dihasilkan dapat bersaing dan
menembusi pasaran di negara-negara ASEAN, Asia dan antarabangsa.

Persaingan dalam barangan baru secara liberal juga mula jelas terbayang dengan kemunculan
ASEAN Free Trade and Agreement (AFTA) pada tahun 2005 dan penarikan tariff GATT
(General Agreement on Tariffs and Trade) terhadap Malaysia yang sekaligus memaksa
industri mengeluarkan barangan baru yang berkualiti tinggi untuk bersaing dalam pasaran
terbuka. Keadaan begini memaksa industri di Malaysia menumpukan perhatian mereka
kepada penyelidikan dan perkembangan (R&D) barangan baru untuk pasaran ASEAN.
Insentif daripada kerajaan seperti ITAF, IRPA, konsesi cukai dan program latihan juga akan
dimanafaatkan oleh industri demi perkembangan dan kemajuan jangka panjang mereka.
Secara tidak langsung, mereka akan memberi peluang yang lebih luas kepada jurureka
perindustrian bekerjasama dengan profesional lain di dalam kumpulan pengembang barangan
baru (new product development team) seperti jurutera dan pemasar.

Dengan peruntukan dan insentif yang telah dan bakal diberikan oleh kerajaan Malaysia
kepada industri serta bidang pendidikan dan pembelajaran di bidang seni reka perindustrian,
diharap ianya dapat mempertingkatkan bidang seni reka perindustrian yang akhirnya akan
menjana pertumbuhan dan perkembangan barangan buatan tempatan demi mencapai hasrat
menjadi sebuah negara industri menjelang tahun 2020.