Anda di halaman 1dari 1

FISIOLOGI TIDUR SEBAGAI IBADAH

  Posted on Fri 13 May 2005 (84 reads)

Tidur perlu dijaga kerana ia adalah ibadah. Ia perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan
pelbagai ibadah. Berhubung dengan ini Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, “Hendaklah
salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur.”

Ketika tidur, sel-sel di dalam badan akan melalui proses pemulihan. Allen Nicholson,
penyelaras klinikal di Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio,
menjelaskan, semasa tidur badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan atau growth
hormone yang berfungsi memperbaiki sel-sel yang rosak. Mengambil arak ataupun minuman
yang mengandungi kafeina sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambah keletihan
seseorang di siang hari. Hal ini disebutkan oleh Roxanne Khamsi dalam artikel Experts Attest
To Benefits Of Sleep, dalam The Cavalier Daily, Inc, University of Virginia bertarikh 4 Mac,
1999,

Penyimpanan maklumat jangka panjang atau long-term memory di dalam otak juga berlaku
ketika tidur. Mereka yang suka tidur lewat mengganggu proses penyimpanan maklumat ini.
Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan Untuk Pusingan
Biologi, mengulang kaji pelajaran hingga ke lewat malam menjejaskan pusingan biologi
seseorang, dan menjejaskan fungsi otak untuk mengingati semula maklumat yang dibaca. Di
samping itu ia menyebabkan keletihan pada waktu yang tidak menentu di siang hari.

Tidur memantapkan sistem darah dan jantung. Dr. Tom Mackay, seorang pakar berhubung
penyakit-penyakit sistem pernafasan di Pusat Tidur Kebangsaan, Edinburgh Royal Infirmary,
Scotland, merumuskan, kurang tidur menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku di
dalam badan dan keadaan ini meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit kencing
manis, jantung dan strok.

Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur secara optimum di waktu malam? Keperluan tidur
seseorang berbeza dengan seorang yang lain. Mengikut Persatuan Barah Amerika, mereka
yang tidur kurang dari lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur
melebihi lapan jam. Hasil kajian selama enam tahun ini menunjukkan, mereka yang tidur 6-7
jam secara purata setiap malam hidup lebih lama dari mereka yang tidur lebih dari 8 jam atau
kurang dari 4 jam setiap malam. Malah kajian ini juga mendapati, mereka yang tidur 5 jam
setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih daripada 8 jam. Jangan lupa
untuk bangun awal agar dapat melaksanakan tahajud dan fardu subuh!

(Untuk perincian dapatkan buku Dr. Danial yang bakal diterbitkan bertajuk “Tip-tip Cemerlang
Dari al-Quran.”)

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)


Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd.
Pengamal Perubatan Moden, Klinik Syifa Pulau Pinang

Anda mungkin juga menyukai