Anda di halaman 1dari 4

Interlok 

1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu
tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu.
Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji
untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya
kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan
rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan
memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia
singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak
emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja
di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan
rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah
nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang
berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering
kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan
budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh
bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu.
Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang
hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng
yang menjadi kepala kuli di situ.

3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat
di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya
untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah
berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta
bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya.
Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia
menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya
sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti
kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas
berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di
pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-
sama dengan pelajar yang lain.

5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang
putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan
menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu
yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di
kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman.
Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus.
Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang
menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew
Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya
untuk mencari Poh Eng yang hilang.

6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih
pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus
kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew
Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan
pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun
disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh
tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor
Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada
anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat
marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan
harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka
terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil
pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula
sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri
daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana
menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan
terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan
bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas
komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan
Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai
polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu
agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh
Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan
pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas
daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan
seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa
melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan
kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan.
Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang
menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta
menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina
di pekan kecil tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat
dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-
orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum
mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di
kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di
tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak
Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga,
Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan
pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan
gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan
anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana
tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan
antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak
menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam.
Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan. Seman dan
isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan
merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka
datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.

Nilai Murni Dalam Novel Interlok

Banyak nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok yang dapat dijadikan


contoh oleh pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian, antaranya seperti yang disenaraikan di bawah
ini.

1. Tolong-menolong
Musa menolong Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika dia hendak meninggalkan
ladang tempatnya bekerja pada suatu pagi dan Maniam pula menolong Seman mendapatkan kerja di
ladang tempatnya bekerja.

2. Menghargai jasa
Maniam menghargai jasa Musa yang menolongnya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali
dan Poh Eng menghargai jasa Seman dan Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya.

3. Hormat-menghormati
Seman menghormati ayah dan ibunya dan dia tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap
dengan mereka dan dia juga mematuhi arahan dan melakukan setiap perkara yang disuruh oleh
ibunya.

4. Kerajinan
Seman rajin bekerja sejak ayahnya sakit dan dialah yang membelah kayu api. Seman juga rajin
mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran, kacang dan
pelbagai tanaman lain.

5. Ketabahan
Maniam tabah menghadapi dugaan hidupnya susah dengan berhijrah ke Malaya untuk mencari
pekerjaan dan seterusnya dia bekerja di beberapa tempat seperti kuli di pelabuhan di Pulau Pinang
hinggalah dia bekerja tetap dan dilantik sebagai tandil di kebun getah.

6. Kegigihan
Cing Huat gigih bekerja untuk membesarkan kedai dan perniagaanya dan dia menjual pelbagai
barangan dan akhirnya dia berjaya menjadi tauke atau peniaga yang berjaya.

7. Semangat cinta akan negara


Lazim, Mail Jambul, dan Berahim menyeru orang-orang Melayu bersatu padu dan berjuang untuk
mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan raja-raja.

8. Semangat perpaduan
Masyarakat Melayu, Cina dan India hidup dengan aman dan harmoni di Simpang Empat, Cangkat
Lima, Cangkat Janggus, dan kawasan kampung yang lain tanpa persengketaan yang boleh
mencetuskan ketegangan kaum.

9. Keberanian
Musa berani untuk menyelamatkan Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Seman
berani menjemput dukun untuk mengubati ayahnya yang sakit pada suatu malam, seorang diri.

10. Mengenang Budi


Poh Eng mengenang budi Seman dan Mak Limah yang pernah memberikan perlindungan kepadanya
dan Maniam juga mengenang budi Musa yang membantunya ketika dia dipukul. Maniam membalas
budi Musa dengan menolong Seman untuk mendapatkannya kerja di kebun tempatnya bekerja itu.

11. Taat akan perintah agama


Apabila Seman sampai di surau, dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf kedua untuk
menunaikan sembahyang Isyak di surau Kampung Nyiur Condong pada suatu malam.

12. Kasih sayang


Isteri Cing Huat amat sayang kepada anaknya terutamanya Poh Kheng dan Poh Eng. Dia menjerit
dan meratap apabila menyedari Poh Eng hilang ketika peristiwa rompakan berlaku di kedainya pada
suatu malam.

13. Menepati janji


Seman menepati janjinya dengan Mamat Labu iaitu dia sampai di surau selepas sembahyang Isyak
seperti yang dijanjikan tetapi Mamat Labu yang tidak muncul. Maniam juga menepati janjinya dengan
mendapatkan kerja untuk Seman di kebun getah itu.

14. Kesabaran 
Malini bersabar dengan menunggu kepulangan suaminya Maniam selepas suaminya itu disuruh pergi
ke tempat lain oleh ayahnya. Seman juga bersabar dengan dugaan yang menimpa dirinya iaitu
semasa bapanya meninggal dunia.

15. Mengakui kesilapan


Mat Ranggi mengakui kesilapannya yang menolak semua pinangan kerana orang yang hendak
meminang anaknya itu tidak setaraf dengannya, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya itu
dengan menerima Seman yang miskin dan tidak berharta sebagai menantunya.

16. Ketekunan
Selepas menolong ibunya di dapur, Poh Eng mengambil sulamannya dan mula menyulam kain
dengan tekun di meja makan.

17. Semangat setiakawan  


Persahabatan Yew Seng dengan Lazim begitu erat dan dia lebih dekat dengan orang-orang Melayu,
hinggakan kalau Lazim dipukul orang, dia akan berasa dirinya sendiri yang kena pukul dan dia mahu
berkorban untuk membela Lazim kalau perlu.

18. Ketaatan
Malini taat kepada suaminya Maniam iaitu dia melayannya dengan baik, mendengar katanya dan
tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu sudah menjadi tanggungjawabnya
sebagai seorang isteri.

Anda mungkin juga menyukai